Strategi badut Najib

Dalam sebulan dua ini, perhatian kembali diberikan kepada Najib Razak, bekas perdana menteri ekoran perubahan pendekatan kumpulan politik beliau.

Sesuai untuk mendepani kes demi kes mahkamah yang sedang bersusun, dan menenggelamkan segala aspek negatif mengenai kebejatan pentadbiran beliau sebelum pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Juga, demi meluruskan semula persepsi tingkah laku isteri dan ahli keluarga Najib, kumpulan yang menangani imej atau citra, dan juga pemain komunikasi Najib telah bertindak dengan satu strategi seragam, saya namakannya strategi badut.

Strategi tersebut mudah dan licik, dan bukannya menunjukkan kepandaian Najib. Strategi tersebut ialah menenggek kebodohan sebahagian besar rakyat yang “buta huruf politik”.

Bagaimanakah strategi itu dilakukan? Pasukan Najib menggunakan teori komunikasi massa dengan lincah dan media pula malangnya, dengan cepat membeli.

Teori komunikasi massa seperti yang dikemukakan Melvin L De Fleur dan Sandra Ball-Rokeach (1980) dan boleh dibaca menerusi terjemahan Dewan Bahasa dan Pustaka 1982 yang menjelaskan 2 jenis komunikasi dengan massa oleh politikus.

Komunikasi pertama ini antara lain bercirikan berikut:

a. Merendahkan cita rasa rakyat. Strategi ini dilakukan dengan menghujahkan rakyat telah melakukan kesilapan membuang Najib dan Barisan Nasional (BN) yang korup kerana mereka lebih baik berbanding Pakatan Harapan (PH).

b. Melekakan atau membuai rakyat ke alam politik cetek. Strategi ini dengan cara menujah aspek sensasi meriah riuh, tetapi tanpa kedalaman isi, seraya menjadikan rakyat sebahagian peserta “fun fair”. Najib menggunakan pelbagai slogan yang memuaskan penggemar “low culture”.

Komunikasi di atas bertentangan komunikasi kedua – komunikasi demi kesejahteraan masyarakat. Komunikasi jenis ini menurut De Fleur dan Ball-Rokeach, antara lain bercirikan:

a. Mendedahkan kejahatan dan perbuatan rasuah, yakni hanya masyarakat prihatin dan berpendidikan dengan hala tuju negara yang akan memberikan perhatian kepada kebobrokan korupsi dan menginginkan sifat unggul peradaban.

b. Petunjuk kebebasan bersuara yang mana suara rakyat diberi keadilan sebenar apabila faedah demokrasi dan “high culture” diberi ruang besar. Dalam hal ini, media yang menyuguhkan komunikasi jenis ini akan melakukan “development-oriented journalism” demi memastikan masyarakat didewasakan hubungan dialog dua hala.

Pasukan Najib menggunakan komunikasi pertama dan mempersetankan rakyat dengan kaedah membadutkan diri kerana ia dapat memuaskan selera rendah – ala maharaja lawak – untuk rakyat yang berada di bawah.

Ia disambut dengan meriah kerana 60 tahun pemerintahan BN, pembadutan pernah, malah masih, menjadi jalur arus perdana. PH yang merupakan gabungan longgar dan ditalu satu demi satu masalah, tidak atau masih belum sempat, untuk melakukan perubahan budaya kebalikan badut itu dengan segera.

Fenomena ini terjadi kerana pasukan Najib dengan cepat menguasai keadaan “betwixt and between” seperti yang pernah dinyatakan Victor Turner dalam “The Ritual Process” (1976).

Meskipun ungkapan di atas diperkenalkan Turner untuk menjelaskan situasi antropologi sesuatu kaum yang mengalami perubahan, ia juga dapat digunakan untuk melihat keadaan tidak stabil masyarakat (khususnya Melayu) di Malaysia pasca PRU14.

Keadaan “betwixt and between” bermaksud “tidak di sini dan tidak di sana”. Ia adalah satu posisi, menurut Turner, sebagai keadaan mendua atau “limination”. Keadaan “ambivalensi” ini ialah apabila dunia lama cuba ditinggalkan, tetapi dunia baru belum dicapai atau tidak jelas haluannya.

Dalam situasi ini, masyarakat akan mengalami halusinasi politik, abstraksi objektiviti dan ia terpancar apabila mereka mulai menampilkan sikap “ambiguous” atau saling bertentangan sehingga mereka tidak dapat bersikap dengan luhur dalam pelbagai “monumental events”, termasuklah insiden yang akan menentukan hidup mati bangsa.

Pasukan Najib telah, saya yakin tanpa mereka sedari, dan disedari pula oleh PH (tetapi tidak ditangani kerana mereka sudah penat) merebut ruang “betwixt and between” ini untuk kepentingan dan agenda barisan.

Sesiapa yang menang dalam ruang “betwixt and between” ini boleh melakukan 2 perkara ini: Satu, menyuburkan semangat “fight for change” atau kedua, melunturkan semangat “fight for change”.

Dalam hal ini, kebadutan Najib sedang melunturkan semangat “fight for change” orang Melayu dengan jayanya. Orang Melayu sebagai sasaran, tidak sedar dan asyik dilambung “selfie”.

Hal ini dapat dilakukan dengan manipulasi 2 segmen paling popular dan cemas buat orang Melayu, iaitu aspek bangsa dan agama.

Kita melihat bukan sahaja orang surau, masjid dan para lebai mengampunkan Najib dan pemimpin lain yang korup, tetapi masyarakat bijak pandai di universiti juga terbodoh-bodoh melakukan hal sama, seolah-olah luka parah terhantuk kecelakaan terdahulu tidak pernah terjadi.

Ruang “betwixt and between” yang sedang dijuarai pasukan badut Najib ini semakin meluas dan merebak dengan cepat sekali.

Akibatnya, makin ramai yang terikut-ikut dengan kebadutan Najib, termasuk pengguna media sosial, ahli politik PH sendiri dan lebih mencemaskan, generasi muda yang sepatutnya berpendidikan tinggi dan celik politik di universiti.

Media pula, demi memenuhi nafsu rendah struktur piramid terbawah masyarakat dengan gesit menyahut pendekatan komunikasi Najib yang merendahkan cita rasa rakyat, melekakan serta membuai rakyat ke alam politik cetek.

Adalah mengejutkan media yang sebelum ini menguasai langgam komunikasi untuk mendedahkan kejahatan dan perbuatan rasuah serta berperanan menjadi petunjuk kebebasan bersuara, yang mana suara rakyat diberi keadilan sebenar demi faedah demokrasi; bagaimanapun, telah tercebur dalam gejala “penny press”.

Dalam hal ini, Hussain Mohamed dalam “Politik Melayu Masa Kini: Beberapa Isu dan Permasalahan Dalam Penulisan Popularnya” pernah menyatakan “penny press” mewakili “low culture” yang mana ia mengambil format “penny novel” murah, mudah, tiada kedalaman laporan dan kejituan naratif serta bersifat masyhur atau pop.

Dalam hal ini, gejala “penny press” adalah ringan, ringkas, remeh dan membeli komunikasi yang juga ringan, ringkas, remeh dan mengabaikan sama sekali pendedahan kejahatan dan rasuah.

Oleh sebab itu, kita melihat beberapa portal berita terikut-ikut menyuguhkan kebadutan Najib dengan alasan ia menghiburkan atau disuntik sedikit argumen; ia merupakan “kebangkitan semula yang bijak”.

Minggu ini, Semenyih akan menjadi medan politik yang direbut dengan pelbagai implikasi. Siapa yang menang di sini akan menjadi petunjuk ruang “betwixt and between”, iaitu siapa yang akan dapat meneruskan agenda masing-masing.

Jika PH masih hilang haluan dan gagal memantapkan diri, 4 tahun lagi kita akan melihat komunikasi merendahkan cita rasa rakyat dan melekakan atau membuai rakyat ke alam politik cetek, seperti yang berlaku selama 60 tahun, akan kembali.

Jika pasukan badut yang berpeluang menakluk ruang “betwixt and between”, 4 tahun lagi kita akan mengucapkan selamat kembali kepada “fun fair” kejahatan, perbuatan rasuah dan kegagalan demokrasi.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.