Pemergian Zainuddin Maidin tanda berakhirnya suatu era

Tan Sri Zainuddin Maidin atau dikenali dengan nama kewartawanannya, Zam yang meninggal dunia pada Jumaat, 14 Disember lalu antara tokoh yang pemergiannya merupakan tanda berakhirnya suatu era politik negara ini.

Walaupun suatu era politik sesebuah negara itu ditandai pemimpin-pemimpin utamanya, tetapi ia turut dicorakkan tokoh-tokoh lain dalam masyarakat, termasuk tokoh-tokoh aktivis, perkhidmatan awam dan sudah tentunya para wartawan.

Lebih-lebih lagi pada era awal kemerdekaan negara, dalam zaman selepas Perang Dunia Kedua, di mana gerakan kebangsaan, baik dalam memperjuangkan kemerdekaan mahupun ketika membentuk negara. Maka, pada masa itu, selain guru dan ulama, sasterawan dan wartawan juga memainkan peranan besar mencorakkan minda rakyat melalui institusi persuratkhabaran.

Berbanding masa ini, di mana pelbagai jenis profesion yang mampu menyerlahkan minda intelektual, seperti ahli-ahli akademik serta golongan profesional seperti peguam, doktor, jurutera dan lain-lain hinggakan peranan sasterawan dan wartawan sudah bukan lagi intelektual utama.

Malah, institusi persuratkhabaran sudah berperanan kecil dengan media sosial menjadi lebih popular dan berpengaruh.

Zam merupakan gelombang kedua wartawan selepas kemerdekaan. Gelombang pertama ialah mereka yang berperanan sebelum dan sebaik saja negara mencapai kemerdekaan, seperti Tan Sri Abdul Samad Ismail dan Said Zahari. Kedua-duanya adalah wartawan Utusan Melayu.

Era kewartawanan Zam meliputi zaman sebelum merdeka, iaitu pada 1951 hinggalah 1992, apabila beliau tidak lagi menjadi ketua pengarang Kumpulan Utusan. Tetapi, peranan besar beliau ialah ketika menyandang jawatan itu.

Pada masa itu, ketua pengarang akhbar arus perdana mempunyai peranan besar dalam politik negara, lebih-lebih lagi Utusan Melayu dan kemudiannya Utusan Malaysia yang merupakan akhbar terbitan syarikat milik Umno, parti yang memerintah negara ketika itu.

Zam mula bekerja dengan Utusan Melayu pada 1951 sebagai “stringer”. Walaupun istilah “stringer” diterjemahkan sebagai pemberita sambilan, tetapi maksud perkataan itu adalah “orang yang bertali”, iaitu penghubung akhbar dengan sumber berita.

Seperti mana golongan wartawan dan sasterawan yang lain, Zam memberitahu penulis pada masa itu beliau turut menjadi pengagum Sukarno dan turut terpengaruh dengan fahaman nasionalisme kiri.

Malah, beliau menyebut antara sebab beliau diambil bekerja oleh Said, pengarang Utusan Melayu ialah kecenderungannya terhadap aliran kiri.

Said adalah wartawan yang mendokong kebebasan akhbar dan menolak pengambilalihan Utusan oleh Umno. Beliau melancarkan mogok Utusan pada 1960 dan kemudiannya ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Singapura.

Zam juga menyokong mogok Utusan pimpinan Said itu. Namun, apabila mogok itu dipatahkan Umno yang melantik Melan Abdullah sebagai ketua pengarang, Zam akur dengan realiti politik itu.

Beliau yang sering membuat liputan Tunku Abdul Rahman, akhirnya turut menjadi pengagum perdana menteri itu. Beliau menulis perkara ini dalam buku “Yang Pertama dan Terakhir”.

Walaupun Zam adalah penyokong Umno dan Tunku, beliau memberitahu penulis, seorang tokoh yang turut dikaguminya ialah Lee Kuan Yew. Tetapi, ternyata zaman kerjaya kewartawanannya diwarnai dengan beliau menyaksikan pergolakan yang berlaku ketika pentadbiran Tunku, Tun Abdul Razak Hussein dan Tun Hussein Onn.

Ketika Dr Mahathir menjadi perdana menteri pada 1981, Zam merupakan pengarang Utusan Malaysia. Setahun kemudian, beliau dilantik sebagai ketua pengarang Kumpulan Utusan.

Sebagai akhbar milik Umno, tampuk kepimpinan Utusan tentunya ditetapkan presiden parti itu. Pada masa itu, ruangan Awang Selamat adalah tulisan daripada pemikirannya. Ia tidak semestinya mewakili pandangan Umno dan kerajaan.

Walaupun beliau ketika itu tidak menjadi ahli Umno, tetapi kedudukan sebagai ketua pengarang Kumpulan Utusan menjadikan beliau turut terlibat dengan perkembangan dan pergolakan politik Barisan Nasional.

Akhbar Utusan Melayu dan Utusan Malaysia bukan sekadar suara parti pemerintah dan kerajaan untuk membentuk minda rakyat, tetapi juga penyalur isi hati nurani rakyat yang disampaikan wartawan dan pembacanya melalui interaksi dua hala.

Akhbar bukan alat propaganda semata-mata, ia adalah institusi yang berdiri di antara kerajaan dan rakyat.

Kerajaan menuntut pemahaman rakyat, sementara pembaca menyampaikan aspirasinya melalui akhbar. Maka, ia menjadikan peranan wartawan dan akhbar adalah besar pada tahun-tahun awal kemerdekaan sehinggalah dekad 1990-an.

Dalam keadaan ini, maka jawatan ketua pengarang berkait rapat juga dengan pergolakan dalaman politik.

Zam hanya dapat bertahan sebagai ketua pengarang sehingga 1992. Jawatannya diambil alih Tan Sri Johan Jaafar. Beliau kekal berada dalam Kumpulan Utusan, mula-mula sebagai penasihat, akhirnya sebagai timbalan pengerusi Kumpulan Utusan.

Walaupun bukan sebagai wartawan, Zam tetap bersama Tun Dr Mahathir Mohamad. Beliau menulis buku “Mahathir di Sebalik Tabir”. Beliau kemudiannya dilantik sebagai senator oleh Dr Mahathir. Beliau menjadi ahli politik apabila diberikan kawasan pada pilihan raya umum 2004.

Walaupun kemudiannya menjadi setiausaha parlimen, timbalan menteri dan menteri penerangan, beliau tidak jauh daripada dunia kewartawanan, lebih-lebih lagi apabila beliau menggunakan sepenuhnya RTM menuruti fikirannya.

Apabila kalah pilihan raya umum 2008, maka berakhirlah peranannya sebagai ahli politik. Dalam keadaan bersara itu, beliau sering menyifatkan dirinya sebagai wartawan. Beliau tidak selesa sebagai ahli politik.

Perasaan kasihnya terhadap Utusan diluahkannya melalui penulisan buku sejarah akhbar itu berjudul “Di Depan Api, Di Belakang Duri”. Ia dipetik daripada tajuk sajak Usman Awang yang menulis untuk membela mogok Utusan pada 1961.

Sekitar dekad 2010-an ini, revolusi teknologi maklumat yang membawa fenomena internet bukan saja mengancam akhbar, tetapi mengakhiri zaman kewartawanan cetak.

Ia bukan saja mengubah dunia kewartawanan, tetapi juga politik. Bukan saja akhbar tidak relevan, tetapi juga sistem yang berkaitan dengannya seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan juga tidak bermakna.

Ketika timbul isu 1MDB yang pendedahannya dilakukan portal berita, Sarawak Report melalui penyebaran maklumat e-mel syarikat, ternyata bukan saja cara lama akhbar tidak boleh bertahan, tetapi juga struktur politik berupa Umno yang selama ini terbukti kebal, menjadi rapuh.

Tanpa melalui akhbar, Zam terus aktif dalam penulisannya melalui blog, Zamkata dan Twitternya. Beliau sering meluahkan kekagumannya terhadap media sosial.

Kritikannya terhadap Umno dan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak menempatkan beliau di antara wartawan-wartawan bersara yang memihak kepada Dr Mahathir.

Sumbangannya turut mempengaruhi orang ramai menyokong Dr Mahathir dan Pakatan Harapan adalah besar. Ternyata beliau terus memainkan peranannya sebagai wartawan, walaupun tanpa akhbar.

Dr Mahathir turut menziarah jenazah Allahyarham ketika upacara pengebumiannya Sabtu lalu. Sebelum beliau meninggal dunia, Allahyarham berada di Hospital Serdang.

Sepanjang minggu lalu pula, Kumpulan Utusan turut menghadapi cabaran besar pada hayatnya. Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir yang berusaha menyelamatkan syarikat itu meletak jawatan.

Sepanjang minggu itu juga, ramai ahli Parlimen Umno keluar parti untuk menyatakan sokongan kepada Dr Mahathir, sekaligus mengancam kedudukan parti itu. Zam yang tenat ketika itu, tentu tidak mengetahui pergolakan ini.

Hidupnya adalah unik, dari seorang “stringer” hingga menjadi menteri dalam suasana penuh warna-warni dengan jiwa kewartawanan yang tidak luntur.

Tetapi, pemergiannya menandakan berakhirnya suatu era yang lebih ringkas dan jelas. Media cetak digantikan dengan media sosial yang mempunyai nilai-nilai berbeza daripada zaman sebelumnya.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.