Teknologi tinggi: Pilihlah jalan yang sukar, Tun

Salam Tun,

Baru-baru ini, negara dikejutkan oleh laporan sebuah akhbar tempatan mengenai kelemahan sistem imigresen Electronic Travel Registration & Informatian (eNTRI) yang meluluskan permohonan visa meskipun sekeping gambar beruk digunakan semasa permohonan dibuat.

eNTRI adalah satu sistem saringan atau tapisan awal untuk rakyat China dan India memasuki Malaysia tanpa visa bagi tempoh 15 hari. Sistem ini tidak dikendalikan oleh Kementerian Dalam Negeri, sebaliknya hak esklusif dan akses penuh diamanahkan kepada Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) untuk mengurusnya.

Insiden ini menunjukkan betapa lekanya kerajaan terhadap sistem teknologi tinggi, hatta yang digunakan dalam sistem sekuriti negara seperti Imigresen.

Kelekaan kerajaan terhadap sistem teknologi tinggi selama ini juga terserlah apabila baru-baru ini, Tun meminta pertolongan Rusia bagi menyelenggara pesawat yang dibeli daripada Moscow.

Tun dilaporkan berkata: “saya berpendapat kami perlu mempelajari lebih banyak tentang cara untuk menyelenggara dan membaiki pesawat berkenaan”.

Alangkah baiknya kalau pemikiran Tun sebegini diterap dalam kerajaan 20 atau 30 tahun yang lalu. Hari ini mungkin Malaysia sudahpun boleh membina jet pesawat perang sendiri.

Tun,

Sebenarnya itulah sikap yang harus ada pada kerajaan mulai hari ini berhubung sistem berteknologi tinggi, terutamanya dalam bidang pertahanan, sekuriti negara, perubatan, internet of things (IoT) dan komunikasi.

Kita harus belajar secepat mungkin cara menyelenggara, membuat “reverse engineering” dan menggalakkan pembinaan semula segala peralatan berteknologi tinggi yang diimport secara tempatan.

Contohnya, apakah ada sesiapa yang menyemak peranti elektronik yang digunakan untuk membina sistem eNTRI dan peralatan pertahanan yang diimport? Negara manakah penciptanya? Siapakah pembekal cip IC di dalamnya? Apakah cip IC yang digunakan selamat digunakan tanpa sebarang unsur pengintipan?

Apakah teknologi ini telah diuji sepenuhnya – contohnya dari aspek tiadanya jalan belakang yang dibina di dalam sistem ini untuk menghantar maklumat sulit kembali kepada pembekalnya tanpa diketahui pengguna – terutamanya peralatan pertahanan?

Apakah pihak kerajaan telah mengambil inisiatif bersama-sama syarikat berteknologi tinggi tempatan untuk membuat “reverse engineering” secara rahsia terhadap teknologi yang diimport untuk memastikan kepentingan kerajaan dan keselamatan negara tidak terjejas?

Apakah ada usaha untuk membina teknologi yang dibeli secara tempatan agar negara dapat menguasai teknologi dan ilmu baru serta penjimatan dapat dicapai melalui pengurangan import?

Kerajaan perlu membuang sikap suka mengambil jalan mudah dalam bidang teknologi tinggi, terutamanya sikap bergantung sepenuhnya kepada pembekal untuk “menjaga” dan “menggunakan” peralatan tanpa sebarang inisiatif untuk menguasai teknologi tersebut, meskipun ia dibeli dengan berjuta-juta ringgit duit rakyat Malaysia.

Berapa banyak lagikah projek berteknologi tinggi seperti eNTRI dan pembelian peralatan pertahanan seperti Sukhoi – dengan kerajaan bergantung sepenuhnya pada pihak ketiga untuk pemasangan, pengendalian dan pengoperasian sistem tersebut tanpa mengambil sebarang inisiatif untuk menguasai dan menggalakkan teknologi itu dibina secara tempatan?

Sudah pasti tidak terkira banyaknya.

Sikap negatif inilah yang merencatkan langkah negara ke arah menjadi negara maju dan membantutkan perubahan daripada negara yang berasaskan “manufacturing” ke negara yang berasaskan berteknologi tinggi.

Tun, sebenarnya sikap negatif ini sama bahayanya dengan amalan rasuah yang berleluasa.

Oleh sebab itu, sikap negatif ini perlu dikekang terlebih dahulu. Ini bermula daripada sikap dan polisi kerajaan terhadap teknologi tinggi. Apakah kerajaan mahu Malaysia kekal menjadi pengguna dan hamba teknologi orang lain atau kita mahu menjadi pembina teknologi sendiri?

Jika sikap ini terus berleluasa, Tun boleh lupakan sahaja projek kereta nasional ketiga.

Dengan meletakkan polisi kerajaan yang baik untuk menyuburkan industri teknologi tinggi, mikroelektronik dan IC Design sebelum Tun bersara, sekurang-kurangnya Tun telah meletakkan kompas dan kemudahan yang cukup untuk negara belayar ke arah yang betul untuk 20 ke 30 tahun akan datang dan memastikan nasib Malaysia tidak akan menjadi seperti nasib Cyberjaya hari ini.

Konsep “beli dan guna” teknologi sememangnya jauh lebih mudah daripada “belajar, tiru, kaji, bina dan jual” teknologi – namun Tun, jalan sukar itulah jalan keluar untuk negara dan generasi akan datang selepas segala sumber asli negara habis digunakan.

Ya, ia memerlukan duit, jalannya berliku dan mengambil masa – tapi yakinlah, ia akan berbaloi akhirnya untuk Malaysia.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.