Mengenang SM Idris dan legasi ‘gaya hidup alternatif’

Jumaat lalu, SM Mohamed Idris, presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) meninggal dunia pada usia 93 tahun.

Usaha penulisan biografi beliau telah bermula sejak November tahun lalu oleh IIUM Press, iaitu penerbit Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Ia akan diterbitkan sempena ulang tahun ke-50 CAP pada tahun depan.

CAP adalah legasi utama SM Idris tetapi bukan satu-satunya legasi. Allahyarham juga adalah presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM).

Pada 1 Mac lalu, SM Idris di atas kerusi roda menyertai tindakan membantah Penambakan Laut Pulau Pinang Selatan (PSR) yang akan mewujudkan tiga pulau buatan. Pada hari itu, SAM menerbitkan laporan Impak Penambakan Laut Pantai di Malaysia.

Usaha menerbitkan biografi beliau sempena ulang tahun ke-50 CAP menunjukkan betapa padunya hidup beliau dengan persatuan itu dan gerakan kepenggunaan.

CAP ditubuhkan pada 1970. ketika Idris berusia 43 tahun. Sejak ditubuhkan, yang menjadi ketua hanyalah beliau, dan beliau aktif sehingga akhir hayatnya.

Lambang CAP ialah alat timbang dacing. Ia bukan saja melambangkan keadilan tetapi pada zaman itu urusan jual beli adalah menggunakan dacing dengan ukuran kati dan tahil.

Pada 1974, saya yang berada di Tingkatan 3 ada membaca sebuah laporan dalam akhbar yang mana CAP membantah cadangan logo Barisan Nasional (BN) kerana parti baharu itu menggunakan juga lambang dacing. CAP membuat bantahan kepada Pendaftar Pertubuhan kerana persatuan itu telah mendahului BN menggunakan lambang tersebut, dan ia boleh membawa kekeliruan. Namun BN menjawab bahawa reka bentuk dacing mereka adalah berbeza daripada milik CAP.

CAP merupakan pelopor kepada gerakan kepenggunaan di negara ini. Selepas ianya ada, barulah persatuan-persatuan pengguna lain ditubuhkan.

Pada masa itu aliran pemikiran politik, ekonomi, sosial dunia adalah ke kiri. Walaupun negara-negara yang mengamalkan sistem ekonomi liberal dan kapitalis, tetapi suasana kekirian global menuntut mereka menubuhkan institusi bernada sosialis bagi mengimbangi kekuasaan pasaran supaya berlaku adil terhadap masyarakat.

Maknanya, dalam sistem kapitalis yang mana masyarakat menumpukan pada kejayaan komersial para peniaga, maka keadilan sosial dapat dicapai melalui perlindungan kuat ke atas pekerja dan pengguna.

Di pihak kerajaan, Kementerian Tenaga Manusia melindungi pekerja sementara Kementerian Hal Ehwal Pengguna melindungi pengguna. Tetapi kuasa kerajaan tidak mencukupi kerana mereka juga perlu menjaga kepentingan peniaga dan pemodal melalui Kementerian Kewangan, Ekonomi dan Perdagangan.

Maka, institusi bukan kerajaan adalah perlu untuk melindungi pekerja dan pengguna. Ia muncul dalam bentuk kesatuan sekerja dan persatuan pengguna.

Jika kesatuan sekerja dan persatuan pengguna lemah, pekerja dan pengguna tidak akan berupaya berdepan dengan peniaga dan pemodal yang bersumber tinggi lebih-lebih lagi apabila persatuan majikan dan dewan perniagaan adalah lebih kuat dan berpengaruh.

CAP memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada keadilan masyarakat. Keberkesanannya pula berdiri di atas penyelidikan yang mana ia mempunyai makmal untuk menguji produk, dan juga media sendiri iaitu akhbar Utusan Konsumer dan Utusan Pengguna yang diterbitkan sejak tahun 1970 lagi.

Saya mula melanggan Utusan Konsumer pada 1974, ketika Tingkatan 4. Dari pembacaan bertahun-tahun ke atas akhbar itu, ternyata ia bukan saja memberi panduan kepada pengguna terhadap memilih produk yang baik.

Tetapi ia menawarkan satu sikap hidup yang berbeza daripada apa yang ada pada masyarakat. Ia memberi panduan bagaimana hendak menjadi sihat dengan makanan tanpa bahan kimia. Ia mengajar bagaimana mengurus wang dengan tidak terpengaruh dengan iklan dan produk baharu.

Di atas segalanya ialah bagaimana hidup secara harmoni dengan alam sekitar. Umpamanya menggunakan basikal dan pengangkutan awam.

Pada sekitar tahun 1980-an dan 1990-an, CAP tetap muncul sebagai persatuan pengguna paling aktif dan berpengaruh. Nampak jelas ia datang dari komitmen, dedikasi, kepimpinan dan intelektual Idris. Ia aktif menjalankan penyelidikan, mengadakan sidang media, mengeluarkan kenyataan akhbar, menerbitkan risalah dan buku.

Di Malaysia, persatuan pengguna diusahakan menurut negeri. Untuk menggukuhkan suara, persatuan-persatuan pengguna negeri berpakat di bawah Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca).

Sebanyak 13 persatuan bergabung di bawahnya. Tetapi bukan CAP.

Pertama kali saya berkenalan dengan Idris adalah pada 1990 kerana berada dalam satu rombongan ke Baghdad, Iraq untuk menghadiri satu persidangan antarabangsa sebagai tamu Presiden Saddam Hussein.

Ketika mana delegasi lain memakai sut dan tali leher, beliau tetap berpakaian seperti biasanya iaitu baju putih kapas dan kain pelikat putih dari India dan bersongkok hitam. Beliau tidak berasa sejuk dengan pakaian.

Antara soalan yang saya kemukakan selama bersama beliau sepanjang seminggu itu ialah mengapa CAP tidak menyertai Fomca. Beliau kata CAP bukan persatuan pengguna biasa. CAP menganjurkan satu gaya hidup berbeza daripada yang masyarakat termasuk persatuan pengguna lain mahukan.

Beliau menceritakan mengenai gaya hidup itu yang saya simpulkan sebagai sikap menolak budaya konsumerisme.

Maka ia menjadi pelik, CAP sebagai persatuan membela konsumer menolak budaya konsumerisme.

Apa yang menjadikannya pelik ialah istilah “konsumer”. Konsumer bermaksud pengguna yang tentunya meliputi semua orang.

Tetapi maksud budaya konsumerisme pula ialah materialisme dari segi hidup yang bertumpu pada benda, barangan, produk dan ilusi kebahagiaan melalui pemilikan dan kepenggunaan.

Ia termasuklah kemewahan, pembaziran dan dekadensi.

Sekembalinya ke Malaysia, saya meneliti buku-buku terbitan CAP khususnya yang ditulis sendiri oleh Idris. Gaya hidup alternatif yang dianjurkan oleh Idris adalah kesederhanaan dari segi perbelanjaan. Pakaiannya sudah menampakkan hal ini.

Dalam istilah agama, beliau menganjurkan budaya zuhud material. Kemudian nilai-nilai yang beliau tanam ialah penekanan terhadap ilmu, berprinsip, komitmen pada perjuangan, keadilan, menggunakan bahan-bahan mesra alam sekitar, kehidupan simpel serta tenang dan seumpamanya.

Nilai-nilai yang kebanyakan orang anggap sebagai ideal atau ekstrem tetapi dikagumi.

Saya mengunjungi pejabatnya di George Town beberapa kali. Pertama kalinya ialah di pejabat lamanya di tepi laut di Gurney Drive yang berpemandangan nyaman sesuai dengan sikap hidupnya.

Pejabat CAP berupa rumah banglo lama tanpa pengubahsuaian yang juga mencerminkan gaya hidupnya. Ia adalah seperti sebuah institut. Ada perpustakaan, pusat sumber spesimen dan makmal untuk menjalankan uji kaji. Perabot yang digunakannya adalah kayu dan rotan. Plastik dilarang di pejabatnya.

Dalam perbualan dengan seorang kakitangannya, saya diberitahu bagaimana sebagai ketua, Idris adalah seperti guru dan kakitangannya adalah murid. Beliau seringkali menetapkan makalah-makalah dan buku-buku yang perlu dibaca.

Kemudian diadakan diskusi untuk memahami sesuatu konsep dan isu yang ada kalanya sampai larut malam.

Pendirian Idris adalah jelas, konsisten dan mendalam. Saya pernah bertanya, mengapa beliau menentang pebinaan Jambatan Pulau Pinang yang pertama dahulu.

Katanya, apabila ada jambatan, kereta persendirian akan mudah masuk. Pulau akan pasti sesak kerana ia tidak boleh menampung penduduk yang banyak. Pembinaan akan bertambah dan ia merosakkan alam sekitar, bangunan warisan, rentak hidup dan malah jati diri pulau itu.

Dari jawapan itu dapatlah difahami pemikiran Idris mengenai pembangunan manusiawi sebenar.

Itulah legasi beliau dan pastinya tidak akan ada sesiapa dapat menggantikan ketokohan beliau.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.