Melayu pandai buat bakul

Dalam tahun 2002, Profesor Diraja Ungku Aziz pernah menulis sebuah artikel pendek berjudul “Tragedi Pemikiran Melayu” yang mana beliau menukilkan begini: “Saya rasa Melayu tidak sanggup berubah; perspektif mereka terhad, tidak suka menyiasat dan mereka tidak mahu berfikir dengan mendalam.”

Pun, Ungku Aziz menegaskan ia bukanlah perangai dan sikap asal Melayu. Tiga hal yang disebutkan oleh beliau itu, menurutnya lagi, adalah gejala atau fenomena baharu.

Kita harus akur, 3 hal yang dinyatakan ini membantut dan membonsaikan tamadun.

Ungku Aziz meyakini Melayu lampau mempunyai kemampuan ekonomi dan strategi pemerintahan yang hebat. Beliau antara lain menyebutkan kegemilangan, kepintaran dan kebijaksanaan Melayu itu dapat ditimba menerusi “Hikayat Raja-Raja Pasai”, dan lebih banyak lagi dalam pantun-pantun Melayu.

Di dalam pantun Melayu, kata Ungku Aziz, terserlah sifat pedagang Melayu yang biasa berdikari, berani, cerdik ilmu dagang dan sedia menanggung risiko. Seperti yang telah saya sebutkan tadi, Ungku Aziz bagaimanapun menyatakan orang Melayu tidak lagi seperti dahulu. Tidak lagi seperti pada zaman raja-raja Pasai, dan tidak lagi ketika mereka fasih dan licik berpantun.

Ungku Aziz dalam artikel “Tragedi Pemikiran Melayu” itu misalnya dengan yakin menyatakan punca pertama Melayu terperuk dan menjadi statik itu adalah kerana penjajah meletakkan “apa yang dihasilkan oleh Melayu sebagai second class”. Justeru, ini “membawa orang Melayu kepada perspektif jati diri yang salah”.

Hal ini diburukkan lagi apabila keduanya, orang Melayu tidak berani mempersoalkan.

Ungku Aziz menyinggung betapa tiadanya budaya “inquiry mind” yang menunjukkan juga tidak ada sikap saintifik.

Ungku Aziz menegaskan Melayu “tidak sedia dan berani bertanya, yang akhirnya menyebabkan kita tidak berani menghadapi cabaran”. Oleh sebab tiadanya pemikiran saintifik, Melayu menjadi selesa. Agama dan tunggak kuasa misalnya menjadikan Melayu selesa. Maka itulah yang disogokkan Inggeris sebagai penjajah.

Saya petik kata-kata Ungku Aziz di sini:
“Orang Melayu tidak suka sains, dia suka agama, jadi ajarlah tentang agama. Dia suka dengan raja dia, ajar Melayu buat bakul.”

Menurut beliau, Melayu memerlukan “trouble makers”, tetapi malangnya “trouble makers” Melayu hanya timbul selepas Perang Dunia Kedua setelah kemasukan Jepun.

Tentu “trouble makers” penting dalam menghasilkan tamadun. Adalah alamiah sesuatu yang bergeser akan menghasilkan produk. Tiada pergeseran tiada penerbitan.

Akhir sekali, Ungku Aziz menyatakan orang Melayu jadi mundur dan terhempuk kerana pendekatan yang ada untuk membangunkan Melayu adalah “dengan wang ringgit dan kebendaan”, yang menurut beliau lagi, sama sekali tidak betul.

Saya ulangi, sangatlah senang menyalahkan orang (baca: penjajah) oleh kelemahan diri kita sendiri.

Bagaimana kalau kita menggunakan pula pendekatan dan kaedah Malik Bennabi, sambil-sambil mengambil kritikan Ungku Aziz.

Bennabi lahir pada 1905, seorang pemikir Algeria yang banyak mencabar penjajahan Perancis dengan idea-ideanya. Beliau kurang dikenali di rantau sebelah kita kerana karangan yang dihasilkan adalah di dalam bahasa Perancis dan Arab.

Bennabi semasa memacu gerakan kemerdekaan Algeria, menegaskan di dalam tulisannya “Vocation de l’Islam” dan “Shurut al Nahdah” bahawa umat Islam perlu merenungi paksi tamadun masing-masing.
Umat Islam juga harus menghindar diri menjadikan tasawuf sebagai tunjang kerana menurut Bennabi, tasawuf adalah “satu pelarian, yang cukup berkembang pada zaman kemunduran Islam”.

Dalam kuliah tahun 1964 yang kemudian diterbitkan sebagai “Mushkilah al-Hadarah”, Bennabi menyatakan tamadun bukan diukur dengan penghasilan produk. Ini kerana produk adalah natijah, dan bukannya sebab. Tamadun tambah Bennabi, adalah sebab, “natijah tidak akan mendahului sebab”.

Maka untuk mengukur tamadun, kita tidak boleh menilai berdasarkan produk (dalam hal ini kemajuan) tetapi yang mencipta penghasilan atau produk itu.

Dalam hal ini, Bennabi meminta pembacanya menumpukan perhatian kepada manusia dan idea. Inilah sebab. Iaitu hubungan yang terjadi antara kemahuan dan kemampuan masyarakat untuk memajukan diri masing-masing.

Seterusnya pemerhatian Bennabi adalah terhadap syarat-syarat berasaskan akhlak yang mana itulah kebolehdayaan masyarakat dalam menangani segala beban.

Dalam karya-karyanya, Bennabi bukan tidak menyalahkan penjajah. Beliau sedar penjajah Perancis telah melumpuhkan sumber daya dan kekuatan bangsa Algeria. Akan tetapi, Bennabi menggunakan kaedah merenung dan membetulkan diri yang mana sangat diperlukan oleh bangsanya pada waktu itu.

Pendekatan yang sama harus digunakan dalam memeriksa Melayu. Sudah tentu kita tidak dapat menafikan betapa Melayu telah ketinggalan oleh sebab cengkaman penjajah.

Ungku Aziz benar. Inggeris telah menggendalakan kita. Dan kita memang sedar betapa Melayu telah mengalami proses pemomokan sehingga mereka sendiri meyakini mitos yang mereka malas.

Akan tetapi, Melayu mesti akur dan mempunyai kekuatan syarat akhlak untuk mengukur kebolehdayaan dalam menangani beban mendatang.

Melayu mesti bersedia menimbangkan bahawa Melayu sebagai manusia dan anggota masyarakat, dan idea-idea mereka sangatlah terbatas dalam soal “suka agama, jadi ajarlah tentang agama. Dia suka dengan raja dia, ajar Melayu buat bakul.”

Dua beban besar Melayu ialah agama, dan gasakan feudalisme. Selagi tidak lepas dari dua ini, Melayu masih terbatas dan terkepung.

Ini tidak bermakna menggantikan 2 aspek itu akan menerbitkan Melayu menjadi maju dan bertamadun. Yang dimaksudkan di sini adalah agama yang bagaimana yang ingin Melayu pelihara dan pupuk? Seperti yang ditegaskan Bennabi, jika agama itu adalah tasawuf yang tumbuh ketika era mundurnya umat; maka itu adalah agama yang tidak menerbitkan idea dan kemahuan.

Sementara kuasa feudal, jika ia adalah kuasa feudal yang berupaya memacu kehebatan dan kegemilangan seperti pada zaman “Hikayat Raja-Raja Pasai” menyiapkan strategi untuk mendepani Majapahit maka tentulah ia adalah paksi kuasa yang sihat dan perlu.

Oleh sebab itu Melayu perlu melihat diri mereka dalam 2 ruang tersebut. Jika obsesi dan nafsu Melayu terhadap agama adalah yang bersifat pegun di mana pesona Melayu adalah kepada hal-hal fekah yang demikian ranting, maka bagaimanakah Melayu akan kembali mencetus tamadun?

Atau jika Melayu masih tersekat oleh boleh dan tidak boleh kerana tertakluk kepada daulat dan derhaka, maka bolehkah Melayu menelurkan idea besar untuk membina peradaban?

Kita mungkin boleh bersepakat bahawa penjajah memang mempunyai saham besar dalam menekan dan menggendalakan kita, umat Melayu-Islam, untuk berjaya. Ubatnya belum tentu Islam-Melayu. Malah selama ini, Melayu Islam itulah racunnya.

Jika Islam yang dipilih kehilangan dan kegagalan wacana untuk mencetuskan sesuatu yang baharu, maka seperti yang disebutkan Bennabi, kita akan menuju kerosakan dan kemusnahan.

Penawar yang ingin diberikan oleh Bennabi kepada umat Islam, seperti yang ditulis dalam Ta’ammulat dalam tahun 1960 (yang menurut saya boleh diacukan kepada Melayu) adalah untuk maju, masyarakat Islam mesti memberikan jaminan sosial kepada individu masyarakat.

Masyarakat mundur tidak memberikan apa-apa jaminan sosial kepada individunya.

Ada banyak ruang lingkup jaminan sosial. Salah satu jaminan sosial yang Melayu hari ini tidak berani lepaskan ialah memberikan hak kepada kaum minoriti secara sepatutnya.

Untuk mewaraskan penafian hak tersebut, Melayu berlegar-legar di sekitar dua tiang: agama dan kuasa. Jadi, 2 tiang yang harus membebaskan, malah menjadi kongkongan.

Seperti dinyatakan oleh Ungku Aziz dalam tahun 2002: “Dia suka agama, jadi ajarlah tentang agama. Dia suka dengan raja dia, ajar Melayu buat bakul”.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.