Sekali lagi, PPBM memulakan perjuangan agenda Melayu

Ucapan dasar Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Perhimpunan Agung Tahunan ke-2 parti itu Sabtu lalu bukan saja penting, tetapi mempunyai makna besar bagi orang Melayu dan rakyat Malaysia.

Amanat beliau itu berpadanan dengan waktu di mana 2018 menutup tirainya. Tahun 2018 amat bersejarah bagi Malaysia dengan pastinya keseluruhan rakyat negara ini melihat 9 Mei lalu sebagai tarikh paling bermakna sepanjang tahun lalu. Dr Mahathir dilihat sebagai tokoh tahun itu.

Malaysia menyambut ulang tahun kewujudannya ke-60 dalam bentuk Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka pada tahun sebelumnya, iaitu 2017. Maka, 2018 menyaksikan permulaan baru apabila Umno kehilangan kuasa.

Mulai 2018, PPBM berharap menggantikan Umno untuk melancarkan semula Malaysia, iaitu apa yang disebut sebagai Malaysia Baru.

Malaysia Baru boleh dilihat daripada 2 sudut. Satu, ia merupakan negara yang mahu tinggalkan sama sekali politik perkauman. Itulah pada asasnya yang dipegang PKR, DAP dan Amanah yang membuka keahliannya kepada semua kaum.

Sudut ke-2 ialah Malaysia Baru tetap mempunyai politik perkauman, tetapi ia berasaskan integriti dan pengupayaan Bumiputera, bukan saja dari segi ekonomi, tetapi pada budaya positif bangsa seperti mana sentiasa digesa Dr Mahathir. Dalam erti kata lain, Malaysia Baru menuntut konsep Melayu Baru, inilah yang cuba dibawakan PPBM.

Parti itu mengehadkan keahliannya kepada Bumiputera. Ia menenggelamkan identiti Melayu kepada pribumi dan Bumiputera. Jadi, keabsahan PPBM memperjuangkan agenda Melayu bukanlah berdasarkan kaum, tetapi berasaskan ketertinggalan Bumiputera sebagai pribumi negara.

Tetapi, konsep Bumiputera inilah yang menjadi asas kepada Malaysia, ketika penubuhannya pada 1963. Ia memperluaskan konsep Melayu yang dipegang Persekutuan Tanah Melayu sejak penubuhannya pada 1948 menggantikan Malayan Union.

Gagasan Malayan Union mengetepikan konsep Melayu. Tetapi, apa yang disebut sebagai Melayu sebenarnya bermaksud pribumi atau Bumiputera. Melayu bukan nama kaum, tetapi meliputi semua suku yang dianggap sebagai pribumi, termasuk Orang Asli.

Apabila Malaysia ditubuhkan pada 1963, konsep Melayu digantikan Bumiputera. Tanah Melayu menjadi Semenanjung Malaysia dan Bahasa Melayu disebut sebagai Bahasa Malaysia. Bumiputera ketika itu merangkumi Melayu di Semenanjung Malaysia, Singapura, Sarawak dan Sabah.

Ketika penubuhan Malaysia, Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang memerintah Singapura tidak membantah konsep Bumiputera ini. Tetapi, persefahaman awal ketika itu ialah PAP tidak masuk Semenanjung.

Umno pula bukan saja tidak campur tangan dalam politik Singapura, tetapi juga tidak menubuhkan cawangannya di Sarawak dan Sabah.

Maka, tidak hairanlah apabila kerajaan menubuhkan bank untuk orang Melayu sebagai memenuhi resolusi Kongres Ekonomi Melayu pada 1965, ia dinamakan Bank Bumiputera dan bukannya Bank Melayu.

Kini, apabila Dr Mahathir menubuhkan partinya, ia tidak menamakannya Melayu, tetapi pribumi yang bukan saja bergerak di Semenanjung, tetapi juga Sarawak dan Sabah.

Apa yang disampaikan Dr Mahathir adalah ucapan dasar ke-2 beliau kepada PPBM. Ucapan pertama beliau diutarakan ketika PPBM bukan saja saiznya lebih kecil, tetapi merupakan parti pembangkang yang tidak pasti berapa lama kewujudannya, malah jauh sekali menjadi parti penting kerajaan. Parti itu pula hanya dibenarkan menggunakan singkatan nama PPBM.

Tetapi, untuk tahun depan, Dr Mahathir sendiri menyebut belum tentu peluangnya untuk menyampaikan ucapan seumpama itu masih ada. Usianya akan mencecah 95 tahun dan ramai rakyat negara ini mendoakan beliau terus dianugerahkan umur panjang untuk terus memimpin Malaysia.

Beliau bukan saja pengerusi PPBM, tetapi juga pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan lebih penting adalah perdana menteri ke-7.

Kalau pada 2017, beliau adalah bekas perdana menteri yang pernah memimpin negara selama 22 tahun. Kini, dianggarkan beliau hanya mempunyai 2 tahun untuk memegang jawatan perdana menteri, 7 bulan sudah berlalu.

Dr Mahathir menegaskan semula beliau akan tetap menyerahkan jawatannya kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti dijanjikan, walaupun ramai penyokong PH, terutamanya dalam PPBM mahukan beliau menjadi perdana menteri sehingga pilihan raya umum ke-15, iaitu 4 tahun lagi.

Semasa majlis perasmian perhimpunan itu, Anwar dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang turut hadir. Walaupun Mohamad Sabu tidak kelihatan, tetapi Naib Presiden Amanah, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus turut hadir.

Anwar tentunya mendengar ucapan Dr Mahathir yang mempunyai 3 mesej pokok. Pertama, orang Melayu masih ketinggalan jauh. Kaum ini wajar berusaha untuk maju dengan bantuan kerajaan.

Ke-2, untuk itu, orang Melayu wajar menyokong dan menyertai PPBM. Ia adalah rumah baru bagi orang Melayu menggantikan Umno.

Mesej ke-3 ialah orang Melayu perlu mengubah budaya untuk maju. Budaya yang dimaksudkan ialah perwatakan positif, seperti kerajinan, jujur, disiplin dan berilmu, berkemahiran.

Tiga perkara ini seperti amanat yang ditinggalkan Dr Mahathir kepada orang Melayu.

Bagaimanakah PPBM boleh mencapai cita-cita ini, sedangkan Dr Mahathir hanya ada 2 tahun lagi? Adakah Anwar apabila menggantikan Dr Mahathir kelak akan meneruskan apa yang dirancang dan dilaksanakan beliau?

Adakah agenda reformasi PKR selari aspirasi agenda Melayu PPBM? Bagaimana pula pendirian DAP yang tetap mahukan Malaysia Baru dilaksanakan PH?

Ketika Umno mendominasi politik selama 61 tahun, tetapi tidak dapat melaksanakan agenda Melayu seperti mana diharapkan, adakah PPBM mempunyai kedudukan lebih baik? Sebagai parti dalam PH, ia merupakan kekuatan kecil berbanding PKR.

Apakah nanti Tan Sri Muhyiddin Yassin dapat meneruskan perjuangan Dr Mahathir? Umno dahulu hanya perlu berdepan MCA, MIC dan Gerakan dalam Barisan Nasional (BN), sedangkan PPBM berdepan PKR dan DAP yang jauh lebih kuat.

Dalam satu penggal ini, PPBM boleh menjadi besar dengan kemasukan ahli baru dari kalangan orang Melayu. Bukan saja dari kalangan bekas ahli Umno, tetapi juga orang Melayu tidak berparti yang selama ini alergik dengan politik kepartian. PPBM juga boleh disertai ramai lagi pribumi Sarawak dan Sabah.

Tetapi, adakah generasi baru rakyat Malaysia masih mahukan politik berasaskan kaum yang selama ini menjadi tonggak politik BN?

Melihat sentimen perkauman yang terserlah sepanjang 7 bulan PH berkuasa, lebih-lebih lagi digalak-galakkan Umno, PAS dan NGO Melayu Islam, maka dapat dirasakan ramai lagi rakyat yang mahukan politik berasaskan kaum.

Cabaran yang lebih besar adalah bagaimana hendak melahirkan Melayu Baru. Selama 61 tahun, Umno telah mengusahakan pelbagai program untuk tujuan itu.

Pada zaman Tun Abdul Razak Hussein, ada program “Jaya Diri”, kemudian “Revolusi Mental”.

Malah, apa yang dilakukan Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Biro Tata Negara (BTN) serta yang lain adalah untuk memotivasi dan mengubah mentaliti orang Melayu supaya bangkit dan maju dalam mencapai kejayaan dalam hidup. Pastinya ramai yang berasa skeptik.

* Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.