PPBM nama baharu Umno yang diterima rakyat

Realitinya, Pakatan Harapan tidak akan mengecapi kemenangan pada pilihan raya umum ke-14 yang lalu tanpa pimpinan Umno yang “baik” dan “korup” mengikut pembaris ukur mereka.

Pimpinan Umno yang berani menentang presiden Umno ketika itu, iaitu Datuk Seri Najib Razak, akan dijulang PH sebagai pimpinan Umno yang baik. Sesiapa yang mendampingi dan memberi sokongan kepada Najib akan dilabel sebagai pimpinan Umno yang korup.

Antara watak utama pimpinan Umno yang tiba-tiba digelar baik ialah Tun Dr Mahathir Mohamad yang akhirnya terpilih menjadi perdana menteri. Dalam proses membersihkan imej Dr Mahathir, segala “kesalahan” dan “skandal” yang pernah diuar-uarkan kepada rakyat oleh Lim Kit Siang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Mohamad Sabu tiba-tiba menjadi sesuatu yang tidak perlu diungkit walaupun mereka pernah disumbat ke dalam lokap di zaman perdana menteri ke-4.

Tempo dan pembaris yang digariskan PH terhadap pimpinan Umno berjaya diterima rakyat. Malah PH menggunakan pembaris “menentang Najib” sepenuhnya untuk menyucikan imej Tan Sri Muhyiddin Yassin dan juga Datuk Seri Shafie Apdal dan memburukkan pimpinan Umno yang masih sudi bersama Najib dan juga imej PAS yang dipersepsikan mahu berbaik dengan Umno. Cara ini, ditambah dengan janji-janji manifesto manis, Umno berjaya ditumbangkan.

Tapi, apakah Umno betul-betul tumbang atau hanya sekadar jasadnya yang tumbang?

Kini, musim pengkhianatan terhadap undi rakyat telah tiba. Wakil rakyat Umno di Sabah dan Semenanjung mula meninggalkan parti itu kononnya menjadi wakil rakyat yang “bebas”. Sebenarnya, mereka tidak perlu bermain wayang di depan mata rakyat. Penipuan seperti ini tidak perlu kerana sudah hampir pasti semua mereka akan berakhir seperti Ahli Parlimen Jeli Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ahli Parlimen Masjid Tanah Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang akhirnya menyertai PPBM.

Selain wakil rakyat, tidak kurang juga bekas pimpinan besar Umno seperti Tan Sri Rahim Thamby Chik juga memilih menyertai PPBM.

Istimewanya, semua yang menjadi ahli lompat ini masih bersih dan tiada kes dengan SPRM.

Jika mengikut pembaris PH ketika PRU-14 dulu, semua wakil rakyat Umno yang melompat sememangnya layak digelar pimpinan Umno yang baik kerana mereka akhirnya memilih untuk meninggalkan Najib.

Rakyat kena berlagak bodoh dan percaya ini kebetulan. Percaya juga ia kebetulan di mana pada masa yang sama Dr Mahathir dan Muhyiddin mengumumkan mereka akan menerima pimpinan Umno yang baik sahaja. Apakah ada pembaris yang lebih baik untuk mengukur “kebaikan” seseorang pimpinan Umno jika bukan pembaris PH pada PRU-14?

Oleh itu, PKR dan DAP tidak perlu melenting dengan keputusan PPBM untuk menerima wakil rakyat Umno. Sebagaimana kata Dr Mahathir, jika PKR dan DAP boleh menerima beliau, apalah sangat wakil rakyat Umno yang lain?

Jika nak dibandingkan, sejarah Rahim Thamby Chik dengan Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan Anwar dulu hanyalah gurisan halus di kulit dibandingkan dengan sejarah Dr Mahathir dengan Anwar, Kit Siang, Mohd Sabu malah Karpal Singh. Mereka juga lulus jika mengikut pembaris yang digunakan PH pada PRU-14.

Umno sudah tewas dalam PRU-14. Di atas kertas, hakikat sememangnya begitu dan rakyat mempercayainya.

Cuma rakyat terlupa, yang tertewas hanya parti. Yang menjadikan Umno ialah pimpinannya. Parti hanyalah rangka seperti jasad manusia. Jiwa parti adalah pimpinannya, dan tidak semua jiwa itu tewas pada pilihan raya malah masih menguasai politik negara.

Banyak jiwa Umno 2.0 mula menukar jasad ke PPBM. Apa tidaknya, PPBM ialah nama baharu Umno yang diterima rakyat. Yang sering ingin melawan Umno itu perlu bertanya siapa Umno yang sebenarnya?

Dari Umno 1.0 yang diharamkan kerana pertembungan dengan Tengku Razaleigh Hamzah, Umno 1.0 menjadi Umno 2.0 bawah Dr Mahathir.

Daripada Umno 2.0 yang terpelanting kerana pertembungan dengan Najib, PPBM kini bakal diisi Dr Mahathir dengan jiwa-jiwa pimpinan Umno yang “baik” daripada Umno 2.0.

Di mana Umno yang sebenarnya kalau bukan di tempat Dr Mahathir bertapak untuk berpolitik?

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.