Tak iktiraf ICERD patut dijadikan keputusan Parlimen, elak U-turn

Selepas kenyataan Jabatan Perdana Menteri bahawa kerajaan tidak akan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), timbul pula 2 soalan baru.

Apakah ini keputusan mutlak Malaysia yang tidak boleh diubah pada masa hadapan atau ia bersifat seperti manifesto Pakatan Harapan (PH) yang boleh U-turn bila-bila masa?

Apakah keputusan ini akan dibawa ke Parlimen sebagaimana Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy diberi kebebasan membangkitkan isu berpolemik ini di Parlimen agar satu keputusan muktamad dapat dicapai di Parlimen?

Bagaimana kontroversi ICERD boleh tercetus? Kerajaan PH perlu terlebih dahulu menilai kenyataan-kenyataan bercanggah dan mengelirukan daripada setiap parti komponennya, sebelum menuding jari ke arah pembangkang dan rakyat yang bangkit menolak ICERD.

Isu ICERD mula mendapat perhatian rakyat apabila Ahli Parlimen Batu Kawan daripada DAP, P Kasthuriraani memberi 48 jam kepada laman Isma Web untuk memohon maaf dan menarik balik artikel mengulas kenyataannya tentang ratifikasi deklarasi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai diskriminasi agama.

Isma Web menyiarkan artikel bertajuk “Ahli Parlimen DAP desak hak kebebasan murtad, ajaran sesat” setelah Kasthuriraani menggesa Malaysia meratifikasi Deklarasi Penghapusan Semua Bentuk Intoleransi dan Diskriminasi Berdasarkan Agama atau Kepercayaan PBB bagi menjunjung prinsip hak asasi manusia di Parlimen, pada 15 Oktober lalu.

Kemudian, isu ICERD mula mendapat tempat di media, susulan kenyataan Waytha di Parlimen pada 23 Oktober yang berkata, ratifikasi ICERD boleh dilakukan dengan pengecualian terhadap peruntukan tertentu dalam perjanjian antarabangsa itu.

Isu ICERD mula menjadi sensasi dan perbualan media sosial, apabila ICERD dikaitkan dengan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang memberi keistimewaan kepada Bumiputera.

Perkara 153 dikatakan bercanggah Perkara 2.2 ICERD kerana ia disifatkan langkah untuk membangunkan atau melindungi kumpulan kaum tertentu.

Oleh itu, perkara ini harus dihentikan selepas tempoh tertentu – dan ini melibatkan penukaran Perlembagaan yang boleh menjejaskan keistimewaan Bumiputera, kedudukan Bahasa Melayu dan Islam akan tercabar, jika ICERD dimeterai.

Selepas itu, kerajaan memulakan proses untuk cuba menerangkan ICERD. Ia bermula dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menggesa pihak yang tidak memahami ICERD agar bertemunya untuk mendapatkan penjelasan.

Beliau memberi jaminan ratifikasi ICERD tidak akan memberi kesan kepada undang-undang dan apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Namun, apa yang mengelirukan rakyat ialah mengapa PPBM dan Amanah yang dianggotai Mujahid sendiri menolak ICERD seperti diumumkan Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir pada 9 November dan Timbalan Presiden Amanah, Datuk Salahuddin Ayub pada 13 November.

Susulan itu pula, keputusan menolak ICERD juga diumumkan kerajaan negeri pimpinan PH seperti Kedah dan Perak.

Meskipun begitu, desakan untuk kerajaan menerima ICERD terus bergema di Parlimen, meskipun PAS dan Umno mengumumkan himpunan gergasi untuk membantah ICERD akan diadakan di Dataran Merdeka pada 8 Disember nanti.

Kelewatan kerajaan PH membuat pendirian jelas mengenai ICERD antara punca isu ICERD menjadi isu panas.

Rekod kerajaan PH terhadap janji-janjinya dan juga kenyataan menteri yang seolah-olah menyindir mereka yang membantah ICERD, meskipun setelah Jabatan Perdana Menteri membuat pendirian jelas mengenai ICERD antara faktor menyebabkan rakyat sangsi dengan keputusan itu.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata tiada rakyat Malaysia mahu ratifikasi ICERD sekiranya ia berisiko mencetuskan satu lagi peristiwa 13 Mei.

Hasrat ini juga sejajar hasrat mereka yang membantah ICERD, ketika para menteri PH sibuk mencanangkan, kerana mereka juga tahu isu ICERD ini terlalu sensitif, jika kerajaan memilih untuk meratifikasi ICERD.

Memandangkan ICERD sebegitu bahaya terhadap keharmonian negara, wajarlah kerajaan PH mengambil langkah menutup segala ruang untuk ICERD dibangkitkan di Kabinet mahupun Parlimen dengan memaktubkannya sebagai keputusan Parlimen agar perkara ini tidak boleh dibangkitkan lagi, meskipun berlaku pertukaran kuasa ataupun rombakan Kabinet pada masa hadapan.

Bukankah ini akan lebih berkesan di dalam menyejukkan suhu politik negara?

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.