Tun Kudu dan politik ‘deep state’

Tatkala politikus lelaki tidak berguna, silang menyilang dan saling menggesa masing-masing mencermin diri, kita boleh menyandarkan harapan kepada politikus perempuan.

Refleksi kesia-siaan dan kesial-sialan politikus lelaki mengatasi siasah semburitan terlihat pada era Kesultanan Melayu Melaka lagi.

Pada Tun Kudu kita melihat bagaimana wanita melawan kembali kuasa patriarki, sambil mengatur pencak siasah dengan penuh gaya.

Siapakah Tun Kudu?

Bagaimanakah wanita ini mengajarkan kebangsatan politikus lelaki pada zaman serba-serbi feudal yang perbezaan gender terserlah dengan begitu ketara sekali.

Untuk mengetahui bagaimana kaum wanita, dalam konteks ini – Tun Kudu – hidup dan (mati) mematahkan kebarangkalian kaum lelaki menekannya, kita perlu merenung hikayat Melayu yang mana aneka ceriteranya memberi petunjuk mengenai pengaruh wanita dalam pemerintahan nusa bangsa.

Sebagai misalan Sejarah Melayu merakam kelicikan dan keperluan wanita untuk terus hidup dan (mati) agar fungsi dan maruah mereka kekal dihormati.

Sejarah Melayu, yang dikarang seorang lelaki, kononnya Tun Sri Lanang (dari keturunan Tun Mutahir, iaitu seorang bendahara pada akhir pemerintahan kerajaan Melaka) dapat dianggap sumber utama pengetahuan kepada segala macam budaya dan kehidupan sosial orang Melayu.

Wanita di istana zaman itu mungkin saja terlihat sebagai permaisuri, puteri, dayang atau – gundik – tetapi mereka juga adalah pemain siasah yang licik.
Kaum wanita ikut terlibat dalam segala kemelut politik istana, terkehadapan dan memperagakan keberanian dalam menangani krisis serta konflik yang melecut terpacul dari segenap rekah dinding istana.

Dalam situasi tertentu pula, wanita menjadi jambatan dan berperanan sebagai orang tengah atau pendamai di antara 2 pihak yang bertelagah, dan tidak semestinya menjadi ‘bahan sedap’ atau sebagai hadiah politik semata-mata.

Bahkan, dalam banyak keadaan, mereka melawan fungsi sebagai penyedap itu, dan menukar nikmat menjadi hikmat.

Kita biasa mendengar nama Tun Fatimah iaitu puteri kepada Bendahara Melaka Seri Maharaja Tun Mutahir. Akan tetapi sebelum ada Fatimah, terdapat Kudu, neneknya. Tun Mutahir ialah anak kepada Tun Kudu dengan Seri Nara Diraja.

Menurut Sejarah Melayu, pengaruh Tun Kudu dalam politik kesultanan Melaka amat besar.

Menurut saya, amat besar, memandangkan Tun Kudu merupakan anak Bendahara Seri Wak Raja, salah seorang bendahara Melaka yang terbunuh (bunuh diri minum racun, atau mungkin saja dibunuh) secara tragis.

Kudu mengahwini Raja Kassim yang berketurunan Tamil. Raja Kassim kemudian beroleh takhta setelah melalui perebutan kuasa dengan saudara tirinya iaitu Raja Ibrahim. Raja Kassim berkomplot dengan bapa saudaranya Tun Ali Seri Nara Raja dan setelah ditabal sebagai sultan telah memilih gelaran Sultan Muzaffar Syah.

Tun Ali bagaimanapun mendorong Seri Wak Raja membunuh diri (atau mungkin juga meracun beliau) lantas menjawat peran sebagai Bendahara Seri Nara Diraja.

Tun Kudu, sebagai satu-satunya anak perempuan Seri Wak Raja amat berduka cita oleh kematian bapanya yang menyayat hati itu. Tun Kudu melihat peranan Tun Ali dan Sultan Muzaffar di sebalik kematian dahsyat bapanya.

Maka Tun Kudu yang terkenal dengan kejelitaan berazam menuntut bela di atas kematian ayahnya. Pada saat yang sama, Tun Ali mulai melebarkan pengaruhnya di dalam istana.

Tun Perak, adik Tun Kudu membawa diri ke Kelang. Prestasi Tun Perak di Kelang berkembang baik dan pertelagahan dengan Tun Ali menjadi semakin sengit. Tun Kudu mulai tersepit.

Seperti watak jahat yang tidak dapat dibendung, politikus lelaki yang rakus bernama Tun Ali ini mengidami Tun Kudu yang merupakan permaisuri Melaka.

Sultan Muzaffar yang resah dengan pertembungan 2 keluarga bangsawan ini menceraikan Tun Kudu. Tun Ali adalah bapa saudaranya yang perlu dijinakkan.

Seperti drama petang hari yang kita tonton, Kudu diceraikan dan Tun Ali mengahwini kakaknya Tun Perak itu.

Sebagai perempuan yang melihat pembunuhan ayahandanya, dan diperisterikan dengan orang yang berkonspirasi di belakang pembunuhan itu, Tun Kudu berdepan dengan penghinaan berganda.

Baginda terpaksa turun takhta sebagai permaisuri dan disendal menjadi mangsa kegelojohan Tun Ali (seksual) dan Sultan Muzaffar (kuasa).

Apakah Kudu memaafkan mutlak lelaki jahanam itu?

Akan tetapi Tun Kudu memilih untuk tidak panik. Melaka waktu itu tepu feudalisme. Kuasa lelaki mencakar. Tun Kudu memilih melawan secara perempuan. Dia melawan dengan cara terpendam. Dia menurut segala langkah lelaki tidak berguna dalam hidupnya.

Pada ketika yang baik, Tun Kudu menggunakan kuasa wanitanya, memperdayakan baginda Sultan (memujuk dengan licik) dengan memberi syarat agar Tun Perak, adiknya diangkat sebagai Bendahara menggantikan Tun Ali dengan alasan demi keharmonian Melaka.

Sekali imbas tindakan itu menunjukkan kepintaran Sultan iaitu mendamaikan keluarga Tun Perak dengan Tun Ali (ingat, bapa Tun Perak dibunuh Tun Ali). Dua kali imbas, kita memahami Sultan dan Bendahara (bapa saudaranya) yang kena main.

Saat Tun Perak berkuasa, pengaruh Tun Ali menjadi lemah. Meskipun Seri Wak Raja bapanya dilengser dari kuasa dengan kejam, Tun Kudu dengan peranan tersendiri berjaya mencatur politik sehingga Tun Perak (baca: pengaruh keluarga mereka) dapat dikembalikan di titik tengah, dan lelaki yang menjadi punca masalah ini, Tun Ali, dikucil dan dipenjurukan di titik bucu secara tersendiri.

Pengaruh Tun Kudu tidak kecil. Tun Kudu sudah meletak asasnya menerusi Tun Perak untuk menggenggam pemerintahan Melaka. Tun Kudu berjaya.

Kedua-dua suaminya iaitu Sultan Muzaffar dan Tun Ali ditelan dosa. Adiknya Tun Perak menjadi Bendahara di bawah 3 Sultan; manakala Tun Mutahir iaitu anak saudara Tun Perak juga dilantik sebagai Bendahara semasa pemerintahan Sultan Mansur Syah sehingga tahun 1510.

Cucu Tun Kudu, iaitu Tun Fatimah yang juga menjadi pusat perhatian turut memain peranan penting dalam siasah. Baginda menyalin langkah tingkah siasah nendanya apabila Tun Fatimah dipaksa kahwin dengan Sultan Mahmud Syah. Cuma Fatimah, seperti namanya melawan dengan bahaya.

Sultan terakhir Melaka telah menyembelih semua anggota keluarga lelaki Tun Fatimah, termasuk suaminya. Pun, Tun Fatimah tidak mengikut gaya nendanya Tun Kudu.

Jika Kudu percaya dia dapat berkuasa dengan diplomasi dan bersantunan, Tun Fatimah mengambil jalan konfrontasi. Meski mengahwini Tun Fatimah, tetapi beliau tidak pernah melayani Sultan.

Sebelum memberikan seorang putera kemudiannya, Tun Fatimah diketahui dengan sengaja menggugurkan kandungan. Tindakan dahsyat Fatimah ini adalah taktik yang sama digunakan Tun Kudu; kemaafan dendam terindah.

Kedua-duanya, nenda dan cucu menggunakan cara lain – kewanitaan – untuk mengawal gerak turun naik politik Melaka.

Kita tidak dapat berhenti mengkhayalkan, atau membayangkan sejarah sebenar yang terpendam. Tun Kudu dan Tun Fatimah tidak mungkin dapat menjadi bisa dalam daging dan api dalam sekam tanpa pasukannya.

Ahli pasukan mereka tiada nama. Akan tetapi kita mengerti, wanita seperti Tun Kudu memimpin “deep state” yang tersendiri.

Kita tidak harus membayangkan Tun Kudu wanita lemah yang akur dan dijadikan mangsa, ditolak ke tengah ke tepi oleh lelaki.

Dalam keadaan lelaki meramas, Tun Kudu menjadi perempuan yang berontak licik sekali. Pendek kata, Tun Kudu tidak bekerja seorang diri.

Siapakah ahli pasukan Tun Kudu itu?

Kita tidak akan tahu. Akhirat nanti kita akan menonton tayangan semula. Tetapi Tun Kudu, dalam hidupnya (dan setelah matinya) meregang kerusi Bendahara. Tanpa Kudu, Tun Perak tidak berhasil berada di posisi itu selama berpuluh tahun.

Sepanjang hidup Tun Kudu, dia melihat politikus lelaki tidak berguna, bergocoh bagai munafik dan fasik. Sebetulnya Melaka terselamat kerana Kudu.

Jika dibiarkan persengketaan puak Tamil dan Melayu dalam istana, kita akan melampaui siasah semburitan.

Namun Tun Kudu tidak mahu membiarkan negara lingkup, dia memilih untuk memimpin sebuah daulah terpendam (meminjam terma yang diperkenalkan oleh Hishamuddin Rais) dan mencatur peta siasah dengan anggunnya.

Era Kesultanan Melayu Melaka mungkin sudah berakhir.
Akan tetapi perangai bodoh politikus lelaki masih berulang. Katil video, video katil.

Kita mungkin setara dengan Korea jika Mahathir 1.0 memilih Rafidah Aziz sebagai gantinya, dan bukan Pak Lah, kemudian Najib Razak.

Sejarah orang Melayu merakam politikus wanita tidak membuat yang bodoh-bodoh. Siapa setanding dengan Rafidah hari ini?

Takdir Melayu memang balik-balik di kura tangan politikus lelaki tidak berguna. Video ranjang, ranjang video. Kita Melayu bosan dengan politik lelaki tidak berguna. Anak-anak Tingkatan Dua yang akan mengundi beberapa tahun lagi jelak dengan politik pak cik-pak cik yang balik-balik gentel menggentel.

Moga-moga Mahathir 2.0 tidak mengulang kecuaian yang serupa dalam memilih. Moga-moga. Tiada ruang kesilapan lagi.

Moga-moga kita ada Kudu moden yang akan berperan dengan kemas dan bijaksana. Akan (mungkin perkataannya adalah telah) ada beberapa orang ahli pasukan Kudu moden ini. Mereka tidak punya nama.

Seperti pasukan Kudu lama, mereka halimunan. Dalam buku sejarah masa hadapan pun nama mereka tidak disebut. Tetapi mereka wujud. Mereka sedang aktif bekerja demi kebaikan nusa bangsa.

Cuma, siapakah Kudu moden yang berani menggunakan kuasa kewanitaannya? Yang cekap menewaskan kejahatan. Adakah ia khayalan kita semata?

Alangkah benar angan-angan ini, Kudu dan “deep state”.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.