Bagaimana Zahid dan Ellie mahu jadi tuan?

Jadi, bagaimanakah Melayu ingin menjadi tuan?

Saya ingin menyorot pandangan Tun Dr Mahathir Mohamad seperti yang beliau pernah nukilkan sekali, pada 15 Mac 1995, iaitu menerusi ucapan beliau di Senate House, Universiti Cambridge, England. Kemudian kali keduanya ketika memberikan ucapan perdana di persidangan “Isu dan Proses Pembukaan Minda Umat Melayu Islam” pada 29 Januari 2002.

Seyogia ditekankan di sini, pada 1995, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi belum, tetapi akan memenangi kerusi Bagan Datuk.

Dalam minggu ini, kita terdengar Zahid bersuara agar jangan digalakkan sebarang usaha untuk mengganggu-gugat ketuanan Melayu. Formula Zahid untuk menjadi tuan adalah “mempertahankan hak keistimewaan orang Melayu, raja-raja Melayu, Islam sebagai agama persekutuan dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan”.

Ellie Suriaty Omar pada 1995 atau 2002, tatkala itu belum membintangi filem “Syukur 21” (2000), dan “Spinning Gasing” (2001).

Ellie mendakwa baru menyokong Datuk Seri Najib Razak, bekas presiden Umno selepas kerajaan Barisan Nasional (BN) tewas pada pilihan raya umum ke-14 lalu.

Kata beliau: “Saya masuk Umno setelah kerajaan (BN) jatuh, ia kerana saya kenangkan nasib anak bangsa kita nanti. Apa akan jadi dengan nasib anak Melayu dan agama Islam.”

Dalam satu insiden berasingan, Ellie dilapor menyatakan pula: “Bercerai nyawa dari badan, jadi tulang, sebati dengan tanah…tapi bangsa Melayu, raja-raja Melayu, jangan cuba kamu nak jatuhkan raja Melayu dan jadikan Malaysia ini sebuah negara republik!”

Sekali lagi padanan Melayu, Islam dan raja disebut. Di sini, kita tidak hendak menafikan formula mereka. Kita ingin melihat jika ada alternatif, dan di sini saya memilih formula Dr Mahathir.

Kedua-dua mereka – Zahid dan Ellie berkongsi satu formula untuk menjadi tuan, iaitu dengan “mempertahankan hak keistimewaan orang Melayu, raja-raja Melayu, Islam sebagai agama persekutuan dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan”.

Saya percaya mereka mungkin tidak mengetahui formula bagaimana Melayu boleh menjadi tuan seperti yang diutarakan Dr Mahathir pada 1995, mahupun 2002. Jika mereka tahu, atau formula itu pernah tersebar luas, tentu paling tidak ada pertimbangan lain.

Kita tidak akan mempertikaikan formula kesepakatan Zahid dan Ellie, tetapi mungkin ada keperluan melihat formula Dr Mahathir, memandangkan beliau telah melakukan “grand come back”.

Formula pertama Dr Mahathir itu adalah “tidak berlaku zalim dan tidak berselindung di sebalik relativisme budaya”.

Dalam syarahan bertajuk “Nilai Asia” pada 15 Mac 1995 di Senate House, Universiti Cambridge, England tersebut, Dr Mahathir menegaskan: “Perkara pertama yang mungkin baik disebut ialah kezaliman di mana pun tidak harus dibiarkan dan harus dihukum. Tidak ada seorang pun yang harus diizinkan berselindung di sebalik tabir relativisme budaya.”

Ini bermakna menjadi tuan bukan satu alasan untuk tidak menegakkan keadilan.

Kedua, Dr Mahathir menegaskan untuk menjadi tuan, seseorang (dalam hal ini Melayu) itu jangan sampai anti dunia dan jatuh ke dalam jurang spiritualisme yang keterlaluan sehingga mencegah dirinya daripada mengejar pembangunan diri dan masyarakat.

Dr Mahathir berkata: “Banyak nilai Asia yang jelas harus dihapuskan. Di serata tempat di Asia, didapati materialisme yang keterlaluan, di tempat-tempat yang lain pula terdapat anti materialisme; selain itu ada pula spiritualisme yang ekstrem, atau sekurang-kurangnya yang dianggap sebagai spiritualisme.”

Dalam satu acara Dewan Bahasa dan Pustaka pada 2002, Dr Mahathir secara konsisten menyatakan umat Islam tidak harus berpolemik siapa betul, siapa salah sehingga menghambat pergerakan kemajuan.

“Sepanjang masa polemik berkenaan dengan apa yang Islam dan apa yang tidak, apa yang benar, apa yang tidak, siapa yang lebih Islam dan siapa yang kurang Islam dan siapa pula yang sudah tidak Islam dan sudah murtad, mengganggu pemikiran orang Islam, mengelirukan mereka, menakutkan mereka akan kemungkinan mereka sudah tidak Islam dan akan diseksa di neraka, di akhirat kelak.”

Dr Mahathir seterusnya menganjurkan agar jangan khuatir “menggunakan logik” dan “berminda terbuka”. Ini bermakna, untuk menjadi tuan, kesempitan dan keterikatan kepada agama jangan sampai mencekang dan menghambat.

Seterusnya, Dr Mahathir menyarankan untuk menjadi tuan, Melayu mestilah belajar daripada semua dan bukan menyempitkan diri dengan sejarah sendiri semata-mata.

Dr Mahathir pada 1995 menyatakan: “Kita di Asia telah banyak belajar daripada barat. Kita tentu akan mengekang potensi kita yang sepenuhnya jika kita memberhentikan proses ini. Pada waktu yang sama, kita harus banyak belajar daripada ‘Timur’, negara-negara lain di Asia, Afrika dan Amerika Latin – dan daripada unsur-unsur yang terbaik, yang ada dalam sejarah dan budaya kita sendiri.”

Sekali lagi pada 2002, Dr Mahathir menyeru minda terbuka yang harus menilai semula kelemahan diri selaku Melayu-Islam dan mengubah perangai; “minda yang terbuka perlu, pertamanya mengenal pasti dan mengakui kelemahan yang ada pada Melayu Islam dan keduanya, mengenal pasti apa yang perlu diubah dan diamal untuk mendapat manfaat daripada minda yang terbuka”.

Formula keempat Dr Mahathir untuk Melayu menjadi tuan adalah jangan mengambil mudah sehingga negara tergadai.

Dalam hal ini, Dr Mahathir merenung kembali bagaimana nasib orang Melayu yang pernah tergadai satu masa dahulu; saya cuplikkan di sini: “Sesuatu yang terdapat pada orang Melayu dahulu dan masih ada pada mereka sekarang ialah kegemaran kepada yang mudah. Kerana kegemaran ini, negeri tergadai.

“Apabila dijanji oleh saudagar Cina kutipan cukai yang tinggi dan tetap, raja-raja Melayu memberi monopoli cukai dan penjualan candu kepada saudagar-saudagar Cina.

“Kemudian datang British yang berjanji dengan menggunakan nasihat mereka, pentadbiran negeri Melayu akan lebih tertib dan ‘political pension’ tetap serta kemudahan-kemudahan hidup yang luar biasa akan dinikmati oleh raja-raja Melayu.

“Dengan janji ini, kuasa penuh diberi kepada penjajah untuk mentadbir mengikut kehendak mereka. Kehidupan memang menjadi lebih mudah, tetapi negeri tergadai.”

Pendirian, sikap dan petua jelas Dr Mahathir yang tekal menjadi sumber beliau untuk mendepani kuasa besar China, dan perangai angkuh Arab Saudi, apabila kembali menjadi perdana menteri buat kali kedua.

Saya tidak mengatakan hanya formula Dr Mahathir sahaja yang betul di sini. Negara, masyarakat dan hidup ini akan berkembang.

Setelah kita mati sekalipun, dunia yang kita tinggalkan perlu menantang cabaran pada masa itu. Kita bukan boleh bangkit dari kubur untuk mengajar generasi akan datang. Mereka perlu menguji formula sendiri.

Pun, setelah mempertentangkan formula menjadi tuan oleh Zahid dan Ellie; dengan formula Dr Mahathir, kita dapati formula menjadi tuan yang diketengahkan Zahid dan Ellie itu sangat simplistik, statik, tidak dinamik dan mengkesamping kenyataan-kenyataan yang terdapat dalam hidup hari ini.

Formula Dr Mahathir pula sekurang-kurangnya mempunyai nilai kompleks yang memadai untuk direnung, dianalisis, dicuba dan diacukan kepada generasi mendatang. Tentu ada formula pandai lain untuk menjadi tuan, tetapi boleh dikemukakan pada kesempatan lain.

Namun, dapat kita sepakati di sini, formula mereka semua di atas tidak mengesahkan untuk menjadi tuan, maka Melayu boleh mencuri dan menyamun. Kalau hendak menjadi tuan, mestilah tiada perangai penjenayah.

Tuan, dalam kerangka akal budi Melayu adalah tempat menumpang kasih. Bukan satu darjat menggodam dan menginjak sahaja. Pantun di bawah elok untuk mencerminkan seorang tuan Melayu.

Kalau dijemput datang jamuan
jangan gelojoh umpama babi;
Kalau hendak menjadi tuan
jangan dibawa perangai kuli.

Bila sudah depan sajian
lauk kanan kemudian kiri;
Perangai tuan kasih kasihan
manakan tuan merompak mencuri.

Terpulanglah kepada Melayu hari ini, menjadi tuan seperti Zahid dan Ellie; atau menempuh jalan menjadi tuan yang dicadangkan oleh Dr Mahathir. Sekali-kali Melayu jangan bertuankan pencuri dan penyamun.

Sekali lagi, boleh jadi saja formula mereka semua ini akan berkesudahan gagal dan kita memang – suka tidak suka – mendamba dan memerlukan seorang penyelamat akhir zaman.