‘Ulama hari raya’ pekak dengan penguasa

Terdapat satu laporan baru-baru ini yang menyatakan Kelantan akan dibanjiri sejuta kenderaan milik anak rantau yang pulang berhari raya. Ada orang menyatakan kepada saya keanehan mereka oleh ketabahan bangsa Kelantan untuk pulang berhari raya sehingga perlu mengharung kesesakan lalu lintas.

Sebetulnya anak Kelantan tidak boleh dipersalahkan. Eloklah pulang berhari raya sekiranya ada kesempatan. Akan tetapi pertanyaan di atas mendorong saya mengimbau satu kategori lebai yang saya namakan “ulama hari raya”.

Hari ini, “ulama hari raya” kita gantikan misalnya dengan ulama taksub Liverpool, “sado” mengaku ulama yang ilmunya “berado”, atau dhaei yang suka meluah perasaan kepada aktres atau trans cantik. Akan tetapi satu masa dahulu, sebelum ada gejala “pencetus ummah”, kita pernah juga mempunyai kelompok agamawan “ulama hari raya”.

Siapakah atau apakah “ulama hari raya”?

Untuk menjelaskan perihal “ulama hari raya” ini mungkin kita boleh merujuk kepada kes Tok Konok. Agamawan ini dikaitkan antara lain dengan kemunculan institusi pondok, dan pengajian tafsir Al-Quran.

Jajat Burhanudin, seorang sarjana dari Indonesia dalam karangan berjudul “Syaikh Da’ud al-Fatani dan Hubungan Mekah-Asia Tenggara: Jaringan Intelektual, Transmisi Islam dan Rekonstruksi Sosio-Moral” menyatakan Tok Konok berjasa menyebarluaskan institusi pondok di Kelantan pada abad ke-19:

“Keberadaan pondok di Kelantan terkait erat dengan kemunculan seorang ulama terkemuka pada pertengahan abad ke-19, Haji Nik Zayn al-‘Abidin bin Nik Isma’il (1830-1893) atau terkenal dengan Tok Konok. Dia dikenal memiliki beberapa orang murid yang kemudian mendirikan pondok di daerah mereka masing-masing, iaitu di Kota Bharu, Pasir Mas dan Tumpat – 3 daerah yang menjadi basis pondok terkuat di Semenanjung yang terus bertahan hingga kini.”

Ada pengkaji selain Jajat seperti Mustaffa Abdullah dan Mohd Asmadi Yakob yang mengaitkan Tok Konok Atas Banggol ini dengan pengajian tafsir Al-Quran di Kelantan, tetapi saya belum menemukan bukti akademik yang tuntas untuk menerima pandangan ini.

Demikian juga terdapat banyak kisah aneh dan ajaib melingkari watak ulama ini, antara lain beliau dikatakan memiliki dan menggunakan amalan “hizib syatit” iaitu doa laknat yang boleh mengakibatkan musuh ditimpa kecelakaan dan kematian.

Kisah lisan orang Kelantan antara lain mengatakan Tok Konok bertikai dengan raja Kelantan pada waktu itu, Sultan Mansur, mengenai penetapan tarikh raya puasa, dan untuk menamatkan perseteruan itu, Tok Konok bersembahyang hajat, dan membaca doa syatit ini lantas mengakibatkan raja Kelantan yang sedang mengambil air sembahyang untuk mengerjakan fardhu Subuh terjatuh, dan meninggal dunia.

Ketakutan rakyat

Insiden ini, samada dapat dikatakan benar atau tidak benar, ada dirakam dalam sebuah tulisan akademik Nik Abdul Aziz Nik Hassan, bekas tenaga pengajar di Fakulti Pengajian Islam di Universiti Kebangsaan Malaysia yang bertajuk “Ulama-ulama Dalam Abad ke-19 di Negeri Kelantan: Suatu Komentar”.

Nik Abdul Aziz menyatakan begini; “Kemurkaan Sultan Mansur terhadap seorang ulama yang bernama Haji Nik Zainal Abidin (Tok Konok) dalam penghujung abad ke-19 semata-mata berpunca daripada fatwa Tok Konok berkenaan dengan tarikh hari raya puasa yang berbeza dengan tarikh yang telah pun diisytiharkan oleh sultan.

“Akibat daripada fatwa itu Tok Konok dimurkai oleh sultan dan beliau diperintah oleh sultan supaya diarak di hadapan khalayak ramai dengan kereta lembu. Seterusnya perintah itu dibatalkan kerana sultan yang berkenaan dikatakan meninggal dunia dengan tiba-tiba sebelum sampai masa ulama itu hendak diarakkan.

“Menariknya walaupun Tok Konok engkar dengan perisytiharan sultan berhubung dengan tarikh hari raya akan tetapi dalam hal-hal kemasyarakatan khususnya berhubung dengan ketakutan dan tekanan hidup yang dialami oleh rakyat disebabkan kezaliman raja-raja dan pembesar-pembesar Tok Konok tidak pula menampakkan menjadi wira dalam soal-soal ini.”

Peristiwa yang disebutkan di atas ini sebetulnya boleh dipertikaikan, ini kerana Tok Konok atau Nik Zayn al-‘Abidin lahir dalam 1830-an (terdapat dakwaan lahir pada 1818) dan meninggal dunia pada 1893. Sedangkan Sultan Mansur yang didakwa mangkat akibat doa syatit yang dibaca oleh Tok Konok itu meninggal dunia pada 1902.

Terlepas dari benar atau tidak kejadian magis tersebut, apa yang disentuh Nik Abdul Aziz di hujung perenggan di atas jauh lebih menarik. Beliau bertegas menulis betapa Tok Konok “dalam hal-hal kemasyarakatan khususnya berhubung dengan ketakutan dan tekanan hidup yang dialami oleh rakyat” gagal memperjuangkan nasib orang bawah dan tertindas; memandangkan dalam hal menetapkan hari raya, beliau boleh pula beriya-iya mempertahankan pandangannya sehingga sanggup dihukum.

Maka “kezaliman raja-raja dan pembesar-pembesar” yang berleluasa gagal ditangani, atau dicegah kemungkarannya oleh Tok Konok yang didakwa selaku pendiri pondok dan pakar tafsir itu.

Inilah yang saya maksudkan dengan “ulama hari raya” yang mana ulama ini memberi perhatian kepada hal-hal ranting dan sanggup berkorban diri, menegur pemerintah dan penguasa, atau menentang arus perdana; akan tetapi dalam hal-hal hari yang tidak raya (iaitu hari derita) untuk orang awam, mereka berpekak dan membisu.

Apakah “ketakutan dan tekanan hidup yang dialami oleh rakyat” ketika fatwa hari raya puasa Tok Konok itu bertentangan dengan keinginan raja?

Antara 1830-an sehingga 1890-an masyarakat atau umat Islam di Kelantan hidup berduka dan amat derita oleh tindak-tanduk raja dan penguasa pada waktu itu. Saya boleh mendatangkan sekian banyak bukti akademik dan rekod sejarah yang memaparkan kesengsaraan rakyat Kelantan dalam dekad-dekad tersebut. Akan tetapi memadai mungkin kita merujuk rekod Bozzolo, pegawai Hugh Low yang merakam tentang kemelaratan orang Kelantan dalam 1888, semuanya terjadi kerana kekejaman penguasa.

Perayaan siang dan malam

Bozzolo menyatakan golongan miskin di Kelantan terpaksa berhijrah mencari kerja di luar. Kemiskinan menyebabkan berlaku kecurian yang meluas, antara lain kerbau yang digunakan untuk bersawah. Dalam keadaan sulit ini jika orang Kelantan mencari jalan keluar dengan meminjam wang, raja dan pembesar dengan sengaja mengenakan cukai dan pulangan bunga tinggi yang menyebabkan mereka akhirnya tidak dapat membayar.

Sebaik itu berlaku mereka akan dijadikan hamba hutang, yang menurut Bozzolo kebanyakannya “wanita dan kanak-kanak”. Selain itu terdapat juga sistem kerah yang mana lelaki merdeka dipaksakan berperang (abad ke-19 dipenuhi siri perang saudara merebut takhta dengan campur tangan Siam).

Di tengah-tengah kesakitan tersebut apakah yang penguasa lakukan? Bozzolo menuliskan laporan “raja asyik mengadakan perayaan, siang dan malam; sementara rakyat sedang menderita, menorah, mak yong dan wayang kulit dari beberapa negeri terus dipersembahkan…”.

Saya pernah membaca tulisan Prof Ishak Shari, sarjana besar kita dalam bidang ekonomi menerusi karangan beliau “Keadaan Ekonomi dan Struktur Masyarakat Melayu Kelantan Dalam Abad ke-19” yang memperincikan penderitaan orang Kelantan sehingga mengakibatkan mereka berhijrah ke negeri lain dalam jumlah besar.

Bukan itu sahaja, saya juga pernah menulis banyak artikel mengenai keadaan pelacuran di Kelantan yang mana para ulama, khusus jenis “ulama hari raya” dengan institusi pondok yang dibanggakan itu gagal menanganinya.

Jika raja berhibur dengan mak yong, apakah yang dilakukan para ulama? Bolehkah mereka sekadar menadah kitab dan berfatwa?

Nik Abdul Aziz dalam artikelnya itu menyatakan keadaan “ulama hari raya” ini sebagai mereka yang patuh kepada feudalisme, terkongkong dalam ilmu keagamaan, dan terbatas aspek ibadah atau ritual semata-mata:

“Pada pandangan penulis di samping kerana suasana feudal yang wujud yang menyelubungi pemikiran masyarakat ialah juga kerana sistem pendidikan agama itu sendiri. Pada umumnya ulama-ulama ini mempelajari agama tidak sampai kepada sumber asli Islam iaitu Al-Quran dan Al-Hadith.

“Maksud kembali di sini ialah kembali kepada Al-Quran dan Al-Hadith mengikut metodologi tafsir dan metodologi ilmu hadith itu sendiri. Mereka dilatih untuk memahami dan bertaqlid kepada kitab-kitab karangan ulama-ulama sebelum khususnya ulama-ulama ‘mutaakhirin’. Oleh yang demikian ulam-ulama ini alim dalam kitab-kitab yang mereka pelajari itu sahaja.

“Justeru kerana itulah maka wujudnya istilah ulama-ulama kitab dalam zaman itu. Tambah lagi pula asas pengetahuan untuk membolehkan mereka memahami disiplin kemasyarakatan langsung tidak ada. Oleh itu tidak hairanlah apabila kita dapati tidak lahir ulama-ulama yang mendokong Islam secara syumul di Kelantan sehingga abad ke-20.

“Penekanan pengajaran mereka ialah kerana aspek-aspek ibadah yang khusus dan persoalan-persoalan akhlak yang terbatas kepada diri orang perseorangan itu sahaja.”

Jadi dongengnya adalah, seperti mana ia merupakan satu angan-angan, “ulama hari raya” boleh bersembahyang hajat dan mengamal doa syatit agar musuh mereka (iaitu dalam hal ini penguasa) jatuh tergolek sehingga mati, semata-mata berlaku, kononnya, untuk menegaskan ego ilmu dan fatwa.

Pun, untuk rakyat dan orang awam mereka kekal berduka, mengharung celaka, bukan satu atau seribu tetapi bahkan sejuta. Argh, alangkah baiknya juga yang sejuta itu masuk Kelantan, dan keluarnya pula dengan bermuhasabah dan memahami pengajaran dari sejarah lampau.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.