Tolong tulis: ‘Tololnya beli lebuh raya tol’

Kelmarin, kawan saya yang agak rapat menghantar satu pesanan SMS dengan tajuk yang tersebut di atas. Dia agak marah dan kecewa kerana kerajaan Pakatan Harapan (PH) seolah-olah “‘menangguk di air keruh” dalam menangani isu lebuh raya tol.

Hanya kerana manifesto PH berkata jika mereka menang pilihan raya umum ke-14 (PRU14), mereka akan hapuskan tol, bukan bererti mereka mesti membeli semula lebuh raya bertol.

Katanya lagi, manifesto itu sebenarnya adalah satu janji kosong sahaja yang dari awalnya dianggap oleh pihak lawan sebagai manifesto yang agak “tolol”. Penulis manifesto itu sebenarnya menjangka PH tidak akan menang dalam PRU14.

Lalu mereka menjanjikan perkara yang tidak munasabah dari segi pengurusan ekonomi negara hanya untuk memancing undi. Ini telah banyak diwartakan dan ramai pembaca faham.

Sememangnya, PH atau mana-mana kerajaan pun tidak akan kesampaian untuk mengotakan janji ini. Tetapi pada penghujung kekabutan menangani permintaan manifesto selepas 1 tahun memerintah, ditambah gejala kekecewaan pada beberapa pilihan raya kecil, isu-isu yang berlegar sekarang banyak berubah.

Dengan kegagalan demi kegagalan yang mungkin boleh dianggap lebih meruncing dan serius, isu tol ini hampir sudah tidak relevan dan agak terpinggir.

Misalnya, isu “leadership transition” atau peralihan kuasa perdana menteri jauh lebih penting. Tanpa jangka masa peralihan PM yang konkrit, negara tidak begitu diyakini pelabur asing untuk melabur di negara kita, tegas seorang lagi kawan yang sealiran.

Peralihan kuasa yang berubah dari 2 tahun kepada 3 tahun, juga amat mengelirukan dan membuahkan ketidakstabilan politik PH. Berita ini banyak memenuhi ruang media dalam dan luar negara.

Ditengah-tengah percanggahan dalaman antara parti komponen PH, isu Zakir Naik yang belum diredakan, masaalah Orang Asli yang telah lama diabai dan tiada rangka pembangunan yang jelas, timbul pula skandal video 2 lelaki yang jijik dan memalukan negara.

Dalam situasi yang merudum ini, ada pula pihak yang mengambil kesempatan untuk “menangguk di air keruh”.

Sementara kekabutan politik masih berterusan, mereka ini mengambil kesempatan dan membuka peluang untuk “membeli” kembali konsesi tol yang pada asal dan awalnya diswastakan pada zaman Barisan Nasional (BN) dulu.

Kenapa mahu diambil alih konsesi yang sudah hampir tamat? Lebuhraya Kesas akan tamat pada Ogos 2023.

LDP akan tamat pada tahun 2030 dan kadar tol tidak lagi boleh dinaikkan berpandu kepada arahan kerajaan pada Ogos 2017. Pada jangkaan saya, waktunya sangat tidak tepat, tulis beliau lagi.

Dana awam

PM sekarang yang bertanggung jawab menswastakan lebuh raya melalui skim tol yang bermula pada tahun 1986 dahulu, pastinya tidak bersetuju polisi ini dirombak semula atau lebih tepat, lebuh raya di “nationalise” atau dimiliknegarakan kembali dengan menggunakan dana awam.

Ini amatlah berlawanan dengan polisi penswastaan itu sendiri, yang menyaksikan skim penswastaan atau sekarang ini dipanggil PFI (private funding initiative) dirangka untuk tidak menggunakan dana awam bagi pembangunan lebuh raya.

Apakah pembelian ini begitu kritikal dan amat penting sehingga kerajaan sanggup membelanjakan lebih RM6.2 bilion, sedangkan katanya kerajaan kekurangan wang?

Mengikut teman saya lagi, mengambil alih konsesi 4 lebuh raya di sekitar Kuala Lumpur tidak termaktub dalam manifesto PH.

Jadi, kenapa keputusan begini diambil?

“Pembelian” ini katanya, amat sekali meragukan banyak pihak. Lagaknya seperti telah ada “mainan dalaman” antara ahli politik di kementerian berkenaan dan pihak pemilik konsesi.

Apa yang dicadangkan oleh pihak Kementerian Kewangan ini sangatlah bertentangan dengan pemikiran ekonomi Dr M, yang jauh lebih ke depan.

Langkah kementerian ini juga dianggap sebagai tidak telus atau tidak “transparent”, “off-budget” dan amat tergesa-gesa dari segi pelaksanaan.

Di manakah letaknya kepimpinan PH sekiranya cadangan perniagaan sebegini daripada Kementerian Kewangan lebih diutamakan sedangkan polisi fiskal dan pemulihan ekonomi sebenar masih belum dikenal pasti?

Kenapakah pihak yang terlibat tidak menunjukkan laporan kajian kenapa 4 konsesi ini, yang dimiliki oleh pemegang saham yang hampir sama, dipilih untuk dibeli semula?

Ada banyak lagi konsesi lebuh raya di Lembah Kelang dan di seluruh negara – kenapa tidak ambil-alih?

Bagaimanakah pembelian ini, yang melibatkan dana awam dengan begitu banyak, dapat membantu kerajaan dan rakyat dari segi pelaksanaan dan penjimatan ekonomi pengguna?

Lebuhraya Utara-Selatan

Ada juga teman yang bertanya: Alangkah peliknya kerajaan PH sekarang apabila mereka dapat berunding semula dengan gergasi dari Tanah Besar China tentang mahalnya ECRL dan berjaya menurunkan harganya sebanyak mungkin, maka kenapa tidak perkara sama dilakukan dengan syarikat Malaysia?

Masalah lebuh raya tol dan masalah kadar tol yang terus meningkat ini pastinya boleh juga dibawa ke meja rundingan untuk dirunding semula.

Sedangkan pemegang saham lebuh raya terbesar, iaitu Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) dan beberapa lebuh raya utama yang lain, adalah Khazanah dan KWSP, 2 badan kerajaan yang dimiliki dan diselia oleh pihak Kementerian Kewangan itu sendiri.

Di manakah logiknya pengurusan dan kawal selia ke atas syarikat kerajaan yang dimiliki MoF Inc ini sekiranya rundingan tidak boleh dilakukan?

Sepatutnya inilah masa terbaik untuk pihak PH berunding dengan pihak Khazanah dan KWSP untuk menilai semula perjanjian yang ditandatangani dengan Plus.

Sekiranya perlu rakyat harus tahu berapa lama lagi perjanjian kutipan tol ini?

Berapakah kadar kenaikan tol setiap tahun?

Berapakah jumlah kutipan harian, bulanan dan tahunan?

Berapakah jumlah keuntungan mereka?

Siapakah lagi pemilik saham lain yang mendapat faedah keuntungan daripada “penindasan” ke atas rakyat sekelian?

Keterbukaan ini akan memberi kefahaman kepada semua lapisan rakyat. Dengan itu kerajaan boleh berterus-terang dan tidak perlu berselindung atau syak wasangka yang bukan-bukan mengenai pembelian lebuh raya tol tersebut.

Mengikut interpretasi seorang kenalan yang berasal dari Kelantan, yang sehingga kini belum ada kemudahan lebuh raya ke sana walaupun jumlah trafik banyak meningkat.

Beliau secara sinis berkata: Jumlah wang sebanyak RM6.2 billion sekiranya dibelanjakan untuk membina lebuh raya baru antara Bentong ke Gua Musang dan seterusnya ke Kota Bharu, yang sangat-sangat diperlukan rakyat, akan memberi lebih banyak faedah.

Ia akan dapat menjana ekonomi tempatan, memberi peluang kepada konsultan, kontraktor dan membuka banyak peluang pekerjaan kepada rakyat. Ini caranya menggalakkan ekonomi, bukan dengan membeli apa yang sudah ada.

Tambahnya lagi, sekiranya penulis agenda penghapusan tol dalam manifesto PH dikira sebagai perbuatan “Si Tolol”, apakah kiasan yang sesuai bagi mereka yang terlibat dalam pembelian 4 jalan lebuh raya itu?

Sebelum saya sempat menjawab; dia telah menjawab terlebih dahulu. “Si Bahalol”..katanya.

Artikel ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.