Setahun memerintah, dari populariti Mat Sabu ke Najib

Hari ini, genap setahun Malaysia hidup di bawah pemerintahan Dr Mahathir Mohamad yang memimpin Pakatan Harapan.

Ketika PH mula-mula memerintah, ramai yang ingin mengetahui siapa menterinya, dan siapa antara mereka yang paling popular. Ketika itu, juaranya sudah tentu Mohamad Sabu yang dilantik menjadi menteri pertahanan. Di mana-mana beliau berada, rakyat cuba mendekati untuk bergambar dengan beliau.

Cuma tidak tersangka dalam masa setahun yang pendek ini, rakyat lebih suka bergambar dengan mantan perdana menteri Najib Razak.

Ketika PH mula-mula memerintah, rakyat membayangkan kehidupan yang selesa. Ramai mengharapkan harga minyak akan turun, bantuan BR1M akan meningkat dan harga barangan dan makanan akan turun selepas GST dimansuhkan dan digantikan dengan SST.

Penghutang PTPTN yang nyawa-nyawa ikan dibadai ombak kos sara hidup pula menunggu saat mereka tidak lagi perlu membayar PTPTN sehingga mereka mencapai gaji RM4,000 ke atas.

Pengguna lebuh raya menaruh harapan tol akan dikurangkan walaupun tidak berjaya dimansuhkan.

Rakyat juga mengharapkan mereka tidak akan mendapat menteri merapu seperti di zaman BN.

Dengan jatuhnya kerajaan BN yang dilabel sebagai kleptokrat, para pelabur termasuk syarikat GLC seperti Tabung Haji, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan banyak lagi menaruh harapan pelaburan di Bursa Malaysia akan membawa pulangan yang baik.

Cuma yang tidak tersangka ialah segalanya tidak kesampaian. Rakyat dikecewakan berkali-kali.

Harga minyak tidak turun sebagaimana yang diharapkan. Bantuan demi bantuan dipotong. Hidup di bawah SST menaikkan lagi kos sara hidup walaupun GST dimansuh. PTPTN dan tol tetap perlu dibayar. Bursa Malaysia dan nilai ringgit tetap jatuh teruk walaupun PH berkata kerajaan kini lebih bebas rasuah berbanding kerajaan BN.

Lebih menyayatkan, sebilangan besar menteri PH juga merapu seperti para menteri BN yang terdahulu. Siapa tersangka, Ahmad Maslan, menteri yang paling dicemuh rakyat di zaman BN, kini menjadi pujaan ramai yang mengagumi kebijaksaannya di dalam perbahasan di dalam parlimen.

Di dalam setahun ini, kerajaan PH juga terlibat dengan pelbagai kontroversi – kasut hitam, UEC, ICERD, ijazah menteri dan timbalan menteri, Statut Rom dan perbalahan terbuka dengan istana.

Malangnya, kegagalan berulang-ulang PH yang tidak mampu bertegas dengan polisi dan mempertahankan keputusannya menyebabkan istilah U-turn dan V-turn menjadi sinomim dengan kerajaan PH kini di persepsi rakyat.

Bukan itu sahaja, tindak-tanduk kerajaan PH juga menimbulkan rasa tidak tenteram di kalangan rakyat beragama Islam sehingga watak seperti Mohd Asri Zainul Abidin terpaksa bangkit menyuarakan ketidak-ketenteraman itu. Beliau diserang bertubi-tubi oleh para pendokong PH.

Idealnya, pada waktu ini, rakyat sudah melupakan BN dan Najib. Setiap pilihan raya kecil sepatutnya dimenangi bergaya oleh PH seperti di Port Dickson.

Apabila PH tewas di tiga pilihan raya kecil secara berturut-turut tahun ini, dan rakyat mula menyuarakan mereka lebih merindui zaman kerajaan BN serta populariti Najib melonjak lebih tinggi daripada dulu, itu adalah petanda kegagalan PH paling besar bagi tahun pertama pemerintahannya dari sudut persepsi dan realiti.

PH sudah tentu memahami politik ialah persepsi. Hati rakyat adalah untuk ditawan dan bukannya untuk dicemuh. Zaman hati rakyat dihasut sesuka hati oleh ahli politik sudahpun berlalu.

Tindakan mana-mana pihak daripada PH yang menyalahkan rakyat yang menyokong pembangkang sebagai tidak berfikiran rasional dan bodoh merupakan satu tindakan yang tidak rasional dan bodoh.

Bukan rakyat bodoh mahupun tidak rasional, tapi PH yang seharusnya muhasabah.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.