Semoga tiada lagi PRK hingga penggal berakhir

Kemenangan besar calon DAP di Parlimen Sandakan mengakhiri siri pilihan raya kecil (PRK) yang berlaku sepanjang setahun Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan persekutuan dan 7 negeri.

Walaupun pengundian berlaku 3 hari selepas sambutan ulang tahun pertama penubuhan kerajaan PH, penamaan calon berlangsung sebelum tarikh itu, menjadikannya penutup bagi siri PRK yang berlangsung itu.

Kejayaan calon DAP itu merupakan satu kelegaan bagi penyokong PH dengan harapan tidak akan ada ada lagi PRK sepanjang penggal ini. Sedikit sebanyak sesuatu PRK menjadi satu gangguan kepada parti politik terutama yang menjadi kerajaaan dengan ada pemipinnya juga memegang jawatan awam.

Cuba bayangkan kerja seharian seorang ahli politik yang berjawatan kerajaan. Tugas utamanya adalah pada jawatan yang diamanahkan, sama ada besar atau kecil. Pada waktu sama, ia perlu berkhidmat sebagai wakil rakyat, sama ada ahli Dewan Rakyat atau Adun. Ini bermakna beliau bukan saja menjadi penggubal undang-undang di dewan itu tetapi juga berkhidmat dengan menyelesaikan masalah penduduk kawasan mereka.

Ditambah pula, mereka juga menjadi ahli parti politik yang menyertai pakatan. Maka sama ada mempunyai jawatan parti atau tidak, mereka perlu turut serta dalam kegiatan berhubung dengan parti masing-masing termasuk aktiviti yang melibatkan pakatannya.

Dalam keadaan ini, dapat dibayangkan berapa banyak komitmen atau sibuknya seseorang ahli politik. Khususnya ahli politik yang jujur dan mahu melaksanakan semua amanah yang dipikulnya. Maka keadaan mereka menjadi bertambah sibuk dengan adanya PRK. Pastinya sedikit sebanyak kerja awam mereka akan terjejas.

Tetapi ada pula yang beranggapan seseorang ahli politik sememangnya suka akan kesibukan ini. Maka, adanya peristiwa seperti PRK memberikan keseronokan pada mereka dan bukan sebaliknya.

PRK dalam sistem politik demokrasi yang diamalkan Malaysia tidak boleh dielakkan. Sudah tentu kematian wakil rakyat tidak boleh dielakkan. Tetapi ia boleh diubah jika dikehendakinya. Maksudnya, buat peraturan jika berlaku kematian wakil rakyat, PRK tidak perlu diadakan. Ia digantikan dengan parti yang memenangi kawasan itu melantik seseorang sebagai penggantinya. Sekarang ini pun sudah ada peraturan menetapkan PRK tidak perlu diadakan apabila waktu amat dekat dengan berakhirnya sesuatu penggal.

Buat masa ini, PRK perlu diadakan kerana pengundi bukan hanya memilih parti tetapi juga individu yang bertanding. Maka itulah yang berlaku dari 9 Mei 2018 hingga 11 Mei 2019: Sungai Kandis, Seri Setia, Balakong, Port Dickson, Cameron Highlands, Semenyih, Rantau dan Sandakan.

Banyak pihak yang menyebut PRK itu menjadi medan ujian dan peluang bagi parti politik untuk mengukur populariti mereka. Tetapi sebagai gabungan parti yang baru pertama kali memegang kerajaan, pastinya PRK itu mengganggu dan ujian sebegini pula adalah suatu yang tidak perlu. Namun, keputusan PRK serta isu yang dibangkitkan dalam kempen sedikit sebanyak mempengaruhi juga perjalanan kerajaan dan politik gabungan parti pemerintah.

Bagi parti pembangkang, 8 PRK itu memberi peluang untuk menguji pendekatan paling sesuai supaya mereka akhirnya dapat merampas kembali kerajaan pada PRU15 nanti. Melihat keseluruhan semua PRK, pihak pembangkang berjaya mencapai kejayaan dengan memenangi 3 iaitu Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau yang memberi semangat politik kepada mereka.

Kejayaan paling besar ialah di Semenyih kerana dikesan ada pengundi PH pada PRU14 kembali pada Barisan Nasional (BN). Sementara kedudukan politik pembangkang adalah lebih jelas dengan dapat ditetapkan dengan BN yang terdiri daripada Umno, MCA dan MIC berpakat dengan PAS. Mereka pula disokong Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

Bagi PH, keputusan PRK Sandakan adalah suatu kemenangan manis memandangkan mereka kalah di Cameron Hinghlands, Semenyih dan Rantau. Bagi DAP yang kalah di Cameron Highlands dan menang di Balakong, kejayaan di Sandakan adalah melegakan. Lebih-lebih lagi rekod pilihan raya di Sandakan tidaklah sentiasa menyebelahi pada DAP. Ia juga memantapkan kerjasama DAP dengan parti Sabah yang bersekutu dengan PH iaitu Warisan dan Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko).

Sokongan PPBM, PKR dan Amanah sebagai parti berpusat di Semenanjung pada DAP adalah jelas. Lawan calon PH iaitu PBS disokong oleh Umno dan PAS. Malah bekas perdana menteri Najib Razak yang juga bekas pengerusi BN dan bekas presiden Umno turut pergi ke Sandakan walaupun PBS tidak mewakili BN dan bertanding sebagai parti bersendirian. PBS keluar dari BN selepas PH memenangi PRU14. Ia menyertai Gabungan Bersatu yang turut disertai Part Solidariti Tanairku (STAR) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

Keputusan PRK Sandakan pula menunjukkan ada pusat daerah mengundi (PDM) Bumiputera Islam yang memihak pada calon DAP. Kemungkinannya mereka adalah penyokong Warisan ataupun PH secara keseluruhan. Lagipun tidak seperti PRK sebelum ini iaitu di Balakong dan Cameron Highlands yang mana DAP menggunakan lambang PH, di Sandakan, logo Roket digunakan.

Tetapi dalam pada itu pula, penyertaan calon bebas berlambangkan pokok adalah memalukan Amanah. Ini kerana Hamzah Abdullah adalah bekas pengerusi Amanah Sabah. Walaupun undi yang diterima tidak banyak iaitu sekitar 788 undi tetapi penyertaan beliau adalah suatu yang tidak perlu. Amanah dengan jelas menolak Hamzah dan menegaskan parti itu menyokong calon DAP.

Hamzah mempunyai hubungan rapat dengan pemimpin Amanah dari sejak mereka bersama dalam PAS pada 1980-an. Dalam pilihan raya dekad 1980-an lagi Hamzah sering menjadi calon PAS di Sabah walaupun beliau tidak pernah menang. Malah ketika itu, kepimpinan PAS pusat sendiri tidak menggalakkan penyertaan dalam pilihan raya di situ.

Apabila hubungan PAS dengan DAP musnah dan sebahagian pemimpinnya keluar untuk menubuhkan Amanah dan mewujudkan PH untuk menggantikan Pakatan Rakyat, Hamzah memihak pada Amanah dan menubuhkan cawangan parti itu di Sabah.

Namun apabila berlangsung PRU14 dan PH menjalinkan kerjasama dengan Warisan supaya tidak berlaku pertandingan 3 penjuru, Hamzah mengecewakan banyak penyokong Amanah Semenanjung. Ini apabila Amanah Sabah meletakkan juga calon menentang Warisan.

Dalam PRK Rantau juga, ada calon bebas yang asalnya ahli Amanah. Parti itu terpaksa menegaskan semula sokongan mereka terhadap calon PH dari PKR dan menyatakan calon bebas itu dirujukkan untuk tindakan tata tertib. Tindakan beliau juga menimbulkan kekecewaan penyokong Amanah.

Melihat 8 PRK yang berlaku itu, banyak peminat politik yang menyebut mengenai 5-3, maknanya PH menang 5 dan kalah 3. PKR menang 3 dan kalah 1. Bersatu kalah 1. DAP menang 2 dan kalah 1. Maka dikatakan Amanah saja yang belum diuji dalam PRK pasca PRU14.

Dalam siri PRK itu, 5 adalah disebabkan kematian. Dua kerana keputusan mahkamah. Satu kerana peletakan jawatan atas pertimbangan politik. Semoga tidak akan berlaku lagi PRK tetapi kematian adalah suatu yang tidak dapat dijangkakan.

Tetapi di antara PRK yang diadakan itu, proses yang membawa Anwar Ibraham ke Parlimen melalui Port Dickson adalah yang paling penting bagi PH. Ini kerana proses peralihan jawatan perdana menteri perlu berjalan dengan licin supaya kerajaan PH tidak terjejas hinggalah je penghujung penggal.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.