Kemelut baru Mahathir-Anwar akan kecewakan penyokong PH

Pelantikan Latheefa Koya sebagai ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mendedahkan spekulasi baru mengenai hubungan Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim.

Umumnya, perdebatan yang berlaku bukan mengenai kelayakan Latheefa, tetapi terhadap proses pelantikannya. Ia menampilkan persaingan kuasa antara perdana menteri dan presiden parti paling banyak kerusi dalam Pakatan Harapan.

Tetapi, spekulasi yang timbul bukan politik masa kini semata-mata, iaitu kedudukan Mahathir yang mengetuai kerajaan dan Anwar yang diisytiharkan akan menggantikan beliau. Malah, spekulasi ini meliputi 3 dimensi, iaitu politik lampau, akan datang dan gejala 2 kem dalam PKR.

Merentas 3 dimensi itu pula ialah 3 perkara, iaitu politik antara parti komponen PH, dinamika dengan pihak pembangkang dan akhir sekali tetapi paling penting ialah mandat majoriti pengundi dalam pilihan raya umum lalu yang telah membawa kepada kekuasaan kerajaan sedia ada.

Walaupun aturan politik hari ini berbeza daripada sebelum tertubuhnya PH, tetapi dinamika hubungan Dr Mahathir dan Anwar yang dahulu tetap menjadi rujukan dan ingatan.

Sepatutnya apa yang sudah berlalu, lebih-lebih lagi yang menjangkau 20 tahun lalu, dibiarkan menjadi sejarah, tetapi perkara itu tidak dapat dielakkan dalam analisis mana-mana ahli politik.

Hubungan kedua-duanya boleh dikatakan bermula lebih 40 tahun lalu, iaitu 1974 ketika Mahathir menyandang jawatan menteri pelajaran dan Anwar merupakan presiden Majlis Belia Malaysia yang turut berperanan dalam demonstrasi pelajar menentang kerajaan.

Daripada pihak bertentangan, kedua-duanya menjadi sekutu apabila Anwar menyertai Umno dan menjadi sebahagian daripada pasukan Mahathir dalam pilihan raya umum 1981. Hubungan kedua-duanya sampai pada kemuncaknya apabila Anwar menjadi timbalan perdana menteri kepada Mahathir.

Tetapi, hubungan mereka berubah secara mendadak selepas Mahathir menyingkirkan Anwar dan bermulalah gerakan Reformasi penuh pahit dan getir. Anwar dan Mahathir terus bermusuhan sehinggalah PPBM menyertai PH.

Pakatan antara PKR dan PPBM ini membawa gandingan Mahathir-Anwar yang mampu meraih sokongan rakyat. Dalam keadaan kembali bertaut ini, sepatutnya hubungan mereka memasuki lembaran baru dan apa yang sudah berlaku itu, biarlah tinggal sejarah.

Malangnya, menjelang penubuhan kerajaan PH pada malam 9 Mei 2018, mula tersemai apa yang boleh menyebabkan masalah hubungan PKR-PPBM.

Kisah sensitif ini luas dibayangkan aktivis PH, Hishamuddin Rais, yang hubungannya dengan Anwar turut berasal-usul sejak mereka menjadi aktivis mahasiswa pada 1970-an.

Sungguhpun begitu, kerajaan PH berjaya dibentuk dan kestabilan politik dipulihkan dengan usianya kini menjangkau lebih setahun.

Anwar pun sudah menjadi ahli Parlimen dan umumnya negara sentiasa bersedia menerimanya sebagai pengganti Mahathir apabila tiba masanya.

Tetapi, politik tidak selurus itu. Sepanjang setahun lalu, gambaran terhadap bakal kerajaan PH pasca Mahathir sentiasa menghantui parti komponennya. Apa jua keputusan Mahathir dan respons Anwar menjadi pertimbangan mereka.

Walaupun Mahathir menjadi pengerusi PH, tetapi partinya lebih kecil berbanding PKR. Sungguhpun Amanah dilihat pendokong kuat Mahathir, tetapi mereka bersama DAP juga tidak dapat mengatasi PKR. Sementara PKR pula mesti mendapat sokongan parti lain dalam PH untuk berkuasa.

Keadaan ini boleh dianggap stabil, jika PKR tidak mengalami fahaman berpuak-puak. Tetapi, selepas beberapa bulan menjadi kerajaan, sudah ketara dan diketahui umum bahawa PKR terbahagi dua. Inilah dimensi ke-3 dalam spekulasi berkaitan pelantikan ketua SPRM baru itu.

Dua kem itu masing-masing berada di belakang Anwar dan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali. Latheefa yang merupakan pendokong Anwar sejak zaman reformasi lagi, serta pernah menjadi ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR didapati sebahagian daripada kem Azmin.

Jadi, spekulasi timbul mengenai apa yang sedang berlaku ialah percaturan Mahathir. Hakikatnya, beliau berulang kali menegaskan janjinya untuk menyerahkan kuasa kepada Anwar tetap akan dikotakan, tetapi ia disambut dengan

Ramai yang tidak yakin dengan janji beliau, khususnya dalam kalangan PKR. Di kalangan PPBM, ramai berharap Anwar tidak akan menjadi perdana menteri kerana sebahagian daripada mereka berharap Azmin yang akan menggantikan Mahathir.

Keadaan ini membawa kepada dinamika politik yang turut mengheret pihak pembangkang, iaitu Umno dan PAS.

Ini kerana sejak malam 9 Mei 2018, seperti yang dikisahkan Hishamuddin, sudah ada tanda-tanda senario alternatif boleh berlaku dalam kerajaan PH. Senario alternatif itu adalah gabungan PKR dan BN untuk menubuhkan kerajaan.

Tetapi setahun berlalu, dengan fahaman berpuak-puak yang berlaku dalam PKR, tidak semua ahli Parlimennya akan menyokong pakatan dengan Umno.

Ditambah pula kekuatan Umno sudah terjejas dengan sebahagian ahli Parlimennya melompat ke PPBM atau menjadi wakil rakyat bebas.

Sekarang, Umno sudah berpakat dengan PAS. Tetapi, dalam dinamika antara Mahathir dan Anwar, pendirian parti itu kelihatan berbeza. Umno dilihat cenderung kepada Anwar, sementara PAS lebih kepada Mahathir.

Akhirnya, kehendak rakyat lebih penting. Dengan segala persilatan ahli politik dan pengikut mereka, mandat rakyat melalui sistem demokrasi perlu sentiasa diingat dan diambil kira.

Semangat demokrasi menetapkan kerajaan dibentuk oleh parti atau gabungan parti yang mendapat sokongan majoriti rakyat, tetapi turut melindungi hak pengundi minoriti.

Keputusan pilihan raya umum ke-14 menyaksikan rakyat mahu kerajaan PH diketuai Mahathir. Dalam perspektif ini, dapat difahami rakyat mahukan kerajaan yang bukan saja bersih, tetapi berkesan.

Apabila disebut berkesan, rakyat tidak mahu negara dan kehidupan mereka terjejas serta merosot. Untuk itu, rakyat mahu kerajaan stabil yang membawa maksud mereka menolak politik perpecahan, sama ada antara parti dalam PH atau fahaman berpuak-puak dalam PKR.

Umumnya, penyokong PH boleh terima pengganti Mahathir adalah Anwar. Tetapi, apa yang mereka tidak boleh terima ialah krisis ke-2 Mahathir-Anwar.

Bagi generasi yang pernah melalui zaman Reformasi pada 1998, pastinya mereka masih ingat keharmonian dalam negara terjejas akibat krisis pertama Mahathir-Anwar.

Tambahan pula, dalam krisis pertama itu dapat dilihat bagaimana Mahathir dan Anwar mengheret penyokong mereka sehingga membawa banyak kesusahan kepada rakyat pelbagai lapisan.

Ia bukan saja merosakkan parti mereka ketika itu, iaitu Umno, tetapi juga jentera kerajaan, media, pusat pengajian tinggi, syarikat korporat dan badan bukan kerajaan.

Bagi pemerhati politik dan wartawan, krisis politik ialah sesuatu yang menarik dan mengujakan. Tetapi cuba bayangkan kalau pada 1998 tidak berlaku perbalahan politik antara Mahathir dan Anwar, Malaysia mungkin mampu mencapai Wawasan 2020.

Dengan menimbang perkara ini, biarlah Latheefa membuktikan keupayaannya menjalankan tugasnya di SPRM. Lagipun beliau sebahagian daripada aktivis Reformasi pada 1998 yang ketika itu tentunya memiliki idealisme untuk memperbaiki negara. Agenda Reformasi adalah lebih tinggi daripada aspirasi seseorang individu atau pemimpin.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.