Hanya Anwar boleh benarkan Dr M jadi PM lebih 2 tahun

Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan beliau akan menepati janji untuk melepaskan jawatan perdana menteri selepas 2 tahun. Penegasan ini dibuat dalam sidang media selepas mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) Sabtu lalu.

Penegasan ini bukanlah perkara baru. Sejak pilihan raya umum (PRU) ke-14, pengerusi PH itu telah berulang kali dalam wawancara, dialog dan sidang media menyatakan beliau akan menepati janji. Penegasan itu dibuat kerana terdapat banyak anggapan beliau tidak akan melepaskan jawatan itu.

Tetapi, apa yang merupakan perkara baru ialah Dr Mahathir menyatakan beliau akan terus menjadi perdana menteri selama 2 tahun setengah, sekiranya dibenarkan bakal penggantinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebelum ini, apa yang dinyatakan Dr Mahathir ialah beliau akan melepaskan jawatan perdana menteri seperti yang dijanjikan, kecuali diminta untuk terus memegang jawatan itu, tanpa menyebut pihak mana.

Maknanya, persoalan kini bukannya Dr Mahathir akan melepaskan jawatannya selepas 2 tahun atau tidak. Persoalannya ialah sama ada Anwar membenarkan beliau terus menjadi perdana menteri. Adalah dipercayai tokoh berintegriti seperti Dr Mahathir akan menepati janjinya.

Anwar berkata, beliau tidak ada masalah dengan Dr Mahathir, namun beliau tidaklah menyebut tentang membenarkan Dr Mahathir untuk terus menjadi perdana menteri.

Sidang akhbar itu dibuat secara ringan dan berjenaka, tetapi isu tempoh Dr Mahathir memegang jawatan perdana menteri adalah sesuatu yang serius dan menjadi perbincangan hangat para pemerhati, lebih-lebih lagi selepas penerimaan PPBM terhadap permohonan bekas menteri Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Sepanjang minggu lalu, spekulasi timbul PPBM sedang mengukuhkan kedudukannya, bukan saja dengan kemasukan bekas pemimpin Umno itu, tetapi juga kenyataan terdapat 40 wakil rakyat BN bersedia menyertai parti pimpinan Dr Mahathir itu.

Keadaan ini mendorong persoalan kemungkinan PPBM sedang menghalang Anwar daripada menjadi perdana menteri. Ia terus membawa kepada reaksi negatif para pemimpin PKR dan DAP. Hanya Amanah yang turut menerima bekas ahli Umno menunjukkan reaksi positif terhadap kemasukan Mustapa dalam PPBM.

Dalam suasana beginilah, mesyuarat Majlis Presiden Sabtu lalu menjadi penting dan dinanti-nantikan bagi membincangkan soal kemasukan bekas ahli Umno dalam PPBM yang dibimbangi boleh menjejaskan jati diri PH.

Ia lebih menarik perhatian apabila mesyuarat pertama PPBM Bahagian Setiawangsa yang diketuai Muhammad Zahid Md Arip, setiausaha politik perdana menteri meluluskan usul supaya Dr Mahathir menyandang jawatannya untuk satu penggal penuh.

Suasana politik yang panas ini pula berlaku ketika negara menantikan pembentangan belanjawan sulung kerajaan PH. Belanjawan 2019 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dilakukan sehari sebelum mesyuarat Majlis Presiden PH.

Pada masa sama pula, PKR sedang menjalani proses pemilihan yang bukan saja penting, tetapi sengit. Pada hujung minggu lalu, pengundian diadakan di Sabah yang turut mencetuskan perkelahian.

Hasil pengundian di Sabah itu boleh menentukan bukan saja hala tuju dan masa depan PKR, tetapi juga PH.

Suasana hangat juga sedang berlaku di pihak pembangkang, dengan perbalahan terbuka dalam Umno. Di satu pihak, ada yang mahukan parti menjarakkan diri daripada bekas presidennya, Datuk Seri Najib Razak dan masalah 1MDB, pihak satu lagi masih mahu mempertahankan bekas perdana menteri itu.

Ahad lalu, akhbar milik Umno, Mingguan Malaysia buat pertama kalinya mengkritik Najib. Ia menimbulkan persoalan mengenai kemungkinan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sedang menjarakkan diri daripada Najib. Secara tradisinya, media parti membawa suara presidennya.

Selain itu, hujung minggu lalu, MCA menyaksikan pemilihan presidennya yang dapat disimpulkan sebagai persaingan antara 2 pihak. Satu yang mahu terus bersama BN, sementara pihak lagi satu mahu MCA keluar daripada gabungan itu. Satu isu utama dalam pemilihan ini, iaitu soal kerjasama Umno dengan PAS.

Kemenangan Datuk Seri Wee Ka Siong menandakan MCA akan kekal dalam BN, walaupun menurut beliau, kedudukan partinya dalam gabungan parti itu akan diputuskan melalui perhimpunan agung.

Adalah dipercayai kerjasama Umno dengan PAS akan terus menjadi satu masalah bagi MCA, sedangkan kepimpinan Umno melihat ke arah menubuhkan gabungan baru menggantikan BN dengan turut melibatkan PAS serta terus mengekalkan MCA dan MIC.

Tetapi, kedudukan Zahid juga tercabar kerana beliau menghadapi kes mahkamah, di mana ada pihak dalam Umno mahukan beliau bercuti. Dalam menghadapi keadaan itu, presiden Umno itu mendakwa Dr Mahathir mahu Umno dibubarkan dan ahli-ahlinya menyertai PPBM.

Dalam hal ini, Dr Mahathir dengan terang-terangan mengajak ahli-ahli Umno meninggalkan parti mereka dan menyertai PPBM. Beliau berkata demikian dalam program Bicara Minda di Karangkraf tidak lama dahulu. Kata-kata ini membimbangkan ramai penyokong PH yang tidak mahu BN 2.0 muncul.

Dr Mahathir menegaskan semula beliau akan menepati janjinya, tetapi masalahnya setiap kali dibuat penegasan, beliau menambah kenyataan lain yang menimbulkan pertanyaan.

Dalam program bicara itu, ketika beliau berkata akan berundur daripada jawatan perdana menteri, beliau tidak menjamin apa yang akan berlaku selepas itu.

Perdana menteri menyebut penggantinya dahulu, merujuk Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Najib tidak menjadi seperti yang diharapkan.

Ia boleh bermaksud kepastiannya ialah beliau akan berundur seperti yang dijanjikan, selepas itu beliau tidak memberi sebarang jaminan, sama ada Anwar tidak akan menggantikannya atau tiada jaminan itu bermaksud bakal penggantinya tidak akan mencapai prestasi dikehendakinya, atau beliau tidak menyokong Anwar sebagai perdana menteri, tetapi sekadar menepati janjinya kepada PH.

Sidang akhbar selepas mesyuarat Majlis Presiden PH itu menjelaskan perkara-perkara utama untuk mengukuhkan hubungan antara parti-parti dan menstabilkan politik, khususnya penyertaan bekas ahli Umno dalam PPBM.

Walaupun Dr Mahathir telah menyerahkan kedudukannya kepada Anwar selepas 2 tahun, spekulasi politik akan terus timbul mengenai hubungan mereka berdua. Ia adalah sebahagian daripada proses landskap politik negara.

Setelah 5 bulan perkara ini dipercakapkan, rakyat Malaysia sepatutnya hanya perlu membiasakan diri dengan gelagat politik mereka untuk tahun-tahun akan datang. Lebih baik rakyat memberikan tumpuan pada pembinaan semula negara dan membiarkan ahli-ahli politik menyelesaikan isu antara mereka.

Nilai kepimpinan seseorang tentulah berbeza, tetapi rakyat umumnya wajar tumpukan perhatian terhadap kehidupan seharian, termasuk mengenai soal belanjawan.

Hanya penglibatan aktif orang ramai terhadap apa yang berlaku kepada kerajaan akan memberi impak tanpa mengira siapa yang menjadi perdana menteri.