Kenapa exco Johor tidak pertahan MB dipalit kontroversi?

(Bernama pic)

Kita lihat saban hari, Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian diserang dan dikecam netizen. Tidak kiralah di media cetak mahupun media sosial, beliau tidak henti-henti dibelasah pelbagai soalan peribadi mahupun urusan kerja.

Apa tidaknya, apabila dipalit kontroversi, Osman seolah-olah lebih selesa mendiamkan diri berbanding mempertahankan diri seperti pemimpin lain yang turut bergelumang dengan kontroversi. Misalnya, Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya yang sebelum ini berdepan dakwaan ijazah palsu seperti Osman.

Nampaknya, Marzuki lebih bijak mengawal situasi dengan tampil mempertahankan diri dan mengemukakan bukti. Tetapi, Osman bertindak sebaliknya dengan terus mengunci mulut.

Sedar atau tidak, di sebalik kontroversi dihadapi Osman, jarang sekali kita melihat exco negeri yang berani tampil mempertahankan menteri besar mereka.

Keadaan ini membuatkan saya tertanya-tanya adakah Osman mentadbir negeri ini bersendirian, sedangkan beliau pernah memerli bekas menteri besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang beliau memiliki barisan exco hebat dan mampu membuat kerja sehingga berjaya merebut jawatan itu daripada Khaled.

Jadi, persoalannya sekarang, di manakah barisan exco yang dahulunya dikatakan hebat dan mampu membuat kerja?

Apa yang menghairankan, jika mereka dikatakan “hebat”, kenapa tidak ada seorang pun yang sanggup membantu pemimpin mereka menjawab isu berbangkit? Jauh sekali mahu berdiri di barisan depan mempertahankan pemimpin mereka.

Tetapi, apa yang dapat dilihat ialah kebanyakan exco Johor hari ini lebih memilih untuk membisu dan memekakkan telinga sahaja.

Adakah exco kerajaan negeri sendiri malu mempertahankan Osman sebagai menteri besar Johor yang tidak sudah-sudah terpalit bermacam-macam kontroversi, tidak kira di peringkat negeri mahupun pusat?

Dahulu, kita lihat ketika zaman Khaled, jika ada isu membabitkannya, pasti setidak-tidaknya exco negeri ketika itu akan mengeluarkan kenyataan untuk mempertahankan beliau.

Jadi, di sini dapat dilihat exco zaman Khaled sebenarnya yang menjadi contoh terbaik yang patut diteladani, malah inilah tugas hakiki exco negeri untuk sentiasa memberi sokongan dan perlindungan, jika pemimpin mereka diserang.

Tetapi, berbeza situasinya sekarang, exco lebih suka membuat hal sendiri berbanding ambil tahu perkembangan menteri besar mereka.

Adakah tindakan mendiamkan diri exco Johor ini mempunyai maksud tersirat atau sememangnya exco negeri suka Osman diserang untuk memudahkan mereka menggantikannya?

Dhia Hani ialah penyelidik Persatuan Pemikir Muda Johor.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.