Jangan ulangi kesilapan terhadap Mimos

Berikut ialah jawapan Parlimen kepada soalan ke-26 yang diajukan Ahli Parlimen Kubang Kerian Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man kepada Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (Mestecc) bertanyakan usaha kementerian meningkatkan dan membina teknologi kecerdasan buatan (AI) menggunakan syarikat-syarikat rekabentuk litar bersepadu (IC) tempatan.

“Selaras dengan mandat yang diberikan kerajaan kepada Mestecc selaku peneraju agenda sains, teknologi dan inovasi negara, Mimos Berhad iaitu agensi di bawah Mestecc berperanan sebagai pelaksana penyelidikan gunaan dan pemindahan teknologi dalam teknologi maklumat dan komunikasi dan mikroelektronik. Mimos membantu industri dalam 2 bidang tumpuan iaitu membangunkan industri rekabentuk ‘Integrated Circuit’ tempatan dan bidang ‘Artificial Intelligence’.

Namun begitu, hendak dimaklumkan agensi Mimos kini dalam proses peralihan kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti). Tempoh peralihan ini akan berlangsung sehingga 30 November 2018.

Pada masa ini, banyak teknologi berlandaskan algoritma perisian dan telah mencapai tahap kematangan tertentu. Pembangunan teknologi di masa depan memerlukan pengiraan dan pemprosesan yang lebih cepat bagi membolehkan ia diaplikasikan secara lebih meluas. Sehubungan itu, terdapat keperluan kepada kebolehan AI berasaskan mikrocip di mana rekaan IC akan meletakkan jutaan transistor dalam cip tunggal iaitu evolusi daripada “Very Large Scale Integration” (VLSI) kepada “Ultra Large Scale of Integration” (ULSI) di masa depan untuk menambah kelajuan serta kepintaran peranti.

Dalam bidang ini, Mimos menerusi kemudahan bersama di Mimos dan pereka-pereka IC, bekerjasama rapat dengan syarikat rekabentuk IC tempatan dalam pembangunan harta intelek (IP) mikrocip AI untuk dikomersialkan melalui syarikat-syarikat fabrikasi global. Penghasilan IP ini memberi sumbangan dalam pembangunan pelbagai sistem oleh syarikat teknologi tempatan dan global seperti Qualcomm, Google, Amazon dan Huawei.

Di samping itu, Mimos turut menyediakan kemudahan, prasarana dan kepakaran kepada syarikat kecil dan sederhana tempatan untuk menyokong dan memudahcara usaha membangunkan sistem pada cip (SoC) yang dioptimumkan untuk pemprosesan AI, seperti dalam bidang pengesanan manusia untuk bandar pintar, kereta berautonomi dan sistem kawalan.”

Tindakan kerajaan meletakkan Mimos di bawah Miti merupakan langkah yang positif. Cuma gambaran yang diberikan Mestecc seolah-olah industri rekabentuk IC tempatan sedang subur berkembang dengan Mimos sebagai pemangkin amat tersasar daripada realiti.

Hakikatnya, industri rekabentuk IC tempatan masih gagal berkembang meskipun Mimos sudah berusia 34 tahun. Mimos dilahirkan pada 1984 di bawah pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamed. Kegagalan ini amat menyilau di Cyberjaya, yang dibayangkan menjadi Lembah Silikon negara, tidak berjaya memangkin penubuhan lebih banyak syarikat rekabentuk IC tempatan sehingga hari ini.

Hari ini, Malaysia hanya mempunyai kurang daripada 10 syarikat rekabentuk IC tempatan yang masih terlibat dengan kerja-kerja merekacipta IC dan IP untuk penghasilan cip bagi syarikat luar negara. Kebanyakan kini bertukar menjadi sekadar pembekal tenaga buruh kepada syarikat multinasional gergasi.

Di mana silapnya?

Antara faktor utama ialah negara tiada mempunyai dasar dan agenda nasional yang jelas untuk industri teknologi tinggi, terutamanya industri rekabentuk IC tempatan. Ini menyebabkan saban tahun, peranan Mimos menjadi kabur dan tersasar daripada misi sebenar sebagai pemangkin industri teknologi tinggi negara, terutamanya di dalam bidang rekabentuk IC.

Meskipun begitu, akhir-akhir ini terdapat satu perkembangan yang sangat positif di Mimos.

Selain tindakan kerajaan meletakkan Mimos di bawah MITI, kini wujud usaha yang lebih serius di belakang takbir oleh Mimos melalui anak syarikat, Mimos Semiconductor (M) Sdn Bhd (MSSB), untuk menggembleng kerjasama antara semua syarikat rekabentuk IC tempatan untuk diletakkan di bawah satu konsortium.

Mengapa kedua-dua langkah ini positif?

Pertama, meletakkan Mimos di bawah Miti akan membuka sempadannya melalui rangkaian Miti kepada syarikat-syarikat produk tempatan dan global yang selama ini tidak dapat dicapainya. Kedua, penubuhan konsortium akan membolehkan Mimos persembahkan kemampuan rekabentuk IC tempatan yang lebih tinggi dan menyakinkan melalui hasil gabungan kemahiran teknikal ahli-ahli syarikat IC tempatan yang menganggotai konsortiumnya.

Namun, kedua-dua langkah positif ini akan berakhir dengan kegagalan sekiranya negara terus ketiadaan mempunyai dasar dan agenda nasional yang jelas untuk industri teknologi tinggi, terutamanya industri rekabentuk IC tempatan.

Hari ini, matlamat utama konsortium ini tidak jelas selain sekadar sesi bertukar pendapat dan berkongsi maklumat.

Apakah ada agenda nasional yang perlu dicapai oleh konsortium ini? Contohnya, apakah konsortium ini akan dipertanggungjawabkan untuk membina teknologi Internet of Things (IoT) bagi pembinaan bandar pintar – contohnya Selangor Smart City dan Malaysia Smart City atau penderia bagi kereta nasional ke-3?

Ataupun konsortium ini akan diarah menguasai teknologi untuk membantu syarikat-syarikat tempatan bersedia ke arah Revolusi Industri 4.0?

Mungkinkah konsortium ini akan diarah untuk memastikan negara dapat menggunakan cip pintar buatan tempatan melalui Silterra untuk semua kad pengenalan, pasport dan kad Touch ‘n Go dalam tempoh 5 tahun akan datang?

Jawapannya tiada.

Peranan Mimos

Oleh itu, peranan Mimos yang utama ialah menyakinkan kerajaan mengenai kemampuan rekabentuk IC konsortium di bawahnya lalu mendapatkan restu kerajaan sebagai pelanggan pertama konsortium itu. Di sinilah Mimos perlu menjadi pemangkin. Mimos tidak harus menjadi pesaing kepada syarikat-syarikat yang terlibat dalam konsortiumnya.

Dengan keyakinan tersebut, contohnya dalam rancangan ke arah mencapai Selangor Smart City dan Malaysia Smart City, maka kerajaan boleh membuat satu dasar dan agenda nasional yang jelas dalam projek bandar pintar.

Antaranya, kerajaan boleh mewajibkan semua pembekal yang dilantik sama ada dari luar negara mahupun dalam negara mesti menggunakan satu cip tempatan yang dihasilkan oleh konsortium di bawah Mimos di dalam mana-mana produk yang bakal digunakannya dalam projek bandar pintar.

Dengan ini, kerajaan akan menjadi pelanggan pertama secara tidak langsung kepada konsortium melalui kontrak-kontrak yang diberikan kepada pihak ke-3 untuk menjadikan bandar pintar satu realiti. Begitulah caranya mewujudkan permintaan dalaman terhadap cip-cip buatan tempatan secara besar-besaran.

Tanpa permintaan dalaman terhadap cip-cip tempatan, nilai tambah yang cuba diberikan Mimos dari sudut menyediakan kemudahan, prasarana dan kepakaran kepada syarikat-syarikat tempatan juga tidak akan berkesan. Ia akan bertukar menjadi beban kepada Mimos dan kerajaan kerana pelaburan untuk menyediakan prasarana tersebut tidak disaingi permintaan untuk menggunakannya.

Bukan itu sahaja, ini juga akan menyebabkan syarikat fabrikasi silikon milik Khazanah iaitu Silterra terjejas. Ini kerana Silterra hanya boleh bergantung hidup dengan sumber pendapatan daripada syarikat-syarikat rekabentuk IC luar negara yang sanggup menggunakan teknologinya kerana permintaan tempatan langsung tidak wujud.

Kerajaan sudah pasti lebih mengetahui kedudukan kewangan Mimos dan Silterra dan jumlah pelaburan yang sudah dilakukan kepada 2 syarikat itu setakat ini untuk terus menampung risiko ini.

Selain itu, jawapan Mestecc bahawa Mimos dan syarikat rekabentuk IC tempatan terlibat dalam pembangunan IP bagi pembangunan pelbagai sistem oleh syarikat teknologi tempatan dan global seperti Qualcomm, Google, Amazon dan Huawei merupakan berita gembira.

Jika maklumat ini benar sebagaimana yang dinyatakan di Parlimen, kementerian disaran menamakan cip-cip atau IP tempatan yang kini sedang digunakan oleh Qualcomm, Google, Amazon dan Huawei dalam sistem mereka. Perkara ini perlu disebarkan untuk pengetahuan ramai kerana ia boleh menaikkan kehebatan konsortium rekabentuk IC negara. Jika tidak benar, maka perlu diselidik semula di mana maklumat itu diperolehi.

Diharap Dr Mahathir dapat mewujudkan dasar dan agenda nasional yang jelas untuk industri teknologi tinggi, terutamanya industri rekabentuk IC tempatan dengan kadar segera.

Tanpanya, usaha terbaru Mimos bakal menemui kegagalan seperti usahanya yang lama dan konsortium ini bakal menjadi usaha yang terbazir. Usaha Mimos perlu disokong kerajaan dengan dasar yang tepat agar dalam 20 ke 30 tahun akan datang, Malaysia boleh berdiri sendiri di dalam arena industri berteknologi tinggi.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.