Buat apa ya PRK Cameron Highlands

Pilihan raya kecil Cameron Highlands yang diadakan sekarang ini terjadi selepas mahkamah menerima petisyen calon DAP, M Manogaran untuk membatalkan keputusan pilihan raya yang dimenangi calon BN, Datuk C Sivarraajh dengan majoriti 597 undi.

Manogaran mendakwa Sivarraajh, yang berkempen bersama-sama Adun Jelai Wan Rosdy Wan Ismail yang juga menteri besar Pahang, memberi rasuah antara RM30 hingga RM1,000 kepada pengundi Orang Asli melalui beberapa tok batin bagi memastikan mereka mengundi BN dan tidak mengundi calon lain.

Selain itu, Wan Rosdy juga didakwa mengugut akan menghentikan peruntukan kerajaan yang diberi kepada Orang Asli sebagai dorongan mengundi BN. Semua perbuatan itu didakwa bertentangan dengan Seksyen 9(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya.

Dalam keputusan pembatalan tersebut, Hakim Datuk Azizah Nawawi mendapati Manogaran berjaya membuktikan melampaui keraguan munasabah bahawa wujud amalan rasuah yang mana wang itu diberikan kepada pengundi orang Asli untuk mengundi Sivarraajh.

Selain menegaskan bahawa pemberian duit minyak mahupun duit rokok juga dikategorikan sebagai rasuah, Hakim Azizah turut berkata “niat penerima adalah tidak relevan”.

Ironinya, PRK Cameron Highlands kini dicemari insiden-insiden yang mengakibatkan keputusan pada PRU14 terbatal.

Baru-baru ini, PRK Cameron Highlands menjadi hangat susulan kenyataan kontroversi Senator Bob Manolan Mohd dari PKR terhadap tok batin supaya mereka tidak dibayar gaji jika tidak menyokong kerajaan.

Meskipun terdapat bukti audio yang jelas, tokoh DAP, Lim Kit Siang mempertahankan tindakan Bob dengan berkata para pimpinan DAP yang hadir pada majlis yang sama tidak mendapati Bob membuat sebarang “ugutan”.

Jika benar apa yang dikatakan Kit Siang, mengapa Naib Presiden PKR Tian Chua dan Bob tampil memohon maaf atas tindakan Bob selepas itu? Siapa yang berbohong?

Belum isu Bob reda, tular pula gambar seorang individu memakai baju berlambang Pakatan Harapan mengagihkan wang kepada beberapa individu lain di PRK Cameron Highlands.

Mula-mula Penolong Ketua Pusat Operasi PH Jelai Arvind Bharet tampil menjelaskan pihaknya hanya memulangkan duit minyak kepada sukarelawan. Ini disusuli dengan pengakuan Kit Siang bahawa sememangnya duit sebanyak RM20 diagihkan kepada 60 penunggang motosikal yang datang menyokong calonnya ketika hari penamaan di Tanah Rata.

Namun yang tidak disangka-sangka ialah reaksi Bersih. NGO yang satu ketikanya terkenal dengan perjuangan membersihkan pilihan raya terus mengisytiharkan pemberian duit kepada sukarelawan yang terlibat kempen parti adalah sah dan tidak melanggar undang-undang.

Sepatutnya mereka bersikap neutral dan bertanya apakah para sukarelawan yang diberikan duit itu adalah juga pengundi di Cameron Highlands? Berapakah jumlah penerimanya? Apakah kadarnya? Apakah calon dan para pimpinan parti calon itu mengetahui pemberian itu akan dilakukan? Apakah ini pemberian sekali sahaja atau hari-hari setiap kali sukarelawan ini datang membantu?

Jika tok batin dan sukaralewan yang menerima RM20 duit minyak itu adalah pengundi Cameron Highlands, bukankah tindakan Bob dan pemberian duit minyak kepada 60 orang Asli itu melanggar Seksyen 9(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya yang mengakibatkan keputusan pada pilihan raya umum ke-14 terbatal?

Sekiranya PH menang PRK Cameron Highlands ini, dan yang tewas PRK ini pula menfailkan petisyen menggunakan bukti-bukti di atas, apakah kita akan menyaksikan PRK Cameron Highlands yang kedua dalam masa terdekat?

Jika ya, mengapa diadakan PRK Cameron Highlands ini ya? Jika tidak, mengapa yang tidak berkuasa tidak boleh memberi rasuah, tapi yang berkuasa boleh?

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.