Mengapa Dr M tak bincang lantikan Latheefa dalam Kabinet?

Perbualan hangat Hari Raya tahun ini sudah tentu ialah kontroversi pelantikan Latheefa Koya sebagai ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia oleh Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Menurut pengkritik, pelantikan Latheefa tidak selaras janji manifesto Pakatan Harapan mengenai lantikan awam utama perlu melalui Jawatankuasa Pilihan Khas untuk Melantik Jawatan Utama Perkhidmatan Awam dan mereka turut berjanji tiada lagi lantikan politik dalam perkhidmatan awam.

Pelantikan Latheefa oleh Mahathir ini sememangnya konsisten dengan sikap PH yang sering melanggar manifesto sendiri. Sering kali, mereka mempunyai hujah dan dalil ketika melanggar manifesto sendiri, terutamanya dalam perkara yang boleh disalahkan pada Barisan Nasional dan Najib Razak.

Peliknya, di dalam pelantikan Latheefa, perkara sebaliknya berlaku. Tiba-tiba janji manifesto ini diberi perhatian serius oleh para pendokong dan pimpinan PH sendiri sehinggakan ada yang membuat petisyen menuntut Latheefa meletak jawatan.

Perkara sama tidak kelihatan ketika Mohd Shukri Abdull dilantik mengetuai agensi anti-rasuah itu, Azhar Azizan Harun dilantik sebagai pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Abdul Hamid Bador sebagai ketua polis negara dan Tengku Maimun Tuan Mat sebagai ketua hakim negara.

Di dalam minda rakyat yang terpaksa mengharungi kesesakan trafik sempena Hari Raya walaupun perlu membayar tol setelah setahun di bawah pentadbiran PH – sudah tentu mereka tertanya-tanya mengapa tiada pimpinan PH yang membuat petisyen untuk menuntut tol dihapuskan, bonus raya lebih banyak daripada kerajaan BN serta harga minyak diturunkan sebagaimana mereka membuat petisyen menuntut Latheefa meletak jawatan.

Para pendokong PH yang menyokong pelantikan Latheefa berkata, janji manifesto tidak penting asalkan orang yang tepat dilantik menerajui SPRM. Kalau bukan Latheefa yang dilantik, apakah mereka masih akan bercakap sedemikian?

Mereka yang menentang pelantikan Latheefa pula berkata, janji manifesto PH adalah penting. Kalaulah orang yang disukai mereka dilantik, apakah mereka masih akan membantah?

Oleh itu, apakah protes terhadap pelantikan Latheefa ini disebabkan mereka ingin mempertahankan manifesto PH, kerana kebencian terhadap Latheefa, ingin memburukkan Mahathir atau kerana sifat hipokrit semata-mata?

Di sebalik segala asakan, bantahan terhadap pelantikan ini, Mahathir menegaskan pelantikan Latheefa adalah muktamad.

Persoalan yang lebih utama ialah mengapa Mahathir tidak sudi berbincang dengan Kabinetnya sebelum melantik Latheefa?

Apakah ia kerana beliau merasakan Kabinetnya tidak berfungsi, membazirkan banyak masa untuk berbahas lama satu pelantikan untuk tujuan politik semata-mata atau beliau terasa ada orang di dalam Kabinetnya yang akan menggagalkan pelantikan ini, sekiranya mereka mengetahuinya lebih awal?

Mungkinkah Latheefa dapat dilantik sekiranya Mahathir berbincang dengan Kabinetnya terlebih dahulu? Berdasarkan reaksi pimpinan PH yang terus berbalah sepanjang minggu lepas, jawapannya sudah hampir pasti tidak.

Barangkali itu sebab utama Mahathir malas mahu berbincang dengan mereka dan terus menggunakan hak prerogatifnya untuk melantik Latheefa. Jika Mahathir mahu menilai siapa kawannya di dalam PH, segalanya sudah jelas di sebalik kontroversi ini.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.