Malu apa… 20 tahun selepas Sh*t

Dalam tahun 1999, arwah Sasterawan Negara Shahnon Ahmad menulis dan menerbitkan sebuah novelet bertajuk “Shit” yang serta-merta menimbulkan kehebohan politik dan juga pelbagai debat sastera.

Sebagai sebuah satira, Shit mengambil bentuk satira Juvenalia yang bahasanya kasar, biadab, tidak sopan, kurang ajar dan bertujuan menyakitkan hati sasaran.

Oleh sebab Shit terbit di saat pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai timbalan perdana menteri Malaysia pada waktu itu, ramai yang percaya satira ini merupakan refleksi keadaan politik.
Justeru, ramai yang percaya Shit atau kepala barisan taik yang dimaksudkan oleh Shahnon adalah Tun Dr Mahathir Mohamad sementara watak wirawan, ekor taik yang ingin bertaubat dan melakukan reformasi pula adalah Anwar.

Akan tetapi pada malam 9 Mei 2018, dan awal pagi 10 Mei 2018, rakyat Malaysia membuat kejutan besar yang amat bersejarah iaitu untuk memilih Dr Mahathir kembali mengepalai negara. Tidak lama kemudian, Anwar dibebaskan dari penjara malah menerima pengampunan diraja.

Bagaimanakah kita boleh membaca Shit 20 tahun setelah penulisan dan penerbitannya? Ini adalah soalan yang penting saat kita menyelak halaman-halaman busuk Shit.

Seyogia pertama diingatkan Shit adalah sebuah novel mengenai politik. Ia adalah luahan kemarahan Shahnon terhadap politik yang menurutnya kotor, jijik, busuk dan menjijikkan:

“Tapi perihal mengeluari diri sendiri itu amat jarang-jarang berlaku dalam sejarah kepimpinan kepala taik jenis ini kecuali sudah tak tertahan lagi dengan kebusukan yang membelit diri. Namun samada dikeluarkan atau mengeluari diri, yang busuk tetap busuk juga. Yang membusukkan tetap membusukkan juga.”

Kedua, Shit tidak semestinya mengenai Umno dan Majlis Zenith Tahi, tidak pula semestinya mengenai Majlis Tertinggi Umno. Gambaran yang diberikan Shahnon dalam Shit adalah umum yang mana boleh sahaja jatuh ke atas, katakan, Presiden Donald Trump dan pasukan kabinetnya; atau boleh juga jatuh terhadap Anwar dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR.

Ia juga boleh jadi Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan ahli Dewan Harian PAS. Ia boleh jadi mana-mana organisasi politik hatta di peringkat kampung, pejabat mahupun syarikat.

Ia adalah mengenai orang yang gila kuasa, dan melakukan apa sahaja untuk kekal berkuasa dan merebut kuasa:

“Pergolakan dalam kawasan memang di luar duga. Seribu satu boleh terjadi. Yang tak pernah terfikir pun tiba-tiba berlaku macam tak ada apa-apa pula. Dan pergolakan itu biasanya berkisar dan berputar pada paksi-paksi itu juga: rebutan mahu jadi kepala taik, rebutan untuk rasa kenyang lebih dari yang kenyang, rebutan untuk menjadi yang punya nombor-nombor, yang punya gelaran-gelaran.

“Kadang-kadang rebut lagi untuk menjadikan diri lebih busuk dari kebusukan yang sedia wujud. Bahkan Majlis Zenith Tahi adalah mengenai elit politik yang menindas, tidak semestinya jatuh di atas satu-satu organisasi.”

Ketiga, Shit mengetengahkan gejala-gejala songsang dalam politik (sekali lagi, ia tidak semestinya politik Malaysia tetapi boleh jadi sahaja politik di mana-mana pun). Antara lain ialah persoalan hipokrasi politik. Di dalam Shit, Shahnon menyebutkan:

“Banyak yang pura-pura menyukainya tapi yang sebenar tidak menyukainya. Banyak yang pura-pura memujinya tapi yang sebenar menjijikkannya. Berbagai-bagai cara tenaga-tenaga lain itu mengorak langkah dan membuat berbagai-bagai muslihat, malah melontarkan seribu satu makihamun, berbagai-bagai fe’el, berbagai-bagai fitnah supaya dia cepat-cepat dikeluarkan dari domain kekuasaan atau dia sendiri mengeluari dirinya dari kekuasaan.”

Satu lagi budaya politik tidak sihat yang disebut Shahnon ialah ketiadaan inquiry mind, yang mana semua dilanda budaya angguk dan pak turut.

Harus diingatkan budaya angguk ini malah boleh berlaku di dalam apa juga organisasi termasuk organisasi seperti fakulti di sebuah universiti. Ini kerana saya masih ingat bagaimana Cikgu Shahnon sering mengkritik budaya angguk dalam kalangan cendekiawan sehingga beliau mengeluarkan satu terma – “profesor kangkung” untuk menggambarkan perangai angguk dan minion ini.

Saya petik dari Shit:

“Dia memalingkan kepalanya yang waktu itu agak lonjong sedikit ke belakang dan sempat melihat para pengikutnya dalam barisan tetap berkapukan pada landas ketulan yang tirus memanjang dalam usus besar dalam domain kekuasaan itu.

“Mereka semua mengangguk-angguk dan dia sebagai kepala pun mengangguk juga. Memang anggukan sudah pun menjadi budaya peradaban taik yang dikepalainya selama hampir dua puluh tahun ini. Sebagai kepala, dia memang cukup sedar tentang budaya anggukan ala pokke itu.”

Sebuah lagi budaya yang memualkan dalam politik adalah budaya taasub di mana apa sahaja yang bos lakukan, dipupuk supaya jangan berasa malu. Sebaliknya diraikan dan digalakkan tanpa segan silu.

Shahnon menulis:

“PM ketawa dalam diam dan dalam kebusukan dirinya. Pernah sekali PM sengaja menguji ketaatan para ketulan anggota barisannya untuk benar-benar tahu sejauh mana kepatuhan para anggota dalam barisan.

“Siapa saya? PM menyoal begitu saja. P*kiM*k! Jawab mereka.

“Lagi sekali PM menyoal dan kali ini PM sengaja melebihkan liuk lintuk kepala taiknya itu. Siapa saya? Para anggota lantas menjawab: P*kiM*k! Cuba laungkan nama itu sepuluh kali? P*kiM*k! P*kiM*k! P*kiM*k! P*kiM*k! P*kiM*k! P*kiM*k! P*kiM*k! P*kiM*k! P*kiM*k! P*kiM*k!

“Yang pendeknya? P.M. P.M. P.M. P.M. P.M. P.M. P.M. P.M. P.M. P.M.”

Budaya “malu apa bosku” seperti di atas masih lagi berleluasa di Malaysia Baru, dan harus digerakkan agar dapat dimerdekakan minda tertawan ini.

Shit adalah mengenai budaya ketua yang tidak boleh ditegur dilarang, dan apabila ditegur orang bawah, penguasa akan menggunakan kekuasaan untuk menindas kembali staf murbawan. Ia adalah mengenai kecilnya ruang demokrasi dan suburnya budaya autoritarian.

Kita misalnya boleh membaca mengenai senario di bawah dan melekatkan kepada mana-mana pemimpin politik. Ia tidak terhad untuk menggambarkan suasana dalam tahun 1999, tetapi juga 20 tahun selepas:

“Kali ini aku tidak mahu keluar melalui lobang keramat itu, bisik PM. Jangan siapa berani mengeluarkan aku melalui lobang keramat itu, katanya agak kuat. Aku tidak mahu keluar. Sesiapa ingin keluar dulu, boleh keluar sendiri-sendiri tapi aku sendiri tidak mahu keluar. Aku tetap ingin berada di dalam perut kekuasaan pemerintahan ku ini.”

Keempat, saya tidak fikir Shit adalah mengenai krisis politik pada tahun 1999, atau paling-paling Shit harus dibebaskan dari insiden bersejarah itu.

“Shit harus dibaca dengan lebih bebas, tanpa terikat dengan zaman dan tokoh tertentu. Kita tentu sahaja tidak mahu menghujahkan yang watak wirawan adalah mengenai Anwar memandangkan di dalam Shit, watak reformis tersebut turut dianggap sebagai tahi juga.

Saya tidak fikir kelompok yang memperjuangkan reformasi dalam tahun 1999 menerima sepenuhnya muatan satira Shit. Inilah yang dikatakan oleh Shahnon mengenai watak wira/reformis itu:

“Persoalan wira yang tiba-tiba moncol dan ingin berjuang mengeluarkan PM dan para mengikutnya yang wujud selama ini dalam sistem taik bukan persoalan ringan. Nampak ringan saja kerana kelibat wira itu belum begitu ketara. Memang wira itu pandai bersembunyi di celah-celah ketulan taik dalam barisan dan mengakui pula dirinya sebagai anggota barisan. Wajahnya sama. Baunya pun sama juga iaitu busuk dan membusukkan. Bentuknya pun sama juga bergantung pada kemutan dan lagak usus besar yang melingkari kawasan.”

Akhir sekali di dalam satira ini, Shahnon berpesan kepada watak wira/reformis agar melakukan reformasi pada diri sendiri terlebih dahulu sebelum menyeru dan memperjuangkan reformasi:

“Kau kalau tak reformasi diri kau terlebih dulu seluruhnya, kau takkan berjaya mereformasi sistem politik taik barisan yang busuk lagi membusukkan ini. Kau sama saja dengan ketulan taik di barisan taik kalau kau tak reformasi diri kau terlebih dulu.

“Selama ini kau sudah tenggelam dan lemas dalam buih dan kancah lendir lebuhraya kebusukan. Kini kau juga akan kembali tenggelam dan kembali lemas dalam gelombang dan taufan rakyat kalau kau tidak mengubah diri kau seluruhnya kembali ke asal kerana kau kini sebenarnya masih berada dalam kancah lebuh raya kebusukan walaupun secara fisik kau sudah berada di luar lebuhraya kebusukan.”

Jika kita bertegas ingin mengatakan Shit’ adalah mengenai era 1999, kita akan terpaksa akur pula dengan pandangan Sophie Lemière, felo di Ash Center for Democracy, Universiti Harvard apabila beliau menegaskan: “Anwar may be his own biggest liability” kerana masih di takuk sama dan masih bergelumang dalam wacana dan gagasan, atau kincah yang sama seperti mana dalam tahun 1999 iaitu tahun Shit diterbitkan.

Lemière yang dilaporkan berdepan dengan masalah untuk masuk ke Malaysia minggu ini ikut menambah: “He is selling the same discourse and rhetoric he had for the past 20 years… [Whereas] Mahathir has been able to reinvent himself from authoritarian leader to credible democratic leader. He has completely rewritten history. [Anwar] has yet to reinvent himself and make new politics in the new Malaysia.”

Untuk rakyat Malaysia, gejala kebusukan ala-Shit pada tahun 1999 jangan dibiarkan membusuk kembali dalam tahun 2019.

Kita tidak mahu mewariskan Malaysia yang busuk kepada generasi baru mendatang tentunya.

Kalau memang tahi dan busuk kepala taik itu, jangan kita ikutkan. Kita tidak perlu menjadi barisan taik.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.