Masalah pendanaan parti dalam demokrasi

Sekali lagi parti politik Malaysia berdepan pilihan raya kecil (PRK), kali ini ia akan berlangsung di DUN Semenyih. Maka sekali lagi parti politik perlu membelanjakan wang untuk menyertainya.

Dalam sejarah politik negara ini, selalunya parti yang menjadi kerajaan tidak Mempunyai masaLah kewangan untuk menghadapi PRK. Selain daripada mempunyai peluang untuk menggunakan jentera kerajaan, parti yang memerintah juga mempunyai dana politik yang lebih besar daripada pihak pembangkang. Itulah yang dinikmati oleh Umno dan Barisan Nasional (BN) selama ia berkuasa sejak negara ini mencapai kemerdekaan hinggalah kekalahannya pada PRU tahun lalu.

Tetapi nikmat yang dirasakan oleh BN tidak dapat dikecapi Pakatan Harapan (PH). Walaupun mereka menjadi kerajaan, PH tidak dapat menggunakan jentera kerajaan. Ini kerana mereka menetapkan parti politik tidak boleh menggunakan jentera kerajaan walaupun mereka memegang kuasa. Ia adalah selaras dengan nilai Malaysia baru, tadbir urus baik dan amalan deokrasi berparlimen. Bukan itu saja, PH juga tidak memiliki dana besar yang selama ini dinikmati oleh BN.

Maka sejak PRU14 tahun lalu, inilah pertama kali parti pembangkang iaitu Umno mempunyai kedudukan dana yang lebih baik daripada pihak parti yang memegang tampuk pemerintahan. Keadaan ini menyukarkan PH dan memberi kelebihan pada BN.

Walaupun BN kalah dalam pilihan raya 9 Mei 2018 itu tetapi mereka tidak sukar untuk bertanding di PRK yang berlaku selepas itu. Malah mereka turut berupaya memenangi PRK Parlimen Cameron Highlands. PRK itu buat pertama kalinya dimenangi Umno dan BN ketika mana mereka tidak lagi menjadi parti kerajaan persekutuan.

Semasa kempen, ternyata dana yang dimiliki Umno dan BN mampu membiayai gerak kerja termasuk kegiatan tentera siber mereka dalam alam maya. Banyaknya tentera siber baru anti PH yang muncul dalam pelbagai bentuk sejak akhir-akhir ini menunjukkan mereka menggunakan dana yang boleh dibelanjakan dengan lancar.

Berbanding PH, terutamanya kempen di kawasan Melayu, dapat dirasakan mereka mempunyai masalah dana. Ini termasuklah dalam gerak kerja Amanah yang sepatutnya berperanan besar di kawasan penyokong PAS.

Dari segi teori dalam amalan demokrasi berparlimen dengan pelbagai parti, pendanaan politik dibiayai oleh para penyokongnya. Maknanya bukan saja pembiayaan itu datang dari kewajipan bayaran yuran keahlian tetapi lebih penting lagi ialah derma dari orang ramai, khususnya penyokong.

Tetapi untuk mengharapkan derma dari penyokong biasa adalah tidak mencukupi lebih-lebih lagi pada zaman ini, yang mana perbelanjaan untuk kempen pilihan raya memerlukan pembiayaan besar. Derma atau sumbangan yang berkesan perlu datang dari penyokong luar biasa. Apa yang dimaksudkan dengan penyokong luar biasa adalah mereka yang berharta atau memiliki kemampuan kewanganyang besar. Seperti apa yang berlaku di negara demokrasi Barat, dermawan kaya inilah yang memberi sumbangan besar pada calon pilihan raya yang mereka sokong.

Ada 2 masalah terhadap demokrasi yang datang dalam soal sumbangan dari golongan kaya ini. Oleh kerana wang boleh menentukan kemenangan dalam pilihan raya, maka pihak yang didokong oleh golongan kaya akan sentiasa berjaya. Memandangkan golongan ini bukanlah majoriti dalam mana-mana masyakat, maka demokrasi akan menjadi plutokrasi, atau pemerintahan golongan kaya. Sebab itu di banyak negara terdapat peraturan mengehadkan jumlah dana parti politik yang digunakan untuk tujuan pilihan raya.

Masalah kedua ialah berhubung dengan terhutang budi. Seharusnya seseorang itu memberi dokongan kepada sesuatu parti adalah kerana prinsip, idealisme, ideologi atau kepercayaan pada tokoh tertentu. Ia pula dibuat dengan ikhlas, iaitu bukan kerana untuk mendapat habuan atau laba tertentu tetapi lebih kepada demi kepentingan rakyat dan negara. Pulangan yang dikehendaki oleh penderma politik itu adalah dalam bentuk kesan secara tidak langsung kepada dirinya sebagai seorang warganegara.

Tetapi pada realiti dan praktikalnya perkara itu tidak terjadi. Kebanyakan golongan kaya dalam sistem ekonomi liberal yang diamalkan oleh hampir semua negara di dunia adalah terdiri daripada ahli perniagaan. Kalau tidak pun, kebanyakan anggota masyarakat adalah pemegang saham. Sekurang-kurangnya kebanyakan warga negara adalah penyimpan wang dalam institusi kewangan. Paling kurang mereka adalah pencarum pada institusi seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Awam Persaraan (KWAP) dan Tabung Haji.

Maka sememangnya dalam sistem demokrasi, penyumbang itu seharusnya bersifat ikhlas. Maknanya derma mereka adalah untuk kebaikan negara dan hasilnya kelak, jika parti yang didokongnya menang, maka ia akan mendatangkan manfaat kepada semua orang pada umumnya, dan bukannya pada dirinya sahaja.

Tetapi pada realitinya, apa yang berlaku, apabila seseorang ahli perniagaan memberi sumbangan dana kepada sesuatu pihak, apa yang diharapkan ialah untuk mendapatkan projek kerajaan apabila parti yang didokongnya menang kelak. Lebih-lebih lagi jika sumbangan yang diberikan itu besar. Ditambah pula jika ahli perniagaan merupakan proksi ahli politik hingga berlaku percanggahan kepentingan yang akhirnya menjejaskan semangat demokrasi.

Sebab itu ada negara yang mengenakan peraturan supaya adanya ketelusan dalam soal pendermaan politik. Ini supaya orang ramai mengetahui siapa penderma bagi sesuatu pihak. Ini bagi mengelakkan percanggahan kepentingan dalam pemberian projek. Di sudut lain pula, ada negara yang membuat peraturan semua pendermaan hendaklah dibuat secara tidak menghebahkan nama, iaitu supaya penderma tidak boleh menjadikannya sebagai bahan ungkitan untuk mendapatkan projek.

Walaupun banyak mana peraturan tetapi akhirnya ia bergantung pada keikhlasan seseorang penderma sebagai warganegara bertanggungjawab pada sistem demokrasi. Jika tidak ikhlas, seseorang itu akan mencari jalan untuk melangkaui segala peraturan bagi mendapatkan apa yang dihajati.

Bagi mengelak daripada bergantung pada derma, parti politik sering memikirkan perlunya mereka mempunyai sumber kewangan sendiri. Ini bermakna parti politik memasuki dunia perniagaan. Atau sekurang-kurangnya memiliki hartanah yang mana hasil sewanya boleh membiayai kegiatan parti. Adakalanya bentuk perniagaan itu adalah berupa koperasi untuk ahli. Ataupun syarikat media dan institusi pendidikan.

Umno mempunyai bangunan yang tersergam iaitu Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan berhasrat untuk membina kompleks yang lebih besar walaupun nasibnya tergugat apabila kalah pilihan raya lalu. MCA juga mempunyai bangunan di tanah prima, dan juga sedang merancang bangunan lebih besar. MIC, Gerakan dan myPPP juga mempunyai bangunan sendiri. Belum dikira lagi bangunan di merata-rata tempat di seluruh negara.

Apabila parti politik berniaga, ia mendatangkan masalah tersendiri dan menimbulkan banyak isu percanggahan kepentingan. Ketika BN memerintah, pihak pembangkang terutamanya DAP sentiasa menimbulkan isu etika kewangan parti BN.

Maka apabila Pakatan Rakyat, dan kemudiannya PH ditubuhkan, mereka memperjuangkan urus tadbir kerajaan yang baik. Mereka mahukan ketelusan dan amalan tender terbuka. Begitu juga, parti politik tidak boleh menggunakan jentera kerajaan untuk urusan parti. Dalam hal pendanaan parti, Tun Dr Mahathir Mohamad ada berkata PH mengambil keputusan parti politik mereka tidak dibenarkan terlibat dengan perniagaan.

Jadi parti politik PH mempunyai masalah pendanaan. Mereka mengharapkan sumbangan derma daripada orang ramai melalui majlis makan.

Tetapi hasilnya tidak banyak. Sebelum menang pilihan raya, mungkin banyak pihak mahu menderma kerana mahukan BN tumbang. Tetapi sekarang PH sudah menjadi kerajaan. Bagi ahli perniagaan, umumnya mereka mahukan projek. Mereka boleh menderma tetapi ia perlu dibalas dengan projek. Tanpa projek, mereka tidak memperoleh pendapatan. Lebih-lebih lagi keadaan sekarang yang mana ekonomi dalam keadaan yang belum bangkit.

BN mempunyai dana kerana mereka mempunyai simpanan harta yang dikumpulkan sepanjang 60 tahun pemerintahan, baik secara langsung atau tidak langsung. Tetapi parti PH sedang menghadapi masalah pendanaan. Iaitu bagaimana hendak mendapatkan pendanaan yang mematuhi undang-undang dan menepati etika berpolitik dalam negara demokrasi?