Ijazah YB dan beruk di kampus

Sehari dua ini timbul isu beberapa orang menteri kabinet memalsukan fakta mengenai pendidikan mereka.

Sama ada isunya universiti tanpa akreditasi, tidak menamatkan pengajian atau pun fakta pendidikan di Wikipedia yang semberono; isunya adalah; menurut segelintir pihak “ketiadaan integriti” atau ada yang menggunakan ungkapan pembohong.

Kita mesti mengingat, ahli politik beroleh kerja kerana kita rakyat memberi mereka kerja berdasarkan persembahan, kerajinan dan kerja keras di lapangan.

Saya percaya, kita tidak sangat mengundi ahli Parlimen atau ahli Dewan Undangan Negeri kerana ijazah mereka.

Saya percaya pengundi di Kota Raja mengundi Mohamad Sabu kerana rekod dan kefasihan beliau.

Juga, pengundi Ampang tidak perlu peduli dengan ada atau tidak ijazah Zuraida Kamaruddin memandangkan mereka telah memilih beliau sebanyak tiga penggal.

Demikian, tidak ada siapa di Langkawi meminta untuk melihat gambar konvokesyen Tun Dr Mahathir Mohamad. Orang hanya mentertawakan “foto konvo” biasa-biasa Najib.

Saya tidak fikir orang Simpang Renggam terlalu memikir akan PhD milik Maszlee Malik tatkala memangkah kotak undi di sebelah nama beliau.

Ahmad Maslan kekal dipilih di Pontian kerana kerja beliau di kawasan tersebut meskipun sedikit sebanyak jumlah undinya terkesan dengan revolusi senyap 9 Mei.

Orang Kelantan Hilir dan DUN Chempaka memilih Nik Abdul Aziz dalam tahun 1967, berlarutan saban penggal; saya fikir bukan sangat kerana almarhum memiliki Sarjana dari Al Azhar.

Sukar untuk kita menghujahkan Haron Din yang menjadi profesor di Universiti Kebangsaan Malaysia pada 1986 ditolak orang Arau kerana pengundi di situ dalam tahun 2004 dan 2013 merasakan ijazah kedoktoran beliau tidak ada harga.

Gamaknya, pengundi di situ memang rimaskan Dr Haron, dan kasih rindukan Shahidan Kassim.

Sistem pilihan raya kita adalah Yang Berhormat mewakili rakyat di kawasan tertentu sahaja. Kalaupun mereka menyembunyikan fakta pendidikan mereka, yang memilih akan dengan sedar melantik politikus ini ke Parlimen kerana sebab-musabab yang banyak juga.

Pendidikan mungkin hanya satu faktor kecil. Mereka belum tentu dapat dihujahkan membohongi pengundi di kawasan tersebut meskipun kita boleh sepakat mengatakan ini isu etika.

Saya percaya, ramai rakyat Malaysia menukar kerajaan tempoh hari kerana muak dengan episod malu bertimpaan malu yang menempias wajah kita apabila bekas perdana menteri dikaitkan dengan aneka skandal kewangan.

Kemudian ada orang bersorak, yang dipertikaikan sangat bukan ijazah atau sijil tetapi integriti. Maka, mereka yang punya ijazah dan sijil pun masuk gelanggang dan menempik seolah-olah mereka punya banyak maruah dan kehormatan. Termasuklah Profesor. Termasuklah mufti.

Seolah-olah ijazah dan integriti itu datang dan lahir berpasangan.

Mereka salah.

Saya akan menanti pencen untuk menceritakan ragam ahli akademik, yang profesor belaka, yang hebat-hebat dan berdegar ilmunya, yang fasih segala pakat fakta untuk digorengkan kepada massa. Nanti satu hari akan saya novelkan mereka.

Akan tetapi saya boleh mengatakan di sini; untuk memadankan ijazah dengan integriti amat jauh sekali. Sewaktu saya melangkah masuk universiti sebagai pengajar, saya masih membawa harum bau sebagai siswa; makanya saya menyangka saya menerobos ke dalam taman bunga yang buahnya ilmu.

Rupa-rupanya di hari pertama saya sudah salah. Saya masuk ke dalam taman haiwan. Ya, memang banyak beruk di kampus tetapi monyet dengan kedoktoran jauh lebih binatang.

Di universiti ada macam cara integriti dihinjak. Ia bermula setiap pagi. Ada ahli akademik menenggek kertas siswa untuk membolehkan wang geran turun bagi meloloskan diri ke luar negara.

Ada yang menggunakan posisi untuk menekan orang bawah kerana nasihat ahli parti.

Berapa ramai pensyarah ingin melolos jawatan “profesor madya” dengan menerbitkan hasil kerja tidak seberapa di jurnal predator berbayar.

Jadi apa hairannya jika Mahfuz Omar memiliki pengiktirafan dari universiti berbunyi seperti Inggeris “Belford” sedangkan kilang cetak sijil itu di Karachi.

Sejak saya di Universiti Malaya lagi sudah kedengaran profesor menuliskan tesis pembesar. Ada profesor yang pandai menari dengan naib canselor di sebuah universiti senang-senang naik pangkat meskipun hanya ada satu atau dua kertas terindeks.

Ada ahli akademik melakukan plagiarisme, memalsukan fakta dan ada menggunakan kuasa yang ada untuk berbalah dengan ahli fakulti untuk menjadi dekan.

Tentu, menjadi dekan tidaklah sampai dapat elaun beribu-ribu tetapi mereka mempunyai semacam kehormatan dan kemuliaan dalam masyarakat. Jika mereka dihimpit pembesar atau ahli politik, ia boleh dihujahkan sebagai jaringan industri atau faktor kerujukan yang membolehkan markah mereka ditokok untuk naik pangkat.

Pokoknya, pagi ahli akademik kadang bermula dengan kenajisan, dan tidak semestinya kejernihan. Pelajar belajar dari perangai profesor dan membawa perangai yang sama. Bila mereka terjun ke masyarakat, mereka sudah mengerti pun selok belok melebai.

Integriti mereka yang berijazah kadang jauh lebih rendah dari peniaga ayam di pasar borong atau penanam maman di Gemencheh.

Pengundi memilih kerana sebab yang banyak. Salah satu faktor yang mereka merasakan penting adalah “yang berkhidmat”.

Seorang menteri dengan ijazah belum tentu memiliki pasukan kerja untuk melihat ehwal rakyat dengan berkesan.

Ada menteri berijazah yang tidak dapat mengendalikan mesyuarat atau mengkoordinasikan pasukan yang sudah sedia berbakat.

Ada menteri setakat lulus sekolah tinggi tetapi mampu menggerakkan kerjasama antara ahli pasukan mereka dengan penuh berkesan.

Ijazah tidak mendatangkan keyakinan untuk bekerja selaku ahli politik. Ramai yang berijazah tidak mampu berhubungan dengan masyarakat dengan baik. Seperti ramai pensyarah yang bergulungan ijazah gagal untuk mengajar kerana lemah pedagogi.

Saya tidak ingin mempertahankan menteri yang tiada ijazah, yang ditendang keluar pengajian tinggi kerana selalu demonstrasi, atau menteri yang merasakan penting punya ijazah lalu memburunya melalui institusi palsu. Saya percaya, dengan kehebohan sekarang mereka akan insaf.

Memang dalam 8 bulan ini kita rakyat malah gelisah resah kerana tidak banyak perubahan terlihat. Bahkan kleptokrat sudah bertukar menjadi badut. Dan ada orang menabiknya. Itu tidaklah memeranjatkan.

Sebenarnya kita rakyat terbanyak tidak pun mempunyai banyak pilihan ketika mengundi dalam PRU lepas. Siapa bilang Pakatan Harapan lebih baik dari Barisan Nasional?

Kita hanya punya satu pilihan yang teruk dan memalukan dan yang satu lagi belum pun kita cuba lagi. Kita baru menguji mereka di kerajaan itu baru 8 bulan. Kita mesti berwaras, kita memilih pasukan politik dalam kerajaan hari ini bukan sangat kerana mereka lebih integriti.

Tetapi kerana tangan sebelumnya berlumuran kotor dan sifar maruah. Mereka tak reti malu.

Baguslah Melayu sudah pandai berintegriti, sejak era Wan Empo’ dan Wan Malini baru inilah agaknya Melayu moden fasih dan mahir akan integriti. Padahal sejak dulu-dulu lebai pun kita tahu tiada integriti.

Tetapi Melayu moden lebih sukakan lebai, konon ada integriti dan calonnya ramai yang ada PhD. Itu sebabnya dalam budaya Melayu, untuk kata lebai itu ada padanan seperti “lebai kelarah” yakni lebai yang busuk hati (suka mengumpat dan mencela orang).

Patutnya pada zaman moden ini kita boleh juga menjelmakan kata baharu seperti “Lebai Vellfire” atau “Lebai Porsche”, atau “Lebai BMW R1200RT”.

Orang dahulu siap ada pantun untuk lebai yang patutnya ada integriti:

Sungguh beruntung membeli petai,
Baunya wangi di mulut orang;
Sungguh beruntung menjadi lebai,
Ke mana pergi perutnya kenyang.

Justeru tidaklah menghairankan, ada “mufti suka menyampuk” yang ingin tumpang semangkuk melelas menteri yang menyembunyikan fakta pendidikan.

Dalam Kamus Dewan ada menyebutkan ungkapan “lebai ketayap” yang bererti lebai yang menyangka dirinya mempunyai pengetahuan yang luas tentang agama tetapi sebenarnya tidak.

Satu masalah kita ialah kita masih buta politik, kita mesti mengakuinya. Kita menunggu enam dekad untuk menukar pemerintah.

Kita tidak nampak mutiara dan intan kerana kita terbiasa memangkah tudung botol kicap sebagai Yang Berhormat. Jadi, kalau tiba-tiba ada yang berteriak integriti memang sangat aneh.

Kita mesti faham, di dalam kebutaan politik selama ini kita mungkin gagal membaca kehebohan yang bukan kehebohan ini terjadi lantaran dua sebab.

Pertama, kerana kita buta politik kita tidak nampak bahawa kehebohan ini dijana atau dianimasikan agar menenggelamkan satu-satu skandal, isu atau ehwal.

Ia mungkin juga – kata saya mungkin – digerakkan oleh ahli politik yang lebih licik dan berang untuk mendorong rombakan kabinet.

Kita mesti ingat, politik bukan lowong yang suci. Ia penuh dengan agenda jatuh menjatuhkan. Menteri yang disasarkan kerana tiada ijazah, atau didakwa menipu fakta pendidikan itu jika direnung sedang dibidak catur politik yang jauh lebih juara di atas. Pengundi atau masyarakat yang buta politik tidak akan memikir sampai ke situ.

Kedua, katakanlah kehebohan ini bukan janaan musuh politik dari parti lain atau parti sendiri (musuh dari parti politik sesama sendiri). Katakanlah bukan gerakan politik.

Tetapi adalah tuntutan integriti yang datang dari jiwa masyarakat yang suci. Makanya masyarakat telah menyasarkan hala yang salah.

Politikus memalsukan atau menyembunyikan fakta pendidikan mereka itu adalah, hanya satu gejala. Ia hanya satu simptom penyakit. Seperti biasa masyarakat buta politik akan hanya mahu merawat simptom dan gejala. Mereka tidak nampak akarnya.

Akar kehebohan ini adalah obsesi kita dengan kemuliaan palsu secara jalan pintas. Ia bukan sahaja menimpa Yang Berhormat tetapi juga menimpa para profesor.

Bahkan, menurut saya, Yang Berhormat adalah mangsa. Kemudian rakyat pula dimangsai.

Sebenarnya masalah kita bukan sangat menteri tiada ijazah, atau pura-pura ada ijazah. Masalah kita ialah, kita masih tidak kenal kaca dengan intan.

Orang Melayu ada peribahasa, intan itu jika terbenam di pelimbahan sekalipun, tiada akan hilang cahayanya. Kita memilih ahli politik untuk mewakili kita kerana faktor kemenjadian dan kebolehkerjaan mereka.

Integriti? Baguslah kalau ada, dan rakyat sudah sedar. Kita tunggu pusingan lain, pilihan raya umum ke-15.

Lain kali, ahli politik mesti berjujur. Sekali ini kita ampunkan mereka. Bukan sangat kerana rakyat ingin melupakan; tetapi kerana kita tidak sanggup lebai dan rempit tiada malu perasan Nabi tuptup bertaut lantas terangkat kembali memerintah. Naudzubillah.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.