Tidak seperti Khashoggi, mangsa Saudi ini tidak dibela

Hari ini kita terpaksa mengakui bahawa seisi dunia, mungkin hanya segelintir, yang pernah mendengar nama seorang wanita revolusioner – Israa al-Ghomgham – yang sedang menanti hukuman bunuh terhadapnya pada 28 Oktober 2018 ini.

Israa adalah seorang aktivis hak asasi manusia dan pejuang demokrasi di Arab Saudi. Hanya ada 2 keping foto Israa yang diketahui beredar di alam maya, satu dengan wajahnya ketika dia masih anak-anak, dan satu lagi gambar pada hari pernikahan.

Israa sudah tentu tidak memenangi Hadiah Nobel Untuk Keamanan. Dia tidak diketahui boleh berbahasa Inggeris, tidak pernah terbang ke sana sini menjejakkan kaki di persidangan antarabangsa, berbanding Jamal Khashoggi.

Kebanyakan yang diketahui mengenai Israa, mujur, datangnya daripada European Saudi Organisation for Human Rights (ESOHR).
Lebih dahsyat, Israa tidak perlu dipedulikan kerana dia seorang perempuan, dan seorang Syiah.

Demikian juga sikap dunia terhadap hukuman pancung yang dijalankan oleh Saudi terhadap ulama bernama Nimr al-Nimr.

Seorang pasifis yang tidak lelah melawan, Nimr tidak diendahkan kerana dia tidak mengenakan busana kot dan tiada nombor telefon dengan seseorang yang dekat kepada Presiden Turki, Recep Erdogan.

Nimr dipancung pada 2 Januari tahun 2016 kerana menagih kebebasan dan demokrasi. Dunia hanya sempat kecoh kerana kesyahidan Nimr mendorong gelombang bantahan besar di Iran.

Amnesty International menyatakan hukuman mati terhadap Nimr yang mengkritik kerajaan Saudi adalah sebahagian dari kempen menekan dan mensenyapkan penentang dalam kerajaan. Tentu, Nimr tidak dipedulikan, dia bukan seorang kolumnis terkenal dan paling sah ialah, Nimr seorang Syiah.

Meskipun jelas dalam perjuangan dan kempennya, persoalan mazhab tidak muncul sama sekali. Nimr malah menolak konsep wilayatul faqih yang digagaskan oleh ulama Syiah di Iran. Nimr bukan pendamba Ikhwanul Muslimin seperti Jamal Khashoggi.

Dunia juga tidak sebegini heboh apabila seisi bas berisi kanak-kanak Yaman disasar oleh pesawat perang Arab Saudi pada 14 Ogos 2018. Seisi bas anak-anak dibunuh di siang hari. Anak-anak itu berusia dalam lingkungan 6-11 tahun sedang menuju ke tanah perkuburan di wilayah Saada. Tanah perkuburan adalah satu-satunya kawasan yang masih hijau dan berpohon di Yaman setelah taman dan tempat rekreasi dibom tentera Saudi dan sekutunya.

Berita pembunuhan 40 anak-anak itu dilaporkan oleh media massa termasuk di Barat tetapi Putera Muhammad bin Salman tidak memadai mendapat reaksi keras.

Seperti Khashoggi, anak-anak 40 orang itu terpotong-potong daging dan bersepai otak kepalanya. Seperti pembunuhan Khashoggi, Arab Saudi menerusi Joint Incident Assessment Team (JIAT) mengakui melakukan pembunuhan tersebut.

Akan tetapi anak-anak itu mungkin tidak ada nilainya buat kita kerana mereka disangkakan anak-anak Houthi.

Tidak ada Erdogan untuk anak-anak dalam bas yang dibom itu, pengamat antarabangsa paling bangang sekali pun mengetahui Presiden Turki yang dianggap mujahid terbilang abad ini merupakan penyokong kuat Saudi dalam usaha menggempur Houthi.

Juga tidak ada bantuan dan cahaya lilin untuk pekerja asing seperti Rizana Nafeek yang dijatuhkan hukuman mati di Arab Saudi pada tahun 2007, padahal layanan terhadap buruh luar seperti Rizana menyamai perhambaan yang dialami Bilal Bin Rabah.

Rizana tidak diwakili oleh peguam dan mendakwa dia diseksa agar memberi pengakuan untuk satu kes kecuaian melibatkan anak majikannya.

Tilam empuk di tanah suci menunggu jemaah

Ada apa dengan sirah yang dibaca dalam usrah? Pergi mampus dengan sirah. Kita semua ingin menebus dosa seperti Nasrani di kota Mekah dan Madinah.

Buruh dan imigran asing yang kita lihat di Mekah dan Madinah, yang sering tampak khuatir dan lelah tidak ada jaringan berpengaruh di Barat seperti Khashoggi. Jika mereka mati dikerat sekalipun, tidak ada Erdogan akan berucap dengan belasungkawa.

Haji dan umrah terus berlangsung. Disember ini, di musim cuti sekolah – yang dingin – tilam empuk hotel-hotel di 2 tanah suci sudah menunggu. Esak tangis imam sembahyang di Masjidil Haram yang lemak-lemak suaranya melagukan ayat-ayat suci al-Quran lebih menyentuh kalbu.

Untuk penziarah dan ahli ibadah bertawaf di kaabah yang mulia itu jauh lebih tinggi dan teratas berbanding menyatakan kezaliman dan penindasan terhadap manusia yang lainnya, yang berbeza daripada kita.

Jemaah kita akan membeli beberapa kilogram tamar di pasar kurma Madinah dan tanpa malu memberi salam kepada Nabi Muhammad di sisi Raudhah.

Pakej-pakej mahal yang menganga mendapat keuntungan memadam darah yang meleleh dan berlecakan di atas marmar Hijir Ismail, mengalir di tepian Multazam dan Hajarul Aswad.

Tidak ada ingatan terhadap Nabi Ismail yang masih kecil waktu ingin dikorbankan, persis seperti anak-anak Yemeni yang sedang berseronok untuk bercuti.

Tidak ada ingatan terhadap Siti Hajar ketika berlari-lari anak melakukan Saie.

Di dalam sembahyang, ketika tahiyat solat, umat Islam akan melafazkan: kama salaita ala ibrahim wa’ala ali ibrahim, yang bermaksud “Sebagaimana Engkau selawatkan ke atas Ibrahim dan atas keluarga Ibrahim”.

Tidak ada ingatan untuk itu juga, tidak ada keluarga Ibrahim seperti Ismail dan Hajar. Lagipun untuk apa. Tidak ada kesedaran falsafah walau sepicing pun.

Doa untuk Israa jatuh di atas pundak seorang perempuan bukan Islam.

Oliver Windridge, peguam hak asasi manusia antarabangsa memberitahu CBS News, tuduhan terhadap Israa antara lain adalah pertama; berarak, menyertai demonstrasi dan menimbulkan kekacauan. Kedua, memberi sokongan moral kepada perusuh. Ketiga, membuka akaun Facebook palsu. Terakhir, pernah mengunjungi Iran justeru mendapat latihan perisikan di sana.
Israa tidak diwakili oleh peguam. Oliver sekadar menyorak dari jauh.

Selain Israa, Moussa al-Hashem, suaminya juga dihadapkan tuduhan yang sama dan mungkin dijatuhi hukuman mati. Saudi tidak berhenti di situ. Mereka turut menahan Hassan al-Ghomgham, bapa Israa dan menuduhnya melawan pemerintah Arab Saudi.

Sehingga saat ini sudah 93 orang dihukum pancung sampai mati atas pelbagai alasan, tetapi jarang mereka mendapat kesempatan dan peluang untuk diadili.

Pada 28 Oktober ini, mungkin Israa al-Ghomgham akan dijatuhi hukuman pancung sampai mati. Dia berusia 29 tahun. Dan dia memang tidak terkenal seperti Khashoggi. Padahal dia seorang perempuan.

Di manakah aktivis wanita kaum feminis? Kerana dia perempuan, seharusnya seorang muslimah yang bertelekung terkenangkan Siti Hajar yang disebut-sebut dalam tahiyat sembahyang. Israa tidak semasyhur Jamal.

Tidak ada Erdogan untuk Israa. Negara-negara umat Islam, OIC masih kekal membisu sampai semua mati.

Pesta-pora tawaf keliling kaabah terjadi dari terbenam matahari sampai menjelang pagi.