‘Dari neraka beta mendoa’

Ahmad Boestamam, seorang pejuang kemerdekaan yang tidak sempat dikenal oleh generasi baharu, adalah juga seorang pengarang yang hebat.

Beliau menggunakan nama Ruhi Hayat. Kumpulan puisi beliau yang pertama, terbit dengan judul “Dendang Dari Neraka” pada tahun 1967; memuatkan 32 buah sajak beliau yang sebahagian besarnya ditulis dalam tahanan, antara lain di Batu Gajah.

Ahmad Boestamam atau nama sebenarnya Abdullah Sani Raja Kechil adalah kelahiran Tanjung Malim, Perak yang hanya diketahui sebagai seorang tokoh politik berhaluan kiri sebelum dan selepas merdeka.

Di antara tahun 1956 hingga 1969, beliau menghasilkan paling kurang 10 buah novel seperti Gelap Menjelang Terang (1956), Kabus Pagi (1958), Pacar Merah Melaya (1959), Lorong Seribu Liku (1964), Garis Hitam Membelah Langit (1966), Konfrantasi (1967), Sorong Makan Tarik Makan (1967), Ali Sastro (1968), Malam Tiada Bintang (1968) dan Rumah Kaca Digegar Gempa (1969).

Tiga intipati gagasan beliau yang ketara dalam karya-karyanya menonjolkan beliau selaku seorang nasionalis, antikolonialis dan sosialis.

Haru dinyatakan di sini, meskipun Ahmad Boestamam seorang nasionalis, beliau menolak konsep kebangsaan atas ketuanan kaum tertentu. Beliau percaya kewujudan sebuah negara bangsa Malaya dapat berjaya di atas dasar kesepaduan bangsa pelbagai kaum.

Untuk menjayakan itu, Ahmad Boestamam atau Ruhi Hayat menawarkan sosialisme sebagai sandaran.

Sikap dan pendirian beliau sebagai nasionalis, antikolonialis dan sosialis dalam novel-novelnya kurang terpancar dalam kumpulan puisi pertama yang bertajuk “Dendang Dari Neraka” itu. Sebaliknya, sajak-sajak dalam kumpulan ini seingat saya dipenuhi pesan-pesan yang lebih membara. Pesan penuh api dan bahang bara ini sangat baik untuk dijadikan pedoman kita pada tahun 2018.

Sebagai contoh, Almarhum dalam puisi “Kenapa Marah-Marah” yang dicatatkan beliau pada tahun 1964 menukilkan dalam sebuah perenggan:

Kenapa enggan mengaji chari ilham dari sejarah
mengenal kawan lawan buruk dan baik penjajah
agar katak jangan disangka gajah?

Bait-bait di atas kiranya dapat menjadi panduan untuk kita selepas 9 Mei 2018 terutama dalam memerhatikan kumpulan penyair-novelis-sasterawan, politikus, agamawan dan pegawai tinggi kerajaan yang tiba-tiba tap tup menjadi orang Pakatan Harapan, setelah berpuluh tahun selama ini menjadi penjilat Barisan Nasional.

Untuk mereka, yang melompat parti, Boestamam menuliskan sebuah puisi yang agak pedas dengan judul “Penghianat”. Antara bait-bait yang ditampilkan:

Baru semalam lantang suaramu memuja memuji
tepuk-tepuk dada, goyang-goyang tangan, dan hentak-hentak kaki

Sampai alat pembesar suara itu bungkem mati;
kini merah-merah matamu menchachi memaki
itu tak kena ini tak betul serba tak serasi
seolah lidahmu sudah bertukar menjadi gigi.

Perambusanmu suatu alamat
lenyapnya manusia-manusia penghianat.

Bait-bait di atas cantik untuk menjadi alamat buat ahli politik dan tukang tipu rakyat yang tidak berprinsip atau maruah diri.

Boestamam juga menyelar pelacuran demokrasi oleh kaum penguasa dalam “Hakikat Kepastian”, kerana demokrasi itu hanya menjadi jualan yang murah:

Demokrasi! demokrasi!
aku menjadi lambang ketiadaanmu.

Demokrasi pun chiptaan insan
tanpa rakyat
pasti lanchungan.

Sungguh pun demikian satu aspek yang mungkin kurang dikesan pengkritik, pengamat dan penikmat sastera khusus puisi ialah, nukilan Ruhi Hayat juga banyak mempamerkan kemenyampahan beliau terhadap feudalisme dan kemunafikan golongan agama.

Dalam karya berjudul “Tiada Pertemuan”, Ruhi Hayat menyuguhkan:

Di antara sini dan sana sejak lama
tiada pertemuan dan tidak akan ada
selagi reban dan kandang diisi dengan manusia
dan isteri orang boleh diambil ikut hati suka
seolah suasana abad-abad belasan mahu dijelma
meskipun feudalismi dan fasisma sudah menghiasi gedung archa.

Apakah demokrasi hanya kata-kata
untuk dilaung-laungkan semata?

L’etat c’est moi – sana berkata
Vox populi vox Dei – sini menggesa
mana mungkin sama saja ertinya
antara Laissez-faire, laiss’er-faire yang durjana
dengan Liberte, egalite, fraternite yang mulia.

Sementara itu dalam sajak bertajuk “Aneka Warna”, kepalsuan undang-undang syariah versi manusia dikemukakan:

Di mahkamah Saraiyah:
seorang wanita muda
ada suami dan anak beberapa
dan seorang pemuda ulat nangka
tiada isteri tapi ada nafsu ular sawa
dituduh melakukan halwat dan didenda
limpa puluh ringgit seorang atau penjara.

Dan setelah beberapa perenggan dan bait, Ruhi menyatakan bahawa di luar sana, orang kenamaan dan para pembesar sedang berjimba dengan dosa yang sama konon dihukum di Mahkamah Syariah.

Akan tetapi, bezanya pembesar dan orang politik yang melakukan hal cabul ini “diampunkan” kerana mustahil untuk diulas atau dibantah memandangkan yang melakukannya adalah VVIP atau “orang atasan”.

Tentu puisi yang dikarang tahun 1964 ini masih relevan dalam tahun 2018:

Di kiri kanan
Setan dan iblis masih berkeliaran
di rumah-rumah besar menyamar dalam kepalsuan
dan dalam jamuan-jamuan menyambut orang-orang kenamaan
larangan Tuhan, kesopanan timur, habis dilupakan
isteri bapak berlagak macham seniwati handalan
menjual gigi dan menggosok perut tokoh yang diraikan

tiada ulasan tiada bantahan
isteri orang jadi rampasan dikalangan atasan.

di kalangan bawahan serba menjijikkan
di kalangan atasan serba menyenangkan
sebab mata insan bukan mata Tuhan.

Tentu puisi di atas dapat menjadi refleksi bagaimana pihak tertentu bertindak, menangani atau menanggapi golongan atasan yang melakukan maksiat dan jenayah cabul, perkosaan, mahupun penzinaan. Untuk orang bawah, yakni rakyat; ia adalah dosa.

Untuk orang dengan kuasa, ia tak apa-apa. Oleh sebab itu saya selalu mengatakan untuk mereka yang membidik saya sesat.

Saya bilang, tak apa-apa; malah lebih baik sesat, dari tak diapa meski mencabul kehormatan dan hak kemanusiaan.

Tentu sahaja, Boestamam juga sempat menyelar kawan-kawannya yang tidak melawan seperti ditaburkan dalam “Jangan Ketawa, Kawan”:

Boleh ketawa, kawan!
kandang neraka bukan untuk harimau-harimau peliharaan.

Syed Husin Ali dalam kata pengantarnya, memandang puisi Boestamam ini sebagai pendirian beliau yang “memilih pihak yang benar, iaitu pihak rakyat”.

Beliau sedar, meskipun dipenjarakan dan dipinggirkan, beliau tidak pernah mengkhianat.

Lain dari puisi-puisi di atas, sedap membaca puisi-puisi Ruhi Hayat yang lain kerana sungguh kebanyakannya terletak dalam kalbu raga dek bahasa yang sederhana dan susun seimbang. Puisi kehidupan seperti “Ibu Kian Tua”, “Rambutan Manis-Rambutan Masam” dan “Malaikatulmaut Berkaki Empat”.

Dalam banyak-banyak puisi Boestamam atau Ruhi Hayat ini, yang paling membekas untuk saya ialah dengan judul “Selamat Berkongres” yang ditujukan kepada ahli-ahli Partai Rakyat Malaya. Puisi pendek itu berbunyi:
Nyalakan terus unggun chita
segarlah kuntum menanti kembang
dari NERAKA beta mendoa
semogalah surga bagimu rakyat!

Tarikh 30 November ini ialah ulang tahun kelahiran Boestamam, tak salah kita meraikan meskipun beliau telah meninggal dunia; kerana kita mencitakan teriak almarhum kekal bersipongang untuk beberapa lama bagi mengisi nurani bangsa.

Benarlah tulis beliau dalam puisi ‘Suatu Kepastian’:
Pergi,
kembali;
Mati dikuburkan.

Tapi jasa dan bakti
tak mati-mati!