Individu hina Islam bukan orang jahil, tapi orang tertindas

Baru-baru ini, seorang mualaf, Mohamad Yazid Kong Abdullah dijatuhkan hukuman penjara 9 bulan, setelah mengaku bersalah menghina agama Islam dalam media sosial.

Beliau adalah individu ke-2 dijatuhkan hukuman selepas Alister Cogia dijatuhi hukuman penjara 10 tahun 10 bulan oleh Mahkamah Seksyen Kuching, Sarawak.

Seorang pemilik akaun Facebook “Zamri Bin Abd Razak” turut ditahan dan akan didakwa memuat naik komen jelik terhadap agama Hindu seperti dilaporkan FMT kelmarin.

Siri penghinaan, kemudian tangkapan dan dakwaan terhadap individu-individu ini mengakibatkan saya teringat insiden kebebasan menyuarakan pendapat pada era Saidina Ali bin Abu Thalib, khalifah ke-4 Islam.

Kebebasan menyuarakan pendapat (meskipun tanpa kata-kata) sangat penting di dalam Islam. Saidina Ali sedang mengangkat pedang untuk membunuh seorang musuh di medan perang. Musuh itu berada di kakinya. Hanya dengan satu libasan atau tetakan, kepala musuh ini akan terkulai.

Musuh telah memilih untuk melawan dalam satu peperangan. Saidina Ali bersedia mengangkat pedangnya untuk menebas musuh. Tiba-tiba si musuh “menyatakan kebebasannya” dengan meludah Saidina Ali.

Apa yang menantu dan sepupu Rasulullah, Ali lakukan? Dia meletakkan pedang kembali dalam sarungnya dan musuh pun bangun terpinga-pinga.

“Mengapa?” soal musuh.

Saidina Ali membalas: “Kerana aku tidak mahu membunuhmu dengan alasan yang salah.”

Apabila saya membaca berita demi berita mengenai individu yang didakwa di mahkamah dan dijatuhkan hukuman kerana menghina agama, saya terbaca satu kenyataan peguam bela Yazid, iaitu Muhammad Syafiq Salleh.

Beliau berkata: “Saya meminta dia diberi peluang mempelajari ilmu agama Islam.”

Kenyataan ini ialah kenyataan maha penting. Ia membawa kita kepada satu perbincangan lebih besar yang dinamakan “wacana orang tertindas”.

Siapakah orang tertindas dalam konteks ini? Yazid, Alister, “Zamri Bin Abd Razak” dan individu lain yang dikatakan menghina agama Islam?

Mereka bukan orang jahil. Kumpulan jahil ialah mereka yang telah diberi peluang mengetahui sesuatu perkara dan pendidikan memadai, malah secukupnya, tetapi masih membuat helah dan musibat.

Mereka bukan orang jahil, tetapi adalah orang tertindas. Mereka hanyalah sekumpulan manusia yang tidak dijelaskan dengan baik siapakah Nabi Muhammad. Disebabkan itulah mereka tertindas kerana mereka tidak beroleh kebenaran.

Jika mereka kenal Nabi Muhammad, mereka akan mengungkap kata-kata yang lebih bermaruah tentang Rasulullah.

Dalam kes “Zamri Bin Abd Razak” yang menghina agama Hindu pula, beliau juga tertindas kerana tidak diberikan pendidikan secukupnya agar jangan menghina kepercayaan umat lain.

Nabi Muhammad dengan tegas melarang penghinaan terhadap agama lain. Kita andaikan Zamri tidak diberikan pencerahan ini. Bagaimana kita tahu beliau tidak diberikan pelajaran ini?

Ini kerana terdapat mufti dan pendakwah yang dilindungi, turut menghina agama Hindu, tetapi mereka tidak pun ditangkap atau didakwa.

Tidak mustahil “Zamri Bin Abd Razak” berasa dilindungi, kebal atau secara naif menganggap mufti dan pendakwah dilindungi itu sebagai rujukan betul dan patut. Maklumlah mereka kan ulama, padahal rujukan yang patut dan wajar adalah nabi. Maka, “Zamri Bin Abd Razak” hanya seorang lagi mangsa atau orang tertindas.

Allah berfirman dalam surah al-An’am ayat 108 terjemahannya: “Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan.

Demikianlah Kami jadikan setiap umat menganggap baik pekerjaan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah kembali mereka, lalu Dia memberitakan kepada mereka apa yang dahulu mereka kerjakan.”

Di dalam ayat ini, Allah melarang orang Islam daripada mencaci berhala kaum musyrikin. Mengapa? Kerana ‘fa yasubbullaaHa ‘adwam bighairi ‘ilmi’ (mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan.)

Jadi, individu-individu yang kita lihat didakwa ini merupakan mangsa 2 kali. Mangsa buat kali pertama kerana beliau tidak pernah mendapat kebenaran tentang junjungan besar Rasulullah. Mangsa kali ke-2 kerana beliau dihukum dalam keadaan tidak mendapat kebenaran tersebut. Jadi, mereka kekal tidak tahu.

Kita tidak dapat membayangkan jika Saidina Ali tetap memancung kepala musuh yang meludahnya itu.

Saidina Ali tidak melampaui hak asasi seorang musuh meskipun diludah, apakah alasan untuk kita mendera mereka yang menyatakan hal-hal jelik tentang agama kita, jika kita belum pun memberikan mereka pengetahuan yang patut kadar?

Penghinaan agama berlaku kerana keganasan fikiran. Keganasan fikiran akan menggerakkan keganasan fizikal.

Syed Hussein Alatas menerusi artikelnya bertajuk “Ciri-ciri keganasan fikiran’ pada 2002 menyebut, keganasan fikiran ialah pucuk atau benih kepada “program bertindak tertentu seperti pembunuhan, tekad korban diri, letupan bom dan sebagainya”.

Dalam hal ini, Syed Hussein telah menggariskan 5 ciri fikiran ganas. Pertama, merasakan sendiri sahaja yang betul dan yang lain tidak perlu dihormati atau dianggap penting.

Tidakkah kita melihat perangai seperti ini berleluasa dan diketuai mereka yang mengaku ulama? Tidakkah perangai seperti ini mendorong perangai serupa di sebelah umat lain (bukan-Islam). Ingatlah ayat ‘fa yasubbullaaHa ‘adwam bighairi ‘ilmi’ (kerana mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan.)

Kedua, Syed Hussein berkata, ciri fikiran ganas adalah “segala tindakan boleh diambil asal sahaja diperlukan untuk mendatangkan kepuasan”. Entah kenapa dalam benak saya terbayangkan 4 kes kehilangan aktivis Kristian dan Syiah (iaitu Pastor Raymond Koh, Joshua Hilmy, Ruth Sitepu dan Amri Che Mat).

Seterusnya, ketiga, “permusuhan dan sangka jahat atau tidak baik diterapkan kepada golongan luar pihak sendiri”.

Ciri keganasan fikiran keempat ialah “sifat estetik dan kehalusan moral dan pekerti tidak diendahkan dalam melaksanakan tujuan atau menyatakan keinginan”, manakala terakhir ialah “segala bidang penghidupan dapat diserapi keganasan fikiran, termasuk bidang agama dan budaya”.

Menurut saya, umat Islam perlu melakukan 3 perkara sebagai reformasi diri dan rombakan cara berfikir.

Pertama, kita perlu belajar dan menurut Islam yang benar: Islam Muhammadi. Bukan Islam ala pendakwah yang dilindungi atau ala mufti.

Islam Muhammadi menolak kesemberonoan. Islam Muhammadi adalah Islam yang digunakan Saidina Ali, tatkala menyarung semula pedangnya dan tidak menghentak kepala musuh, setelah musuh itu membangkitkan kebebasan menyatakan pendapat.

Islam Muhammadi adalah Islam dengan hak asasi manusia yang malangnya mengalami banyak pesongan sejak era Umaiyyah, Abbasiyyah dan melampaui zaman sehingga hari ini.

Pesongan itu malah dijual dengan idea dan gagasan salah serta cuai menurut hadis-hadis yang dinyatakan sahih, padahal bertentangan sumber pertama umat Islam, iaitu kitab suci al-Quran.

Di sosial media, anak-anak Islam yang panas bermain Twitter menghujahkan hadis-hadis yang menggalakkan “bunuh” atau “hukum” untuk mereka yang menghina Rasulullah.

Kita tidak dapat membayangkan jika mereka mengambil hukum sendiri. Lihat sahaja “fatwa” Hizbut Tahrir yang memandai-mandai itu.

Mereka malah berhujah “langkah menjunjung demokrasi dan kebebasan rakyat bersuara juga merupakan punca utama kenapa masyarakat hari ini semakin berani menghina Nabi Muhammad”, sedangkan Hizbut Tahrir enggan menempuh jalan lain, iaitu jalan Nabi Muhammad yang sangat belas, cinta dan menolak jalan keganasan.

Ramai terlupa ada banyak hadis yang menista dan meletakkan Nabi Muhammad dalam keadaan kabur sehingga orang luar dari Islam yang membacanya akan tersedar betapa banyak ambiguiti, sedangkan ini sama sekali tidak benar.

Ini mendatangkan satu kenyataan, umat Islam sendiri membiarkan nabi dihina kerana tiada kekuatan intelektual untuk membersih dan menyaring hadis-hadis yang saling bertentangan; malah berlawanan ayat suci al-Quran sebagai sumber hukum utama.

Kedua, kita perlu menghentikan mufti atau pendakwah agama dilindungi yang memiliki ciri keganasan fikiran seperti disebutkan Syed Hussein.

Mereka bukan sahaja mencambahkan keganasan dan kesemberonoan yang boleh dan jika tidak dicegah, berupaya membenihkan golongan seperti IS. Mereka telah berleluasa dan nampaknya berjaya meyakinkan kelompok seperti Hizbut Tahrir.

Kumpulan ini berselindung di sebalik pelbagai nama dan tanpa sedar menular dalam benak orang tertindas seperti Zamri. Akibatnya, akan wujud pula orang seperti Yazid dan Alister untuk membalas manusia seperti Zamri.

Ia kitaran yang memenatkan, bengap, tiada pengakhiran dan hanya dapat dihalang dengan mencabut punca masalahnya, iaitu keganasan fikiran.

Mufti atau pendakwah yang mempunyai ciri keganasan fikiran sangat berbahaya. Ia boleh mendorong pencabulan hak asasi manusia seperti kehilangan paksa dan bermacam-macam lagi.

Kita tidak mahu menjadi sebuah negara gagal seperti Pakistan, di mana siapa sahaja boleh mengambil hukum di tangan sendiri pada bila-bila masa tanpa mengendahkan undang-undang. Maka, kita perlu mendidik dahulu sebelum menghukum, ia adalah rukun paling penting dalam undang-undang dan demokrasi.

Ketiga, sudah sampai masanya pemerintah menerapkan Pelan Tindakan Rabat dalam undang-undang kita untuk mengawal ucapan berunsur kebencian.

Dokumen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang diterbitkan pada 2013 antara lain memberi panduan kepada pihak berkuasa untuk menilai bagaimana sesuatu kenyataan itu boleh dianggap menyemai kebencian agama dan kaum.

Pelan ini menyediakan, pertamanya, polisi dan juga panduan untuk kerajaan, dan masyarakat sivil dalam mencegah kebencian agama secara kolektif. Ia juga menghuraikan apa yang tidak wajar dianggap sebagai “kemerdekaan bersuara” dan dapat dianggap kebencian terhadap agama secara kolektif.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.