Pembangunan industri pertahanan perlu komitmen, sokongan penuh kerajaan

Dalam lawatan kerja ke Turki baru-baru ini, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berkata kerjasama dengan Turki dalam bidang pertahanan amat penting bagi negara.

“Tidak perlu bersusah untuk mendapat teknologi di tempat lain kerana mereka bersedia untuk memberi teknologi mereka,” ujar Mahathir yang jelas gembira dengan kesanggupan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan membuka peluang kepada Malaysia.

Mat Sabu pula menyifatkan kerjasama dengan anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) itu sebagai satu peluang keemasan.

Beliau membayangkan kerjasama ini akan memperhebatkan industri pertahanan negara melalui penghasilan produk ketenteraan sendiri.

Jika inisiatif membangunkan industri pertahanan dilakukan dengan betul berserta usaha pemindahan teknologi daripada Turki, ini bakal melonjakkan rantaian nilai industri elektronik dan mikroelektronik daripada sektor pembuatan ke sektor reka cipta, yang menduduki nilai rantaian tertinggi dalam industri elektronik dan mikroelektronik ini.

Namun begit, Putrajaya perlu faham usaha membangunkan industri pertahanan memerlukan komitmen dan sokongan kerajaan sepenuhnya.

Kerajaan Turki tidak menguasai teknologi pertahanan dalam sekelip mata.

Pada peringkat awal, kerajaan Turki mewujudkan satu sekretariat industri pertahanan yang menyusun semula dan mengintegrasikan industri sedia ada untuk memenuhi keperluan industri pertahanan.

Kerajaan Turki melaksanakan pelbagai inisiatif untuk mengalakkan perusahaan baru dalam industri pertahanan dan menyalurkannya kepada syarikat tempatan mengikut keperluan.

Di samping itu, sekretariat itu memburu modal asing dan sumbangan teknologi dari luar dan memberi bimbingan kepada syarikat tempatan agar mereka menguasai teknologi yang ada.

Perusahaan perindustrian pertahanan utama ditubuhkan untuk memenuhi keperluan angkatan tentera Turki melalui sumber tempatan, dengan masing-masing mengisi jurang penting dalam ruang lingkup aktiviti mereka.

Pendek kata, kerajaan Turki menjadi pelanggan pertama syarikat pembuatan senjata tempatan supaya dana dapat terus disalurkan untuk tujuan penyelidikan dan pembangunan teknologi pertahanan tanpa henti.

Apabila Turki sudah berjaya, mereka mula mencari pelanggan seperti Malaysia untuk mencuba teknologi mereka.

Selain tawaran peralatan dan senjata, Turki juga membuka jalan untuk melakukan pemindahan teknologi untuk menarik minat Malaysia.

Turki memerlukan Malaysia sebagai pengguna teknologinya juga. Ini kerana dalam apa jua teknologi, lebih ramai penggunanya, maka akan lebih maju teknologi tersebut kerana maklum balas yang diterima akan membantunya ke depan.

Sebagai permulaan, jika Putrajaya serius membangunkan industri pertahanan, ia perlu mengikut cara kerajaan Turki membina industri tersebut dari mula, bukannya sekadar mengharapkan keajaiban akan berlaku dengan berlakunya pemindahan teknologi dan tenaga kerja semata-mata.

Kementerian Pertahanan perlu mewujudkan satu sekretariat untuk menggabungkan semua pemain tempatan yang berkemampunan bagi menghasilkan teknologi pertahanan sendiri dan menerima teknologi yang dibawa dari Turki.

Selain itu, sekretariat juga perlu mengeluarkan pelan agar Malaysia dapat berdikari dalam menghasilkan peralatan dan senjata pertahanan sendiri dalam satu tempoh, contohnya 20 tahun.

Antara syarikat yang perlu dilibatkan ialah reka bentuk litar bersepadu (integrated circuit design) tempatan seperti Symmid, syarikat penghasilan sensor, perisian dan perisian terbenam (embedded software), kecerdasan buatan (artificial intelligence), dan pembikinan cip seperti Silterra kerana teknologi sebenar adalah elektronik yang dipasang pada senjata dan peralatan pertahanan.

Syarikat yang dipilih oleh sekretariat harus diberian lampu hijau untuk bekerjasama dengan syarikat Turki yang dipilih untuk melatih tenaga tempatan dan menerima pemindahan teknologi, untuk dilaksanakan di peringkat tempatan dengan sasaran tertentu yang diwajibkan melalui projek dan geran.

Sekretariat juga perlu mendapatkan maklum balas Angkatan Tentera Malaysia mengenai keperluan teknologi pertahanan negara dan menentukan keperluan mana yang boleh dibangunkan secara tempatan dalam 3, 5, 8, 10, 15 dan 20 tahun akan datang, dan dipertanggungjawabkan kepada syarikat tempatan yang dipilih.

Kedua, daripada memperuntukkan berbilion ringgit bertahun-tahun untuk membeli senjata dan peralatan pertahanan, kerajaan perlu melaburkan 10% daripada perbelanjaan itu untuk dalam syarikat tempatan dalam bentuk geran atau projek penyelidikan yang memenuhi keperluan pertahanan negara.

Ketiga, kerajaan juga perlu membuat polisi agar semua syarikat yang ingin mengimport peralatan pertahanan dan senjata bekerjasama dengan syarikat yang dipilih sekretariat, untuk melaksanakan pemindahan teknologi atau menggunakan sumber tempatan dalam produknya sebagai gantian dalam peralatan dan senjata yang ingin diimport.

Dengan ini, sebahagian besar dana yang dibayar untuk membeli peralatan pertahanan dan senjata akan mengalir kembali ke negara.

Akhir sekali, Putrajaya juga perlu menjadi pelanggan pertama teknologi pertahanan yang dihasilkan syarikat tempatan.

Sekiranya inisiatif membangunkan industri pertahanan dilakukan dengan betul dan serius, dapat dibayangkan pada masa depan apabila datangnya tetamu VVIP dari negara kurang membangun menyaksikan giliran Malaysia menunjukkan kehebatan teknologi pertahanan tempatannya.

Ketika itu, Malaysia juga boleh melakukan “sales pitch” sama seperti Turki kepada Malaysia hari ini, iaitu “kita bersedia membantu membangunkan teknologi pertahanan negara anda jika anda membeli peralatan dan senjata kami”.

Justeru, kerajaan tidak harus melengah-lengahkan usaha membangunkan industri pertahanan, yang sememangnya wajib dibangunkan oleh negara berdikari seperti Malaysia sebagai satu sektor lumayan kepada rakyat sendiri untuk mencapai tahap negara berpendapatan tinggi.

Diharap benih inisiatif membangunkan industri pertahanan ini menjadi antara sumbangan terbesar Mahathir dan Mat Sabu sebelum mereka bersara satu hari nanti.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.