Kebebasan jadi pasak Malaysia

Bendera Malaysia memperoleh nama Jalur Gemilang pada 1997, iaitu 40 tahun selepas Malaya mencapai kemerdekaan. Nama itu dipilih Dr Mahathir Mohamad daripada cadangan nama yang dihantar orang ramai selepas kerajaan mempelawa rakyat menamakan bendera itu.

Jalur Gemilang mula dikibarkan pada hari penubuhan Malaysia 16 September 1963. Sebelum itu, ia adalah bendera Tanah Melayu atau Malaya yang dikibarkan dari 1950 hinggalah 1963. Bezanya, ia hanya 11 bucu bintang dan 11 jalur.

Ramai orang di dunia pasti mengatakan Jalur Gemilang seakan-akan bendera Amerika Syarikat, The Star-Spangled Banner. Bendera AS itu tentunya jauh lebih terkenal daripada Jalur Gemilang. Beza kedua-dua bendera ialah bilangan jalur dan bentuk bintang, bilangan bintang dan kehadiran bulan.

Di dunia, hanya 2 negara yang benderanya menyerupai AS dari segi jalur merah putihnya, iaitu Liberia yang terletak di Afrika Barat dan Malaysia di Asia Tenggara.

Bendera Liberia berjalur merah putih, tetapi hanya memiliki sebutir bintang. Hubungan Liberia dan AS adalah jelas. Ia merupakan bekas tanah jajahan AS yang merdeka pada kurun ke-19.

Ia ditubuhkan sebagai negara penempatan bekas hamba abdi AS berketurunan Afrika yang dibebaskan selepas perang saudara di negara itu.

Nama Liberia berasal daripada perkataan “liberty” atau kebebasan. Negara itu mempunyai aspirasi dan idealisme serupa dengan AS, iaitu kebebasan, demokrasi, maju dan makmur. Malangnya dalam sejarah negara itu, ia dirundung perang saudara, kediktatoran, kemunduran dan kemiskinan.

Malaysia jauh lebih bernasib baik, tetapi Jalur Gemilang tiada kaitan dengan bendera atau negara AS. Ia adalah hasil pertandingan memilih bendera persekutuan Tanah Melayu pada 1950 apabila ia ditubuhkan.

Perekanya, Mohamed Hamzah mengemukakan 3 cadangan dengan 2 daripada cadangan itu mempunyai 11 bintang dan keris, manakala satu lagi ialah bintang dan bulan sabit kuning di atas latar merah beserta 11 jalur berwarna biru putih.

Jawatankuasa memilih rekabentuk ketiga dengan sedikit pindaan, iaitu bintang berbucu 5 itu dipecahkan pada 11 dengan warna latarnya ditukar daripada merah kepada biru, sementara jalur biru putih ditukar kepada merah putih. Maka, jadilah bendera Malaya seperti bendera AS.

Tidak diketahui sebab-sebab pindaan itu, tetapi ada laporan menyatakan bintang yang dipecahkan kepada 11 itu, kemudian dikenali sebagai Bintang Persekutuan untuk membezakannya dengan bintang berbucu 5 yang sering digunakan pihak komunis.

Ketika itu, Tanah Melayu sedang berperang menundukkan pemberontakan Parti Komunis Malaya (PKM) yang menggunakan lambang 3 bintang menandakan Melayu, Cina dan India.

Ada satu laporan menyatakan penukaran jalur biru putih kepada merah putih kerana Tanah Melayu hendak mempunyai bendera berciri warna merah putih yang merupakan warna Nusantara seperti yang ada pada bendera kebangsaan Indonesia dan juga bendera Umno sendiri.

Lagipun, bendera jalur biru putih seperti Greece yang merdeka daripada kerajaan Usmaniah dan kemudiannya menjadi seteru Turki, tentunya rakyat Malaya yang majoriti beragama Islam mahu memihak kepada Turki.

Tetapi, bendera kebangsaan Tanah Melayu yang reka bentuknya dipersetujui Raja George V, raja bagi empayar dan Komanwel Britain disambut baik dan dialu-alukan rakyat Malaya ketika itu.

Walaupun terdapat segelintir golongan berhaluan kiri yang menolak Perjanjian Tanah Melayu mahu bendera berlatarkan merah putih seperti dikibarkan ketika melancarkan cadangan Perlembagaan Rakyat sebelum ini, tetapi umumnya majoriti rakyat Malaya suka bendera baru mereka.

Umumnya, kebanyakan rakyat Malaya tidak mempedulikan cemuhan golongan berhaluan kiri yang reka bentuk bendera kebangsaan hampir sama dengan bendera AS.

Antara sebabnya pun, ramai sukakan AS yang bukan saja negara utama yang menang dalam Perang Dunia Kedua, tetapi juga maju dan makmur. Lagipun, ketika itu AS merupakan negara yang mendokong kebebasan dan demokrasi, serta ketua Berikat yang menumpaskan kuasa Paksi, iaitu Jerman, Itali dan Jepun.

Maka, dari awal lagi Malaya yang merdeka bersama blok Barat yang diketuai AS untuk berdepan Soviet Union yang mengetuai blok Timur.

Seperti dalam Perang Dunia Pertama dan Kedua, kebanyakan penduduk Malaya menyebelahi British dan AS, begitu juga semasa Perang Dingin. Kebanyakan rakyat Malaya menolak komunis dan blok Timur, lebih-lebih lagi pada 1950, ketika darurat berada di kemuncaknya dan kemenangan ke atas PKM belum terjamin.

Tetapi, ia tidak bererti rakyat Malaya menyokong semua dasar luar AS. Tindakan AS menyebelahi Israel menimbulkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia, termasuk Malaya.

Dasar AS ke atas China juga menimbulkan rasa tidak senang orang Cina di Malaya. Sementara India di bawah pimpinan Jawaharlal Nehru lebih mesra dengan Soviet Union berbanding AS.

Namun begitu, AS mendokong aspirasi kebebasan dan demokrasi. Kebebasan politik, ekonomi dan sosial AS adalah sesuatu yang ingin diikuti kebanyakan rakyat Malaya.

Mereka tidak dapat menerima sistem kongkongan politik, ekonomi dan sosial yang menjadi amalan Soviet dan China, terutama dalam soal agama. Kebebasan beragama inilah yang menyebabkan ramai umat Islam menyokong AS dan menolak komunisme. Ia juga menyumbang kepada kekalahan kerajaan Malaya kepada PKM.

Sebab itu, rakyat Malaya dan kemudiannya Malaysia tiada masalah mempunyai bendera yang reka bentuknya hampir sama dengan AS. Ia berkongsi aspirasi mendokong kebebasan yang diperjuangkan AS. Lagipun pada Jalur Gemilang, Malaysia mempunyai identiti sendiri dalam bentuk bulan sabit dan Bintang Persekutuan.

Selain itu, soal kebebasan ini juga terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan. Walaupun Perlembagaan tidak mengambil inspirasi daripada AS, tetapi nilai kebebasan termaktub di dalamnya, seperti Perlembagaan India yang mempunyai kaitan sejarah dengannya dan mengambil semangat sistem Perlembagaan British yang tidak bertulis.

Kebebasan sebagai tonggak kenegaraan ditegaskan semula dalam dokumen Rukun Negara yang diisytiharkan pada 1970. Dalam pernyataannya, ia menyebut hasrat negara ini untuk membina masyarakat bernilai demokratik, liberal dan progresif.

Sememangnya, kebebasan di Malaysia tidak boleh disamakan dengan AS. Malaysia mempunyai agama, budaya dan tradisi tersendiri. Tetapi, asas kebebasan yang juga menuntut toleransi dan berhubungan secara harmoni terhadap pendapat berbeza tetap didokong negara ini.

Bapa Kemerdekaan dan Bapa Malaysia, Abdul Rahman mempunyai sikap terbuka, liberal, toleransi, progresif dan demokratik.

Sosok beliau menggambarkan apa yang diinginkan terhadap Malaya dan Malaysia. Walaupun jati diri Melayu dan Islam terpelihara, tetapi kebebasan merupakan pasak negara. Sikap anti-komunis beliau berasaskan kepercayaannya terhadap kebebasan dan demokrasi.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.