Bagaimana kerajaan tempatan boleh hentikan pemanasan global

Baru-baru ini satu fenomena alam menakutkan menimpa kota Chicago. Terdapat laporan suhu pagi di bandar tersebut jatuh sehingga -30 darjah selsius. Punca kedinginan melampau tersebut disebabkan putaran udara artik yang berpecah daripada vorteks kutub yang selalunya mengelilingi Kutub Utara. Namun demikian, sebahagian besar saintis berpendapat isu sebenar yang melanda Chicago adalah gejala pemanasan global.

Masalah pemanasan global ini perlu diberi perhatian serius oleh kita, yang menginap di atas atau hampir garisan khatulistiwa juga. Ia bukan bermakna masalah yang menimpa bumi ini hanya terpilih di pelusuk tertentu sahaja, sementara kita terlepas dari sebarang krisis alam. Apatah lagi sifat alam yang sedia ada ini kita kongsikan antara barat dan timur.

Mendepani masalah pemanasan global dan mengertikan sifat alam semulajadi ini, bagaimanakah titik paling mikro dan kecil dalam entiti politik kita boleh dimanfaatkan untuk membantu alam kita yang kian uzur? Aspek ini akan disentuh dengan lebih lanjut kemudian. Pun, penting untuk kita fahami terlebih dahulu titik kecil dalam entiti politik negara ini, iaitu kerajaan tempatan dan menghubungkannya pula dengan masalah perubahan iklim di dunia.

Secara tipikalnya, sistem pemerintahan sesebuah kerajaan dapat dikategorikan kepada 3 tahap iaitu kerajaan pusat, kerajaan negeri, dan kerajaan tempatan. Di Barat, isu perubahan iklim sejagat dan masalah bencana yang timbul ekoran pemanasan global misalnya akan lebih banyak ditangani oleh kerajaan tempatan.

Seperti mana yang kita maklum, di Malaysia, kerajaan tempatan merupakan badan pentadbiran yang paling utama di peringkat bawah di mana kuasanya bersumber kepada Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171). Ia dikenali sebagai PBT. Kewujudan ciri-ciri moden kerajaan tempatan ini mendapat tempias khusus “bentuk yang lebih tersusun dan sistematik dikatakan bermula pada tahun 1801 di Pulau Pinang dengan penubuhan Jawatankuasa Penilai (Comitee of Assessors)”.

Seterusnya negeri selat ke-2 yang memiliki ciri-ciri kerajaan tempatan adalah pada 1848, di mana Melaka memperkenalkan Akta Cukai Perbandaran. Seterusnya “pilihan raya perbandaran yang pertama diadakan pada akhir 1857 dan 1858” yang mana sempadan perbandaran George Town dan Melaka digariskan secara jelas dan ahli lembaga dilantik daripada rakyat tempatan dan dipengerusikan oleh pegawai daerah.

Kerangka sedia ada kerajaan tempatan di Malaysia adalah seperti berikut:

Pertama, kerajaan tempatan adalah “sebuah kerajaan yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal tempatan, yang diwakilkan kuasa tempatan, yang diwakilkan kuasa kepadanya oleh kerajaan yang lebih tinggi sama ada kerajaan pusat dan kerajaan negeri”.

Kedua, ia “bertaraf lebih rendah daripada kerajaan pusat atau pihak berkuasa negeri (PBN) dan tertakluk di bawah kawalan kerajaan yang tertinggi daripadanya”.

Ketiga, ia dibenar “mempunyai kuasa autonomi yang terhad setakat mana yang dianugerahi kerajaan yang tertinggi kepadanya dan kuasa ini selalunya dalam bidang kewangan dan pentadbiran’. Keempat, ia adalah ‘satu badan yang berasingan daripada kerajaan yang tertinggi dan mempunyai kuasa yang mendakwa, didakwa, membuat kontrak dan mempunyai harta”.

Akhir sekali, ia “mempunyai keupayaan memberi kemudahan dan perkhidmatan kepada penduduk sesebuah kawasan”. Kerajaan tempatan ini adalah di bawah bidang kuasa PBT.

Di negara ini, kerangka kerajaan tempatan adalah “satu bentuk penurunan kuasa kepada pihak berkuasa tempatan” atau “desentralisasi kuasa yang memberi kebebasan dan autoriti kepada unit dalam agensi kerajaan”. Ini bererti, kuasa agensi pusat dibahagikan kepada beberapa fungsi lebih kecil dengan pembentukan “unit baru yang berada di luar kawalannya secara langsung”.

Nor Suhaiza Md Khalid, dalam kertas bertajuk “Konsep Desentralisasi Dalam Pentadbiran Kerajaan Tempatan: Suatu Analisis Konseptual” melihat “pelaksanaan proses penurunan kuasa dalam pelaksanaan sesuatu program pembangunan” ini adalah dalam bentuk, antara lain “pihak berkuasa tempatan mempunyai status korporat dan kuasa untuk mendapat sumber bagi melaksanakan fungsinya”.

Selain, ia “menjadikan pihak berkuasa tempatan sebagai satu institusi yang diterima oleh masyarakat setempat sebagai organisasi yang menyediakan perkhidmatan yang diperlukan oleh mereka”. Hubungan kerajaan tempatan dan kerajaan negeri dan pusat ini “menjadikan agensi pusat dan tempatan saling memahami, menguntungkan dan berhubungan antara satu sama lain”. Di sinilah kekuatan yang boleh dieksploit untuk membetulkan masalah sejagat kita.

Bagaimanakah kerajaan tempatan boleh mengatasi masalah perubahan iklim sejagat? Terdapat beberapa percubaan masyarakat barat yang menarik untuk kita renungi di sini.

Adalah penting kita melihat kerajaan tempatan sebagai entiti kuasa yang sangat berpengaruh, penting, langsung dan memberi kesan kepada kehidupan seharian kita sebagai rakyat. Turunnya Datuk Seri Najib Razak atau tidak, terimanya atau tidak PAS imbuhan berjumlah RM90 juta, atau jadi tidak Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri seterusnya; semua itu tidak berhubungan dengan kita. Yang paling dekat dengan kita ialah datuk bandar, penghulu dan ahli majlis yang akan membuat hidup kita teruk atau bahagia; seperti sampah sarap tidak diangkut, anjing gila melilau di kejiranan sementara semak samun menjadi sarang nyamuk dan ular. Atau tikus yang sekali-sekala melintas.

Inilah puncanya masyarakat di barat menoleh kepada majlis bandaran untuk mengatasi masalah kemanusiaan masa hadapan iaitu pemanasan global.

Untuk itu kita mesti memperakukan bandar atau kota adalah tempat interaksi, kreativiti dan teknologi. Pada 1990 sebagai contoh, 2.5 bilion penduduk dunia ini adalah penghuni bandar.

Anak-anak yang lahir di kota adalah dinamakan generasi metropolitan. Mereka mempunyai nilai tersendiri iaitu seperti alam itu sendiri mereka adalah satu kuasa pengimbang, selalunya toleran, dan terhindar dari fanatisme. Ciri-ciri ini tentulah sangat bergantungan dengan budaya, agama dan aspek lain yang tidak dapat dihuraikan di sini.

Oleh demikian, generasi metropolitan ini sangat penting dari segi budaya dan politik. Di negara seperti Malaysia yang mempunyai masalah birokrasi dan mudah tercetus ketegangan politik dan kaum, pengaruh yang murni dan paling waras akan datang atau terpusat di bandar yang akan terhindar dari politik nasional. Kestabilan politik akan datang dari bandar, datang dari generasi metropolitan.

Bandar atau kota boleh mengongsi idea, membina pakatan dalam soal gagasan, serta mencabar kerajaan pusat untuk memilih polisi terbaik seperti dalam hal pembuangan sampah, atau sisa plastik. Bahkan ia boleh diluaskan kepada polisi menangani kemiskinan, dan membaiki taraf kesihatan. Pendek kata, masalah seharian kita yang tidak memerlukan Najib, Datuk Seri Hadi Awang atau Anwar terletak di tangan datuk bandar dan ahli majlis.

Kita perlu memahami pencemaran datang dari bandar, dan mangsa pencemaran itu adalah penghuni bandar sendiri dan di tangan mereka lah satu keputusan akan dibuat untuk merubah nasib mereka. Apabila berlaku satu-satu bencana, seperti Chicago, yang perlu memberi reaksi dengan segera adalah generasi metropolitan ini bukan Rumah Putih.

Konsep ekonomi lampau adalah pembangunan ekonomi tertumpu kepada industri dan bisnes baru. Namun demikian, model pembangunan ekonomi yang terkini adalah menumpukan perhatian kepada menggubal keadaan yang dapat menghasilkan bakat (modal insan). Ini kerana gagasan perniagaan yang baharu adalah bakat menarik minat dana, bukan lagi dana menarik bakat. Di sinilah kerajaan tempatan akan berperanan secara cergas.

Pandangan saya ini bukanlah baru, dan sudah disuarakan oleh Michael Bloomberg (bekas datuk bandar New York) pada 2015 dalam artikel saranan beliau “Why Municipalities re The Key to Fighting Climate Change”.

Kita perlu mengerti, kerajaan Persekutuan tidak akan begitu peduli dengan pencemaran udara di kota sebagai misalan. Pembaikan harus dilakukan oleh kerajaan tempatan sendiri. Di tangan datuk bandar, pohon yang menghijau akan ditanam sebanyak-banyaknya demi mengatasi masalah tersebut.

Oleh sebab itu, untuk keselesaan, kerukunan dan kemaslahatan kemanusiaan masa depan; perhatian besar harus diberikan kepada generasi metropolitan.
Pembangunan efektif generasi metropolitan hanya boleh dilakukan oleh kerajaan tempatan. Yang mana PBT yang kreatif akan membangunkan komuniti, membina anak-anak, dan mengasah bakat mereka.

Selain membetulkan masalah bumi ini, seperti pembuangan sisa plastik, sampah sarap, pembersihan penjuru kota dari punca penyakit berbahaya (tikus, kelawar, atau anjing gila), kerajaan tempatan secara mikro dan paling kecil akan mengurangkan risiko bahaya pemanasan global dengan polisi terbaik demi kesentosaan hidup penghuni bandar ini.

Inilah sebabnya, kerajaan tempatan harus diberi kesempatan untuk bersaing demi mendapatkan polisi paling ideal. Untuk itu, Malaysia tidak punya pilihan lain, melainkan sekarang juga, iaitu memberi kuasa kembali kepada penghuni kota untuk menentukan nasib mereka yang terjejas sehari-hari ekoran birokrasi dan masalah nasional.

Persaingan antara kota ini bermaksud, dalam konteks negara kita, pilihan raya kerajaan tempatan tidak boleh dilengahkan lagi. Kita tidak boleh memberi alasan kepada generasi metropolitan yang canggih dan kompleks bahawa masalah mereka di tangan Hadi yang selalu ponteng Parlimen, atau di tangan Anwar yang mempunyai personaliti rumit. Yang boleh kita lakukan secara segera adalah memupuk kota atau bandar agar memberikan kesejahteraan kepada bumi ini. Untuk itu generasi metropolitan perlu menentukan takdir mereka.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.