Mengapa PH tewas di Semenyih?

Pilihan raya kecil Semenyih telah melabuhkan tirai. Pakatan Harapan tewas di satu kawasan DUN yang ia sendiri adalah kerajaan negeri dan kerajaan pusat dengan majoriti 1,914 undi di tangan BN yang dikatakan sudah “meninggal dunia”.

PH menghadapi tekanan semenjak kekalahan di Cameron Highlands yang menyaksikan bekas perdana menteri, Najib Razak bangkit dengan jenama ‘MaluApaBossku’ menguasai media sosial yang selama ini dikuasai oleh PH dan menyebabkan Umno dan PAS dipaksa bertaut bersama untuk menghadapi serangan PH.

Serangan bertali arus PH terhadap Najib dan PAS yang berlarutan sehingga hari ini telah memasuki fasa keterlaluan (overkill) sebagaimana BN pernah menyerang Anwar Ibrahim satu masa dahulu semasa mereka berkuasa.

PH terlupa bagaimana taktik itu memakan diri BN sehinggakan segala tuduhan yang dilemparkan ke atas batang tubuh Anwar, walaupun mungkin benar, disambut dengan simpati kepada beliau dan pelbagai teori konspirasi dalam kalangan rakyat sekali gus menjadikan taktik tersebut tidak berkesan.

Ini terbukti dalam serangan PH terhadap Najib, terutamanya serangan daripada pemimpin agung DAP, Lim Kit Siang sejak PRK Cameron Highlands tidak melemaskan bekas perdana menteri itu, sebaliknya merancakkan lagi penerimaan netizens terhadap jenama ‘MaluApaBossku’ di media sosial.

PH sememangnya menyedari BN tidak mungkin menang dalam PRK DUN Semenyih tanpa undi ahli dan pendukung PAS.

Jadi tidak menghairankan apabila isu rasuah dan skandal RM90 juta yang melibatkan PAS dihidupkan semula secara bersungguh-sungguh sepanjang PRK Semenyih seolah-olah PAS bertanding di situ menentang PH.

Pada waktu yang sama, langkah SPRM memanggil pimpinan PAS untuk disoal siasat disokong dengan ledakan berita berdasarkan sumber tanpa nama bahawa aset dan akaun sebilangan pimpinan PAS telah dibekukan.

Apakah yang diharapkan daripada serangan bertali arus terhadap PAS ini? Selain mengharapkan ahli dan pendukung PAS berasa malu dan beralih arah kepada PH terutamanya Amanah, ia tidak lain tidak bukan juga bertujuan mengalihkan tumpuan pengundi daripada isu tekanan kos sara hidup yang meningkat, janji manifesto yang belum tertunai dan kelemahan yang ada pada calon PH itu sendiri.

Namun serangan terhadap PAS yang bertali-arus ini juga telah memasuki fasa keterlaluan atau “overkill”. Ini terbukti apabila ahli dan pendukung PAS tetap tidak memberikan undi kepada PH yang dianggotai Amanah, sebaliknya, ia menguatkan azam mereka untuk mengundi BN.

PH mengharapkan serangan bertali-arus terhadap hubungan PAS dengan Umno yang sering digelar sebagai “parti pencuri” akan menyebabkan kedua-dua parti saling menjauhkan diri.

Namun mereka tersilap kira.

Umno dan PAS yang pada mulanya kelihatan malu-malu untuk bertaut secara rasmi dalam 4 pilihan raya kecil sebelum Cameron Highlands, yang menyaksikan mereka tewas dengan teruk, kini mendapat petunjuk rasmi daripada rakyat daripada PRK Cameron Highlands dan Semenyih.

Keputusan kedua-dua PRK itu telah menjawab was-was dalam hati mereka bahawa gabungan itu boleh menangani PH dan amat digeruni kerajaan baru itu.

Permainan politik PH semenjak berkuasa telah mewujudkan satu vakum yang memaksa Umno dan PAS duduk bersama. PH menyerang Umno dan PAS pada waktu yang sama. Ini menyebabkan PH dilihat sebagai musuh bersama.

Umno dan PAS tiada pilihan lain selain bertaut bersama kerana inilah sahaja caranya mereka boleh bertahan daripada dilemaskan oleh serangan PH yang jelas ingin menguburkan kedua-dua parti secepat mungkin agar mereka tidak dicabar dalam pilihan raya umum ke 15 kelak.

Kini, PH telah merasai padahnya apabila Umno dan PAS bergabung tenaga di Cameron Highlands dan Semenyih. Rantau akan menjadi medan pengesahan apakah padah ini akan terus berlarutan sehingga pilihan raya umum akan datang.