Selamat meninggalkan kami, Indonesia

Pada 9 April, Menteri Luar Negeri Saifuddin Abdullah ikut dalam majlis makan malam meraikan Perwakilan Sidang ke-58 Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (Mabbim).

Dalam ucapannya, beliau mengharapkan majlis bahasa ini meneruskan sinergi dan kerjasama dalam merealisasikan Bahasa Melayu sebagai lingua franca di rantau Asean.

Keesokan harinya, dalam satu ciapan, Saifuddin mencatat begini: “Satu dari 3 objektif dasar luar kita ialah menegak ‘identiti Malaysia’, contohnya bahasa. Satu daripada produk tempatan yang ingin dipromosi ialah nilai-nilai positif Dunia Melayu. Bicara soal bahasa dan Dunia Melayu tidak bermakna mengganggu urutan prioriti utama dasar luar”.

Mabbim, singkatan untuk Majlis Bahasa Brunei-Indonesia-Malaysia yang ditubuhkan sebagai badan kebahasaan serantau, berperanan merancang dan memantau perkembangan bahasa Melayu/Indonesia di rantau ini (nota: perhatikan tanda miring).

Majlis ini dianggotai 3 negara, iaitu Brunei, Indonesia, dan Malaysia. Manakala Singapura negara pemerhati sehingga kini.

Secara sejarahnya Mabbim merupakan waris kepada Majlis Bahasa Indonesia-Malaysia (MBIM) yang ditubuhkan pada 29 Disember 1972.

Ia merupakan inisiatif menteri pendidikan ketika itu Hussein Onn, dan rakan sejawatnya dari Indonesia Mashuri Saleh SH.

Satu pernyataan ditandatangani pada 23 Mei 1972 di Jakarta untuk gerakan kebahasaan serantau ini. MBIM menjadi Mabbim apabila Brunei menganggotai majlis ini pada 4 November 1985 iaitu pada persidangan yang ke-24.

Kegagalan

Salah satu kegagalan terbesar Mabbim adalah mempromosi bahasa Melayu/Indonesia di arena antarabangsa (baca: menjadikannya salah satu bahasa utama di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu).

Kegagalan kedua yang paling menonjol ialah menyelaraskan istilah bahasa Melayu di mana tanda miring Indonesia tidak memungkinkan ia berlaku.

Ini kerana meskipun bahasa Indonesia asalnya bahasa Melayu, ia mengalami evolusi yang pesat sehingga pemerintah di sana tidak lagi dapat mengawalnya. Ia kini sangat tersendiri dan tidak lagi dapat dihujahkan sebagai bahasa Melayu meskipun kita masih dapat memahaminya, ia kerana kita kekal membaca karya sastera Indonesia seperti kerja-kerja Pramoedya Ananta Toer yang pernah menjadi buku teks sastera di sekolah di Malaysia satu masa dulu di saat pembaca Indonesia sendiri tidak mengenalinya.

Kita juga masih boleh menikmati sejumlah lagu penyanyi Indonesia, contohnya, Endang S Taurina. Demikian juga sebaliknya di republik itu Sheila Majid atau Siti Nurhaliza diterima hangat.

Kita juga memahami lenggok bahasa Indonesia apabila menonton filem mereka seperti Ada Apa Dengan Cinta. Indonesia juga demikian, kerana masih dapat memahami serba sedikit Upin dan Ipin meskipun terdapat perbezaan kecil di sana sini.

Terima kasih buat tenaga kerja Indonesia yang berada di Malaysia untuk bekerja di rumah-rumah kita, di saat anak-anak Cina meninggalkan sekolah kebangsaan; masih mujurlah juga anak-anak Cina kita malahan boleh berbahasa Melayu (dengan tanda miring Indonesia) kerana pembantu rumah mereka berasal dari Bogor atau Bandung, atau Medan, kadang Papua.

Penyelarasan

Untuk menyelaraskan bahasa Melayu/Indonesia (benar tanda miring itu mengganggu) nyaris mustahil.

Di Indonesia badan bahasa dan sastera di sana tidak mempunyai kuasa sebesar Dewan Bahasa dan Pustaka. Sebagai misalan di Malaysia, sedekad yang lalu DBP menentukan hidup mati seseorang pengarang. Katakan DBP sebagai pihak berkuasa bahasa dan sastera Melayu memulau Faisal Tehrani kerana dituduh “Syial” (Syiah/Liberal – di sini tanda miring menjadikan sesetengah orang geli hati) seiring dengan pengharaman karya-karyanya yang 7 buah.

Selepas sedekad, DBP sudah ditertawakan pengarang sastera Malaysia. Pengarang muda menulis dalam bahasa Melayu dan disenarai-pendek juga disenarai-panjang oleh Commonwealth Writers Prize. Novelis sastera Inggeris kita sudah menang anugerah besar di Perancis. Tidak lama lagi PEN Internasional cawangan Malaysia akan dilancarkan, sedangkan Pena menagih dana daripada kerajaan Pakatan Harapan Selangor untuk festival sastera yang akan menampilkan Nisah Haron dan Lutfi Ishak.

Di Indonesia, tanpa label SEA Write Award pun, novel Faisal Tehrani berjudul Cinta Hari-Hari Rusuhan akan diterbitkan dalam bahasa Indonesia dengan judul Lelaki Yang Membunuh Kenangan (oleh Bentang Pustaka).

Kemustahilan untuk melakukan penyelarasan itu juga berlaku kerana media di Indonesia bergerak sendiri tanpa perlu merujuk badan bahasa dan sasteranya yang rasmi tidak rasmi itu. Justeru, media melakukan akronim, menambah kata, membuang istilah mengikut selera mereka.

Dahulu teman penyair Faisal Tehrani bernama Agus R Sardjono pernah mengajak beliau bermain satu teka-teki: “Apakah maksud bupati? Apa pula arti sekwilda?”. Kedua-dua istilah itu tiada dalam kamus besar Melayu/Indonesia. Tentu ia membingungkan, kerana ia adalah kependekan yang dicipta-cipta.

Bupati adalah “buka paha tinggi-tinggi” sementara sekwilda ialah “sekitar wilayah dada”. Itu satu contoh kegagalan penyelarasan bahasa. Belum lagi kita membincangkan kata “butuh” yang di Malaysia membawa pengertian lain berbanding di Indonesia.

Tiada atase budaya

Maka apabila Indonesia menyatakan hasrat untuk meninggalkan Mabbim tidaklah menghairankan menteri luar kita merayu agar “meneruskan sinergi dan kerjasama dalam merealisasikan Bahasa Melayu sebagai lingua franca di rantau Asean”. Rayuan itu dituju kepada Indonesia yang sudah siap untuk menceraikan Malaysia dan Brunei untuk membawa bahasa Indonesia (tanda miring digugurkan) ke PBB sendirian, meneruskan langkah sastera mereka juga sendirian (sila faham, mereka punya Eka Kurniawan untuk membawa sastera Indonesia pergi jauh) dan mengembangkan bahasa Indonesia sendiri-sendiri kerana selama ini pun bahasa Melayu (dengan tanda miring) Indonesia itu pakatan sia-sia yang tidak lagi boleh diharap.

Menteri luar kita menyebutkan antara objektif dasar luar kita ialah “menegak identiti Malaysia, contohnya bahasa”. Dear Saifuddin Abdullah, bahasa apatah lagi identiti Malaysia tidak pernah menjadi sorotan selama ini. Sayang sudah terlambat, bak kata Shidee.

Ini kerana kedutaan Malaysia di luar negara tidak punya atase kebudayaan yang berperanan menyebar bahasa dan sastera Melayu. Mereka hanya minat berniaga-berniaga-berniaga (baca berdagang) dan sedikit porsi pelancongan.
Sedangkan kedutaan Indonesia di luar kekal mempunyai atase kebudayaan yang mana kebudayaan tidak ditakrif sekadar tari-menari, busana fesyen dan makanan tetapi menyeluruh iaitu mengenai karya seni seperti filem, kerja panggung teater, muzik, catan dan arca; dan tentu juga sastera.

Badan yang kerjanya mempromosi sastera kita tidak berminat untuk berfikir di luar kotak – lebih gemar menghukum – dan kita kerat jadi beberapa, jadi Kota Buku dan jadi Institut Terjemahan dan Buku Malaysia yang di penghujungnya semua rosak belaka (ada yang kerana membazir, ada yang kerana korupsi).

Bilakah kita akan punya atase kebudayaan? Soalan ini relevan mengenangkan Malaysia sudah serba-serbi tidak berduit dan kerajaan PH pun belum tentu bertahan 1 penggal.

Apabila kerajaan berhasrat menjaja “produk tempatan yang ingin dipromosi ialah nilai-nilai positif Dunia Melayu” ia akan membawa natijah kerja menjaja ini jatuh kembali ke atas pundak DBP yang mana ramai pengarang sastera Melayu pun sudah jelak.

Bila saya mengatakan pengarang sastera Melayu tentulah saya tidak memaksudkan kem Gapena (kaki omel) atau Pena (ya siapa akan hentak meja hari ini).

Saya memaksudkan pengarang sastera baru dengan identiti rencam dan terbuka yang hari ini dirujuk pengarang indie.

Mungkin paling-paling identiti Malaysia yang dihasratkan menteri itu akan diterjemahkan di London dengan menampilkan 10 minit tarian zapin, 10 minit tarian naga, 10 minit tarian Shastriya Nritya; dan 10 minit masing-masing untuk Ngajat dan Sumazau sebelum bacaan puisi oleh Muhammad Haji Salleh/Zurinah Hassan (tanda miring disengajakan).

Kita dengan peragaan identiti Malaysia akan makan bihun dan satay setelah itu, ketawa-ketawa (gesel pipi) dan dif asing serta tetamu kehormat pun pulang.

Di rumah sebelum tidur mereka akan mencapai novel Eka Kurniawan bertajuk Man Tiger untuk dibaca sebelum tidur. Nasib baik sangatlah kalau mereka memilih Tash Aw atau Preeta Samarasan.

Indonesia sendirian

Indonesia wajar bergerak sendiri baik dalam bahasa mahupun sastera. Tak usahlah bahasa Melayu menenggek lagi Indonesia. Malulah.

Lain dari itu, mereka di Indonesia pun ada masalah kebahasaan dan kesusasteraan yang sendiri.

Tidak ada penyelesaian utuh. Sama ada Malaysia dan Brunei meninggalkan tanda miring dan bergabung dengan bahasa Indonesia agar sama-sama dapat mara ke peringkat antarabangsa sebagai rantau berbudaya yang satu; di mana pengalaman gerakan kebahasaan dan kesusasteraan Amerika Latin di tahun 1980-an dapat dirujuk.

Atau memang bercerai dan menghilangkan tanda miring yang sangat mengganggu itu.

Dalam erti kata lain, Malaysia dan Brunei membiarkan Indonesia melakukannya. Manakala kita melakukannya sendiri. Iaitu mencipta pengalaman baru dalam gerakan bahasa dan sastera. Kadang menjadi janda lebih menjadi (lihat sahaja Parti Islam Se-Malaysia).

Tetapi itulah, tanyai siapa pun, mereka akan geli hati. Jika DBP terus tidak berfikir di luar kotak, atau jika pentadbir sastera kita terus tidak terbuka, atau kerajaan PH runtuh sementara menteri luar kita kembali menjadi aktivis yang membalas mesej Whatssap, kita tidak dapat menagih apa-apa janji dan kepercayaan.

Sementara pengarang muda (baik sastera Melayu dan Inggeris, justeru baca – Malaysia) kita tanpa DBP atau kerajaan mencipta kecemerlangan bertatih-tatih. Manakala DBP dan elitis sastera Melayu pun perasan memulau mereka yang tidak sekepala sejiwa. Sedangkan yang terjadi adalah kebalikan, iaitu mereka yang ditinggalkan.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.