Mencari avenger Melayu

Baru-baru ini sewaktu menyampaikan sebuah kuliah sarjana pelawat di Universiti Kufah, Iraq, saya ditanyakan perihal kepimpinan (2.0) Tun Dr Mahathir Mohamad. Juga, apakah nasib Malaysia akan datang (dalam hal ini yang bertanya itu memandang kepada umat Melayu, justeru Islam) di tangan perdana menteri-penunggu.

Buat seketika, saya terkesima dengan pertanyaan itu. Barangkali kerana Melayu sudah ditakdirkan dengan mitos keperwiraan yang sebegini terhad.

Duhai, hanya ada dua nama? Nasib Melayu di tangan mereka?

Modal, dan kompas moral Melayu dalam hal keperwiraan malangnya, memang hanya tertakluk kepada dua watak (mitos) yang memberikan unsur fantastik yang akhirnya memberikan Melayu petunjuk sepanjang zaman.

Dua watak itu tidak lain tidak bukan ialah Hang Tuah dan Hang Jebat.

Dalam tahun 1984, apabila Profesor Shaharuddin Maarof melihat semula konsep perwira Melayu menerusi tulisannya “Konsep Wira Dalam Masyarakat Melayu”, tidak dapat tidak, dua manusia yang entah benar wujud atau tidak itu, dibangkitkan kembali.

Sumbangan penting ilmuan tersebut adalah pengkonsepsian wira Melayu (justeru Islam) tersebut yang mana menurut beliau berlegar pada 3 aspek.

Pertama, apakah kemuliaan dan kemurnian ideal yang diperjuangkan.

Keduanya, bagaimanakah kecekalan, ketabahan, keberanian, kesungguhan dan keazaman yang dipamerkan dalam memperjuangkan kemurnian dan kemuliaan ideal di atas.

Ketiganya, apakah hasil yang dicapai oleh watak wira tersebut.

Sudah tentu, hari ini, kita menginginkan watak yang jujur, berteras undang-undang, memberikan hak kepada mereka yang berada di bawah, di samping mencintai ilmu tatkala memperjuangkan nilai-nilai tersebut.

Dalam hal ini, Hang Tuah yang khusyuk mengucup kura tangan raja yang zalim; atau Hang Jebat yang konon menegakkan hak Melayu bawahan dengan menghinjak hukum, bukanlah watak-watak adiwira yang ingin kita rujuk.

Malangnya, kita Melayu tetap tidak dapat lepas dari dua kerangka yang disuguhkan di atas. Malang juga, kerangka operasional Melayu pula hanya dua:

Pertama, yang ingin menegakkan kegemilangan umat dengan jalan mengampu tiang-tiang dan peterana singgahsana.

Kedua, yang ingin melerai diri dari waadat kuno Sang Sapurba-Demang Lebar Daun dengan alasan ikrar itu sudah lebur kerana anak cucu Sang Sapurba sudah berlaku zalim terhadap anak cucu Demang Lebar Daun.

Sukar untuk Melayu mencari jalan keluar yang mungkin ada, luar dari Hang Tuah dan Hang Jebat, atau di luar solusi tuntutan taat setia Sang Sapurba, dan amaran Demang Lebar Daun.

Usaha untuk melihat lain daripada mereka yang disebutkan di atas membuatkan Melayu hari ini menoleh kepada para ulama.

Saya lebih suka menggunakan kata agamawan, kerana itulah istilah yang paling cocok buat mereka. Ini kerana, Hang Tuah sendiri dapat ditakrif sebagai ulama memandangkan penguasaan bahasa dan pelbagai ilmu yang dihadapkan kepada kita. Namun, kita tidak menyebut Hang Tuah ulama dalam hal ini memandangkan perangainya yang terjun ke dalam telaga tahi demi majikannya, atau menjuarai pertandingan minum arak, menculik puteri raja negeri lain, dan seribu satu macam tingkah laku yang membingungkan.

Mungkin satu yang Hang Tuah tidak lakukan – kerap ponteng dari tugas rasminya – selaku laksamana.

Salah seorang agamawan yang menjadi kutub rujukan Melayu adalah Raja Ali Haji. Beliau adalah seorang agamawan dan merupakan, meminjam kata-kata Achmad Syahid, dalam tesis doktoratnya, “Pemikiran Politik dan Tendensi Kuasa Raja Ali Haji” adalah pelakon politik (political actor) yang telah membangunkan “rejim kebenaran” yakni (sebuah pemerintahan autoritarian atas nama agama).

Raja Ali Haji selaku agamawan yang menasihati raja, dan menggelumangi politik, telah memasukkan nilai-nilai agama ke dalam gerakan kerja institusi kerajaan dan menegakkan administrasi pemerintahan “yang benar” menurut kaca matanya.

Dalam tesis Achmad Syahid yang diterbitkan Departemen Agama Republik Indonesia (semacam Jakim di Malaysia), Raja Ali Haji adalah agamawan yang memiliki hasrat terhadap kekuasaan dan segala yang dilakukannya “sebagai penasihat kerajaan” adalah untuk memenuhi tuntutan kariernya belaka.

Dalam erti kata lain, Raja Ali Haji pun tidak terlepas dari metode Hang Tuah sehingga mempromosi zillullah fil-ard, yakni sebagai jelmaan tuhan (huruf kecil) di muka bumi.

Kalau sudah ada jelmaan tuhan di dunia, masakan kita akan melawan?

Meskipun ada yang mengatakan konsep ini bermakna raja adalah bayang-bayang yang hanya wujud dengan kewujudan pemilik bayang-bayang yang hakiki iaitu Allah.

Justeru (kononnya) tidak bermaksud seorang raja memiliki kuasa mutlak, malah sebaliknya, ia tertakluk kepada hukum Allah.

Pun, boleh dibuat kajian, rakyat bawah kekal ragu terhadap pengkonsepsian konservatif tersebut kerana tidak disandarkan bukti. Atau kerana ambiguiti yang diperankan oleh mereka sendiri dalam kehidupan sehari-hari.

Maka saya berani menjamin hujah Achmad Syahid dalam tesisnya itu utuh tidak tersangkal.

Ini juga bermaksud, adiwira Melayu tidak juga ada pada agamawan. Malah agamawan sendiri tidak dapat lepas dari kerangka Hang Tuah, dan jika tergelincir mereka menjadi seperti Jebat, yang ternyata jauh lebih haru.

Masalah dengan pencarian perwira, seorang avenger Melayu, ialah tiadanya modal dan kutub moral yang mungkin disebut oleh Syed Hussein Alatas sebagai “cita sempurna”. Kita tidak menemukan “cita sempurna” itu, kerana mungkin rantau Melayu ditakdirkan tidak menjadi bumi anbiya seperti Iraq.

Malah tidak ditakdirkan Melayu ada yang pernah menjadi sahabat Rasulullah untuk dibanggakan seperti mana bangsa Iran membanggakan Salman al-Farisi.

Kerangka “rejim kebenaran” ala Raja Ali Haji membuatkan ramai generasi baru Melayu, samada secara diam atau mengiklankan, menjadi ateis. Ini sebab metode yang dihadirkan tidak keluar dari watak wira yang bobrok seperti Tuah, dan kalau pun anarkis, serupa Jebat yang meraban.

Lebih tiada kelas adalah agamawan yang menghukum kerjanya. Sebagai contoh untuk memohon derma bagi mangsa tsunami pantai Anyer, agamawan ini sempat mengherdik dan menjadi Tuhan menghukum kematian orang lain sebagai kematian yang keji (kerana mereka mempunyai kitab Doraemon yang dapat menilik baik buruk orang lain).

Saya berpendapat, contoh-contoh cita bencana memang banyak di alam Melayu. Mungkin saya masih belum cukup membaca untuk menemukan satu tokoh cita sempurna, seorang avenger Melayu, atau adiwira yang dapat mewakili massa, atau murbawan; jagoan orang tertindas; diulang – saya tidak menemukan.

Jadi, saya tidak menjawab soalan apakah nasib Melayu di tangan Tun Dr Mahathir (buat kali kedua) atau di tangan penunggu yang membilang bulan (atau mungkin hari). Saya tidak tahu.

Kalau kerangkanya masih Tuah dan Jebat, dan wilayah operasionalnya masih ala Sang Sapurba dan Demang Lebar Daun, maka avenger yang ditunggu itu masih kabur, abstrak dan tidak bakal menjelma.

Tahun 2018 berlalu, 2019 menyingkap langsirnya. Dr Mahathir atau “yang seorang lagi itu”, Melayu macam itu-itu juga.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.