‘Rahmatan lil alamin’ ala Melaka sebelum serangan Portugis

Beberapa bulan lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Mujahid Yusof Rawa mempromosi gagasan “rahmatan lil alamin” yang menurut beliau satu pendekatan besar yang dibawa oleh kerajaan ke arah mewujudkan negara “rahmah”.

Beliau menambah gagasan ini “diterjemahkan melalui tingkah laku dan keperibadian unggul rakyat dan seterusnya menjadi model Malaysia iaitu model negara Islam berbilang kaum yang boleh dicontohi dunia luar.”

Mujahid menyatakan “rahmatan lil alamin” ini akan “menjadi gagasan masa depan bagi membentuk Malaysia baru” dan kelak apabila diluluskan akan “menjadi dasar kerajaan”.

Makanya kita tahu gagasan ini pertama cirinya terlihat pada keunggulan rakyatnya; kedua, sebuah negeri yang menghormati kemajmukan dan kebilangan kaum (justeru kepercayaan dan agama); dan ketiga, dapat dijadikan contoh oleh dunia luar.

Dalam mewacanakan gagasan ini, Abdul Ghafar Don dari Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia misalnya pernah menulis di sebuah akhbar harian dengan merujuk konsep “rahmatan lil alamin” itu terserlah dalam Al-Quran melalui ayat 107, Surah al-Anbiya’ yang bermaksud: “Tidaklah Kami mengutuskan kamu wahai Muhammad melainkan sebagai rahmat kepada sekalian alam”.

Menurut Abdul Ghafar lagi, “ayat ini memberi isyarat Nabi Muhammad diutus untuk membawa mesej rahmat meliputi semua makhluk, manusia, jin, haiwan, tumbuh-tumbuhan dan lain-lainnya.”

Beliau seterusnya menekankan, rahmat itu bererti kasih sayang dan jangan sampai menganiayai orang lain; “rahmat seperti dibincangkan ulama, bermaksud kasih sayang. Sifat kasih sayang yang ada pada diri seseorang akan menghindarkannya daripada menganiaya atau menzalimi orang lain.”

Pun, Abdul Ghafar, seperti agamawan-agamawan lain akan sering meruntuhkan kata-kata sendiri. Abdul Ghafar, selepas mencadangkan agar rahmat itu meliputi semua makhluk dan bermakna kasih sayang, beliau dalam artikel itu mengherdik golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dan secara penuh ambiguiti menyatakan, “dalam meraikan orang bukan Islam, kita tidak boleh bertoleransi dalam hal yang bercanggah dengan perintah agama. Misalnya mengambil sikap berkompromi dalam soal judi dan arak kerana menjaga hati mereka.

“Hal ini tidak dibolehkan kerana bercanggah dengan prinsip ajaran Islam yang mengharamkan judi dan arak atau membolehkan kumpulan LGBT berkongsi tandas dengan orang kurang upaya (OKU) atau tandas khusus untuk mereka.”

Akhirnya seperti agamawan lain beliau akan tetap memberi solusi yang klise iaitu “kesejahteraan sesebuah masyarakat ditentukan oleh dua komponen penting, iaitu pendidikan dan undang-undang. Kedua-duanya perlu berjalan serentak.”

Kelakar bukan?

Inilah masalahnya agamawan kita pada hari ini. Mereka sering menolak ikrar dan pegangan sendiri. Mereka tidak akan menemukan kaedah lain untuk melaksanakan kasih sayang yang menjadi tuntutan agama.

Menurut mereka “rahmah” hanya terlaksana dengan undang-undang. Semuanya dengan undang-undang, dan undang-undang akhirnya akan cenderung keras. Yang mana keras akan bermuarakan penganiayaan terpilih dan kezaliman meluas.

Dalam hal “mensejahterakan masyarakat” dengan “undang-undang” mereka akan kembali kepada syariah, dan dengan syariah akhirnya gagasan “rahmatan lil alamin” itu akan mereka sendiri ingkari. Maka minoriti kembali dizalimi dan dianiayai. Mereka akan mencari alasan untuk tidak memberi “rahmah” itu yang selalunya kerana bersalahan dengan ajaran Islam. Justeru LGBT, Ahmadiah, Syiah, orang bukan Islam, dan yang berfahaman liberal akan diinjak.

Jadi apakah bentuk pelaksanaan “rahmatan lil alamin” yang tidak meruntuhkan idea asal itu sendiri? Menurut Mujahid ia boleh dikesani menerusi keunggulan masyarakat, meraikan aneka ragam kaum dan fahaman; yang akhirnya sehingga dijadikan contoh oleh dunia luar.

Saya tidak pasti apakah model “rahmatan lil alamin” yang akan dicanai oleh Mujahid dan penggubalnya. Jika penggubal itu datang dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, kita mempunyai hak untuk merasa curiga dan prasangka.

Ini kerana belum ada formula Islam dari institusi agama ini menimbangkan unsur tempatan secara pesat.

Saya fikir satu model yang boleh dilihat, walaupun bukan semua boleh diambil ialah, keterbukaan dan toleransi yang diamalkan oleh Melaka tahun-tahun sebelum ia jatuh ke tangan Portugis.

Luis Filipe FR Thomaz dari Universiti Lisbon, yang tersohor dengan penyelidikan “Early Portuguese Malacca” pernah menyatakan di ambang 1511, jumlah penduduk Melaka antara 100,000 ke 200,000 orang. Bahkan, seperti dinukil Tome Pires dan dikutip oleh Thomaz, penduduk Melaka mencapai angka 400,000 orang.

Populasi Melaka tatkala itu amat majmuk.

Orang Jawa kebanyakannya berasal dari Gerisek dan Jawa Timur selain yang datang dari Tuban, Japara, Sunda dan Lampung dipercayai masih belum menganut agama Islam dan beragama Hindu. Kebanyakan mereka askar upahan raja.

Orang Cina di Melaka tatkala itu dipercayai dari keturunan Chincheu (Quanzhou, Fujian). Sementara orang India terdiri dari Bengali, Gujarati, Parsi tetapi ramainya Tamil.

Terdapat pula orang Luzon yang beragama Islam. Dalam pada itu rekod sejarah yang dirujuk Thomaz juga ada menyebut perihal sejumlah kecil bangsa Armenia yang dirujuk sebagai Nasrani Nestorian. Thomaz malah menjelaskan terdapat maklumat dari sumber Portugis pada 1610, mengenai penemuan sebuah tinggalan gereja Armenia yang memberi petunjuk kepelbagaian agama penduduk Melaka sebelum 1511.

Bukan sahaja ada Hindu dan Nasrani, terdapat juga orang Yahudi di Melaka yang mengambil peranan sebagai peminjam wang. Salah seorang Yahudi yang terkenal dan dicatat masih menetap di Melaka sehingga 1514 ialah Khoja Azedim.

Hal ini memberi satu petunjuk, model kemajmukan Melaka boleh dipegang oleh Mujahid dalam menimbangkan gagasan “rahmatan lil alamin” ala Pakatan Harapan.

Bagaimana pula pengamalan Islam waktu itu. Apakah sikap Melaka terhadap rakyatnya yang berbilang etnik, kepercayaan, dan cara hidup tatkala itu? Adakah mereka menggunakan metod kelakar oleh Abdul Ghafar iaitu “mensejahterakan masyarakat dengan undang-undang”?

Ada baiknya kita merujuk catatan kembara Ahmad ibn Majid mengenai Melaka, seperti yang dikutip oleh Vasco da Gama. Berdasarkan catatan Ibn Majid, kita akan dapati Islam di Melaka meskipun sudah menjadi semacam agama rasmi; tetapi ia Islam yang menurut Thomaz dalam karangannya bertajuk “Malacca’s Society on the Eve of the Portugues Conquest” adalah Islam yang “open and permissive”.

Ibn Majid menyatakan orang Melaka yang beragama Islam waktu itu malah mengahwini pasangan bukan Islam, minum alkohol dan bebas untuk tidak bersembahyang. Ia petanda kerajaan Melaka waktu itu tahu membezakan yang mana satu dosa peribadi (contoh hari ini, katakanlah, sodomi di Sandakan atau menonton porno di Jerman), dan yang mana satu dosa am (yang mesti dihukum seperti mencuri duit KWSP).

Dosa peribadi tiada tindakan kerana ia urusan individu dengan Tuhan. Dosa am yang memberi kesan kepada masyarakat pula diberi perhatian.

Ibn Majid seperti dikutip Thomaz menyatakan lagi, undang-undang adat lebih berpengaruh sementara undang-undang Islam hanyalah “suppletory law”. Hatta mereka yang meninggalkan agama Islam diberi kelonggaran untuk bertaubat sebanyak 3 kali.

Thomaz malah memuji sistem percukaian di Melaka ketika itu sangat adil terhadap bukan Islam dan tiada diskriminasi.

Poin di atas menjawab obsesi Abdul Ghafar untuk menggunakan undang-undang bagi mensejahterakan masyarakat dalam kerangka “rahmatan lil alamin”. Kita sudah pun punya kerangka “alam Melayu”. Memang Islam di Melaka tatkala itu pun masih bukan Islam yang dapat dikatakan Islam Muhammadi. Pun, dalam hal ini, kita boleh merujuk pengalaman Melaka serba sedikit.

Terdapat juga bukti sudah ada penganut Syiah di Melaka sebelum kejatuhan Portugis. Seperti yang dinyatakan dalam “Commentarios”, dokumen mengenai penaklukan Melaka oleh Portugis dan dipetik oleh McRoberts dalam “An Examination of the Fall of Melaka in 1511”, terdapat 3,000 Khorasani atau Parsi di Melaka ketika kejatuhannya. Pada kurun tersebut, Syiah sudah amat tersebar di Iran dan rata-rata “Khorasani” orang Syiah.

Sarjana Thailand, Plubplung Kongchana dalam kertasnya “The Historical Development of the Persian Community in The Court of Ayuthya”, menjelaskan selepas kejatuhan Melaka ke tangan Portugis, jumlah orang Syiah di Ayutthaya meningkat mendadak kerana mereka yang dari Melaka itu lari ke sana.

Tetapi, seperti yang saya sebutkan sebelumnya, agamawan kita di Malaysia hari ini penuh ambiguiti, dan lagi pun jika kita mengharapkan Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia yang diketuai Mujahid itu untuk menggubal sesuatu yang rahmah, kita akan mengalami kekecewaan dan kita tahu gagasan tersebut kelak pasti meleset.

Sesuai untuk kita katakan “rahmatan lil alamin” Pakatan Harapan ini “extension” kepada Islam Wasatiyyah Najib Razak, dan Islam Hadhari Abdullah Badawi. Kong kali kong, balik-balik macam itu juga. Sebab asalnya kelakar, hasil akan jadi kelakar juga.

Melainkan ada keberanian untuk kita merujuk sejarah orang dan tamadun Melayu agar dapat jadi panduan; iaitu sempadan dan teladan.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.