Populariti PH menjunam: Jangan ‘kencing’ rakyat lagi

Sempena ulang tahun pertama pemerintahan Pakatan Harapan (PH), para menteri sibuk mempromosi diri di dada akhbar dan media maya mengenai prestasi dan pencapaian masing-masing.

Ada menteri yang memberikan markah seperti 6/10 dan 6.5/10 kepada diri sendiri. Ada juga menteri yang menyiarkan 10 pencapaian mereka sepanjang tahun lepas, termasuk senarai tugas yang sepatutnya mereka laksanakan.

Ramai yang garu kepala melihat aksi “marketing” syok sendiri para menteri PH dalam keadaan ekonomi yang suram dan dibanjiri pelbagai laporan negatif media antarabangsa.

Nilai ringgit yang tidak bermaya, Bursa Malaysia yang lesu dan peningkatan kos sara hidup yang membebankan, apakah mereka tidak dapat merasai denyutan hati rakyat yang semakin marah?

Tidakkah mereka sedar rakyat adalah penilai terbaik prestasi kerajaan, bukannya para menteri? Bahaya perbuatan syok sendiri sedemikian ialah jika penilaian yang dibuat oleh menteri tidak selari dengan kenyataan yang dialami rakyat, maka rakyat yang sebelum ini suka akan jadi menyampah dan rakyat yang sudah menyampah akan berasa meluat.

Inilah yang terjadi kini.

Denyutan sebenar hati rakyat akhirnya didedahkan badan penyelidik bebas, Merdeka Center, minggu lepas.

Badan itu mendapati kadar sokongan terhadap kerajaan PH merosot kepada 39% berbanding 79% pada 31 Mei 2018 berdasarkan kajian yang dijalankan di seluruh negara pada 5 hingga 11 Mac lalu.

Bukan itu sahaja, jumlah pengundi yang berpuas hati terhadap pentadbiran Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad juga didapati menurun daripada 71% pada Ogos 2018, jatuh kepada cuma 46% sahaja Mac lepas.

Jumlah pengundi yang berasa negara menuju ke arah yang salah meningkat sebanyak 46% pada Mac 2019 berbanding 24% pada Ogos 2018, tambah Merdeka Center lagi.

Jadi di manakah asasnya markah 6/10 atau 6.5/10 yang diberikan menteri PH terhadap prestasi sendiri sedangkan kepuasan hati terhadap pentadbiran Dr Mahathir hanya dalam lingkungan 46%?

Rakyat boleh bayangkan prestasi PH jika Dr Mahathir tidak ada untuk memimpin Kabinet. Ke lautlah jawapannya!

Antara punca utama kemerosotan populariti PH ialah rakyat terasa mereka “dikencing” oleh janji-janji PH, terutamanya yang terkandung dalam manifesto pilihan raya umum pakatan politik itu.

Kedua ialah prestasi para menteri sendiri dan hujah menteri yang dikatakan merapu dan hipokrit.

Jika PH berfikir bahawa Anwar Ibrahim boleh menjadi penyelamat kepada keadaan ini, maka rakyat tertanya-tanya bagaimanakah beliau boleh menjadi penawar tatkala Anwar memberitahu dunia akan menolak jawatan menteri kewangan jika ia ditawarkan kepadanya ketika ini susulan kekangan ekonomi negara yang tidak menentu.

Jawapan Anwar menunjukkan seolah-olah beliau hanya mahu menjadi PM apabila segalanya sudah pulih.

Perlu diingat, tahap populariti PH kini hanya tinggal 39% dan kepuasan hati rakyat terhadap pentadbiran Dr Mahathir berada di tahap 46%.

Ini amat berbeza dengan keadaan pada 2003. Kemarahan rakyat ketika itu hanya tertumpu pada Dr Mahathir, tetapi pentadbiran Barisan Nasional masih diterima umum. Justeru apabila Dr Mahathir menyerahkan kuasa kepada Abdullah Badawi, BN menguasai 90% kerusi Parlimen dalam pilihan raya umum yang ke-11.

Kini kemarahan rakyat tertumpu pada PH, bukannya Dr Mahathir. Justeru, menggantikan Dr Mahathir dengan Anwar tidak akan memberi kesan seperti menggantikan Dr Mahathir dengan Pak Lah.
Bagi rakyat yang sudah tidak menyukai PH yang diterajui Dr Mahathir hari ini, sudah pasti mereka juga tidak akan menyukai PH yang dipimpin Anwar.

Bagi mereka, jika Anwar tidak sanggup menjadi menteri kewangan ketika ekonomi gawat walaupun ditawarkan, maka apakah beliau sesuai untuk menjadi perdana menteri kerajaan PH yang sudah hilang populariti dan kepercayaan rakyat?

Walaupun 67% rakyat berpendapat kerajaan PH perlu diberi lebih masa untuk menunaikan janji mereka, namun janganlah rakyat dibohongi lagi agar mereka tidak mengubah fikiran tentang peluang masa itu.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.