Statut Taj al-Salatin ke Statut Rom

Terdapat sebuah teks yang sangat penting dalam memantau perangai pemerintah, yakni raja-raja, dalam sejarah persuratan Melayu. Teks klasik itu judulnya “Taj al-Salatin” karya Bukhari Al-Jauhari. Dalam disiplin persuratan, ia dikelompok di bawah “karya adab ketatanegaraan” dan ia dipercayai berusia 1604 masihi.

Naskhah ini adalah salah karya berbahasa Melayu terawal yang mewacanakan tatacara pemerintahan raja. Naskhah Taj al-Salatin versi transliterasi Rumi yang diusahakan oleh Khalid M Hussain diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 1966 dan diterbitkan oleh Jumsari Jusuf di bawah Penerbitan Departemen Pendidikan dan Kebudayaan, Jakarta pada 1979. Usaha penerbitan kedua-dua naskhah ini sebagai “Mahkota Segala Raja” membantu menyebarkan kitab ini kepada masyarakat di alam Melayu secara meluas.

Menurut Jelani Harun dalam “Kedudukan Istimewa Karya Agung Adab Ketatanegaraan Kesultanan Aceh Darussalam Dalam Sejarah Persuratan Melayu” naskah ini adalah mengenai “mahkota menjadi lambang kekayaan dan kekuasaan raja, namun dalam konteks adab ketatanegaraan, mahkota menjadi lambang keadilan dan kearifan raja untuk melaksanakan pemerintahan berlandaskan ajaran Islam”.

Sebelum kita bergerak jauh, saya ingin menegaskan terlebih dahulu. Taj al-Salatin adalah semacam Statut Rom orang Melayu suatu waktu dahulu. Bahkan mungkin lebih dari itu.

Farish Nor antara sejarawan yang memuja Taj al-Salatin menegaskan perbezaan naskah ini berbanding teks mengenai raja-raja yang lain. Menurut beliau, Taj al-Salatin adalah sebuah rujukan untuk raja-raja Melayu yang tidak bersifat propaganda, dan tidak hanya sehala meminta kesetiaan rakyat kepada raja. Dalam tatacara ini orang Melayu (sejak 1603/4 masihi) mengurangkan kuasa raja dan membahagikannya kepada para menteri, ulama dan penasihatnya yang dinamakan “pengawal raja”.

Farish menulis dalam makalah “Blind loyalty? Re-reading Taj-us Salatin of Buchara al-Jauhari” begini:

“Nearly half a century before Thomas Hobbes’ Leviathan would be published in England, Al-Jauhari’s Taj-us Salatin (1603) was already spelling out the duties and responsibilities of the ruler and the role of the court and the laws to restrict the king’s powers. What is radically different about the narrative of Al-Jauhari’s Taj-us Salatin when compared to most pre-Islamic feudal propaganda is that it reorganises the worldview of the feudal system in an unmistakable way. In many pro-feudal texts, loyalty is demanded and expected from the rakyat as the right of the ruler. The Taj-us Salatin, however, demands the loyalty of all subjects to the supreme power of omniscient and omnipotent God, thus distracting both loyalty and attention from the rajas themselves”.

Farish dalam nota kaki artikel itu ikut mengingatkan yang karya Thomas Hobbes yang menjadi sumber rujukan demokrasi dan hak asasi manusia itu hanya mulai terpakai sekitar 1651 sedangkan Taj al-Salatin sudah mulai meluas sejak ia lengkap ditulis dan disempurnakan pada 1603/4: “It must be noted that Thomas Hobbes’ Leviathan was only available in England in 1651. He began work on the text while in exile in France in 1640-41. Al-Jauhari’s Taj-us Salatin was composed and completed by 1603 in Aceh, North Sumatra”.

Soalnya karya penting Melayu ini – Taj al-Salatin – ditulis oleh, dipercayai, seorang ulama dan pemikir Melayu dari Johor. Akan tetapi mengapakah karya seumpama ini begitu asing dan tidak dikenal oleh orang Johor, atau orang Melayu itu sendiri sedangkan ia sudah dibukukan dan disebarluas oleh badan sastera dan bahasa di Malaysia dan Indonesia. Mengapakah pula ia tidak dirujuk, kalau pun dijadikan panduan oleh kita, ia nampaknya dibuat dengan sangat berhati-hati yakni bagaikan menghirup udara di tebing Sungai Kim Kim.

Mengapa ia terabai oleh kaum konservatif dan nasionalis melayu, atau lebih tepat kaum “Malay Supremacists”?

Jika Taj al-Salatin adalah panduan era zaman klasik, Statut Rom adalah panduan untuk raja-raja, pemerintah, kerajaan dan penguasa di dunia ini, dalam era zaman moden. Masakan kita ingin menolak kedua-duanya?
Apakah persamaan antara Taj al-Salatin dan Statut Rom?

Kandungan Taj al-Salatin dapat diketengahkan kepada 3 bahagian iaitu pertama, perihal tauhid (supaya raja-raja mengingatkan raja sebenar adalah Allah). Kedua, tatacara mentadbir kerajaan, konsep keadilan dan adab ketatanegaraan (agar raja-raja mengingat mereka hanyalah menjalankan amanah rakyat dan Tuhan di muka bumi). Seterusnya, Taj al-Salatin turut menampilkan pendidikan dalam pelbagai ilmu.

Bahagian yang paling dekat dengan Statut Rom tentunya adalah perkara mengenai tatacara mentadbir kerajaan, konsep keadilan dan adab ketatanegaraan yang meliputi 10 fasal daripada 24 keseluruhannya.

Bahagian yang menekankan adab raja atau seseorang pemerintah itu, antara lain ialah;

Pertama, Taj al-Salatin dalam Fasal 5 menjelaskan seseorang raja terangkat kemuliaannya hanya sekiranya menjalankan pemerintahan menurut hukum Allah iaitu dengan bermodelkan pemerintahan Rasulullah. Jika raja itu gagal berperibadi seumpama Nabi Muhammad (yang mana tentulah kita tidak akan menemukan sama sekali), dinyatakan rakyat tidak perlu setia kepada raja dan terlepaslah rakyat dari hukum Allah. Malah raja diingatkan yang pemilihan mereka itu adalah “ghayr ma’sum” – pilihan insan, daripada insan, kepada insan, untuk insan.

Kedua, dalam Fasal 6, 9 dan 17 pada Taj al-Salatin menghuraikan panjang lebar akan kepentingan keadilan dalam sistem pemerintahan sesebuah negara. Fasal 6 Taj al-Salatin sebagai contoh mengingatkan akibat yang diterima jika sesebuah negara menjadi “fail-state” ekoran hilang “daulat seseorang raja” disebabkan melakukan ketidakadilan terhadap rakyatnya. Manakala, Fasal 9 dalam Taj al-Salatin pula menyatakan penderitaan yang bakal dialami oleh rakyat seandainya raja tidak adil dalam melaksanakan hukuman. Ini diperkuatkan oleh Fasal 17 dengan nasihat betapa seseorang raja itu tidak dapat tidak hendaklah mengadili hukuman seadilnya kepada rakyat tanpa tujuan menganiaya.

Di dalam Statut Rom khusus pada “Perkara 7: Jenayah terhadap kemanusiaan” dinyatakan kerajaan atau pemerintah negara moden boleh diheret ke Mahkamah Antarabangsa jika melakukan “jenayah terhadap kemanusiaan” yang meliputi pembunuhan; penghapusan; perhambaan; pengusiran atau perpindahan penduduk secara paksa; memenjara atau mengakibatkan kekurangan kebebasan fizikal yang melanggar peraturan asas undang-undang antarabangsa; penyeksaan; perkosaan, perhambaan seks, pelacuran paksa, kehamilan paksa, pensterilan paksa, atau apa-apa bentuk keganasan seksual yang sama seriusnya; penganiayaan terhadap kumpulan atau puak yang boleh dikenalpasti atas alasan politik, kaum, kebangsaan, etnik, kebudayaan, agama, jantina sebagaimana yang ditakrifkan dalam undang-undang antarabangsa; apartheid; tindakan tidak berperikemanusiaan lain yang dengan sengaja membawa kepada penderitaan, atau kecederaan serius kepada tubuh atau kesihatan mental atau fizikal; dan terakhir kehilangan paksa.

Menurut saya perkara mengenai kehilangan paksa ini adalah perkara yang penting dalam Statut Rom memandangkan ketika era pentadbiran Najib Razak, terdapat aktivis minoriti agama yang hilang begitu sahaja tanpa dapat dikesan; dan masih belum diselesaikan kesnya oleh pihak berkuasa.

Soalan, jika kita orang Melayu menolak pemakaian Statut Rom di zaman moden ini, adakah kita akan mahu memakai Taj al-Salatin yang juga mempunyai kedudukan muatan yang serupa dari zaman klasik? Kedua-dua “statut” ini, satu dari zaman lampau, dan satu lagi yang kontemporari adalah asas demokrasi seraya menekankan kerajaan dan pemerintahan yang adil.

Apakah yang ingin kita cerobohi jika kita menolak kedua-duanya? Jenayah kemanusiaan? Sayugia diingatkan, Taj al-Salatin juga digubah dalam era yang turut bergolak dan tepu jenayah kemanusiaan.

Sudah tentu Taj al-Salatin bukanlah panduan yang sempurna, ini kerana pada waktu itu demokrasi dalam erti kata sebenar masih belum berkembang. Akan tetapi, ia masih sebuah manifesto, statut, kovenan dan panduan untuk orang Melayu yang sudah diterimapakai tanpa gugatan dan alasan.

Menurut Rahimah Hamdan dalam makalahnya “Duka Yang Bertakhta”: Adab Pemerintah Dalam Dua Karya Kesusasteraan Melayu Tradisional naskah ini “sangat mashyur dalam negara kota Melayu sehinggalah ke era Johor-Singapura”.

Pun, siapakah pemerintah lampau yang mencabul Taj al-Salatin? Rahimah, pengkaji dari Universiti Putra Malaysia telah menulis panjang lebar mengenainya. Beliau menamakan Sultan Hussain Muadzam Syah (pemerintah ke-18 kerajaan Johor-Riau) yang pernah ditabal sebagai “raja Singapura yang pertama” sebagai salah seorang pemerintah yang mencabul statut klasik Taj al-Salatin. Dipendekkan insiden sejarah sedia ada dalam satu ayat; perangai buruk baginda yang mengkhianat statut Taj al-Salatin membuatkan negara kota itu jatuh ke tangan British. Astaghfirullah.

Jika rakyat Johor-Riau pada waktu itu sedar akan pesan Taj al-Salatin “hendaklah segala hamba raja itu terlebih takut kepada Allah daripada takut akan rajanya, dan terlebih harap akan kurnia Allah daripada harap akan rajanya” mungkin sahaja Raffles tidak dapat menakluk kota pelabuhan tersebut. Mungkin saja sejarah berbeza hari ini.

Tindakan pada 4 Mac 2019 apabila Malaysia menandatangani Rome Statute of the International Criminal Court adalah tindakan bersejarah yang tepat.

Kita, kaum liberal dan kaum beragama yang waras ayuh kita sama-sama berdoa: “Ya Allah, moga-moga sejarah tergadai Singapura ke tangan Inggeris seumpama itu, ekoran dari tingkah laku khianat dan pecah amanah ini, dijauhkan dari anak-cucu kita”.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.