Oklokrasi, pemerintahan samseng lawan kepada demokrasi

Ada sejenis pemerintahan yang merupakan kebalikan kepada demokrasi. Ia dinamakan oklokrasi (ochlocracy).

Apakah sistem pemerintahan oklokrasi? Secara mudahnya, ia sering dirujuk sebagai pemerintahan sekumpulan orang atau samseng yang tidak punya aturan, tiada rujukan hukum dan berniat jahat. Akan tetapi tafsiran ini bagaimanapun tidak tepat.

Saintis politik, Jesus Padilla Galvez dalam kajiannya “Democracy in times of Ochlocracy” menyatakan oklokrasi adalah gaya pemerintahan di mana sekumpulan pemain politik membentuk sumber kuasa yang saling bersaingan. Mereka adalah pemain institusi (institutional players) yang gagal bekerjasama lantas meletakkan rakyat dalam keadaan keliru, bingung dan ketidaktahuan. Justeru oklokrasi tidaklah dapat dirujuk sebagai pemerintahan oleh samseng sebagaimana difahami ramai. Ia lebih kompleks daripada itu.

Kata oklokrasi ini pertama kali dikemukakan oleh Polybius di dalam Histories, yang mana beliau menamakan 3 ciri kepada sistem politik tersebut.

Pertama, “hybreos” atau “hybris” yang secara bahasanya bermaksud keangkuhan, perangai biadab, semberono dan buruk serta sikap menjengkelkan yang melampau-lampau.

Kedua, ia dicirikan dengan apa yang Polybius namakan sebagai “paranomia” yang diterjemahkan sebagai ketiadaan undang-undang; merupakan satu gejala yang bertentangan dengan apa yang kita namakan sebagai kepatuhan terhadap hukum atau dikaitkan juga dengan pencabulan keadilan dan keluhuran undang-undang.

Ciri ketiga barulah oklokrasi disandarkan dengan kesamsengan.

Jesus seterusnya memperihalkan keadaan yang mana di Greece purba, “hybris” merujuk kepada keadaan di mana orang yang berkuasa akan mencari pasal untuk mengaibkan orang lain. Langkah dan kaedah mencari pasal inilah yang meletakkan nilai demokrasi dalam keadaan penuh risiko.

Jesus menyatakan lagi, “hybris” dalam dunia moden akan cepat ditujukan kepada seseorang penguasa yang berada di atas tetapi mengalami masalah keyakinan diri yang sangat berlebihan sehingga bertindak memijak orang bawah. Penguasa ini secara tipikalnya mereka yang angkuh, dan kerana sifat kesyaitanan tersebut melubu-lubu dalam diri, mengakibatkan penguasa ini tidak segan silu bertindak kejam.

Dalam sejarah bangsa Melayu, penguasa pertama yang angkuh, tidak rasa bersalah membuat kezaliman atau pencirian hybris; terpancar sepenuhnya pada Paduka Sri Maharaja yang membunuh Tun Jana Khatib, semata-mata kerana detik hatinya memberitahu kononnya Tun Jana cuba menggoda permaisuri dengan jalan menunjuk-nunjukkan kesaktian membelah pohon pinang di sebelah istana.

Paduka Sri Maharaja kemudian membunuh pula seorang anak kecil semata-mata kerana anak itu menyarankan suatu idea yang bernas, iaitu untuk mengelakkan Singapura daripada dilanggar todak, jangan digunakan paha sendiri untuk menahan serangan ikan tersebut, sebaliknya lebih bijak jika menggunakan batang pokok pisang. Oleh sebab khuatir jika anak itu dewasa kelak akan mencabarnya, Paduka Sri Maharaja menggunakan jalan kekerasan dan mengetepikan mata hati sendiri.

Meskipun sewaktu itu undang-undang adat yang mempunyai implikasi hukum belum diperkenalkan, harus diingat orang Melayu sudah pun terdedah dengan kovenan, atau statut purba yang dinamakan “Wa’ad” iaitu perjanjian antara Demang Lebar Daun dan Sang Sapurba. Wa’ad ini sebetulnya bukanlah antara rakyat atau massa dengan pemerintah tetapi sebenarnya dilakukan antara 2 kelompok “pemain institusi politik” yang kelak akan saling berebut kuasa dan nafi-menafikan antara satu sama lain.

Wa’ad itu antara lain berbunyi:

“Maka titah Sang Sapurba, ‘Hendaklah pada akhir zaman kelak anak cucu bapa hamba jangan derhaka pada anak cucu kita, jikalau ia zalim dan jahat pekerti sekalipun.’

“Maka sembah Demang Lebar Daun, ‘Baiklah, Tuanku. Tetapi jikalau anak buah Tuanku dahulu mengubahkan dia, maka anak cucu patik pun mengubahkanlah’.”

Walaupun Wa’ad tersebut sudah diikrarkan dan dianggap kontrak sosial antara pemerintah, dan yang diperintah; ia tetap mengalami pencabulan sewenang-wenang seperti terlihat pada kes Paduka Sri Maharaja di atas.

Justeru kerana ruang atau batas antara rakyat dan penguasa itu diceroboh, akibatnya sangatlah buruk. Negara akan berdepan krisis. Dalam sejarah orang Melayu, tindak-tanduk bodoh Paduka Sri Maharaja yang mendengar nasihat salah agar membunuh anak kecil yang bijak tersebut membawa kepada bencana. Majapahit menyerang Singapura dengan bantuan Sang Rajuna Tapa dan keturunan raja Melayu itu terpaksa membuka negeri lain di Melaka.

Akan tetapi bagaimana jika yang melakukan pencabulan Wa’ad itu bukan pun berdarah raja? Atau sekadar rakyat biasa? Dan tidak pun rasa perlu mematuhi kontrak sosial masa lampau ini? Ini bermakna orang Melayu, selaku pihak yang diwakili dalam kovenan purba tersebut terdedah kepada kezaliman, dan ketidakadilan.

Di sinilah pencirian ketiga oklokrasi harus diberi perhatian, iaitu pemerintahan oklokrasi adalah sebuah pemerintahan yang dikendali dan dikendala oleh sejumlah mereka yang tidak mengerti hukum, tidak mengenal sejarah, buta politik, despotik dan kesamsengan. Kehuru-haraan pemerintahan menjadi rukun politik lantaran pengagihan kuasa tidak jelas di mana siapa yang menentukan apa menjadi keliru. Tambahan pula “pemain institusi” sedia ada pula tidak memahami kehendak rakyat.

Ini terserlah ketika pemerintahan anakanda Paduka Sri Maharaja iaitu Raja Iskandar Syah. Keghairahan baginda untuk menyetubuhi anak perempuan Sang Rajuna Tapa, dan pusat perhatian kepada syahwat mendorong kezaliman yang tiada tara. Anak Sang Rajuna Tapa diaibkan (hybris) dan disula. Maka Sang Rajuna Tapa berasa kecewa, dukacita lantas membawa kepada tindakannya yang membuka pintu kota agar Betara Majapahit dan bala tentera dapat masuk menyerang Singapura. Tentu tindakan beliau dirujuk sebagai satu penderhakaan atau pembelotan, akan tetapi harus diingat, ia tidak akan terjadi jika pemain institusi itu waras dan berasas akalnya.

Dalam keadaan inilah orang Melayu teraniaya seperti yang dilambangkan oleh Sang Rajuna Tapa memilih untuk melawan kezaliman, dan ketidakadilan dengan cara yang tidak disangka.

Di sinilah oklokrasi menjadi kebalikan kepada demokrasi yang mana secara murni bertujuan agar semua pihak secara kolektif boleh ikut terlibat dalam membuat keputusan negara, dan dengan itu semua pihak, penguasa dan rakyat, beroleh akses setara dan saksama untuk menentukan bagaimana negara harus ditadbir.

Untuk mencegah oklokrasi berlaku dalam dunia moden, perjanjian antarabangsa diperkenalkan agar tiada penguasa gila bertindak sesuka hati terhadap rakyatnya, atau umat manusia yang lain. Antara perjanjian antarabangsa tersebut adalah Statut Rom. Sepertinya Wa’ad purba, ia adalah ikrar atau kontrak agar penguasa tidak bertindak sewenang-wenang. Ia adalah piawai supaya “pemain institusi” sedia ada patuh kepada undang-undang, dan kekal di jalan demokrasi.

Tanpa panduan seperti Wa’ad di zaman klasik, atau dalam zaman modennya Wa’ad dalam bentuk kovenan, konvensyen dan statut; pemerintahan gaya oklokrasi akan merebut ruang.

Dalam keadaan penguasa bertindak membabi buta, dan bertindak samseng, kita tidak dapat menyalahkan Sang Rajuna Tapa.

Oklokrasi hanya dapat dikekang dengan satu jalan sahaja, iaitu memperkasakan kebalikannya; yakni demokrasi. Jangan sangka umat Melayu kebal dari nestapa dan petaka oklokrasi. Rwanda dan Bosnia dalam zaman moden pernah terjerumus dalam kegilaan oklokrasi ini. Tiada apa yang menghalang umat Melayu terhumban dalam lubang celaka yang sama.

Apatah lagi jika, seperti direkodkan dalam Sejarah Melayu, bangsa beroleh penguasa despotik lagi samseng seperti Paduka Sri Maharaja.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.