Negeri benci falsafah

Saya sedang duduk minum di gerai Kak Mon di tebing Sungai Ramal apabila Ona datang bersama-sama Tunku. Saya sudah memesankan minuman untuk Ona dan Tunku juga.

Ona memberi isyarat agar Tunku bersuara.

“Beberapa hari lalu saya terbaca perihal penyebaran fahaman ‘liberalisme dan pluralisme’ yang akan dilihat sebagai satu jenayah pemikiran yang boleh diambil tindakan berdasarkan perundangan syariah dan sivil.”

Saya menghela nafas. Saya menyeluruhi wajah Tunku. Cermin mata kusam itu melorot ke hujung batang hidung lalu tersangkut. Saya berasa kasihan dengan Tunku. Bagaimana saya dapat memujuk dan menjelaskan kepadanya?

Saya ingin memberitahu kepada Tunku Abdul Rahman, betapa Malaysia sedang menggelungsur ke lubang dalam. Tetapi mulut saya hanya terpancut kata-kata, “Hari ini, 15 November adalah Hari Falsafah Sedunia.”

Ona kelihatan tidak tertarik, “Meraikan apa jika begitu? Kita sedang diam di negeri benci falsafah.”

Tunku bersuara, “Apa yang dibenci kepada falsafah dan amalan liberalisme? Ia bahkan dinyatakan dalam Rukun Negara!”

Kelihatannya beliau tidak terdorong untuk mencicip teh panas.

Saya tahu, yang menjadikan fahaman liberalisme itu dibenci adalah kononnya – jika liberal itu kuih – intinya adalah tuntutan kesamarataan gender, perkahwinan sesama jantina, menolak autoriti ulama, kemudiannya akur dengan wanita sebagai imam solat dan wali perkahwinan, termasuk menghalalkan perkahwinan orang Islam dengan penganut agama lain. Lain, yang membuatkan ramai melenting; tuntutan kebebasan beragama dan menukar agama sesuka hati.

Konon!

Ona bagaikan boleh membaca apa yang ada dalam kepala saya, separuh menjerkah: “Orang fikir liberalisme itu adalah golongan penyahut gaya hidup Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender. Ada yang memomok terus bahawa liberalisme mempromosi hak kebebasan individu, kebebasan mutlak, mencabar undang-undang syariah, selain mempertikaikan peraturan Islam, mahkamah syariah dan pihak berkuasa agama secara terbuka”.

Di luar gerai, hujan November tiba-tiba menabur dan melecak lopak di atas jalan.

“Tahukah apa masalah dengan Malaysia hari ini?” soal Tunku.

“Ekstrim. Ghuluw.” Balas saya dengan segera.

Tunku dengan wajah sedih, dan mata renta yang berair meneruskan, “Dalam sejarah Islam, ada banyak ghuluw ini. Satu yang saya ingat sangat adalah kisah Dzul Khuwaisirah – sahabat Nabi – yang mengherdik Rasulullah kerana tidak puas hati dengan cara baginda membahagikan harta rampasan perang Hunain.

“Nabi telah memberikan 100 ekor unta kepada Aqra’ bin Habis dan Uyainah bin Harits. Selain itu Rasulullah juga menyerahkan harta rampasan kepada beberapa orang dari tokoh Quraisy dan ketua suku Arab. Peruntukan mereka itu lebih banyak berbanding dari yang lain.

“Dzul Khuwaisirah berasa tidak puas hati dan dengan kurang ajar telah menyeranah Nabi: ‘Demi Allah ini adalah pembahagian yang tidak adil dan tidak mengharapkan wajah Allah.’

“Rasulullah membalas tuduhan Dzul Khuwaisirah lantas bersabda: ‘Siapakah yang akan berbuat adil jika Allah dan rasul-Nya tidak berbuat adil? Semoga Allah merahmati Musa. Dia disakiti lebih daripada ini, namun dia bersabar. (Hadith riwayat Bukhari/Muslim).’

Rasulullah kemudian menerangkan bahawa akan muncul daripada keturunan orang ini kaum pelampau agama. Ternyata daripada keturunan Dzul Khuwaisirah ini lahirnya golongan Khawarij. Dia sahabat Nabi.

Perangai Khawarij hari ini terlihat pada gerakan Islam tertentu sepertinya Salafi Jihadi yang memilih pendekatan melampau. Rencahnya, selain ekstrim atau melebih-lebih adalah, ketaksuban terhadap fikiran atau jemaah sendiri.

Ia dilakukan dengan penuh fanatik lantas tidak mempedulikan pandangan orang lain.

Tunku bersuara, “Di zaman saya, yang ghuluw dan ekstrim ini adalah fahaman komunis. Dan hanya ada satu cara sahaja kita mengatasinya. Saya memberitahu Setiausaha Koloni Inggeris, Lennox Boyd yang melawat Kuala Lumpur pada 1955, bahawa yang paling penting ialah memenangi minda dan hati orang ramai, untuk memuaskan aspirasi yang mana dapat menjauhkan mereka dari komunis, yang mana mereka memperalatkan kebebasan dan kemerdekaan sebagai iklan jual.”

Saya sungguh memahami maksud Tunku tersebut. Untuk melawan komunis – falsafah dan ideologi ekstrem zaman itu – Tunku bersungguh-sungguh menjual demokrasi.

Dalam makalahnya bertajuk “Malaysia: Key Area in Southeast Asia”, di Foreign Affairs terbitan 1 Julai 1965, Tunku menegaskan perlembagaan negara adalah benteng.

Saya sendiri yakin Tunku, melihat perlembagaan telah diberikan cukup ruang untuk mematahkan kebangkitan seperti ekstremisme agama ala Salafi Jihadi.

Tunku menulis begini dalam hal agama:

“The reasons for our success can be found in the Malaysian Constitution, in which all the fundamental freedoms-such as equality, freedom of speech and freedom of association-are protected. One typical section of the Constitution reads, ‘All persons are equal before the law and are entitled to the equal protection of the law.’ Another states, ‘There shall be no discrimination against citizens on the grounds only of religion, race, descent or place of birth in any law.’

“Although Islam is the official religion of Malaysia, every Malaysian has the right to practice the creed of his own choice.”

Jelas, dalam artikel tulisan Tunku itu, Malaysia menolak menjadi sebuah negeri yang ditadbir dengan rantai besi dan berkuku tajam menurut fahaman agama ketat dan sempit.

Umat harus bebas memilih tanpa mengalami diskriminasi.

Sementara dalam hal keutamaan atau kelebihan sesuatu kaum sahaja, Tunku melihat ia sebagai satu yang sementara.

Malaysia harus kerap menilai semula posisi melibatkan kaum lain. Ini kerana kita semua tidak mahu, dan jangan sampai jatuh ke dalam jurang ghuluw atau ekstrem.

Tunku menulis mengenai kedudukan orang Melayu dan bangsa lainnya begini:

“An American magazine recently stated that Malaysia was a democracy in all respects save one, meaning the ‘special privileges for the Malays’.

“I must point out that although the Constitution provides for a special position for the indigenous peoples at present, it also provides for periodic review of the position when necessary. Ultimately the time will come when it will be possible by legislative action to amend the Constitution because this special position will no longer be needed.”

Saya memang ingat dalam artikel itu Tunku dengan nada tegas mengikrarkan hak asasi manusia adalah sesuatu yang dipandang tinggi oleh Malaysia dalam tahun 1965:

“We feel at one with them (Afro-Asia) in campaigning against colonialism, apartheid, disease, hunger and human misery. As far as apartheid is concerned, I have actively condemned this evil violation of human rights.”

Hari ini golongan Salafi Jihadi sangat berbahaya sekali.

Malaysia terkenal sekali sebagai kilang menghasilkan manusia-manusia jahat. Turutan dan siri penangkapan bakal teroris di Perlis, juga saintis dan pendidik kita yang menjadi dalang pembunuhan di Bali dan Marawi, melebar hingga ke Syria; sudah cukup mengkagetkan orang luar.

Kenapa kita tidak ikut kaget?

“Semua yang diinginkan dan diperjuangkan Tunku itu adalah liberalisme sebetulnya.” Ona bersuara pedih.

Fahaman dan falsafah liberalisme dan pluralisme bukan mengenai gay dan lesbian, atau anti Melayu. Golongan ghuluw Salafi Jihadi sedang mengenakan topeng Melayu-Islam untuk memastikan agenda mereka tegak. Justeru, ia menepis dengan cepat liberalisme. Ia segera memesongkan orang yang tidak tahu dan tidak bertanya kepada yang tahu.

Padahal liberalisme adalah mengenai kuasa rakyat yang dimerdekakan dari kongkongan politik, dan agama yang berlebihan.

Ia, liberalisme, diperlukan untuk melawan komunis dalam tahun 1965, ia kekal diperlukan dalam tahun 2018 untuk melawan penjahat atas nama agama.

Tetapi hari ini, di Hari Falsafah Sedunia seperti yang diraikan di peringkat antarabangsa, kita malangnya melakukan suatu yang ghuluw dan ekstrem.

Di negeri benci dan anti-falsafah sudah diisytiharkan fahaman “liberalisme dan pluralisme” kononnya adalah satu jenayah pemikiran yang boleh dikenakan tindakan berdasarkan perundangan syariah dan sivil.

Hujan berhenti mendadak. Hanya ada renyai halus turun dari langit.

Ona menyudahkan minumannya dan memberitahu saya: “Aku harus hantar Tunku pulang. Dia nampaknya tidak diperlukan lagi di sini.”