Negarawan atau peludah bangsa?

“Kita mula tidak menyanjungi, apalagi menghormati, ketuaan. Yang tua. Kita…kita biasanya cepat menyamakan ketuaan dengan kenyanyukan. Bukan dengan kearifan atau hikmah. Lain di Jepun, lain di Eropah – orang-orang tua tegap memimpin negara. Kita? Kita tidak yakin kepada orang tua.

“Ah, tak apalah. Barangkali Jepun bukan Malaysia, Eropah bukan Malaysia. Barangkali negara membangun perlukan idea dan gagasan, bukan kesabaran dan kearifan. Negara-negara membangun barangkali hanya perlukan pemimpin yang muda-muda belaka.”

Demikian ucapan watak Bandin dalam drama pentas karangan pujangga Melayu, A Samad Said pada 1986. Judul drama pentas tersebut adalah “Wira Bukit”.

Drama atau naskah teater “Wira Bukit” yang dipentaskan buat pertama kali pada April 1986 itu diketengahkan sempena Persidangan Tahunan PATA (Pacific Area Travel Association).

Drama arahan Mior Hashim Manap itu mengetengahkan seniman dan seniwati besar tanah air antara lain Rahim Razali, Eman Manan, Pyan Habib, M Nasir, ND Lala, Ahmad Tamimi Siregar, Hisham Ahmad Tajudin, dan Liza Othman, manakala watak Bandin adalah Jalil Abdul Hamid.

“Wira Bukit” mengisahkan seorang tokoh pejuang, Zahdi lakonan Rahim Razali yang terdesak melarikan diri ke Indonesia tetapi tersedut ke dalam bara revolusi republik tersebut.

Setelah 27 tahun, dia pulang untuk berdepan dosa lamanya. Akan tetapi kepulangan Zahdi tepat ketikanya kempen pemilihan untuk pemimpin yang layak dan wajar bertanding pilihan raya. Maka banyak percanggahan, pertengkaran dan gagasan diajukan mengenai makna negarawan, makna ahli politik dan makna demokrasi itu sendiri.

Masing-masing watak ingin menegakkan cara fikir sendiri yang mengakibatkan pertembungan dalam drama ini. Apa yang menarik tentang drama ini ialah ramalan-ramalan Pak Samad selaku pujangga yang berwibawa mengenai takdir politik tanahair.

Maka, membaca naskah drama “Wira Bukit” ini pada 2018, dan mengulang bacanya pada 2019, kita akan cepat tergamam dengan dialog-dialog yang dinukil Pak Samad.

Antara lain seperti dialog di atas, yang mengajukan betapa Malaysia memerlukan “pemimpin yang tua” kerana mereka memiliki “kesabaran dan kearifan”. Sementara pemimpin yang sedikit lebih muda, atau yang belia-belia hanya bersandarkan “idea dan gagasan”. Pemimpin yang benar-benar muda dalam “Wira Bukit” pula hanyalah pemimpin tanpa pengalaman.

Maka sungguh menakjubkan drama yang dipentaskan pada 1986 ketika Dr Mahathir Mohamad sedang memimpin Malaysia itu; jika diulang baca hari ini – tatkala Mahathir kembali memimpin – di usia renta, memberikan kita pengertian bahawa Malaysia memerlukan “kesabaran dan kearifan”.

Kita sepertinya kembali merenung diri lantaran tidak memerlukan kebodohan, kesangapan, kegelojohan, kedunguan, dan kelesuan pemimpin Umno.

Membaca “Wira Bukit” kita sepertinya kembali merenung diri lantaran tidak memerlukan kesempitan, kebolak-balikan, kepontengan, kehampaan, dan kebencanaan pemimpin PAS.

Yang lebih aneh pada 1986 ialah Umno dan PAS itu bermusuh. Memali baru terjadi. Bahawa parti dominan umat Melayu ialah Umno dan parti yang kekal ketinggalan dan terperuk oleh khayalan adalah PAS. Itulah konteks dan latar masa “Wira Bukit” ditulis.

Justeru membaca “Wira Bukit” di hari lahir Mahathir di usia 94 tahun sebagai pemimpin yang sabar dan arif untuk umat, dan angan-angan betapa pemimpin yang sedikit lebih muda dari beliau, katakan 71 tahun (atau 54 tahun), yang kaya dengan idea dan gagasan; pasti meletakkan kita dalam situasi tercengang. Sungguh ke hadapan sekali.

Pak Samad dalam satu ceramah di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi pada 1 Mac 1986 mengatakan drama “Wira Bukit” ini sebenarnya mengenai “kefanaan manusia dalam hidup dan matlamat hidupnya”. Saya fikir niat bapak itu amat tepat dan menjelaskan betapa kerja Allah itu amat luar biasa.

Lantaran kefanaan membawa Mahathir kembali ke tampuk kuasa, dan kefanaan yang sama meletakkan orang yang bercita-cita tinggi masih mengejar matlamat hidup yang tak kunjung tiba. Siapa sangka yang jadi menteri ialah Mohamad Sabu dan bukan Tuan Ibrahim Tuan Man?

Dalam iklim politik yang tidak menentu, dan pasca kejatuhan pemimpin korup, saya berpendapat drama ini wajar diziarahi kembali. Selain memberi Pak Samad harga perjuangan yang sedikit di hujung usia beliau (sangat sedikit RM5,000 sahaja), kita wajar mementaskan kembali “Wira Bukit” dan merenung hikmah yang ditabur oleh pujangga kita ini.

Saya tidak fikir ada sasterawan negara lain yang masih hidup, yang layak bercakap soal perjuangan politik dengan jujur dan munasabah.

Antara gagasan bernas yang Pak Samad garap dengan penuh menggigit dalam drama ini ialah kata-kata; “Pergi untuk mencalonkan tokoh baru yang sama hasrat dan semangatnya dengan tokoh lama. Pergi untuk tawar menawar hati nurani manusia.

“Pilihan raya. Pilihan raya tak seperti dulu lagi. Wang sudah menjadi tunggak matlamatnya. Wang sudah menggantikan semangat…wang…wang serta-merta menjadi ilmu, kecekapan dan kelayakan”.

Di tempat lain, watak Bandin yang bijaksana itu secara tegas melafazkan; “Aku tahu negara lebih memerlukan negarawan. Tapi, itu kan tanggungjawab kita semua. Apa ertinya demokrasi? Ciptaan kita bersama; kuasa kita bersama. Suara kita semua. Bukan tanggungjawab hanya seorang.

“Kalau…kalau kita pilih membuta tuli, seperti yang telah pun berlaku berulang kaIi, kita tersalah angkat – kita cipta politikus segera. Salah kita, dosa kita.”

Jika negarawan ditafsirkan Bandin (Pak Samad) sebagai “kebajikan rakyat di hatinya”, atau “terbentuk oleh batin sesebuah negara, mengisi panggilan dan keperluannya”, dan “lahir dari batin masyarakat yang insaf”; politikus pula dituliskan sebagai “segera dicipta dengan kekayaan di matanya”. Atau “yang berfikir dan berancang 4-5 tahun sekali”.

Seorang pemimpin yang bagus untuk negara, menurut Pak Samad dalam “Wira Bukit” adalah “pemimpin yang menggunakan kuasanya untuk kukuhkan rakyatnya” berbanding “pemimpin yang menggunakan rakyatnya untuk kukuhkan kuasanya”.

Apakah pula kriteria ahli Parlimen yang baik menurut Pak Samad? Ia juga termuat dalam “Wira Bukit”.

Dengan jujurnya Pak Samad mendesak begini; “Kita tidak mahu MP yang bercakap sekali dua – mengiakan atau menidakkan sesuatu mengikut lalang. Kita ingin wakil yang turut berhujah, turut mengemukakan analisa dan cadangan – membuktikan dia benar-benar mengikuti, memahami, berfikir dan…dan merancang…”.

Watak Bandin yang nampaknya arif itu sekali lagi menegaskan, “Kita ingin MP yang tahu berapa jumlah penduduk kawasannya, pecahan berapa lelaki dan perempuannya, apa mata pencarian mereka, berapa jumlah pelajar dan belianya, sebanyak mana yang keciciran. Yang…yang tahu semua ini melalui kesedaran dan keinsafannya sendiri. Bukan yang tercelik sejenak hanya sesudah dihebohkan orang lain. Ini…jenis ini yang kurang”.

Soalannya, adakah Mahathir itu benar-benar negarawan (katakan “Wira Bukit”) atau sekadar “peludah bangsa”?

Saya tidak tahu, ini kerana bapak dalam ramalannya seperti terungkap dalam “Wira Bukit” menyebutkan “pemimpin boleh membuat kesilapan juga” dan “bila ini berlaku eloklah kita awasi dan bendung supaya kesannya…malapetakanya tidak terlalu besar”.

Pak Samad menyentak kita dengan dialog Bandin, “silap rakyat kecil natijahnya, silap pemimpin durjana kesannya”.

Maka demokrasi kembali kepada rakyat, lurus bengkok (secara literal tentu!) seorang pemimpin ditentukan rakyat. Pemimpin bukan maksum, dan rakyat (yang bijaksana mestinya) memandu dengan kesabaran dan kearifan.

Sekali lagi, saya tidak tahu siapakah yang dimaksudkan oleh Pak Samad dengan “Wira Bukit”. Boleh jadi siapa sahaja. Mungkin ia boleh jadi “Wirawati” iaitu seorang perempuan. Wajar kita punya pemimpin wanita hari ini. Kita dalam 2019, bukan lagi 1986. Mungkin “Wira Bukit” itu Mahathir, kerana Mahathir sudah 94 tahun yang menurut Bandin tentu sabar dan bijaksana.

Tetapi yang kita semua tahu dengan pasti ia bukan Abdul Hadi Awang (berdasarkan hitungan kehadiran di Parlimen), dan jauh panggang dari api, Najib Razak atau Ahmad Zahid Hamidi.

Yang muda-muda untuk Malaysia? Pak Samad memesan, pemimpin tak cukup hanya dengan “idea dan gagasan”. Malah kalau ingin memimpin bangsa, perlu “sabar”. Sabar. Sabar.

Sekarang, siapa bilang sastera tidak menyediakan solusi masalah negara?

“Wira Bukit” dipentaskan kembali?

Argh, haloooo DBP. Apakah masih hidup lagi?

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.