Kehilangan paksa Amri dan Koh, siapa ‘makan darah’?

Ia boleh menjadi momen Jacinda Adern (pasca pembunuhan 50 orang jemaah masjid di Christchurch New Zealand) buat pemimpin Pakatan Harapan (PH), apabila panel 3 orang pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) memutuskan misteri kehilangan pastor Raymond Koh, dan aktivis Perlis Hope, Amri Che Mat, bukan penculikan biasa.

Ia adalah “kehilangan paksa”, yang bermakna ia dilakukan pihak berkuasa. Suhakam menamakan pihak polis.

Akan tetapi momen itu berlalu begitu sahaja buat PH. Hanya beberapa ciapan yang lemah daripada beberapa wakil rakyat DAP dan PKR. Tiada kesantunan seperti yang ditunjukkan oleh Jacinda Adern.

Tiada kasih sayang seperti yang dirasai umat Islam (selaku minoriti) di New Zealand.

Tiada solidariti daripada kaum majoriti buat minoriti Kristian dan Syiah (masing-masing Koh dan Amri adalah penganut kepercayaan tersebut).

Satu-satunya pemimpin politik yang tampil ke muka tatkala Suhakam memberi laporan akhir pada 3 April 2019, adalah komrad Arul dari Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Laporan inkuiri oleh panel Suhakam yang diketuai pesuruhjaya Mah Weng Kwai menyatakan Amri dan Koh menjadi sasaran pihak berkuasa agama memandangkan terdapat dakwaan kedua-duanya terlibat dalam hal-ehwal yang tidak sejajar dengan amalan Islam di Malaysia.

Suhakam menamakan Cawangan Khas Bukit Aman sebagai bertanggungjawab dalam kehilangan paksa ini dalam laporan setebal masing-masing, 96 halaman untuk kes Koh dan, 103 halaman untuk kes Amri.

Harus diingat terdapat 2 lagi kes yang membabitkan kehilangan pastor Joshua Hilmy dan isterinya, Ruth Stepu yang tidak dapat ditangani sebaiknya memandangkan saksi takut tampil ke hadapan.

Ruth dari Indonesia, dan dipercayai kehilangan paksa ini akan terus mendapat perhatian antarabangsa.

Salah satu rekomendasi yang disaran oleh Mah adalah pihak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) serta memastikan Koh dan Amri pulang ke pangkuan keluarga dengan kadar segera.

Kehilangan paksa ini berlaku ketika era Najib Razak sebagai perdana menteri dan Cawangan Khas waktu itu dipimpin oleh Ketua Polis Negara, Mohamad Fuzi Harun, dan bekas ketua polis negara, Khalid Abu Bakar.

Kes kehilangan paksa hanya berlaku di negara tanpa penguatkuasaan undang-undang yang kuat seperti di Amerika Latin, Pakistan, Israel, Arab Saudi, Syria, Iran dan China (baca: Uyghur).

Ia satu iklim yang menjauhkan pertumbuhan ekonomi sihat.

Momen ini jika tidak ditangani menjadikan Malaysia bawah PH tidak sedikit pun lebih baik daripada Arab Saudi yang “barbaric” berusaha menyembunyikan kebenaran di sebalik pembunuhan Jamal Khashoggi, tokoh wartawan Arab Saudi dan kolumnis The Washington Post di dalam kawasan konsulat negara itu di Istanbul, Turki pada 2 Oktober 2018 oleh beberapa ejen Saudi.

Kehilangan paksa Koh dan Amri hanya boleh berlaku dengan kebencian. Ia adalah kebalikan asas agama Islam dan Kristian: Cinta.

Ia terjadi setelah kebencian meluap-luap oleh para agamawan, penceramah, lebai dan ustaz di surau dan masjid terhadap kaum Kristian dan Syiah sejak 2006 sehingga 2016.

Kebencian terhadap masyarakat Kristian dan Syiah ini berterusan dan tanpa segan silu dipekik dan diseru dari dewan kuliah universiti, dari rangkaian media sosial yang menabur peluru tanpa saring.

Ia muncul dari mimbar dengan khutbah Jumaat dan doa dari ketik papan kekunci komputer jabatan agama yang memohon supaya Syiah yang sesat dihapuskan.

Kehilangan paksa ini terjadi setelah fatwa kita memilih untuk menjadi ibarat manifesto kebencian yang dikarang ala pengganas Christchurch, Brenton Tarrant.

Kehilangan paksa ini terjadi kerana Najib terhegeh-hegeh melekapkan diri dengan bangsawan dan kerabat Saudi yang tiada rasa aib dan malu berdepan dengan dunia setelah membunuh Sheikh Nimr (tokoh Syiah negara monarki mutlak tersebut) dan Khashoggi.

Kehilangan paksa ini terjadi setelah penutupan minda dan intelektual yang dilancarkan oleh Ahmad Zahid Hamidi selaku bekas menteri dalam negeri yang mengharamkan bahan penerbitan (7 buah buku saya dilarang) dan banyak lagi kerja ilmiah antara lain inisiatif G25 dan Islamic Renaissance Front.

Kehilangan paksa ini berlaku setelah guru-guru subjek agama Islam di sekolah kita memburuk, menghamun dan membuat cerita palsu terhadap penganut Kristian dan Syiah sehingga ada guru agama yang menuturkan kata “anak orang Syiah sila terjun bangunan”.

Kehilangan paksa ini terjadi di tengah teguran Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dalam siri Universal Periodic Review (UPR) agar Malaysia berubah.

Kehilangan paksa ini berlaku meskipun minoriti Syiah merayu dalam memorandum tahun 2010 kepada Suhakam agar pihak berkuasa agama berhenti mengganggu mereka.

Kehilangan paksa ini terjadi setelah siri kebencian oleh agamawan dan pihak berkuasa agama terhadap penganut Kristian yang ingin menggunakan kalimah Allah seperti mana umat Nasrani di Timur Tengah.

Kehilangan paksa ini meluap dengan kebangkitan Isma, dan sekian banyak golongan kanan Melayu-Islam yang menafsirkan Perlembagaan Persekutuan mengikut selera sendiri.

Kehilangan paksa ini terjadi setelah badan bukan kerajaan yang bertema Islam tanpa segan silu didanai oleh pentadbiran dan agensi kerajaan, dengan menggunakan dana cukai rakyat Malaysia berbilang fahaman, agama dan kaum agar minoriti Syiah dan Kristian dimomokkan.

Kehilangan paksa ini berlaku kerana mufti kita yang “progresif” berterusan mengkafirkan kaum Syiah tanpa sedikit pun merasakan stigmatisasi ini akan membawa kepada pembunuhan, penculikan dan kekerasan.

Apabila saya melancarkan siri kajian akademik mengenai Syiah, antara lain kerana didanai oleh ISEAS-Yusuf Ishak Singapura, saya menemukan seorang penganut Syiah wanita separuh umur. Soalan saya kepada beliau, “Kakak tidak takut dengan jabatan agama?”

“Jabatan agama kami sudah lali. Kami takut orang gila yang percaya semua kekarutan dan cerita buruk mengenai kami, lantas menceroboh masuk tempat ibadat kami dan kemudian mengamuk dengan senjata tajam. Tuhan jauhkan itu semua daripada terjadi.”

Ini kata-kata yang saya kutip pada tahun 2013, lama sebelum tragedi pembunuhan beramai-ramai di masjid di Christchurch, New Zealand pada 2019.

Ini kata-kata yang saya gerun mendengarnya, jauh sebelum Mujahid Rawa menjadi pelopor Rahmatan Lil-alamin (masih komuniti Syiah tidak disantuni oleh beliau, meskipun Nisha Ayub sudah pun dimesrai sebelum beliau naik haji).

Belum ada 50 orang penganut Kristian atau Syiah terkorban seperti di Christchurch.

Kehilangan paksa ini momen Christchurch kita. Momen penembakan berdarah terhadap 50 orang syuhada itu memang mencemaskan umat seluruh dunia. Ia berhulukan Islamophobia.

Momen kehilangan paksa kita mungkin sekadar 4 orang (yang sah sekarang baru 2 orang aktivis), tetapi kita tidak mahu menunggu Syiahfobia dan Kristianfobia mengambil nyawa 50 orang warga Malaysia. Tuhan jauhkan.

Kehilangan paksa ini menakutkan kerana ia mengesahkan khabar angin (Dr Mahathir Mohamad meragui Suhakam punya bukti dan mengatakan ia mungkin sekadar khabar angin) bahawa kita mungkin hidup dalam sebuah negara polis ala Saudi, ala China, ala Iran.

Kehilangan paksa ini menggerunkan kita semua kerana Cawangan Khas (seperti dinyatakan dalam laporan Suhakam) boleh menculik orang di jalanan dengan mengepung kenderaan, lantas kemudian berpura-pura tiada apa-apa yang berlaku.

Kehilangan paksa ini momen penting untuk PH.

Kehilangan paksa ini satu lagi bukti jahatnya Barisan Nasional (BN) dan suara-suara harapan parti kolot itu.

Semuanya bersekongkol.

Kalian “makan darah” daripada Amri dan Koh. Kalian – menteri, ahli Parlimen, agamawan, lebai, mufti progresif, ahli akademik narsisis, laskar siber, pejuang “Malay Supremacists”, penghasut di medan siber dan sekian minda teroris – kalian “makan darah” 2 aktivis ini.

Kalian bersekongkol semuanya.

Kehilangan paksa ini momen paling gelap dalam sejarah berkepercayaan di negara ini.

Kehilangan paksa ini keganasan siang hari.

Baca dengan bibir dan lidah sekuat hati: Kehilangan paksa ini boleh terjadi kepada minoriti lain yang berbeza orientasi seksual, kaum dan gender.

Kehilangan paksa ini adalah “makan darah”.

Ia momen sebenar PH. Momen “Jacinda Adern” untuk para pemimpin PH. Momen yang dipersiakan.

Untuk pihak berkuasa yang dinamakan dalam laporan Suhakam, saya sebutkan ini sebelum malaikat merenggut nyawa kalian.

Kehilangan paksa ini momen langit melihat kerosakan yang dilakukan penghuni bumi.

Sebagai kaum waras beragama, kalian akan dipertanggungjawabkan.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.