Pendidikan jadi penentu hubungan Melayu-Cina

Dalam tahun pertama kerajaan Pakatan Harapan (PH), pembangkang memainkan isu berkaitan kepentingan Melayu, antaranya mengenai Konvensyen Antarabangsa Pembasmian Segala Diskriminasi Kaum (ICERD) dan Statut Rom. Akibatnya, persepsi yang ditimbulkan adalah PH kurang menjaga kepentingan Melayu berbanding Umno dan PAS.

Tetapi dalam bulan pertama tahun ke-2 kerajaan PH pula, sebahagian masyarakat Cina pula memainkan isu berkaitan kepentingan pendidikan bukan Melayu, antaranya mengenai kemasukan ke kolej matrikulasi dan pemberian biasiswa kepada pelajar Palestin. Maka timbullah persepsi kerajaan PH gagal membela kepentingan pendidikan bukan Melayu walaupun terdapat DAP dalam pakatan itu.

Apa yang berlaku adalah kerajaan PH menghadapi tekanan daripada kedua-dua pihak iaitu orang Melayu dan Cina. Sebarang kemerosotan sokongan orang Melayu dan Cina terhadap PH akan menjejaskan peluang pakatan itu terus memerintah untuk penggal akan datang walaupun banyak kebaikan dilakukan.

Namun apa saja tindakan atau kegagalan bertindak kerajaan PH dalam sesuatu isu menunjukkan parti politik negara ini akan terus menghadapi masalah sama berhubung dengan isu Melayu dan bukan Melayu. Orang Melayu umumnya menolak ICERD dan Statut Rom, sementara bukan Melayu pula mahukan kedua-dua perjanjian itu.

Orang Melayu mahukan status quo kolej matrikulasi dikekalkan, sementara orang Cina mahu ia dibuka pada orang bukan Melayu. Orang Melayu mahu menyokong rakyat Palestin termasuk memberi biasiswa kepada pelajar mereka. Tetapi bagi bukan Melayu, nasib Palestin bukan masalah mereka.

Maka kehendak Melayu dan bukan Melayu akan sentiasa bertentangan. Sesiapa menjadi kerajaan perlu menghadapi dan menanganinya tetapi apapun yang dilakukan pasti tidak akan memuaskan hati kedua-dua pihak.

Namun kedua-dua pihak, atau ketiga-tiga kaum negara ini, Melayu, Cina dan India perlu hidup bersama secara harmoni, maka akhirnya kompromi dan toleransi wajar diadakan kerana tidak akan ada persamaan kepentingan. Apa yang hanya boleh dianggap sebagai kepentingan bersama ialah ketiga-tiga kaum perlu hidup bersama dalam sebuah negara secara aman dan makmur.

Hubungan baik Melayu-Cina adalah kunci politik negara ini. Tetapi sebenarnya ada 3 lapisan dinamika lain. Lapisan pertama adalah hubungan Semenanjung Malaysia dengan Sarawak dan Sabah. Lapisan ke-2 berlaku dalam kalangan warga Semenanjung Malaysia pula iaitu hubungan Melayu dengan Cina dan India. Lapisan ke-3 pula berlaku di dalam orang Melayu sendiri iaitu antara golongan konservatif dengan moderat dan progresif. Namun paling penting dalam semua sudut dinamika itu ialah mengenai hubungan Melayu-Cina.

Daripada isu yang ditimbulkan sejak kerajaan PH mentadbir, dapat dilihat betapa kedua-dua pihak mempunyai keutamaan berbeza dari segi kepentingan mereka.

Pihak Melayu berpegang pada teras berikut. Pertama, apa yang disebut sebagai kedaulatan Melayu ke atas Malaysia melalui kedudukan Raja-raja. Itulah sebabnya mereka menolak Statut Rom. Kedua, kedaulatan Melayu dari sudut mempertahankan hak istimewa orang Melayu.

Sebab itu mereka menolak ICERD. Ketiga, kedaulatan Melayu melalui bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Sebab itu mereka menolak pengiktirafan UEC. Ke-4, kedaulatan Melayu melalui kedudukan Islam sebagai agama rasmi. Dalam hal ini, antara isu berkaitan ialah menyokong Palestin dan mempertahankan penceramah Zakir Naik.

Di pihak Cina pula, mereka juga mempunyai teras kepentingan kaumnya. Pertama, hak kewarganegaraan mereka sebagai rakyat yang setaraf dengan orang Melayu. Sebab itu mereka menyokong ICERD. Kedua, hak kewarganegaraan mereka sebagai pembayar cukai. Untuk itu, mereka menuntut hak memasuki institusi pendidikan awam termasuk kolej matrikulasi dan UiTM.

Ketiga, hak kewarganegaraan mereka untuk bebas menggunakan bahasa ibunda mereka. Sebab itu mereka mempertahankan pendidikan Cina termasuk mahukan pengiktirafan UEC. Keempat, hak kewarganegaraan mereka untuk bebas mengamalkan agama, kepercayaan atau cara hidup mereka. Dalam hal ini, mereka menolak peraturan berkaitan Islam yang boleh menjejaskan cara hidup mereka seperti pelaksananaan undang-undang syariah.

Maka kedaulatan Melayu dan hak kewarganegaraan ini pasti bertembung. Kedua-duanya adalah konsep dan merupakan konstruk politik. Tetapi bagi pendokongnya, ia merupakan suatu yang nyata dan perlu dipatuhi.
Kedaulatan Melayu dianggap sudah ada ke atas negeri-negeri Melayu sebelum kedatangan Barat yang membawa masuk buruh-buruh dari China dan India. Tetapi bagi sebahagian rakyat negara ini, kedaulatan Melayu sudah tidak timbul dengan adanya Perlembagaan Persekutuan yang menerima orang bukan Melayu sebagai warganegara. Melalui perlembagaan itu, kuasa berada pada warganegara yang mengundi dalam pilihan raya dan membayar cukai.

Kedua-dua pihak mempunyai hujah masing-asing dan tidak ada titik pertemuan. Kalau boleh disebut titik pertemuan pun, adalah apa yang diutarakan dalam Perlembagaan Persekutuan. Tetapi itupun boleh ditafsirkan secara berbeza dan bertentangan.

Terdapat pelbagai isu yang menjadi pertembungan. Tetapi isu paling besar dan sensitif adalah pendidikan. Ini kerana ia berkait dengan bahasa, ekonomi dan generasi akan datang. Orang Melayu mahukan sekolah kebangsaan yang menjadi penyatu semua rakyat, termasuk kaum Cina. Tetapi pada waktu sama pula orang Melayu mahukan juga sekolah agama dan tahfiz yang diberi dana kerajaan.

Bagi orang Cina pula, mereka mahu mepertahankan sekolah jenis kebangsaan Cina. Selain daripada ia merupakan suatu kebebasan pengantar bahasa, sekolah jenis kebangsaan Cina dianggap lebih bermutu dari segi pendidikan dan penyemaian nilai baik. Pada waktu sama mereka mahukan lulusan sekolah itu diiktiraf sama dengan sekolah kebangsaan supaya boleh menyertai perkhidmatan awam.

Dari segi ekonomi pendidikan, pasti berlaku rebutan tempat dalam insitusi pengajian tinggi awam khususnya kemasukan kolej matrikulasi dan pengagihan biasiswa bagi pelajar cemerlang. Di sinilah berlaku pertembungan di antara kepentingan kaum Melayu dan Cina. Sumber akan sentiasa terhad lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi yang tidak memberangsang. Hujah-hujah biasa akan dikemukakan.

Hakikat Melayu sudah lama ketinggalan, masih ketinggalan dan akan ketinggalan. Di pihak Cina, pula mereka menekankan soal hak pendidikan warganegara, meritokrasi dan pembelaan bagi orang susah tanpa mengira kaum. Kedua-dua pihak pasti mempertegaskan pendirian mereka. Maka akan berlaku kekecewaan dan malah menjejaskan hubungan Melayu dengan Cina dalam negara ini, termasuk dalam kalangan parti PH sendiri.

Penyelesaian yang ada hanyalah kompromi dan toleransi seperti yang pada mulanya berjaya dilakukan antara Umno dengan MCA sejak pilihan raya umum 1955. Suka atau tidak, politik negara ini diasaskan oleh keharmonian hubungan politik Melayu dan Cina. Sebarang kemerosotan sokongan adalah apabila salah satu kaum, Melayu dan Cina menarik balik sokongan kerana tidak berpuas hati dengan pengagihan sumber. Itu berlaku pada Umno apabila menghadapi pilihan raya 1969, 2008, 2013 dan 2018.

Rundingan dan persetujuan semula wajar dilakukan antara Melayu dan Cina. Kalau dulu menjelang kemerdekaan adalah antara Umno dan MCA, dan kemudian selepas 1974, adalah antara Umno-PAS dengan MCA-Gerakan, kali ini pula adalah antara PPBM-PKR-Amanah dengan DAP.