Sambutan hangat kepada Dr M di Port Dickson bukti nasib Anwar masih di tangannya

Seminggu Datuk Seri Anwar Ibrahim berkempen di Port Dickson, kehadiran di setiap programnya agak hambar sehinggalah semalam.

Rakyat Port Dickson muncul berduyun-duyun untuk melihat Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang turun berkempen untuk Anwar. Kehadiran rakyat dikatakan mencecah 2,000 orang.

“Timing” kehadiran Dr Mahathir juga tepat iaitu malam sebelum pengundian awal yang melibatkan 10% jumlah undi di PD, iaitu sebanyak 6,690 pengundi anggota tentera dan 578 polis.

Sambutan kepada Dr Mahathir menguatkan lagi satu fakta bahawa Pakatan Harapan menang pilihanraya umum ke 14 adalah kerana Dr Mahathir. Ia bukan kerana Anwar. Jika ada sesiapa yang sangsi terhadap fakta itu, lihatlah sahaja perbezaan kehadiran rakyat pada majlis kempen yang menampilkan Dr Mahathir berbanding majlis yang tanpa kehadiran beliau.

Dalam misi Anwar menjadi PM, tidak boleh dinafikan bahawa Dr Mahathir sentiasa muncul sebagai pemenang. Dalam pertarungan pertama – ketika mereka berkawan pada 1997, Anwar berjaya dijatuhkan atas tuduhan seksual dan Dr Mahathir kekal sebagai perdana menteri sehingga 2003 sebelum memberikannya kepada Tun Abdullah Badawi.

Ketika mereka bertembung pada zaman Anwar bangkit bersama Pakatan Rakyat, Dr Mahathir juga muncul sebagai pemenang bersama BN dan Datuk Seri Najib Razak.

Anwar terpaksa akur sekadar menjadi ketua pembangkang malah terpaksa kembali ke penjara atas tuduhan seksual yang seiras ketika 1997.

Jawatan PM yang diidami Anwar sekali lagi jatuh ke tangan Dr Mahathir apabila beliau berjaya memimpin blok pembangkang yang sepatutnya dipimpin Anwar ke Putrajaya.

Selepas 20 tahun menunggu, misi Anwar menjadi PM sekali lagi terpaksa bergantung pada ihsan Dr Mahathir. Cuma bezanya kali ini, Anwar memilih untuk ‘menjadi anak’ Dr Mahathir daripada melawan beliau agar misinya untuk menjadi PM menjadi kenyataan kali ini.

Ini berdasarkan kata-kata Anwar sendiri kepada orang ramai bahawa beliau “menyayangi” Dr Mahathir seperti bapa kandung. “Saya sayangkan beliau seperti bapa dan pemimpin. Sekarang saya terima bahawa beliau individu terbaik untuk memimpin Malaysia.”

Apakah Anwar akan berjaya kali ini dengan “berwatakkan anak” Dr Mahathir?

Dr Mahathir juga pernah membuktikan betapa beliau percaya dan sayangkan Anwar dengan melantiknya sebagai pemangku perdana menteri bermula 9 Mei sehingga 26 Julai 1997 dan dalam tempoh itu Dr Mahathir memberi kuasa yang dimiliki oleh seorang perdana menteri kepada Anwar. Apa-apa yang terjadi selepas itu semua orang tahu.

Kini Dr Mahathir sekali lagi menunjukkan betapa kuatnya beliau menyokong Anwar kembali ke Parlimen dalam kempen pilihan raya kecil PD.

Apakah sayang Dr Mahathir kali ini akan berakhir dengan baik untuk Anwar? Biarpun susah ditelan, hakikatnya nasib Anwar masih di tangan Dr Mahathir.

Melihat semula pertembungan sengit antara Datuk Seri Azmin Ali yang rapat dengan Dr Mahathir dan Rafizi Ramli yang didokong Anwar dalam perebutan jawatan timbalan presiden PKR, boleh dikatakan misi Anwar untuk menjadi PM masih perlu menempuh jalan yang berliku dan berduri.

Nampaknya, politik Malaysia untuk 5 tahun akan datang masih akan berkisar pada sosok Dr Mahathir dan Anwar. Berapa lama lagi kedua-dua tokoh akan menguasai politik Malaysia dan berita utama politik negara yang sudah berlanjutan lebih 30 tahun? Kita tunggu sandiwara politik seterusnya.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.