Momen ‘apa lagi Cina mahu?’

Kata Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching, mari kita terus berdialog. Jangan membina tembok di keliling kita.

Soalan saya kepada teman-teman, adakah Dong Zong rasis?
Ia mungkin menjadi momen “apa lagi Cina mahu?” untuk Pakatan Harapan (PH) jika tidak diuruskan dengan baik.

Jadi siapakah yang membina tembok? Siapakah yang enggan berkomunikasi seperti yang diisyaratkan oleh Teo Nie Ching?

Sukar untuk kita mengiyakan dakwaan Dong Zong rasis jika kita mengambil kira statistik Kementerian Pendidikan yang peratusan murid Melayu dan bumiputera di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) pernah berjumlah 16% pada 2016, dan meningkat dengan cepat sekali kepada 18% pada tahun 2018.

Terdapat sepucuk surat kepada pengarang yang pernah saya baca lama dahulu mencatatkan bahawa terdapat 94,000 murid bukan Cina belajar di SJKC. Dalam erti kata lain, setiap 5 orang pelajar SJKC, terdapat seorang murid Melayu atau kaum lain. Jika Dong Zong rasis, itu tidak berlaku.

Di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sin Min, Lubok Cina, Alor Gajah di Melaka, hanya 9 murid berbangsa Tionghua daripada keseluruhan 55 murid tahun satu pada sesi persekolahan 2019. Yang lain adalah 44 murid Melayu, manakala 2 lagi India. Kementerian Pelajaran boleh memeriksa kebenaran fakta ini.

Terdapat banyak alasan mengapa ibu-bapa berbangsa Melayu menghantar anak ke sekolah Cina. Salah satunya adalah untuk menguasai bahasa Mandarin, ada pula yang menyatakan memandangkan masa depan global adalah di tangan China, justeru mendapat pendidikan sekolah Cina adalah bergaya dan, ramai juga yang menghujahkan sekolah Cina menitik beratkan disiplin dan mutu pengajaran mahupun pembelajaran.

Rasisme, atau membina tembok jarang kedengaran dalam hal ini. Satu dua cerita perkauman memang ada, tetapi tidak menguasai fenomena di atas. Ia kes terpencil.

Dalam masa yang sama apakah yang mengakibatkan pelajar berbangsa Cina hilang dari sekolah Kebangsaan?

Terdapat juga banyak dakwaan sepihak tentang ketandusan pelajar kaum lain dari sekolah Kebangsaan. Salah satunya yang saya dengar sendiri daripada tukang cat dinding di rumah saya, namanya Ah Leong dari Semenyih ialah “saya takutkan Islamisasi” (beliau menggunakan kata Islam-Islam).

Tambah Ah Leong lagi, guru sekolah Kebangsaan itu cenderung dengan “Islam-Islam”. Tudung labuh, kopiah-kopiah, kata beliau sungguh-sungguh.

Dengan saya, Ah Leong tidak begitu khuatir. Ada potret Hemingway tergantung di tengah ruang tamu yang menurut beliau menjadi petunjuk saya meminta fatwa daripada para mufti sastera.

Saya tidak pasti apakah benar dakwaan Ah Leong itu. Tetapi kita memang ada satu gejala yang sama di seluruh negara, iaitu penambahan murid Melayu atau India di sekolah Cina; dan penyusutan murid Cina atau India di sekolah Kebangsaan.

Ke mana mereka pergi? Entah. Dalam masa yang sama, ada pertumbuhan sekolah swasta Islam dan sekolah antarabangsa di pelbagai ceruk rantau.

Jadi di sini mungkin ada banyak tembok yang telah kita bina? Perlu ada kajian untuk kita tentukan siapakah yang membina tembok? Sekolah Cina? Sekolah Kebangsaan? Sekolah swasta Islam, dan sekolah antarabangsa?

Kita mesti juga mengkaji kualiti batu-bata yang digunakan untuk pembinaan tembok itu. Apakah batu tembok yang digunakan itu rasisme? Atau bata simen “Islam-Islam”? Atau kerana tembok besar bahasa?

Jika kita menyoal ibu bapa hari ini, hampir sama cerita yang kita dengar. Betapa sukarnya sukatan pelajaran yang dihadami anak-anak sehingga sukar sekali mengajar mereka di rumah.

Maklumlah, anak-anak makin ke hadapan, ibu-bapa kian tertinggal. Silibus Bahasa Melayu sebagai misalan sudah amat susah dengan komponen KBKK (Kemahiran Berfikir Secara Kritis & Kreatif). Maka, tentulah komponen khat atau Jawi menambahkan rasa sesak di dada ibu-bapa sekolah Cina. Kita boleh mengerti itu.

Akan tetapi Jawi 6 halaman dalam buku teks itu bukan batu-bata tembok rasisme. Ia menjadi mangsa yang bukan-bukan. Saya telah menulis mengenainya minggu lalu. Yang salah bukan Jawi.

Kita semua tahu betapa mudahnya Bahasa Melayu. Betapa mudah sehingga lama dahulu, sewaktu saya mengunjungi Beijing untuk menulis novelet “Bagaimana Anyss Naik Ke Langit”, saya mendapati peniaga Cina di kota besar itu, di sebuah pusat menjual borong langsir dan cadar, tahu berbahasa Melayu.

Saya sangkakan mereka Cina dari Malaysia. Rupanya mereka belajar bahasa Melayu harian daripada pembeli dan pengunjung.

Saya masih ingat salah seorang peniaga itu mengatakan, “ramai orang Wanita Umno datang beli barang. Saya senang belajar bahasa Malaysia.”

Itu belum lagi kita jejerkan kisah mudahnya belajar Bahasa Melayu oleh imigran Bangladesh atau Nepal. Bahasa Melayu hanya susah dalam buku teks. Di-nahu, di-dari, di-daripada, di-kalangan, dalam-kalangan (Tuhan sahaja tahu apa lagi).

Pun tentang tembok, saya juga punya seorang teman berbangsa Itali yang mengahwini seorang wanita Cina tempatan. Dia tidak tahu berbahasa Cina dan meskipun jirannya hampir semua Melayu, dia juga tidak boleh berbahasa Melayu. Dia hanya kekal berbahasa Inggeris dengan mereka. Jadi pergaulannya tidak membantu kemahiran berbahasa.

Apabila saya bertanyakan mengapa tidak belajar bahasa Cina (isterinya Cina Kajang), atau bahasa Malaysia, teman berbangsa Itali itu hanya menjawab begini, “saya tidak memulai. Saya tidak fikir ada keperluan. Komunikasi saya cukup dengan bahasa Inggeris. Saya membina tembok di keliling.”

Ibu saya bilang, teman sekerjanya di makmal satu masa dahulu ramai yang Cina, dan dia berasa sayang tidak menggunakan kesempatan itu untuk belajar satu perkataan sehari. Jika dia tidak membina tembok, tentu menjelang pencen sudah banyak perbendaharaan kata bahasa Cinanya.

Jadi adakah tembok yang kita bina keliling anak-anak kita ini adalah tembok ketidakmahuan?

Mungkinkah juga kita membina tembok kejahilan?

Mengapa saya berkata begitu? Sebab dahulu orang Melayu seperti Hang Tuah pandai berbahasa Cina, tetapi Hang Tuah tidak membawa apa-apa erti untuk Melayu sebab tiada buku Cina yang Hang Tuah terjemahkan untuk umatnya. Hang Tuah mengerti bahasa yang banyak itu seperti kakaktua. Dia tahu sahaja.

Ketika itu China suka belajar. Jika kita membongkar buku-buku sarjana China tentang dunia Melayu, baik yang berpusat di Loyang, Xian, Cengdu, Peking dan lain-lain, kita akan dapati banyak khazanah betapa tertariknya orang China dengan peradaban dan alam Melayu.

Ling Ying Hui dan Zhang Yin Long pernah melakukan suatu kerja akademik yang impresif setebal 697 halaman dengan menghimpunkan 129 sumber catatan kekaguman China terhadap alam Melayu. Catatan tersebut meliputi Dinasti Han, Dinasti Sui, Dinasti Tang, Dinasti Sung, Dinasti Yuan, Dinasti Ming, sehingga Dinasti Ching.

Bukan itu sahaja terdapat dakwaan kamus Melayu dan bahasa asing yang pertama bukanlah oleh Pigafetta (1522), tetapi oleh peniaga China ke alam Melayu yang bertarikh 1403.

Sarjana Lie Kim Hock (1835-1912) yang menulis nahu bahasa Melayu pertama di Batawi diterbitkan pada tahun 1884. Itu belum lagi kita masukkan sarjana pengajian Melayu yang terkenal, Liaw Yock Fang yang kerjanya menyusun banyak teks lama Melayu dalam tulisan Jawi. Seperti kajian beliau, “A History of Classical Malay Literature”.

Jadi tembok itu batu-batanya apa? Jika bukan rasisme, apa? Tembok yang kita bina ialah tidak lain tidak bukan, tembok kejahilan.

Cina peniaga di Peking itu pandai. Dia tahu Bahasa Melayu adalah bahasa pasar untuk dia berdagang. Teman Itali itu enggan, kerana dia merasa tiada keperluan. Teman Itali itu mungkin bukan jahil. Dia cuma enggan.

Seperti mana Dong Zong enggan kepada tulisan Jawi. Yang menurut mereka tiada kepentingan apa pun, waima boleh membaca seribu manuskrip Melayu dalam tulisan Jawi sekalipun.

Tembok kejahilan ini ada pada semua kita. Tolong jangan luaskan wilayah tembok itu merangkumi anak-anak. Mereka masa depan Malaysia.

Seandainya kejahilan ternoktah dengan kebodohan, umat bernasib baik. Akan tetapi seringnya luka kejahilan menganga mengundang kuman perkauman, mendorong terjadi kebencian dan mencetuskan malapetaka parah, iaitu kekerasan dan ekstremisme.

Alangkah mudahnya jika kejahilan berakhir dengan “kelembuan” dan kedunguan. Akan tetapi malangnya kejahilan tidak sederhana. Itulah puncanya.

Dalam masyarakat yang mewabak kejahilan, rasisme dengan mudah menjangkiti anggotanya. Ia berkembang dan berkesan menjadi kebencian dan berpotensi meledak menjadi keganasan.

Bagaimana kita memenangi kejahilan? Kita belajar.

Akan tetapi bagaimana jika mereka yang jahil enggan digurui? Persis anak-anak degil, kita mesti bersabar, memujuk, dan mengajak, dan mengejek. Tetapi kita tidak akan berhenti. Ini namanya komunikasi. Tiada guru membina tembok dengan murid. Ia harus berlaku kepada semua jenis kejahilan.

Dong Zong. ISMA. Hindraf. Geng Salafi memaksumkan Zakir Naik. Tuan-tuan rumah yang rasis anti orang Afrika. Syiah Melayu taksub berkiblatkan Iran yang terlupa mereka makan belacan, bukan saffron.

Tujuan rasisme adalah pengabaian kepada isu utama.

Jika kita tidak jahil, maka jalan raya kita akan aman. Anak-anak kita akan pandai. Jawi tiada kena-mengena. Kecualikan jawi daripada rasisme.

Kita lebih takut dengan pemimpin yang jahil. Pemimpin yang jahil akan membina tembok. Kita pernah menyaksikan kejahilan Najib Razak bertanya “apa lagi Cina mahu?”.

Kelmarin kita sudah saling tuding menuding di khalayak dengan amarah. Itu semua bukan perangai pemimpin. Sebab kita tidak mengundi pembuli jalan ke Parlimen.

Kolum saya terdahulu mengatakan begini, “jangan pantatkan dialog”. Yang saya maksudkan adalah agar pemimpin negara, para Yang Berhormat dari kerajaan (baik Santiago mahupun Dr Maszlee) untuk duduk semeja dan berdialog.

Kita mesti ingat tembok itu tiada pada anak-anak. Tetapi pada orang dewasa.

Kepada Dong Zong. Tidak apa-apalah jika Dong Zong tidak mahu belajar dan mengerti Melayu menerusi tulisan Jawi. Jika Jawi boleh mendorong kita saling memukul dengan kayu besbol dan bermandi darah, maka kita tinggalkanlah Jawi.

Apa nak buat. Biar Jawi mati. Kita tidak boleh memaksa Dong Zong menjadi Lie Kim Hock atau Liaw Yock Fang. Akan tetapi Melayu harus belajar bahasa Mandarin atau Kantonis atau Tamil dan menambah ilmu. Masuklah sekolah Cina beramai-ramai.

Melayu jangan jadi Hang Tuah. Banyak belajar bahasa, tetapi masuk lubang tahi. Jangan bina tembok. Belajarlah kerana belajar dapat memadam rasa curiga dan membunuh prasangka.

Lagi satu, tembok tidak akan dapat diroboh dengan kayu besbol. Tembok tidak lut dengan jerit “lanciau” atau “puki”. Ia hanya runtuh dengan ilmu.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.