Bagaimana Malaysia sambut raya dulu-dulu

Bagaimanakah caranya umat Islam (khusus orang Melayu) menyambut Hari Raya Puasa beberapa dekad yang lalu?

Dekad-dekad sebelum Anwar Ibrahim menyertai Umno dan membawa sama nilai Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), jauh sebelum Penerapan Nilai-nilai Islam diperkenalkan oleh Dr Mahathir Mohamad 1.0, tahun-tahun sebelum Ahmad Zahid Hamidi bertemukan lailatul qadar di Masjidil Haram, atau dekad sebelum Jakim ingin memeriksa apa yang ada dalam kain Sajat.

Tarikh raya

Pada 1964, akhbar melaporkan bagaimana umat Islam berasa lega kerana Hari Raya Puasa tidak jatuh pada hari Jumaat. Ini kerana terdapat satu kepercayaan dalam kalangan orang Melayu di Johor Bahru yang hari raya yang jatuh pada hari Jumaat “tidak elok”.

Dalam laporan itu, seorang suri rumah bernama Che Safiah (berbangsa Johor) dipetik mengatakan, “Syukur kepada Tuhan hari raya tidak jatuh pada hari Jumaat, kalau tidak 2 khutbah akan dibaca pada hari ini, yang mengikut kepercayaan sesetengah orang tidak baik kiranya berlaku bagitu.”

Apakah yang dimaksudkan dengan “tidak baik”?

Saya tercari-cari kepercayaan aneh sedemikian, dan menariknya bertemu dengan pertikaian antara seorang ulama Kelantan kelahiran Iran, Tok Khurasan, yang pada tahun-tahun 1930-an bertikai secara sengit dengan raja Kelantan, Sultan Ismail Sultan Muhammad IV.

Pertikaian tersebut terjadi kerana dikatakan Hari Raya Puasa pada tahun tersebut jatuh pada hari Jumaat, dan untuk menghindar khutbah dibacakan 2 kali – kerana raja percaya ia boleh memendekkan umurnya – Sultan Kelantan menitahkan agar sembahyang Jumaat tidak dilaksanakan.

Mufti tatkala itu, seperti hari ini, akur dengan arahan tersebut dan mengisytiharkan solat Jumaat tidak dilaksanakan supaya usia baginda tidak terjejas.

Tok Khurasan bagaimanapun menyelar fatwa pelik tersebut dan mengeluarkan fatwa beliau sendiri yang mengecam tindakan mufti dan raja.

Kepada jemaah pelajar di madrasahnya di Kampung Sireh (belakang Maktab Kadir Adabi), Tok Khurasan memberitahu, seorang ulama haruslah menjadi harimau, daripada menjadi anjing.

Insiden ini disebutkan oleh Nik Abdul Aziz Nik Hassan, bekas tenaga pengajar di Fakulti Pengajian Islam di Universiti Kebangsaan Malaysia dalam karangan ilmiah bertajuk “Lima Tokoh Ulama Yang Memainkan Peranan Penting Dalam Perkembangan Ilmu di Kelantan”.

Ini menjelaskan kepada kita, meskipun kejadian tersebut berlaku di Kelantan dalam tahun 1930-an, 30 tahun kemudian kepercayaan mengarut seperti ini masih dipercayai oleh masyarakat Islam di Johor Bahru pada 1964. Ia juga menjadi petunjuk betapa berakarnya feudalisme dalam benak umat Melayu.

Kembali kepada cara Melayu menyambut raya.

Pada 1971, hari raya menjadi satu pertelagahan di Kedah apabila 10% umat Islam di negeri tersebut tidak berhari raya pada Jumaat sebaliknya meraikannya pada Sabtu dengan alasan tidak nampak anak bulan.

Laporan akhbar tahun tersebut menyatakan Yang Dipertua Majlis Jabatan Ugama Kedah, Sheikh Abdul Majid Mohammed “sedang memerhatikan perkara ini”, tetapi beliau percaya tindakan segelintir yang enggan beraya awal pada hari Jumaat itu kerana pertembungan pandangan mengenai anak bulan dan soal mencukupkan bulan puasa kepada 30 hari.

Raya suram di pedalaman

Tanah Melayu pada 1953 berdepan masalah ekonomi mencengkam ekoran kejatuhan harga getah dan timah. Akhbar melaporkan tiada perkelahan di pagi raya di Lake Garden, malah ia juga muram di Singapura yang mana “even in Singapore, hari raya nights in many Malay kampongs were reported as ‘dull and dim’.”

Pada 1959 pula, raya di kawasan ditimpa sekatan perjalanan kerana Darurat ekoran ancaman pengganas dilonggarkan. Sebagai contoh, penduduk Padang Rengas dibenarkan ketika bermusafir untuk “membawa makanan seperti lemang dan kuih selama 3 hari” iaitu sehingga hari raya ke-3. Pada hari biasanya, penduduk dilarang membawa makanan.

Pada 1960-an, hari raya ternyata suram di Malaysia dan Singapura kerana beberapa malapetaka ekonomi dan politik.

Pada 1964, Hari Raya Puasa dan Tahun Baru Cina jatuh serentak. Meskipun demikian, Malaysia mengalami keadaan kemelesetan ekonomi tatkala itu.

Buat peladang pula hari raya rasa mendera kerana ia diraikan awal tahun, selepas sekolah baru dibuka. Lebih menghimpit ialah harga getah hanya “58 sen sekati” dan harga gula “70 sen sekati di kampung sekarang ini”. Yang mana “harga getah terlalu murah dan harga gula melambung tinggi”.

Bukan itu sahaja, akhbar turut menyatakan, meskipun hari raya dan Tahun Baru Cina serentak, perniagaan turut terjejas oleh kemelesetan ekonomi: “Keadaan orang membeli-belah tersangatlah berkurangan, tidaklah saperti tahun yang sudah-sudah.”

Keadaan ini berlaku sekali lagi pada 1966, apabila masyarakat tani di pedalaman meraikan hari raya serba tidak cukup memandangkan “buah padi yang selama beberapa tahun yang lalu membantu mereka ketika menyambut Aidilfitri. Pada tahun ini masih belum terbit menjelang ketibaan hari raya ini.”

Ekoran dari itu hasil padi tidak dapat dijual, dan perbelanjaan hari raya adalah “cara yang terlalu sederhana”.

Sementara di Lenggong serangan burung terhadap “padi sedang menguning” membuatkan petani terpaksa menuai hasil lebih awal.

Tahun yang sama, Malaysia juga sedang menangani soal konfrontasi dengan Indonesia dan sebagai satu budi bicara mengizinkan “tawanan Indonesia di Malaysia” ihsan “mengucap selamat hari raya kapada kaum keluarga mereka di-Indonesia melalui perkhidmatan Suara Malaysia.”

Rancangan Suara Malaysia malah “bertolak ke Sabah dan Sarawak untok merakam ucapan tawanan-tawanan Indonesia di sana.”

Pada 1968, hari raya disambut 2 kali dan ini mendorong gerakan buruh yang sedang bersemarak waktu itu untuk berjuang agar 64,000 pekerja estet diberi cuti lebih dari 4 hari (tatkala itu cuti perayaan hanya 4 hari!), 2 hari untuk raya kali pertama dan 2 hari lagi untuk raya pusingan ke-2.

Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Ladang yang dipimpin PP Narayanan (betul, India dan beragama Hindu) memperjuangkan agar “pekerja Melayu yang bekerja di estet-estet” mendapat cuti bergaji pada kedua-dua hari raya ini.

Malah, pihak kesatuan membawa hal ini ke Mahkamah Perusahaan dan memaksa Menteri Buruh waktu itu, V Manickavasagam menangani masalah pekerja berbangsa Melayu ini.

Meriah di bandar

Sungguh pun demikian, hari raya kekal meriah di kawasan bandar. Salah satu aktiviti hari raya di bandar tidak lain tidak bukan ialah bersuka-ria.

Teluk Intan misalnya (waktu itu dirujuk Telok Anson) membuka “fun fair” dengan “bermacam-macam pertunjukan wayang gambar, joget, tari-menari, sandiwara dan lain-lain”.

Sebenarnya umat Melayu pada waktu itu memang berhibur sesungguh-sungguhnya ketika hari raya. Ia tidak terhad di bandar.

Sebagai misalan, Kuantan Youth Club pada 1955 menganjur tari-menari pada hari yang mulia tersebut. Klang menawarkan “Malam Gembira” pada 1958 anjuran Shaw Brothers.

Di Chemor, Perak, majlis serupa dianjur pula oleh Persatuan Pancaragam Kampung Ulu Kuang pada 1964. Di Kulim, Umno Cawangan Pekan Kampung Lama mengadakan joget-joget di Balai Raya Kuala Ketil pada 1968. Hatta negeri Perlis yang hanya mempunyai satu (atau dua?) bulatan jalan raya ikut menganjurkan tari-menari, malah Perlis Darus Sunnah yang paling hebat sekali.

Pada 1965, Indera Kayangan Club menganjurkan joget sementara pada 1969 dengan amalan agama yang ketat itu menawarkan pementasan selama 2 hari berturut-turut pada hari raya anjuran Kelab Belia Suria Muda di Balai Raya Mata Ayer.

Pulau Pinang tidak ketinggalan, pada hari raya 1966 menyediakan pertandingan ratu cantik di Batu Feringgi anjuran “Pemuda-pemuda Islam” dan diadakan di banglo Suruhanjaya Pelabuhan.

Manakala pada 1968 dilaporkan ketua menteri ketika itu, Wong Pow Nee menganjurkan tari-menari sempena Hari Raya Puasa di rumah persinggahan beliau.

Pertandingan Ratu Cantik turut diadakan di Dewan Jubli Intan Johor Bahru pada 1964 di mana juri pemilihan adalah P Ramlee dan Saloma. Noraini Ariffin dinobatkan sebagai Puteri Hari Raya Aidlfitri sempena “Malam Aneka Warna Hari Raya”.

Sembahyang raya

Pada 1957, umat Islam di Klang bersembahyang hari raya berimamkan Sultan Selangor sendiri. Baginda mengimamkan sembahyang sunat tersebut di Masjid Alam Shah.

Sementara pada 1962, upacara sembahyang raya di peringkat persekutuan dianjurkan di padang dalam Istana Negara (yang lama) dan dihadiri ribuan umat Islam.

Adalah menjadi kebiasaan pada waktu itu sembahyang hari raya dilakukan di tempat terbuka atau padang, malah pada 1966, umat Islam di Pulau Pinang bersembahyang di padang Jalan Helen Brown di tengah George Town.

Pada tahun yang sama, entah mengapa, Wanita PAS memilih untuk sembahyang hari raya sendiri-sendiri yang mana Ketua Kaum Ibu PAS Pulau Pinang, Salmah Hussain menjadi imam sembahyang hari raya di Tabiatul Islamiah, Kampung Rawa.

Beliau turut menyampaikan khutbah hari raya. Ia menjadi petunjuk ulama perempuan pada waktu itu sudah aktif melakukan sesuatu yang mungkin dipandang janggal hari ini.

Sebelum Masjid Negara yang masih dalam pembinaan pada 1965, orang kenamaan memilih Masjid Kampung Baru untuk bersembahyang, seperti mana pada 1958, Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman bersama-sama Timbalan Agong menyambut pagi raya di masjid tersebut sebelum mengunjungi majlis di Pasar Road.

Saya ingin menamatkan artikel ini dengan menurunkan serangkap pantun Hari Raya yang diterbitkan di akhbar Berita Harian pada 26 Januari 1965 iaitu lebih 50 tahun lalu:

Burong merbah terbang ke paya,
Sambil terbang menchari makan;
Berbagai juadah hidangan Raya,
Kuih Melayu jangan lupakan.

Selamat hari raya. Maaf lahir dan batin buat semua pembaca.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.