Banyak lagi ‘fitnah’ misteri yang belum dijawab

Keputusan presiden PAS menyelesaikan kes saman Sarawak Report di luar mahkamah menimbulkan pelbagai perbincangan.

Naratif perbincangan sudah tentunya dicetus oleh para ahli politik yang cuba mengupas isu ini untuk mempengaruhi minda rakyat demi mencari keuntungan politik untuk diri masing-masing.

Yang bersama PAS sudah tentu membawa hujah menyokong manakala yang memusuhi PAS pula akan menimbulkan segala macam keraguan terhadap kes berkenaan.

Namun, ini bukan topik utama rencana ini.

Persoalan utama hari ini ialah bagaimanakah rakyat dapat melindungi diri daripada pengaruh permainan politik sebegini agar mereka dapat membuat hipotesis yang betul dan tidak tersilap mempercayai apa yang palsu?

Antara perisai utama rakyat terhadap permainan membasuh otak ahli politik ialah mengamalkan sikap konsisten dan adil terhadap mana-mana isu yang dimainkan ahli politik di media dan mengingati sejarah. Kedua-dua perisai ini akan dapat menyelematkan minda rakyat daripada dibasuh oleh ahli politik.

Sikap tidak konsisten dan memori pendek rakyat adalah kelemahan yang sering dieksploitasikan ahli politik untuk mengaut keuntungan politik berdasarkan persepsi semata-mata.

Contohnya, ada ahli politik yang juga peguam menganggap keputusan Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk menyelesaikan kes saman Sarawak Report di luar mahkamah sebagai pengakuan tidak langsung kepada tuduhan menerima dana RM90 juta daripada Umno.

Jika begitu, bagaimana pula dengan dakwaan bahawa parti pembangkang yang kini menjadi kerajaan Malaysia telah menerima bantuan luar negara semenjak 15 tahun yang lalu berdasarkan pengakuan presiden International Republican Institute (IRI) Daniel Twinning yang tersebar tahun lalu?

Twinning menafikan dakwaan tersebut. Begitu juga dengan Datuk Seri Najib Razak yang menafikan dakwaan bahawa beliau mahupun Umno ada memberi dana RM90 juta kepada PAS.

Malah Najib menambah sekiranya ia benar, sudah tentu kerajaan Pakatan Harapan sudah mengambil tindakan setelah 9 bulan menyiasat akaunnya dan Umno.

PAS telah mengambil tindakan saman terhadap Sarawak Report dan akhirnya bersetuju menyelesaikan di luar mahkamah. Apakah parti komponen PH ada mengambil tindakan mahkamah terhadap Daniel? Belum. Siapa yang lebih maju setapak?

Bagaimana pula dengan dakwaan Mohamad Razali Abdul Rahman yang mendakwa wujudnya hubungan Israel dengan DAP yang menjadi tular dahulu? DAP juga tidak mengambil tindakan saman malah penasihat DAP Lim Kit Siang sekadar menyifatkan Abdul Rahman tidak layak untuk disaman dan dibawa ke mahkamah tetapi lebih sesuai untuk dimasukkan ke hospital mental.

Bezanya Razali ialah nobody, oleh itu tuduhannya tidak menjadi se-sensasi seperti dakwaan Clare Rewcastle-Brown, editor Sarawak Report. Yang samanya, kedua-duanya hanya membuat dakwaan dan belum ada bukti yang nyata.

Begitu juga dengan misteri kes-kes yang menyebabkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjara? Untuk kes 1999, antara Anwar dan Tun Dr Mahathir Mohamad, siapa yang benar, siapa yang fitnah? Apakah tindakan saman fitnah sudah diambil? Apakah tewas di mahkamah petanda dakwaan itu betul?

Berdasarkan perbandingan di atas, jika tindakan selesai luar mahkamah dianggap sebagai pengakuan tidak langsung, bukankah tiada tindakan saman juga boleh dianggap sebagai pengakuan langsung? Bagaimana pula dengan kes yang tewas di mahkamah, apakah ini bermaksud tuduhan yang didakwa fitnah itu betul?

Para ahli politik akan berusaha memastikan rakyat mempercayai satu-satu cerita politik mengikut naratif mereka. Perkara yang sama akan diulang-ulang sehingga rakyat mempercayai samada satu-satu fitnah itu adalah benar atau satu-satu benda benar itu adalah fitnah semata-mata untuk meraih keuntungan politik.

Apabila ahli politik berkawan semula, mereka mengharapkan rakyat tidak mengingati apa yang telah berlaku dan diucapkan dahulu.

Untuk melihat impak rakyat yang dibasuh otak, kita boleh mengambil contoh daripada nasib yang menimpa Najib.

Sekiranya Najib cuba melakukan penerangan seperti yang dilakukannya sekarang di Facebook sebelum pilihan raya umum ke 14, sudah pasti tiada rakyat yang akan mendengarnya. Ini kerana rakyat sudah diyakinkan oleh pembangkang bahawa beliau tidak boleh dipercayai kerana isu 1MDB.

Kini, rakyat sudah dapat mendengar Najib dengan jelas. Mengapa? Kerana isu 1MDB tidak lagi dapat menghalang minda mereka daripada disedarkan oleh kerajaan hari ini yang menyakinkan mereka sudah tertipu dengan janji-janji manifesto yang ditabur pada PRU14.

Jadilah rakyat yang celik politik. Jangan mudah terpedaya dengan persepsi dan menjadi mangsa persepsi. Jangan menjadi alat ahli politik menghukum orang tidak bersalah. Ini hanya dapat dilakukan jika rakyat menilai isu secara konsisten dan jangan bermemori pendek.

Berpada-padalah mempercayai apa yang diucap oleh ahli politik. Sesungguhnya politik hari ini bukan lagi dimenangi kerana kelebihan yang dibawa oleh seseorang ahli politik tapi kehebatan memperlekehkan lawannya.

“Politics has come to mean a disgraceful, disreputable, unjust, unfair system of trying to into office not on your own merits, but on the other fellow’s demerits.” – Napolean Hill.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.