Menonton kembali ‘Lima Belas Puasa 1971’

Ada sebuah karya Mamat Khalid, yang tersohor dengan filem-filem komedinya, dengan judul “Lima Belas Puasa 1971”. Filem ini diterbitkan, saya percaya pada 2004.

Meskipun hanya dilihat sebagai tele-movie ekoran panjangnya yang hanya 40 minit, sebetulnya merupakan antara karya puncak beliau. Tambahan pula ia dibintangi himpunan pelakon besar tanahair antara lain Adlin Aman Ramlie, Allahyarham Loloq, Hasnul Rahmat, L. Mankadir Shamsi dan sudah tentu penampilan istimewa Yasmin Ahmad yang menakjubkan.

Dari segi sinemanya, “Lima Belas Puasa 1971” terbitan Hasmah Hassan ini mempunyai plot yang terlalu mudah. Ia adalah komedi hitam yang mengisahkan dugaan berpuasa protagonisnya, Li, yang tidak tahan berlapar di bulan Ramadan, seraya mencari jalan untuk berbuka puasa.

Akan tetapi, apa yang menjadikannya istimewa adalah garapan seni Mamat untuk filem ini yang menurut saya menggunakan sepenuh kreativiti penceritaan atau naratif Melayu yang tajam.

Ia benar-benar berjaya membina mood sebuah desa Melayu yang terpencil pada 1971.

Latar kampung (di Parit, Perak) yang indah ditonjolkan dengan begitu kemas di mana kita sebagai khalayak diperangkap secara pegun di dalam sebuah kampung yang mana hampir tiada apa-apa pergerakan.

Syot yang dipilih Mamat menjadi kita terkurung dalam sebuah latar pedalaman yang jenuh, disulami penataan muzik yang segar.

Garapan ala Quentin Tarantino yang diketengahkan “Lima Belas Puasa 1971” dalam banyak keadaan menjadikan ia sebuah karya seni yang mempunyai makna. Khususnya syot kayuhan roda basikal yang melelahkan, atau adegan statik Li meladeni watak Majid lakonan Hasnol Rahmat di kedai runcit.

Hampir setiap adegan di dalam filem ini adalah “memorable”, menjadikan filem 40 minit ini sebuah karya artistik yang canggih.

Sebagai contoh, pembukaan filem yang menampilkan gemulah Yasmin Ahmad, berkemban, membetulkan bacaan mengaji surah lazim anaknya, sambil memarut kelapa, sah-sah meletakkan ia sebagai sebuah karya seni klasik segera.

Li, yang keletihan berpuasa di tengah Ramadan pada tahun 1971 nampaknya terdorong untuk turun ke masjid kerana diajak Haslam (lakonan Loloq). Sebelum singgah di masjid, Li cuba mencuri roti di kedai runcit tetapi terhalang oleh kehadiran Majid.

Filem seterusnya membawa penonton ke latar paling penting; masjid, di mana tok ketua atau penghulu sedang berucap mengajak orang kampung untuk melakukan gotong royong. Ini ekoran YB akan hadir, tambahan pula Hari Raya menjelang tiba.

Apa yang melucukan adalah terdapat sebutir nasi di atas bibir tok ketua, tersangkut melekat pada misainya. Ketika itulah tok ketua memberi ucapan, “Saya pun dilantik sebagai ketua kampung ini kerana kesabaran. Jadi banyak kerja amal yang saya buat,” selain mengingatkan orang kampung bahawa letih berpuasa bukanlah alasan untuk tidak berkhidmat.

Haslam, Cina masuk Islam yang bulan puasa lalu hanya berpuasa penuh 2 hari, bersangka baik dengan tok ketua.

Kata Haslam kepada Li, “Nasi itu sahur punyalah.” Langsung menceceh bahawa meskipun tidak berpuasa penuh, sebagai Muslim, dia secara keseluruhannya baik dan hanya melakukan 5 kesalahan iaitu judi, ekor, kelab malam, minum, tipu (niaga punya tak apa!) dan ada sekali-sekala masuk Thailand.

Kedua-duanya menemukan Loki dan seorang lagi rakan di dalam semak, yang kelihatannya juga sedang berkira-kira untuk berbuka puasa.

Loki, ahli muzik dari Filipina menjanjikan untuk membeli roti canai dalam masa 10 minit tetapi kemudian terkorban dilenyek jentolak dengan hanya tangannya terjulur keluar memegang sekampit teh ais.

Tragedi kematian seperti itu hanya disambut oleh Haslam dengan penuh absurd, “Loki meninggal bulan puasa pun ada bagus, dia punya pasal saya masuk Islam.”

Meskipun mempertikaikan roti canai yang sudah terbuang itu “roti canai yang banyak panjang, tapi cuma ada dua. Sepatutnya ada empat.”

Haslam beredar dengan alasan untuk melihatkan apa yang terjadi kepada Loki meskipun kemudian khayalak ditunjukkan bagaimana Haslam ditangkap orang masjid dan diletakkan ke dalam trak polis sambil menatang sepinggan penuh nasi bersama-sama beberapa yang lain.

Tanpa mengendahkan apa yang terjadi, Li masih berhasrat untuk mencuri makan dan tatkala isterinya di bawah menyidai baju, dia mencuri nasi dan lauk.

Berbekalkan lauk kering itu Li bersegera ke pinggir sungai tetapi mendapati lokasi itu kurang selesa kerana perbuatannya itu ternyata disaksikan dua ekor kerbau.

Pilihan Li adalah sebuah lagi kawasan di tebing yang mana sewaktu dia ingin menyuap, muncul tok ketua dan YB.

Kedua-duanya pemimpin tempatan ini sedang memantau kawasan di mana YB ingin membina tali air untuk mengatasi masalah banjir. Mereka ternampakkan mangkuk tingkat Li yang membolehkan YB mengambil peluang mengkritik tok ketua; “Kita ini sebagai ketua, kalau ketua berpuasa maka anak buah juga puasalah kan. Tapi kadang-kadang berlakunya pula terbalik…”

Tok ketua tidak sedikit pun terkesan oleh kritikan dan herdikan tersebut malah terus hipokrit, mengujarkan agar “hormatilah bulan Ramadan, janganlah makan merata-rata”, atau “makan pada tempatnya”.

Dialog ini jika diperhalusi mempunyai seribu makna dan pengertian yakni buat yang haram asalkan jangan sampai tertangkap, dan ia diucapkan oleh seorang ketua munafik yang tidak berpuasa.

Li berjaya melolos diri dari suasana itu dan menunjukkan kesungguhannya untuk berbuka, kali ini dengan memanggang ayam hutan hasil jerat orang kampung.

Pun, Li mengalah dan tidak jadi berbuka apabila terngiangkan suara anaknya mengaji al-Quran.
Malang sekali Li sendiri termasuk perangkap jerat tersebut, dan akibatnya tergantung dalam keadaan terbalik separuh bogel sehingga malam.

Lakonan watak utama oleh Adlin Aman Ramlie tidak dapat dipertikaikan sama sekali. Tanpa banyak dialog, dan hanya memanfaatkan mimik muka dan bahasa badan, Adlin berjaya menyuguhkan kepada kita watak Li yang letih, tetapi dalam masa yang sama malang.

Sementara beduk diketuk, isteri Li dan dua anak-anaknya yang sudah pun berbuka ternanti-nantikan kepulangan Li yang masih berhempas pulas untuk melepaskan diri.

Plot mudah “Lima Belas Puasa 1971” ini sebetulnya memberi kesan dramatik dan mengingatkan kita bentuk dramaturgi Melayu yang mengesankan.

Mamat Khalid secara cekap mengadoptasi genre jenaka Melayu ala “Lebai Malang” untuk digubah kembali menjadi “Li Yang Malang”.

Seperti mana genre jenaka Melayu dalam sastera lisan kita yang menghantar sindiran tajam khusus kepada para pemimpin, “Lima Belas Puasa 1971” turut melakukan hal sedemikian. Sikap hipokrit tok ketua tetapi kekal bersahaja menjadikan kita bukan sahaja ingin tertawa, tetapi dalam masa yang sama menyampah dan lekas menghubungkan peribadi seperti ini dengan ketua, atau pemimpin yang kita kenali, di mana mereka cakap tidak serupa bikin.

Mamat menggarap watak-watak berdasarkan genre tradisional ini dengan memanfaatkan watak tipikal bodoh-sial (Loki, dan Haslam), dan pintar-bodoh (Li dan tok ketua).

Sementara dialog “Lima Belas Puasa 1971” penuh dengan unsur sarkastik. Di dalam genre jenaka Melayu ini, meskipun unsur sarkastik ini terkesan kesat, tetapi ia amat berguna sebagai satu kritikan sosial.

Ini dapat dilihat dalam filem unggul ini apabila anak Li bertanya di manakah ayah; isterinya lakonan Yasmin Ahmad sempat menjawab, “Bila dia balik, aku cilikan dia punya anu nanti.”

Sementara unsur ironi yang membawa maksud bertentangan dapat diperolehi pada dialog-dialog watak tok ketua. Hanya sedikit kekurangan adalah, memandangkan latar masa filem ini adalah di tahun 1971, dengan penampilan watak Cina mualaf iaitu Haslam, serba sedikit kita menanti rujukan sosial seputar tipe “Cina masuk Melayu” di era selepas berlakunya rusuhan kaum 13 Mei. Akan tetapi, sama ada Mamat terlupakan, atau memang dia sengaja mencicirkan aspek tersebut.

Meskipun terdapat sambungan lain untuk filem ini, “Lima Belas Puasa 1971” kekal menjadi rujukan terbaik minda Melayu kerana keasliannya, dan sentuhan seni yang baik.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.