Kisah mufti pekak pertama di alam Melayu

Minggu ini sesuatu yang amat bersejarah berlaku di Jepun.

Maharaja Akihito sudah turun takhta pemerintahan sebagai Maharaja Jepun, setelah tiga dekad menjadi lambang kepada budaya kejepunan.

Sewaktu saya di Jepun tahun lalu, saya ada bertanya; tidakkah ada kritikan terhadap baginda?

Ini mengingatkan betapa ayahandanya bertanggungjawab membawa negara matahari terbit itu ke dalam kancah peperangan yang penuh nestapa.

Teman-teman berbangsa Jepun rata-rata menolak kemuskyilan saya tersebut. Bayangan bapanya dijauhkan daripada batang tubuh baginda. Kedua-duanya dilihat sebagai tampang berbeza.

Bahkan, salah seorang teman saya mengingatkan bagaimana dalam ucapan baginda pada tahun 2015 iaitu sempena ulang tahun ke-70 kekalahan Jepun dalam Perang Dunia Kedua, Maharaja tersebut meluahkan rasa kesal atas peperangan ini.

Malah, Akihito dengan penuh rasa rendah diri menawarkan jiwa raga untuk kejahatan dan penderitaan yang terjadi ketika perang dunia di Okinawa seawal tahun 1975.

Memang di Jepun, sosok maharaja pernah disembah dan disanjung sebagai Tuhan.

Hari ini, sistem monarki yang cukup tua di Jepun itu telah mengalami kematangan tersendiri. Maharaja dan istana menjadi relevan kerana kebolehdayaan mereka menjadi lambang budaya bangsa.

Raja disembah

Di alam Melayu, tidak terkecuali, raja sering disembah, khusus kerana mereka dianggap sebagai bayang-bayang Tuhan di muka bumi. Kenyataan ini adalah agar taat dan setia kepada raja kekal berakar.

Kelekatan status dengan Tuhan ini begitu menarik disorot memandangkan status pilihan Tuhan ini dapat menjamin pula kelangsungan takhta: “Raja itu umpama ganti Allah dalam dunia, kerana ia zillu’llah fil’alam. Apabila berbuat kebaktian kepada raja, serasa kebaktian akan nabi Allah; apabila berbuat kebaikan kepada nabi Allah, serasa berbuat kebaktian kepada Allah taala. Firman Allah taala: ati’ul-laha wa’ati ‘ur Rasula wa ulil amri minhum, yakni berbuat kebaktianlah kamu akan Allah, dan akan rasul-Nya, dan akan raja, inilah wasiatku kepada kamu semua. Hendaklah jangan kamu sekalian lupa, supaya kebesaran dunia akhirat kamu semua peroleh.”

Kenyataan di atas tentu merupakan satu kepalsuan yang disuguhkan di dalam Sulalatus Salatin. Malah di dalam kepercayaan Islam, tidak ditemukan sistem beraja melainkan yang diperkenalkan oleh Muawiyah dan keturunannya kemudian.

Kepalsuan yang disebutkan di dalam Sejarah Melayu ini membantu kita memetakan banyak rentetan peristiwa yang mana orang akur kepada kezaliman pihak penguasa.

Ini kerana raja-raja, meskipun bukan Tuhan, tetap disandarkan kepada Tuhan, iaitu sebagai ganti Tuhan.

Dalam hal ini, sedikit sebanyak orang Melayu berkongsi cara fikir yang serupa dengan bangsa Jepun pra Perang Dunia Kedua.

Cabar raja

Namun demikian orang Melayu juga tidak teragak-agak menyorot prestasi raja-raja mereka.

Di Johor, satu masa dahulu, orang Melayu malah pernah cuba keluar dari cengkaman raja pada tahun 1699, iaitu 100 tahun lebih awal dari Revolusi Perancis 1799.

Sultan Mahmud Johor Lama amat dikenali dengan ketidakadilan, dan jenayah yang baginda lakukan.

Akan tetapi, meskipun sudah diturunkan dari takhta (mangkat dijulang), dan diganti orang kebanyakan ketika itu, seorang ulama Ahlus Sunnah wal Jamaah bernama Raja Ali Haji telah berkempen mempertahankan kejahatan Sultan Mahmud (mangkat dijulang).

Cara fikir Raja Ali Haji sedemikian termuat di dalam banyak karya-karya penting beliau. Tanggapan bahawa Raja Ali Haji menggunakan kerangka Sunnah Wal Jamaah untuk meneguhkan feudalisme dan monarki bukanlah sesuatu yang diada-adakan.

Raja Ali Haji sendiri memperakukan hujah ini dalam hal bagaimana pemerintah harus mentadbir atau menghukum rakyat seperti dinukilkan. Pandangan beliau ini dapat ditemukan di dalam “Thamaratu’l- Muhimmah Diyafah li’l-Umara’ I wa’l- Kubara’i Li-Ahli al-Mahkamah”.

Raja Ali Haji

Hal ini tentu menunjukkan kepada kita betapa Raja Ali Haji adalah seorang mufti pekak. Ini kerana sukar untuk menidakkan beliau tidak sedar akan segala kekejaman yang berlaku. Melainkan ulama ini sebenarnya berpura-pura pekak.

Mungkin juga beliau adalah mufti pekak yang pertama dalam alam Melayu. Ketulian beliau ini bagaimanapun gagal menjadi hujah kejujuran beliau sebagai seorang ulama.

Henri Chambert-Loir menyarankan bagaimana Raja Ali Haji bersungguh-sungguh mewaraskan kegilaan dan kegilaan Sultan Mahmud:

“The text is the Tuhfat al-Nafis, composed around 1865; it tells the story of Sultan Mahmud II of Johor (died 1699), of whom we know from a foreign source that he was homosexual and would not have intercourse with a woman. The text unravels this difficulty by explaining that the sultan had a fairy as a wife and actually begot a child from a concubine in a quite unordinary way: According to one account, he had intercourse with her once after he was already dead, while according to another he made her swallow his semen after he lusted for his fairy wife.”

Raja Ali bukanlah satu-satunya mufti pekak. Nuruddin al-Raniri meskipun berusaha menasihati raja-raja Melayu, seperti yang terzahir menerusi Bustan al Salatin (1638) iaitu memperihalkan 10 kualiti yang perlu ada pada seorang raja. Tetapi segala doktrin dalam Bustan al-Salatin tersebut tidak terjelma secara realistik dalam kalangan raja dan orang Melayu.

Jelas sekali Bustan al Salatin adalah satu kes terpencil yang terhad di Aceh. Malahan Nuruddin al-Raniri yang mengutip contoh-contoh dari dinasti Umaiyyah dan Abbasiyyah yang sarat dan tepu dengan pencabulan dan penindasan menguatkan lagi ambiguiti sedia ada.

Ambiguiti ini seterusnya disambut dan tercermin pada “Kitab Nasihat Raja-Raja” yang disusun Syeikh Duyung. Kitab ini merupakan salinan salah satu bab Bustan al-Salatin.

Meskipun manuskrip Kitab Nasihat Raja-Raja tersebut secara halus menyelar raja yang berbuat zalim dengan ingatan tentang dosa dan neraka, raja masih dianggap memiliki martabat yang tinggi di sisi Tuhan. Raja diletakkan “di kanan Rasul Allah sallallahu alaihi wasallam dan di padang Mahsyar di atas minbar daripada nur yang cemerlang”, selain dianggap manusia terpilih iaitu “duli tuanku khalifah bagi Rasul Allah atas segala umatnya di dalam negeri ini”.

Raja adil, raja zalim

Sesungguhnya budaya Melayu tidak alpa dari lupa; khusus kerana terdapat beberapa peribahasa yang provokatif tentang pemerintah dan pemerintahan.

Sebagai contoh peribahasa “Raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah”.

Ismet Fanany dan Rebecca Fanany, pengkaji bahasa Melayu, memberikan dua maksud untuk peribahasa ini.

Pertama adalah supaya mematuhi undang-undang dan melawan ketidakadilan. Kedua, pemerintah akan dinilai dan dihakimi oleh orang awam.

Perkataan “disanggah” dalam peribahasa ini membawa beban berat dan besar yang tidak memadai dengan benci. Ia menyarankan supaya seorang raja yang zalim agar diturunkan.

Jika mengambil kira pengaruh kepercayaan Hindu yang pernah sebati dalam diri orang Melayu, teks Mahabharata pernah menyarankan tugas seseorang raja itu adalah untuk melindungi rakyatnya, dan jika baginda gagal berperanan sedemikian, pengikut atau rakyat berhak meninggalkannya.

Satu hal yang perlu dinyatakan di sini adalah, untuk sesebuah sistem monarki yang cukup tua kekal diterima, seperti di Jepun itu, ia perlu menempuh proses kematangan yang golak.

Seperti dinyatakan, di Jepun, formula Maharaja dan istana untuk menjadi relevan adalah kerana kebolehdayaan mereka menjadi lambang budaya bangsa. Ia pasti sukar terjadi jika hanya faktor agama (baca: Tuhan) dikemukakan. Tidak perlu sami ditampilkan untuk merebut pengaruh.

Hari ini di bahagian dunia yang masih ada raja-raja, putera mahkota, kerabat dan pingat; faktor mereka menjadi “simbol kebudayaan” membantu keutuhan sistem tersebut kekal.

Akan tetapi, jika faktor sandaran monarki itu adalah semata-mata kerana agama (yakni Tuhan) dan fatwa mufti, ia tidak akan dapat bertahan. Ini kerana manusia tidak akan dapat mencapai makam Tuhan.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.