Datuk Bandar wanita dan penghuluwati kampung

Baru-baru ini saya membaca berita sebuah gerakan yang diberi nama Girl2Leader Malaysia.

Saya tertarik apabila presidennya, Nurainie Haziqah Shafi’i (yang kemudian saya ketahui adalah juga ketua Srikandi PKR) mengatakan begini, “Kami merancang untuk merekrut perempuan muda (baca: remaja) yang bersemangat dalam hal-hal melibatkan komuniti, dan menganjurkan sesi orientasi untuk memperkenalkan gerakan Girl2Leader agar nilai yang paling teras difahami.”

Saya mendapati gerakan Girl2Leader ini adalah satu gerakan sejagat yang merupakan kempen oleh Women Political Leaders Global Forum (WPL) dalam tahun 2017.

Objektif gerakan ini seperti yang tercermin dalam kenyataan Nurainie adalah untuk menggalakkan wanita dan perempuan muda untuk ikut terlibat dalam politik.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin yang ikut hadir dalam pelancaran gerakan Girl2Leader Malaysia itu terus-terang menyatakan, dalam tempoh 5 tahun, beliau mengharapkan 30% penyertaan wanita dalam posisi yang boleh membuat keputusan.

Zuraida adalah wakil Malaysia dalam Women Political Leaders Global Forum (WPL).

Tidaklah menghairankan juga, baru-baru ini Zuraida menuntut agar kerusi Rantau ditandingi oleh wanita Pakatan Harapan. Kata beliau, “Saya akan minta agar kali ini diberikan peluang kepada calon wanita untuk bertanding memandangkan Negeri Sembilan adalah negeri yang mengamalkan adat perpatih yang mengutamakan wanita dalam keluarga.”

Saya tidak ingin membahaskan molek atau tidak penyertaan wanita sebagai calon pilihan raya kecil Rantau. Seruan Zuraida itu ibarat oksigen bersih berbanding kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang bersifat “victim blaming” apabila menasihatkan wanita agar mengelak daripada berjalan seorang diri di tempat awam terutamanya ketika waktu sunyi iaitu pada awal pagi dan lewat malam. Beliau mengulas kejadian seorang wanita dipukul dalam lif MRT di Kuala Lumpur.

Membaca berita mengenai penubuhan atau pelancaran Girl2Leader Malaysia dan seterusnya desakan Zuraida agar lebih ramai wanita diberi suara dalam politik mengingatkan saya dengan segera pula penyertaan wanita dalam gerakan politik kerajaan tempatan India.

Hal ini menarik kerana kerajaan tempatan juga berada di bawah kuasa Zuraida.

Saya berpendapat ada sesuatu yang dapat dipelajari oleh Nurainie dan Zuraida dari India. Sementelahan Zuraida menyebutkan adat perpatih, di India sebagai perbandingan terdapat satu sistem tradisional yang dinamakan Panchayat.
Sistem Panchayat ini adalah tulang belakang demokrasi di mana sejak penubuhan India, Mahatma Gandhi memang memperjuangkan supaya sistem ini diperkukuhkan.

Hasrat Gandhi itu menjadi kenyataan pada 24 April 1993 apabila Parlimen India meluluskan apa yang dinamakan peraturan ke 73 dan 74, Seventy Third Amendment Act.

Akta ini memperuntukkan 33% kerusi di semua peringkat struktur panchayat (kerajaan tempatan) khususnya untuk wanita pedalaman.

Membaca peraturan ke-73 dan 74 Perlembagaan India, akta tersebut memberikan satu ruang yang sangat luas dalam Panchayat untuk wanita bersuara. Inovasi legislatif yang segar ini membolehkan wanita untuk ikut terlibat dalam desentralisasi politik berbentuk pengurusan, perancangan dan pembangunan.

Dukungan kerajaan pusat terhadap institusi Panchayati Raj mendorong kerajaan negeri melakukan lebih lagi. Dalam tahun 2009, kerajaan negeri Rajasthan, Odisha, Bihar, Chattisgarh, Madhya Pradesh, Rajasthan, Himachal Pradesh, Uttarakhand, dan Kerala memperuntukkan 50% kerusi Panchayat untuk wanita. Sementara kerajaan negeri Sikkim memperuntukkan 40% kerusi Panchayat untuk perempuan.

Niat kerajaan India tidak lain tidak bukan adalah untuk meningkatkan kesetaraan dan keugaharian gender agar khidmat awam seperti kesihatan, pengairan, kebersihan termasuk sanitasi, air minuman, penjagaan anak-anak dan apa sahaja yang langsung dengan wanita diberikan kepada wanita untuk membuat keputusan mereka.

Sayugia diingatkan, usaha ini hanyalah satu usaha luaran yang memerlukan perubahan minda.

Di India, meski Panchayat atau kerajaan tempatan ini dibarisi oleh kaum wanita, akan tetapi diskriminasi terhadap wanita masih berakar dan besar.

Keselamatan wanita masih menjadi isu di India di mana kejadian rogol masih berleluasa. Ini mencegah wanita menjadi ejen politik yang berkesan di mana hambatan sosial melibatkan pendidikan, kehormatan terhadap wanita, sistem patriarki, struktur kasta, dan keganasan fizikal ini melambatkan perubahan dan keberkesanan untuk wanita India.

Akan tetapi polisi menetapkan jumlah besar untuk kaum wanita dalam Panchayat ini paling tidak telah merubah satu hal yang besar di India, khusus di peringkat kampung dan daerah: korupsi.

Terdapat banyak kajian menunjukkan peruntukan besar untuk perempuan dalam politik mengurangkan rasuah, keganasan dan melunturkan kuasa lelaki untuk bermaharajalela.

Selain itu, diskriminasi terhadap kaum atau kasta rendah seperti Dalit juga semakin dapat dikawal.

Seperkara lagi yang menarik apabila Zuraida menyandarkan hasrat agar kerusi Rantau diisi oleh calon wanita adalah apabila beliau menyandarkan hujah dan seruan beliau itu dengan adat perpatih. Dalam hal ini sekali lagi, kita boleh belajar dari negara lain.

Lebih menarik, kita boleh melihat sebuah negara Islam iaitu Maghribi.

Pada 1958, Maghribi menerima pakai Moudawana, sebuah kod undang-undang keluarga tradisional yang menyelenggarakan aspek seperti poligami, dan perkahwinan paksa yang ditolak dan diperdebatkan ramai perempuan Maghribi.

Sebuah gerakan yang diberi nama l’Union de l’Action Féminine, memperjuangkan agar satu reformasi Moudawana dilakukan.

Pada 1992, satu juta tandatangan dihimpunkan untuk mendesak kesetaraan dan kesamaan gender dalam undang-undang keluarga yang mana mencapai klimaks apabila berlaku satu reformasi Moudawana (menerusi “Personal Status Code”) dalam tahun 2004 dan diterap dalam Perlembagaan Maghribi pada 2011.

Membaca teks Moudawana pasca reform 2004 memperlihatkan hak-hak yang banyak untuk wanita di mana mereka boleh menentukan nasib sendiri termasuk hak penjagaan anak, perceraian, mengetatkan poligami, menaikkan had perkahwinan dari 15 ke 18 tahun dan menjadikan gangguan seksual satu kesalahan jenayah yang boleh dihukum.

Ia serta-merta meningkatkan kualiti kehidupan wanita di mana mereka berhak untuk berkelana dengan merdeka, mendapatkan pendidikan dan pekerjaan, dan menentukan hak perkahwinan.

Sejak itu juga 12% kuota untuk perempuan diluluskan dalam pilihan raya kerajaan tempatan tahun 2009, yang membolehkan peningkatan wakil wanita.

Sejak perubahan itu juga anak-anak perempuan yang ke sekolah telah meningkat dari 52% dalam tahun 1991 kepada 112% dalam tahun 2012.

Dalam pilihan raya umum 2003, dari hanya 1% wanita memenangi kerusi pilihan raya, pada tahun 2014, 17% kerusi diduduki wanita yang merupakan terbesar dalam rantau tersebut (Afrika Utara).

Apabila Zuraida menyebutkan adat perpatih, kita di Malaysia boleh memanfaatkan undang-undang adat yang istimewa ini dalam mereformasi perlembagaan dan undang-undang agar suara wanita akan lebih didengari.

Adalah menghairankan kita di Malaysia masih teragak-agak untuk memberi ruang yang lebih buat wanita dalam politik. Kita memerlukan satu gerakan yang tersusun dan berpengaruh seperti kumpulan yang dipimpini Nurainie Haziqah Shafi’i, Girl2Leader Malaysia, untuk memberi pendidikan agar suara wanita didambai dan bukan dikhuatiri.

Mereka boleh belajar dari l’Union de l’Action Féminine sementara Zuraida boleh menyemak usaha yang dilakukan India dalam sistem Panchayat (kerajaan tempatan) mereka.

Kita di Malaysia pandai menyerap sesuatu yang asing dengan cepat seperti K-Pop dan Arabisasi (baca: Gulfisasi). Tidak ada sebab pula hal-hal yang baik sebegini tidak kita rujuk dan kita ketepikan.

Kita mengharapkan pilihan raya kerajaan tempatan menjadi kenyataan di bawah kerajaan Pakatan Harapan, dan ramai Datuk Bandar wanita, ahli majlis perempuan bahkan penghuluwati di peringkat kampung yang akan mencegah korupsi, menyusun dan mentadbir bandar dengan indah dan berkesan seperti mana yang kita lihat di rumah apabila ia dijayakan oleh ibu dan isteri kita.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.