Dekan menari, siswa bertepuk tangan

Ada sebuah novel saya, judulnya Cinta Hari-Hari Rusuhan yang terbit pada tahun 2000. Jika ada yang pernah membacanya, mereka akan dibawa ke satu era penuh gelora yang pernah menimpa siswa universiti kita satu masa dahulu.

Sebetulnya, jika ditolak judul novel ini – cinta – karya saya tersebut adalah mengenai “political behaviour” siswa Universiti Malaya (UM) dalam tahun 1970an.

Seperti yang kita tahu, satu masa lalu, siswa UM pernah menempatkan diri mereka sebagai kuasa pendesak yang besar dan berkesan sepanjang era 1960an iaitu menerusi Kelab Sosialis UM.

Di antara 1966 dan 1967, gerakan mahasiswa pernah memberi sumbangan besar kepada episod politik tanah air. Salah satu tanda demokrasi yang besar tersebut berlaku secara bersejarah pada 27 Mei 1966, iaitu apabila sebuah sudut pidato diperkenalkan di UM. Ia serta-merta menjadi padang tempat bertemu sesama siswa segenerasi dalam kalangan pelajar UM pada waktu itu. Lebih dari itu ia menjadi medan menyuarakan rasa tidak puas hati masyarakat siswa mengenai masalah negara pada ketika itu.

Sudut pidato tersebut menampilkan political behaviour mahasiswa dalam usaha menempatkan suara kaum tertindas ketika itu ke tengah wacana politik.

Kita dapat membayangkan bagaimana siswa Melayu di UM pada 1960an terdiri dari anak muda yang datang dari pedalaman Malaysia. Tatkala itu resah utama adalah fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, perbezaan kelas yang besar antara masyarakat bandar dan kampung, juga bantahan terhadap polisi-polisi pentadbiran Tunku Abdul Rahman.

Beberapa tahun mendatang isu kemiskinan di kawasan pedalaman menjadi lebih perit. Tambahan pula negara baru dikejutkan dengan rusuhan kaum berdarah.

Pada 1974, tunjuk perasaan yang besar, perhimpunan berulang perhimpunan dengan jumlah kehadiran yang melongokan; demi mendesak penyelesaian bagi masalah tani mendapat tempat dalam dada siswa. Antara demonstrasi yang paling berbekas adalah mengenai nasib kaum tani di Tasik Utara dan Baling.

Malangnya pihak berkuasa berasakan isu tersebut terlalu disensasikan dan melakukan penangkapan besar-besaran. Antara “crackdown” yang paling besar terhadap gerakan mahasiswa terjadi di UM, yakni lebih 1,000 pelajar dari pelbagai universiti turut ditahan.

Novel saya Cinta Hari-hari Rusuhan yang terbit pada tahun 2000 bertujuan untuk melihat semula era 1970an tersebut menerusi satu naratif yang dekat dengan generasi hari ini.

Saya menterjemahkan gempar dan gempa dekad tersebut menerusi kisah cinta Basri dan Valizah yang penuh getir dan payah. Mereka terpisah oleh gelora politik yang mengakibatkan Basri terhumban ke London, sementara Valizah mengalami kemurungan. Novel ini sudah diterjemahkan ke bahasa Indonesia, dan akan diterbitkan di negeri seberang tahun hadapan.

Ketika saya mengarang Cinta Hari-hari Rusuhan niat saya tentulah untuk membawa siswa tahun 2000 agar kembali melihat diri mereka. Bahawa mereka telah dicekam sehingga nyaris tidak bernyawa.

Gelombang besar siswa 1974 itu – tahun saya dilahirkan – bagaimanapun dilihat sebagai satu kecacatan oleh kerajaan Barisan Nasional. Meskipun pihak pemerintah telah menggubal undang-undang untuk mengehadkan aktiviti siswa dalam tahun 1971, kelihatannya siswa masih berani dan suara mereka masih lantang.

Oleh sebab itulah kerajaan Barisan Nasional tatkala itu bertindak lebih keras dan mengetatkan lagi bahagian lompong undang-undang tersebut dengan pindaan 1975 (iaitu selepas peristiwa di Tasik Utara dan Baling).

Hasrat kerajaan tidak lain tidak bukan adalah untuk “memandulkan” gerakan mahasiswa dengan menganjurkan penubuhan sebuah entiti dalam kampus yang dinamakan Badan Hal Ehwal Pelajar.

Peranan badan tersebut adalah untuk memerhati, mengawal dan mengurus selia pelajar. Pelajar-pelajar serta merta terhempuk dengan undang-undang draconian yang dikenali sebagai Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

Menurut Wan Mohd Mahyiddin dalam “Kepimpinan: Sorotan Pelbagai Aspek Bagi Meningkatkan Kualiti dan Pencapaian” (1996), akta ini bertujuan untuk menyekat aktivisme mahasiswa: “Pengenalan Akta Universiti dan Kolej Universiti pada awal tahun 1971 adalah langkah yang bertujuan meredakan kegiatan-kegiatan politik seperti ini di kalangan pelajar.”

AUKU yang diperkenalkan pada 17 Mac 1971 itu mula dikuatkuasakan pada 30 April 1971 untuk meredakan siswa. Kekangan tambahan pada 1975 dengan memasukkan klausa-klausa yang mengehad dan membataskan hak-hak asasi siswa di dalam AUKU mengakibatkan gerakan mahasiswa serta-merta dibonsaikan.

Sebagai contoh, klausa 15 menjelaskan pelajar tidak dibenarkan untuk menjadi “ahli mana-mana persatuan, pertubuhan, badan atau kumpulan orang yang menyalahi undang-undang, sama ada di dalam atau di luar Malaysia; menjadi ahli mana-mana persatuan, pertubuhan, badan atau kumpulan orang, yang bukannya suatu parti politik, yang ditetapkan oleh Lembaga sebagai tidak sesuai demi kepentingan dan kesentosaan pelajar atau Universiti itu; atau terlibat dalam aktiviti parti politik di dalam kampus”.

Kesannya, selepas 1975, mana-mana pertubuhan siswa yang berhasrat menganjurkan baca puisi atau mengutip wang derma untuk mangsa bencana alam perlu mendapatkan keizinan Badan Hal Ehwal Pelajar ini terlebih dahulu. Badan ini diletakkan di bawah Timbalan Naib Canselor menjadikan siswa serta-merta diketiakkan di bawah satu jurus masam.

Beberapa insiden siswa cuba menguji AUKU ini berpenghujung dengan mereka dipecat atau siswa itu menjadi letih. Sejak dari itu, gerakan mahasiswa, termasuk yang di UM menjadi tidak bermaya dan teramat lesu.

Hari ini siswa yang ingin menganjurkan sebuah wacana dan berhimpun, yang sepatutnya merupakan hak mereka sebagai manusia, dan lebih wajar lagi sebagai entiti dunia akademik terbungkam. Mereka memerlukan surat itu dan ini dengan pelbagai alasan. Seolah-olah siswa tidak mampu berfikir sendiri di dalam kampus, sedangkan di dalam kampus mereka memang tersedia menyertai program dan acara anjuran badan bukan kerajaan ataupun parti politik.

Sebaik mereka berkumpul, sebaik itu jugalah pengawal keselamatan datang menekuni wajah mereka. Siswa akhirnya menjadi takut serba-serbi.

Siswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagaimanapun pernah menyumbang kepada gerakan untuk memerdekakan siswa dari cengakaman AUKU. Satu ucapan terima kasih harus dihadirkan buat empat orang siswa UKM yang menanam benih demokrasi di kampus.

Semasa pilihan raya kecil Hulu Selangor pada 2010, empat pelajar Sains Politik UKM telah berada di kawasan parlimen tersebut untuk menyudahkan tugasan subjek “Analisis Pilihan Raya” (Election Analysis). Mereka bagaimanapun telah ditahan pihak berkuasa kerana berada di lokasi kempen, atau “attending political scene”. Keempat-empat pelajar ini mempertahankan diri bahawa adalah hak mereka untuk berada di situ bagi menyelesaikan kerja lapangan mereka secara akademik. Media kemudian menggelar mereka “UKM4”.

Azlin, Ismail, King Chai dan Hilman (sudah menjadi Yang Berhormat pasca PRU14) kemudian menolak untuk dibicarakan oleh jawatankuasa disiplin universiti kerana menyifatkan ia sebagai tidak adil. Mereka malah mencabar AUKU di mahkamah.

Hilman, yang tampak sebagai ketua kepada kumpulan “UKM4” ini telah memulai kempen kebebasan untuk siswa. Hasil perjuangan mereka, akta ini berjaya diperlihatkan sebagai menindas, melumpuhkan anak muda tempatan, memotong potensi dan bakat mereka sehingga menyukarkan mereka menyuarakan hasrat dan sensitiviti terhadap isu-isu sedia ada.

Perjuangan UKM4 menjadi lebih manis apabila Mahkamah Rayuan memutuskan AUKU sebagai tidak menurut perlembagaan dan mencabul hak asasi manusia: “unconstitutional and contradict basic human rights”.

Mahkamah memutuskan bahawa seksyen 15(5)(a) akta tersebut sebagai tidak mematuhi perlembagaan dan mencabul hak bersuara. Hakim Datuk Hishamuddin Yunus menyatakan pelajar universiti seharusnya diberi ruang dan disemai sebagai pemikir, reformis dan bukannya robot.

Akan tetapi keputusan mahkamah yang sangat signifikan itu terabai. Siswa sudah pun mengalami proses menjadi tuli dan buta. Jadi apa kalau AUKU itu satu pencabulan hak asasi?

Hari ini, meskipun kerajaan telah berubah dan Menteri Pendidikan Maszlee Malik telah mengulangi komitmen kerajaan untuk memansuhkan AUKU selewat-lewatnya dalam tahun 2020, siswa kita masih terbenam gerun dengan permainan akta ini.

Entiti atau badan yang diwujudkan di dalam universiti ekoran akta tersebut kekal menjadi saka yang menerkam tengkuk siswa. Mereka masih memerlukan surat dan tandatangan untuk melakukan sesuatu yang boleh pun dilakukan di luar.

Universiti terkontot menjadi kilang, malah penjara sekaligus. Meskipun UKM4 telah membuka jalan, kekal gerakan siswa kita tidak dapat menjelmakan kembali kegemilangan political behaviour mereka, seperti tercermin dalam Cinta Hari-Hari Rusuhan. Masya Allah.

Bahkan novel ini nanti akan dibaca di Indonesia berbanding di Malaysia.

Tidak ada apa yang menarik terbit dari universiti sejak itu, yakni pasca UKM4, bahkan universiti menjadi saksi aksi gelek dekan, dan timbalan naib canselor yang menari di hadapan pelajar baharu.

Astaghfirullah, siswa minggu orientasi ikut sama bersorak-sorai dan bertepuk menonton dansa mahaguru mereka. Universiti menjadi medan halai-balai dan pentas ronggeng kenchana.

Ternyata AUKU telah berjaya membunuh beberapa generasi pelajar. Sedangkan kita – konon – berhasrat untuk mengeluarkan jenama kereta nasional ketiga, demi memburu taraf negara maju.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.