Surat kepada PM: Malaysia memerlukan IC Design

Salam Berbahagia Tun,

Sehebat-hebat teknologi robot, “artificial intelligence”, telefon pintar dan “internet of things” – ia sebenarnya bergantung pada kehebatan cip yang ada di dalamnya.

Ilmu dan seni rekacipta cip dipanggil IC atau “integrated circuit design”. Dalam bidang elektronik dan teknologi serba canggih hari ini, di situlah segala nilai, ilmu dan teknologi sebenar berada.

Setiap peranti elektronik hari ini mengandungi cip IC yang diletakkan bersama-sama di atas satu papan litar untuk menjalankan fungsi tertentu. Kecanggihan sesuatu peranti bergantung pada kehebatan inovasi pereka dalam menggabungkan cip IC dan memprogramkan cip tersebut untuk melaksanakan sesuatu algorithm atau fungsi.

Contoh paling mudah ialah telefon pintar. Di dalamnya terdapat pelbagai jenis cip IC yang digabungkan bersama untuk melaksanakan fungsi telefon pintar – contohnya cip IC yang menerima data tanpa wayar, cip “microprocessor” yang melaksanakan segala tugas dan arahan, cip IC yang mengendalikan penggunaan kuasa setiap peranti dan sebagainya.

Segalanya tidak akan menjadi jika tiada cip yang sesuai untuk melaksanakan operasi yang diinginkan.

Kualiti cip IC ini bergantung pada tempat kegunaannya. Jika ia digunakan di pasaran konsumer, kebiasaannya cip hanya berada pada kualiti biasa. Ia akan mudah rosak dan perlu digantikan selepas beberapa tahun.

Sekiranya digunakan dalam bidang ketenteraan, automatif atau angkasa lepas, maka sudah tentu cip perlu berada pada kualiti tertinggi, yang membolehkannya berfungsi di dalam lingkungan suhu -55 ke 140 darjah Celcius, kejituan yang tinggi dan menggunakan kuasa yang rendah dalam pengoperasiannya.

Di manakah Malaysia dalam bidang rekacipta cip IC ini?

Tun, maaf dikatakan, kita sebenarnya berada terlalu jauh di belakang negara membangun lain. Seperti projek kereta nasional Proton, Malaysia boleh berbangga kerana kita mempunyai kereta nasional sendiri, tapi sebenarnya kita hanyalah “tukang pasang” kereta (assembler), tanpa menguasai teknologi sebenar seperti pembuatan enjin yang menjadi jantung dalam “seni” pembuatan kereta.

Seperti juga bidang IC Design, Malaysia hari ini hanya terlibat dengan pembikinan cip IC melalui Silterra, aktiviti pembungkusan cip IC yang siap seperti UNISEM dan CARSEM, dan menjadi pembekal tenaga buruh kepada syarikat gergasi dari Amerika Syarikat untuk membantu mereka menghasilkan cip rekaan mereka sendiri.

Gambar researchgate.net.

Malangnya, penglibatan Malaysia dengan aktiviti IC Design yang mempunyai nilai tertinggi dalam keseluruhan teknologi semikonduktor yang menguasai dunia hari ini adalah sangat terhad.

Jika tidak silap, kurang daripada 10 syarikat tempatan terlibat dengan aktiviti rekacipta cip IC untuk pihak lain hari ini kerana suasana tempatan yang tidak subur.

Antaranya ialah Symmid di bawah Kumpulan Modal Perdana milik Kementerian Kewangan dan QRF. Ramai antaranya hanya sekadar pembekal tenaga buruh kepada syarikat gergasi.

Pendek kata, Malaysia hanya terlibat dengan aktiviti yang mempunyai “value chain” sederhana dalam bidang teknologi tinggi ini.

Tun, perkara ini perlu diubah dengan kadar segera agar negara tidak jauh ketinggalan pada masa hadapan. Kita sudahpun ketinggalan kini.

Tun,

Malaysia perlu mencontohi inisiatif yang diambil oleh negara China.

China mensasarkan tahun 2025 sebagai tahun “Made in China 2025” untuk 10 sektor teknologi tinggi menggunakan teknologi dan cip yang dihasilkan syarikat tempatan.

Antaranya bidang robotik, China mengkhususkan pada tahun 2020, industri robot tempatannya sudah menguasai 50% pasaran tempatan dan pada 2025, robotnya sudah boleh menangani robot yang dihasilkan oleh Amerika Syarikat dan Jerman.

Dalam bidang telefon pintar, China mewajibkan semua telefon pintar menggunakan 40% cip tempatan pada 2025 untuk memacu perkembangan industri rekacipta IC tempatan dan mengurangkan import cip dari negara pesaing, terutama Amerika Syarikat.

Dalam bidang automotif dan penerbangan, China juga meletakkan sasaran cip sensor tempatan akan menguasai 60% pasaran tempatan dan juga menghasilkan enjin kapal terbang sendiri yang pertama.

Adakah cip IC yang dihasilkan China hari ini lebih baik daripada cip yang dihasilkan oleh Amerika Syarikat dan Jerman yang menguasai industri teknologi automotif?

Tidak. Tetapi dengan sokongan kerajaan yang mewujudkan pasaran tempatan untuk cip IC tempatan, mereka yang terlibat akan berlumba-lumba mengimport teknologi dan ilmu rekacipta cip IC dari luar untuk dihasilkan secara tempatan.

Diberi masa yang cukup, cip IC yang dihasilkan di China pasti boleh menggantikan cip IC yang dihasilkan di Barat dan menyaingi mereka di pasaran dunia dengan testimoni kehebatan cip IC itu berfungsi di pasaran tempatan.

Pendek kata, China tahu bahawa tanpa kemajuan dalam IC Design, negara tidak mungkin menangani negara Barat dalam bidang teknologi tinggi seperti angkasa lepas, automotif, radio frekuensi, teknologi hijau, teknologi laut dan sebagainya. Mereka akan terus menjadi hamba teknologi Barat. Justeru, China bergerak agresif ke arah menguasai teknologi tinggi melalui IC Design.

Tun,

Beberapa tahun lalu, kerajaan Barisan Nasional pernah mensasarkan untuk mewujudkan 50 syarikat IC Design. Idea itu bukan sahaja tidak berobjektif, malah tidak kena cara perlaksanaannya. Apakah gunanya 50 syarikat IC Design, tetapi tiada pasaran tempatan untuk menampungnya?

Sasaran itu tidak disokong oleh polisi kerajaan yang boleh membantu menyuburkan ekosistem untuk syarikat IC Design yang ada berkembang dan tumbuh seperti cendawan.

Tapi sekarang Tun boleh membantu dengan memperkenalkan beberapa polisi baru kerajaan. Berikut ialah beberapa cadangan yang boleh diketengahkan sebagai permulaan bagi menyediakan tapak yang subur untuk industri IC Design berkembang secara organik:

1. Kesemua barangan peranti sekuriti elektronik konsumer buatan tempatan untuk kegunaan kediaman mesti mengunakan 20% cip IC buatan tempatan menjelang 2025 dengan syarat cip tempatan mesti mencapai 20% kos lebih rendah berbanding cip IC yang sudah ada di pasaran.

2. Kesemua bangunan kerajaan baru dan penggantian peralatan IoT lama mesti menggunakan cip IoT buatan tempatan yang melibatkan teknologi hijau seperti sensor suhu pili air, sensor lampu automatik dan sebagainya dengan syarat cip tempatan mesti mencapai 20% kos lebih rendah berbanding cip IC yang sudah ada di pasaran.

3. Semua kereta yang dipasang di sini mesti menggunakan 20% peranti elektronik tempatan dalam tempoh 10 tahun akan datang.

4. Semua peranti elektronik perubatan tempatan perlu menggunakan 20% cip tempatan menjelang 2028.

5. Mewajibkan projek nasional kereta ketiga menggunakan 30% peralatan elektronik tempatan sepenuhnya dan mensasarkan negara dapat menghasilkan enjin kereta pertama tempatan dalam 15 tahun akan datang.

6. Mewajibkan 100% penggunaan cip IC tempatan untuk “smartchip” kegunaan rakyat seperti kad pengenalan, pasport, kad TouchNGo dan sebagainya dalam 5 tahun akan datang.

7. Mewajibkan universiti tempatan menaiktaraf silibus elektronik dan aktiviti IC Design serta mengalakkan kerjasama dengan syarikat tempatan melalui skim pelepasan cukai ke atas keuntungan yang dijana elalui penjualan cip IC yang dihasilkan bersama.

8. Mewajibkan peralatan elektronik pertahanan menggunakan 15% peralatan pertahanan buatan tempatan dalam 10 tahun akan datang.

9. Semua pembinaan infrastruktur komunikasi negara mesti menggunakan 20% peranti elektronik tempatan dalam 8 tahun akan tahun.

Cadangan polisi yang diketengahkan ini tidak memerlukan pelaburan yang banyak daripada pihak kerajaan, malah ia dapat menjimatkan duit kerajaan dan menambahkan pendapatan dalam jangka masa panjang.

Polisi ini akan mewujudkan permintaan terhadap cip IC buatan tempatan yang lebih murah dan setaraf kualitinya dengan cip buatan asing.

Tun,

Janganlah kita berakhir pada “value chain” terendah dalam industri berteknologi tinggi ini sebagai “tukang pasang” seperti pembuatan kereta nasional pertama satu ketika dulu. Kita gagal menguasai inti sebenar kemajuan, iaitu ilmu rekacipta.

Ya, kita sudah terlambat, tetapi kita masih sempat. Vietnam sudahpun mengorak langkah ke arah menguasai teknologi tinggi dengan menceburi bidang IC Design secara agresif.

“We have to move up on the value chain”. Nilai sebenar teknologi tinggi ialah dalam IC Design dan kerajaan perlu bertindak cepat untuk menyuburkan ekosistem yang ada. Ekosistem sudah ada, cuma polisi untuk menyuburkannya tiada. Inilah mesej sebenar surat ini.

Langkah pertama ke arah ini ialah mewujudkan beberapa polisi untuk menyuburkan ekosistem dengan mewujudkan pasaran tempatan agar syarikat IC Design tempatan mempunyai tempat dan permintaan untuk cip mereka diuji, diinovasi serta diaplikasikan secara meluas supaya dapat menyaingi cip IC yang berada di pasaran.

Tun,

Sampai bila kita mahu menjadi hamba teknologi Barat, dan dalam 5 tahun akan datang, China? Diharap dengan inisiatif ini, negara akan dapat menghasilkan jenama sendiri seperti Samsung, Xiao Mi, Apple dan sebagainya dalam 10 ke 20 tahun akan datang.

Maaf jika ada tersilap kata. Semoga Tun sihat walafiat untuk terus memimpin negara.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.