Lebih baik beli konsesi Lebuhraya KL-Karak dulu

Baru-baru ini timbul berita bahawa Putrajaya berniat untuk mengambil alih 4 konsesi lebuh raya bertol di Lembah Klang.

Sejumlah RM6.2 bilion diperuntukkan untuk membeli saham Gamuda Bhd dan Lingkaran Trans Kota Holdings Bhd (Litrak) yang mengusahakan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya Shah Alam (Kesas), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT) dan Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir (Terowong SMART).

Niat Putrajaya ini bagus.

Mengambil alih konsesi akan memberikan kuasa kepada Putrajaya untuk membatalkan kontrak lebuh raya yang sedia ada dan membuat rundingan baru dengan kadar tol lebih munasabah.

Dengan demikian, Putrajaya juga dapat mengurangkan duit pampasan kepada konsesi tol kerana menyekat mereka daripada menaikkan harga tol mengikut perjanjian asal.

Namun perlu diingatkan, pengambilalihan konsesi lebuh raya bertol tidak bererti Pakatan Harapan (PH) dapat menjamin janji menghapuskan tol dapat ditunaikan.

Ini kerana Putrajaya masih memerlukan duit yang banyak untuk kerja-kerja menyelenggara lebuh raya dan juga membayar staf dan kakitangan yang berkhidmat di sepanjang lebuh raya. Kos ini akan terus ditanggung rakyat melalui pembayaran tol.

Cuma tol yang dibayar selepas ini hanyalah untuk menyelenggara lebuh raya, bukannya menjamin keuntungan “gila-gila” syarikat konsesi tol seperti sebelum ini.

Putrajaya juga boleh merangka agar sebahagian kutipan tol ini disalurkan untuk pembinaan infrastruktur pengangkutan awam yang lebih baik agar jumlah kenderaan boleh dikurangkan yang akan membawa kepada pengurangan kesesakan jalan raya.

Namun begitu, tindakan Putrajaya ini mempunyai risikonya tersendiri. Setelah mengambil alih syarikat konsesi, Putrajaya perlu memastikan lebuh raya dapat terus diselenggara dengan baik sehinggalah tol dihapuskan.

Selepas tol dihapuskan, Putrajaya perlu memikirkan sumber dana untuk menyelenggara lebuh raya dan membesarkannya dari semasa ke semasa kerana jumlah kenderaan di Malaysia sentiasa bertambah.

Jangan bertindak secara populis tanpa memikirkan semua ini. Jika tidak, kesan jangka panjang akhirnya meletakkan kehidupan rakyat dalam bahaya apabila kerajaan sentiasa memberi alasan tiada duit untuk menyelenggara keadaan lebuh raya.

Mewakili rakyat Pantai Timur, penulis berharap Putrajaya dapat memberikan keutamaan kepada pengambilalihan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) yang dimiliki ANIH Berhad, lalu terus menghapuskan tol Gombak dan Bentong.

Tol Gombak dan tol Bentong sememangnya terkenal dengan kesesakan setiap kali musim cuti di Malaysia, terutamanya cuti perayaan.

Lebuh raya yang berusia 42 tahun ini masih mengutip tol sehingga hari ini, RM6 untuk tol Gombak dan RM3.50 untuk tol Bentong. Tempoh ini sudah terlalu panjang.

Jika Putrajaya mempunyai kekangan bajet, kekalkan Lebuhraya SPRINT dan SMART – dan hapuskanlah tol Gombak terdahulu. Tol Bentong boleh dibiarkan terus mengutip tol untuk menampung kos penyelenggaraan lebuh raya KLK.

Sudah pasti rakyat yang berasal dari Pantai Timur an menetap di Lembah Klang dan di luar Pantai Timur akan sangat terharu dengan langkah ini jauh melebihi mereka yang terharu dengan kehilangan SPRINT dan SMART, yang kedua-duanya mempunyai jalan alternatif tidak berbayar yang boleh dipilih dengan mudah berbanding Lebuhraya KLK.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.